Projek Dialog

TITAS dan dialog kemangkatan Jesus

Bible. Saya turut membincangkan topik ini bersama-sama Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil dan isterinya, Anne yang mengandung empat setengah bulan. Kami bertemu untuk makan malam di sebuah restoran makanan laut di Kota Kemuning, Shah Alam pada 12 Ogos 2013. “Kemurkaan Tuhan terhadap manusia bermula dengan peristiwa Adam dan Hawa yang mengingkari perintah-Nya. Akibatnya mereka menerima hukuman, dan kematian adalah salah satu bentuk hukuman yang diwariskan kepada umat manusia,” Perzeus yang menguasai Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris menceritakan. Katanya, kemangkatan Jesus mengubah kedudukan itu kerana Baginda sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan para pengikut. Tiga hari selepas mangkat, Baginda hidup kembali seperti dijelaskan dalam Bible. Saya memang berpengalaman menghadiri Sunday School di Aulong, Taiping pada usia kanak-kanak. Pada usia remaja, saya membaca Bible (selain bahan berkaitan agama-agama lain). Saya suka melakukan perbandingan antara agama – dengan erti kata, melihat “persamaan” antara agama; bukan mencari “perbezaan”. Suatu aspek yang sedikit mengelirukan dan boleh menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang “Bukan Kristian” dan “Bukan Islam” adalah berkaitan peristiwa kemangkatan Jesus (Nabi Isa). Seperti diketahui umum, Bible dan Quran memberikan maklumat yang “bercanggah”. Tentulah topik-topik berkaitan agama amat sensitif untuk dibincangkan di negara Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagai seorang individu yang menyokong dialog antara agama, saya tidak merasakan tindakan saya salah apabila memilih untuk meminta penjelasan daripada seorang individu Kristian. “Tidak ada percanggahan pendapat dalam mana-mana mazhab Kristian mengenai perkara ini. Memang Jesus yang dipakukan pada salib sehingga mangkat dan memang Jesus yang muncul semula tiga hari kemudian. Walaupun mungkin ada versi lain diceritakan dalam budaya lain, saya dan isteri saya tetap akan mendidik dan membesarkan anak-anak kami dengan versi sahih sebagaimana terkandung dalam Bible,” Perzeus menegaskan dan dipersetujui oleh isterinya. [caption id="attachment_2368" align="alignleft" width="211"]Debat masih berterusan mengenai kemangkatan Jesus. Debat masih berterusan mengenai kemangkatan Jesus.[/caption] Pensyarah dan aktivis sosial itu tidak menolak kemungkinan anak-anaknya akan pulang dari sekolah pada masa hadapan dan mengadu bahawa guru-guru atau kawan-kawan di sekolah mengatakan Jesus sebenarnya tidak mangkat seperti diceritakan dalam Bible; sebaliknya Tuhan telah menggantikan orang lain di tempat Baginda. “Dalam keadaan seperti itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa Kristian untuk membimbing anak-anak supaya akidah anak-anak itu tidak terpesong daripada ajaran sebenar Kristian. Memang merupakan suatu cabaran besar khususnya apabila kita hidup sebagai kelompok minoriti dalam kalangan masyarakat majmuk. “Sebab itulah saya berpendirian bahawa ibu bapa Kristian mesti memikul tanggungjawab memastikan anak-anak mendapat pengetahuan secukupnya agar tidak mudah dikelirukan oleh pihak lain,” kata Perzeus. Saya bersetuju dengan pandangan dan pendirian beliau. Sebagai seorang individu Kristian, tentulah beliau sewajarnya dan selayaknya melihat peristiwa kemangkatan Jesus dari sudut Kristian. Tentulah tidak adil dan tidak logik untuk mengharapkan sesuatu yang sebaliknya. TITAS dan filem Jesus Seorang individu beragama Islam pula tentu akan memilih untuk melihat peristiwa kemangkatan Nabi Isa dari sudut Islam sebagaimana terkandung dalam Quran. Pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran saya: Sudut mana pula yang perlu digunakan oleh individu “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Pada 19 Julai 2013, berikutan kenyataan media saya bahawa satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad, keluar pula kenyataan balas daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA): “Uthaya Sankar SB diseru masuk Islam” (www.ismaweb.net). Di tengah-tengah kewujudan puak “kurang cerdik” seperti itu, mungkin sukar untuk membincangkan secara terbuka topik berkaitan peristiwa sebenar yang berlaku pada hari-hari terakhir kehidupan Jesus di muka bumi. Dialog seumpama itu mungkin dikritik sebagai “memperlekeh dan mempersenda” agama Islam sedangkan tujuan dialog adalah bagi berkongsi maklumat, pandangan, hujah, idea dan sebagainya demi mencari titik persamaan dan kebenaran. Dalam hal ini, mujurlah saya memiliki sekian ramai rakan-rakan pelbagai kaum, agama dan ideologi yang suka terlibat dalam dialog demi kebaikan bersama. Dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pula, walaupun topik berkaitan Islam dan Kristian mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka, kemasukan maklumat menerusi pelbagai sumber memang tidak dapat disekat. Saya tidak sekadar merujuk kepada internet yang membuka ruang menimba ilmu seluas-luasnya. Sebaliknya, saya merujuk secara khusus kepada topik kemangkatan Jesus. Maklumat mengenainya pasti akan sampai kepada orang ramai kerana terdapat banyak filem dan dokumentari yang menyentuh peristiwa itu. [caption id="attachment_2367" align="alignleft" width="230"]Kisah Jesus dipaparkan menerusi banyak filem dan dokumentari. Kisah Jesus dipaparkan menerusi banyak filem dan dokumentari.[/caption] Dokumentari dan filem seperti Bible (2013), Jesus (1999), Mankind: The Story of All of Us (2012), Jesus of Nazareth (1977), Son of God (2001), The Miracle Maker (2000), The Day Christ Died (1980) dan Passion of the Christ (2004) – serta sambungannya, The Resurrection of Jesus Christ (2015) – misalnya menampilkan kisah kehidupan dan kemangkatan Jesus seperti yang terkandung dalam Bible. The New Testament menyebut kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus tiga hari kemudian sebagai titik penting dalam Kristian. Orang Islam pula percaya bahawa Nabi Isa tidak mangkat disalib, tidak hidup semula serta tidak menebus dosa manusia. Suatu jalan penyelesaian yang mungkin dicadangkan adalah supaya orang Islam berpegang pada versi dalam Quran dan orang Kristian berpegang pada versi dalam Bible. Akan tetapi, bagaimana pula dengan orang “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Versi mana yang perlu diterima sebagai sahih dan diwariskan kepada anak-cucu? Mungkin juga situasi ini mengingatkan kita kepada novel/filem Life of Pi di mana watak Piscine Molitor Patel bertanya, “Which is the better story, the story with animals or the story without animals?” Namun, tentulah tidak semudah itu untuk membuat keputusan muktamad berhubung Jesus (Kristian) dan Nabi Isa (Islam), walaupun merujuk kepada individu yang sama dan serupa. Tidak seperti watak Hanuman dalam epik Ramayana karya Maharishi Valmiki yang kemudian bertukar menjadi watak Sun Wukong dalam hikayat Xi You Ji (Journey to the West) karya Wu Cheng’en. Mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sudah diperkenalkan di Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA) dan akan diwajibkan di IPTS mulai September 2013. Pakar mengakui bahawa TITAS bertujuan “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013). Akhbar sama melaporkan bahawa “disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda ‘kosong’ tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini.” Mungkin TITAS akan membuka ruang untuk dialog sihat dan waras dalam kalangan masyarakat mengenai peristiwa kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus.

