Penulis

Amanda Leonie terlibat dengan proses memperkasakan belia melalui pelbagai pembinaan kapasiti. Semasa di universiti, beliau adalah seorang ahli yang aktif dalam Pergerakan Pelajar Katolik, yang menggalakkan advokasi hak asasi manusia dan perpaduan di kalangan kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

Angela Kuga Thas adalah hasil kekayaan rojak bangsa dan budaya Malaysia. Seorang feminis dan aktivis hak asasi manusia, beliau adalah seorang jurulatih-fasilitator yang berpengalaman, dan sentiasa menumpukan usahanya untuk membimbing anak muda Malaysia menjadi pemimpin yang berprinsip berdasarkan lima nilai asas hak asasi manusia—maruah, kepelbagaian, kehormatan, kesaksamaan dan pilihan. Pada masa lapangnya, beliau bertungkus-lumus berusaha menemui artis di dalam dirinya.

Benz Ali adalah seorang Dropout yang bekerja secara sepenuh masa untuk badan pemberdayaan sosial, Institut Memali. Pro-kepada ekonomi communist yang dikembangkan CWI, beliau sering menjadi ‘pahlawan keyboard’ di Facebook di samping mengusahakan penerbitan buku-buku melawan di REPUBLIKBUKU, dengan slogan, ‘melawan dengan buku!’

Calvin Ohsey berasal dari Sarawak dan bekerja sepenuh masa dalam memperkasakan golongan muda khususnya mahasiswa di Keuskupan Melaka-Johor. Dianggap seorang pengkritik politik dan begitu peka tentang isu-isu semasa di Malaysia. Namun dia hanyalah seorang yang prihatin dan mengimpikan kestabilan dan keharmonian di Malaysia berterusan. Mrupakan mantan ahli jawatankuasa kepada Persatuan Pelajar Katolik di Shah Alam. 

Emmanuel Joseph percaya yang pada dasarnya, semua agama adalah baik. Begitu juga dengan manusia, semuanya baik sehingga dirosakkan dunia.Selain kerjanya dalam bidang IT, beliau juga merupakan pelajar undang-undang dan aktivis sosial di masa lapang. Beliau menetap di Klang.

Hussain Sajad adalah seorang fakir yang kononnya mahu menyelamatkan dunia. Di masa lapangnya dia bekerja sebagai seorang penerbit di agensi berita asing, menerajui NGO yang memperjuangkan nasib kelompok mazhab agama minoriti, mempelajari ilmu dunia dan akhirat serta membantu kaum gelandangan.

Johan Zolhaidi adalah bekas pelajar Senibina yang ingin menulis dan melihatnya sebagai salah satu medium untuk membantu beliau di dalam memaknakan dunia dari sudut pandangan sendiri. Kini bekerja sebagai penulis di laman web Daily Seni.

Lindu Livan terlibat dalam memperkasakan golongan muda khususnya pelajar melalui program bersama golongan muda dan merupakan mantan exco kepada Persatuan Katolik Pelajar. Beliau sedang di dalam proses untuk mengenali tentang hak-hak budaya asal yang semakin terpinggir.

Lyana Khairuddin masih mencari identiti diri beliau sebagai seorang wanita di Kuala Lumpur yang tidak mengisi petak-petak stereotaip semasa. Beliau berusaha mencari suara penulisan di dalam Bahasa Kebangsaan melalui Projek Dialog dan mempunyai impian untuk membawa wanita Malaysia kembali menggayakan pakaian tradisional, terutamanya baju kebaya dan batik sarong. #bringthekebayaback

Megat Hanis adalah seorang pelajar sains politik tahun akhir yang menuntut di sebuah universiti tempatan. Beliau merupakan aktivis pendidikan yang aktif bersama Teach For The Needs (TFTN) sebagai Ketua Penyelidik. Beliau juga mengasaskan diskusi jalanan “Dialogue Corner” bersama rakan-rakan sebagai komuniti bebas pertukaran idea. Dialogue Corner(DC) boleh dicapai melalui FB dan blog http://dialoguecornerblog.wordpress.com/

Muhammad Nazreen merupakan rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia yang lebih adil dan saksama untuk semua. Beliau kini sedang mengusahakan karya pertamanya yang dijangka akan diterbitkan pada tahun ini.

Noraishah Yusop adalah antara pengasas Diskopi (www.diskopi.wordpress.com), sekumpulan anak muda yang gemar melepak. Seorang pencinta kucing yang berkongsi minat sama dengan kucing-kucingnya iaitu bencikan Rosmah. Di masa lapangnya, hanya gadis biasa yang ingin berbagi tawa dan cerita sambil mencicip teh.

Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis hak asasi, pengarah filem dokumentari dan penulis. Filemnya Aku Siapa, yang membincangkan isu tudung dari sudut sosio-politik, sudah disiarkan di seluruh dunia dan mendapat pengiktirafan kerana mutu dan keberanian analisanya. Selain dari Projek Dialog, beliau juga mempunyai kolum di The Nut Graph.

Sonia Luhong mengutip kais pagi dan kais petangnya sebagai seorang pereka grafik (graphic designer). Beliau juga amat menggemari soal budaya dan sejarah, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan rantau Asia Tenggara. Berasal dari Kuching, Sarawak.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah.

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa yang berani bersuara mewakili golongan yang sering ditindas dan dizalimi. Beliau tidak menyokong mana-mana parti politik walaupun mempunyai ramai kenalan (dan musuh) daripada kalangan politikus. Catatan mindanya boleh diikuti di uthayasb.blogspot.com

Wan Ji At’ta’aduddi adalah pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi. Beliau aktif bergiat dalam dakwah, wacana sosio-politik dan penulisan keagamaan sepenuh masa.

 

Jurugambar

Nafise Motlaq adalah seorang wartawan-jurugambar Iran yang sedang berpangkal di Malaysia. Karyanya telah diterbit dan dipamerkan di pelbagai ruang galeri dan media tempatan dan antarabangsa. Beliau memperolehi sebuah PhD dari Universiti Putra Malaysia dalam jurusan komunikasi massa.