]]>

Bahasa Malaysia dan agama Hindu

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Rata-rata rakyat Malaysia daripada kalangan kaum India beragama Hindu berumur 50 tahun dan ke bawah menguasai Bahasa Malaysia (selain bahasa  ibunda dan bahasa-bahasa lain). Tentulah kenyataan ini boleh dipertikaikan sekiranya kita hanya melihat kepada politikus dalam Barisan Nasional (BN) yang diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk memegang jawatan tinggi pada pelbagai peringkat. Bagaimanapun, saya lebih merujuk kepada orang ramai – masyarakat biasa – yang mempunyai kemampuan minda yang jauh lebih tinggi berbanding “badut-badut politik”. Ramai juga generasi muda kaum India yang tidak belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta hanya menguasai Bahasa Tamil dari segi pertuturan; bukan dari segi bacaan. Malah, tidak kurang juga lepasan SJKT yang lebih menguasai Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Tamil. Memandangkan rata-rata kaum India beragama Hindu menguasai Bahasa Malaysia, secara logik, tidak salah sekiranya bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu – termasuk buku cerita, rencana dan komik – diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Di negara bertuah ini, apa-apa bahan yang menggunakan Bahasa Malaysia dianggap ditujukan secara khusus kepada kaum Melayu beragama Islam. Maka, biar saya tekankan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu yang diperkatakan di sini adalah khusus bagi khalayak beragama Hindu. “Walaupun tumpuan pasaran yang dinyatakan adalah untuk masyarakat India beragama Hindu di Malaysia, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya amat mengalu-alukan sebarang usaha menerbitkan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia.” Demikian reaksi yang diterima daripada Mohd Zaidi Md Zabri, pemuda kelahiran Ipoh, Perak yang sedang dalam proses menamatkan pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). “Saya sedang menelaah sebuah buku tulisan Dr Farish Noor mengenai mitos, sejarah dan asal-usul keris di Nusantara. Beliau meletakkan premis bahawa agama Hindu memainkan peranan amat besar dalam mencorakkan rupa bentuk keris yang ada sekarang,” kata pemuda berumur 30 tahun itu. Mohd Zaidi juga berharap penerbitan bahan-bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia boleh membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini untuk saling mengenali, memahami, menghormati serta meraikan kepelbagai yang wujud. Hasil pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan pelbagai bengkel penulisan kreatif dan non-kreatif sejak 1993, memang wujud kebimbangan yang tidak berasas apabila ada pihak yang mahu menulis mengenai budaya India dan agama Hindu menggunakan medium bahasa kebangsaan. Apabila saya menulis makalah dan cerpen/novel yang mengangkat budaya kaum India beragama Hindu, saya sering dituduh cuba menyebarkan agama Hindu. Pasti sahaja puak yang menyebarkan fitnah seumpama itu tidak sedar akan hakikat kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini. Bukan bertujuan menarik orang peluk agama Hindu “Pada pandangan saya, usaha penerbitan seperti ini memang sepatutnya sudah dilakukan sejak dahulu. Bagi saya, bahan bacaan ini bukan hanya sesuai bagi orang Hindu. Pada hakikatnya, terdapat banyak kekeliruan berkenaan agama Hindu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum/agama di Malaysia.” Demikian pula pandangan ikhlas yang dikemukakan oleh R Balamurali (Vehl Murali), pemuda berumur 29 tahun dari Pahang yang kini menjadi peguam di Sungai Buloh, Selangor. “Namun, disebabkan kita hidup di sebuah negara yang ultra sensitif, maka cara penyampaian mengenai agama Hindu perlulah dipastikan bersifat informatif dan bertujuan membekalkan ilmu semata-mata. Jika boleh, maklumat berkenaan agama-agama utama di Malaysia dimasukkan dalam sistem pendidikan negara supaya pengetahuan dan pemahaman mengenai agama-agama ini dapat dikongsikan demi memupuk perpaduan,” katanya. Saranan dan cadangan Balamurali bukanlah supaya usaha penyebaran agama Hindu dilakukan kepada orang lain menerusi penerbitan bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Sebaliknya sebagai usaha murni pembinaan Bangsa Malaysia yang saling mengenali, memahami dan bertolak-ansur. Fakta menunjukkan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu pada mulanya disebarkan menggunakan Bahasa Sanskrit di Benua Kecil India. Kemudian bahan-bahan berkenaan diterjemah dan diterbitkan semula dalam bahasa-bahasa utama di negara berkenaan. Di Malaysia pula, bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu terdapat dalam Bahasa Tamil dan Inggeris. Hakikat ini turut dinyatakan oleh Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Jelutung, Pulau Pinang dalam perbincangan kami berhubung topik berkaitan. “Makalah, majalah serta bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia akan membolehkan skop pembaca diperluaskan supaya turut merangkumi anak-anak muda. Saya merujuk juga kepada anak-anak muda kaum India yang kurang pendidikan, kurang menguasai Bahasa Tamil dan Inggeris, serta terlibat dalam masalah sosial,” kata pemuda berumur 31 tahun itu. Dalam pada itu, Nagathisen sedar akan hakikat sebenar di negara ini yang dipenuhi golongan fanatik, ultra kiasu, etnosentrik dan rasis. Katanya, apabila bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, mungkin akan menerima reaksi negatif serta dakwaan kononnya ada usaha menyebarkan agama Hindu kepada penganut agama-agama lain. [caption id="attachment_2014" align="alignleft" width="150"]Bahan berkaitan budaya India dan agama Hindu memang banyak dalam Bahasa Inggeris. Bahan berkaitan budaya India dan agama Hindu memang banyak dalam Bahasa Inggeris.[/caption] Sambil berkongsi kebimbangan yang sama, Navanitha @ Nitha Nairu dari Menglembu, Perak tetap melihat cadangan penerbitan itu sebagai usaha murni ke arah memupuk pendidikan agama, nilai-nilai murni dan motivasi dalam diri generasi muda beragama Hindu. “Apabila ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa paling utama di Malaysia, sekurang-kurangnya akan menarik minat remaja beragama Hindu yang mungkin kurang menguasai Bahasa Inggeris dan Tamil. Maka, Bahasa Malaysia menjadi medium untuk mereka menimba ilmu agama yang sangat penting ke arah pembinaan jati diri yang utuh,” kata juruteknologi makmal perubatan itu yang berasal dari Kangar, Perlis. Navanitha juga menyatakan bahawa pengetahuan agama Hindu yang ditimba (menerusi medium Bahasa Malaysia) akan menguatkan semangat generasi muda kaum India apabila berdepan dengan puak tertentu yang gemar memperlekeh amalan/ajaran agama Hindu. Contoh terdekat yang boleh kita fikirkan adalah puak seperti Zulkifli Noordin (ahli Perkasa dan rakan BN) dan Ridhuan Tee Abdullah (rakan Umno) yang merosakkan imej murni agama Islam. Suatu cara memartabatkan bahasa kebangsaan Topik yang dibicarakan turut mendapat reaksi daripada Poul Nanggang, penulis terkenal dari Miri, Sarawak. Penjawat awam berumur 48 tahun dan penganut Roman Katholik ini mendapati bahawa dilema yang dialami dalam usaha penerbitan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia hampir sama dengan dilema yang dihadapi penduduk pelbagai etnik dan agama di Bumi Kenyalang. “Bagi saya sebagai Bumiputera Sarawak (yang dianggap kelompok minoriti), usaha penerbitan yang dinyatakan adalah murni; asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Medium pengantara menggunakan Bahasa Malaysia sebagai alat adalah tepat dengan tujuan supaya budaya India dan agama Hindu dapat dikongsi bersama dan difahami setiap lapisan masyarakat,” katanya. Penulis novel “Memori Abadi” (2010) itu meluahkan perasaan bahawa kelompok Bumiputera Sarawak juga ingin mengangkat wajah budaya pelbagai etnik dan kepercayaan dalam bentuk penulisan menggunakan Bahasa Malaysia. “Bagi saya, tanggapan mana-mana pihak bahawa perbuatan itu (menulis menggunakan Bahasa Malaysia) menyentuh sensitiviti adalah persepsi yang sempit. Kita harus lebih terbuka supaya jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia akan terus utuh. Janganlah dijadikan isu agama dan politik atau menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. “Saya amat menyokong usaha-usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan serta berkongsi pengalaman pelbagai suku, etnik, kaum, agama dan budaya. Dengan itu, barulah kita akan lebih saling memahami dan saling menghormati,” kata Poul. Sesungguhnya, bahasa adalah alat untuk manusia saling berkomunikasi. Demikian diakui Murugan Alimuthu, seorang akauntan bertauliah kelahiran Langkawi, Kedah. “Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, ia sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Saya yakin bahawa bahan-bahan berkenaan tidak boleh dianggap menyentuh sensitiviti penganut Islam kerana tidak sesekali memperkecilkan, memperlekeh atau menghina mana-mana agama lain,” kata pemuda itu yang kini menetap di Taiping, Perak. Muthannah Marawan dari Kota Kinabalu, Sabah juga tidak merasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam penulisan dan penerbitan bahan bacaan berkaitan agama Hindu sebagai salah. “Sebaliknya, usaha itu dapat mengintegrasikan masyarakat majmuk di Malaysia; sekali gus memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Saya tidak merasakan seseorang akan terus memeluk agama Hindu sekiranya membaca bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. [caption id="attachment_2015" align="alignleft" width="150"]Uthaya menerapkan budaya India menerusi cerpen dan novel sejak 1992. Uthaya menerapkan budaya India menerusi cerpen dan novel sejak 1992.[/caption] “Kebanyakan rakyat Malaysia menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa. Begitu juga orang Melayu-Islam. Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu tidak diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, tidak bermakna mereka tidak akan berpeluang untuk membaca maklumat menerusi majalah atau buku Bahasa Inggeris,” tegas Muthannah yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Shah Alam, Selangor. Saya percaya bahawa mana-mana pihak yang menentang usaha murni penerbitan bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu mempunyai dua niat jahat. Pertama: Tidak mahu wujud persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kedua: Mereka tidak mahu generasi muda kaum India berpeluang mengetahui dan mendalami agama Hindu supaya mudahlah nanti bagi mereka untuk “menyesatkan” kelompok berkenaan.

]]>

Cerita kecil tentang agama Hindu

Oleh: Uthaya Sankar SB Agama Hindu diakui sebagai agama tertua di dunia; serta mempunyai jumlah pengikut ketiga tertinggi selepas agama Kristian dan Islam. Ajaran yang terkandung di dalamnya amat kompleks dan sering kali menjadi mangsa salah tafsir. Hal ini tidak menghairankan kerana tidak ada suatu “syarat” yang jitu dalam ajaran agama yang bersifat universal ini. Pasti sahaja apabila saya memperkatakan mengenai agama Hindu, akan ada pihak (pemantau) yang segera menyebarkan berita bahawa saya sedang “menyebarkan agama Hindu”. Sesungguhnya ada perbezaan yang amat nyata antara menyebarkan agama Hindu dan memperkatakan mengenai agama itu dalam sebuah sesi dialog secara sihat dan positif. Sejak dahulu, sering kali rakan-rakan dan kenalan pelbagai kaum dan agama bertanya kepada saya mengenai budaya India dan agama Hindu yang amat kompleks dan sedikit mengelirukan. Terdapat enam mazhab utama, empat veda, ribuan berhala, amalan, ritual keagamaan, dewa-dewi dan pelbagai perkara berkaitan yang tidak mustahil menimbulkan kekeliruan. Dalam konteks negara kita, hakikat yang tidak pernah dinafikan adalah bahawa Islam adalah agama rasmi. Pada masa sama, agama-agama lain masih diamalkan dengan bebas mengikut jaminan Perlembagaan Persekutuan. Maka, rakyat Malaysia hidup secara harmoni di tengah-tengah kepelbagaian agama, budaya, adat dan kepercayaan. Menyedari hakikat ini, tidaklah menghairankan apabila ada individu bukan beragama Hindu – malah penganut agama Hindu juga – yang sering tertanya-tanya mengenai pelbagai perkara berhubung agama yang bermula di Lembah Indus, lebih 5,000 tahun dahulu. Apabila pertanyaan diajukan kepada saya oleh rakan-rakan dan kenalan yang memang ingin tahu, maka saya akan berusaha untuk memberikan penjelasan serba ringkas bagi merungkaikan kecelaruan. Saya berusaha menyampaikan kisah berusia lebih 5,000 tahun ini dengan cara paling mudah supaya boleh difahami dengan mudah juga. Tentu sahaja perkongsian maklumat dan pengetahuan mengenai agama Hindu yang saya lakukan adalah atas dasar berkongsi ilmu dan maklumat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Tidak ada sebarang niat “menyebarkan agama Hindu” kepada sesiapa kerana ajaran agama Hindu tidak pernah berusaha memujuk sesiapa “masuk Hindu”. Siapakah pengasas agama Hindu? Soalan paling asas yang biasa ditanya kepada saya adalah mengenai siapakah pengasas agama Hindu. Apabila kita bercakap mengenai agama Kristian, Islam dan Sikh misalnya ada “pengasas” – walaupun istilah “pengasas” mungkin kurang tepat. Bagi agama Hindu pula, tiada pengasas. Tidak ada juga “wahyu” yang diterima oleh “pengasas” daripada Tuhan. Sebaliknya, agama Hindu adalah lebih kepada usaha manusia “mencari” dan “menemui” Tuhan dalam hidup. Malah, istilah “Hindu” itu sendiri adalah istilah yang diberikan oleh orang luar kepada amalan spiritual yang menjadi sebahagian daripada budaya, falsafah dan cara hidup penduduk di Lembah Sindhu (Sungai Indus) sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Saya akan berusaha memberikan gambaran paling mudah bagaimana agama Hindu bermula. Agama Hindu sangat kaya dengan mitos, purana dan pelbagai kisah yang terus berkembang dari generasi ke generasi. Maka, kisah yang saya sampaikan ini adalah ringkasan paling umum bagi membantu orang ramai memahami bagaimana agama Hindu bermula. Bayangkan bahawa kita sedang hidup di Lembah Sindhu, Benua Kecil India pada sekitar tahun 3000 Sebelum Masehi. Konsep “agama” belum wujud. Kita adalah petani. Kita adalah pemungut hasil buah-buahan. Kita adalah nelayan. Kita lahir, membesar, berkahwin, beranak, menjadi tua dan akhirnya meninggal dunia. Kita melihat siang dan malam. Kita melihat angkasa yang luas terbentang tanpa sempadan. Pada suatu hari, seorang anak – mungkin anak kita – bertanya, “Bagaimana semua ini terjadi?” Lalu kita sendiri mula berfikir secara serius: Bagaimana semua ini terjadi? Bagaimana benih tumbuh menjadi pokok yang membuahkan hasil untuk kita makan? Bagaimana ada hidupan di laut, darat dan langit? Kita perlu ingat bahawa dalam contoh yang saya berikan ini, kita sedang hidup lebih 5,000 tahun dahulu. Belum ada agama lain yang diketahui dan diamalkan di Benua Kecil India. Mungkin sahaja tidak ada kesedaran tentang Adam dan Hawa/Eve pada waktu itu. Tuhan tinggal di Himalaya Maka, secara sendiri, kita yang menjadi penduduk di Lembah Sindhu mula sedar bahawa pasti – ya, pasti! – ada suatu kuasa yang amat berkuasa dalam menentukan segala “keajaiban” yang berlaku: siang dan malam, kelahiran dan kematian, laut, darat dan langit, dan sebagainya. Timbul kesedaran dalam diri bahawa manusia – kita – tidak mampu melakukan semua itu secara sendirian. Pasti ada kuasa yang memungkinkannya. Kuasa itulah diberikan nama sebagai dewa. Dewa yang berkuasa melampaui segala kemampuan mana-mana manusia. Lalu, mungkin ada yang bertanya: Siapakah dewa itu? Bagaimana rupanya? Mana tempat tinggalnya? Segala pertanyaan dan persoalan yang sangat wajar sekiranya diajukan oleh penduduk di Lembah Sindhu pada sekitar tahun 3000 SM. Apatah lagi jika ditanya oleh kanak-kanak. Pada masa sekarang, masih menjadi amalan meletakkan segala tanggungjawab kepada “hantu” apabila berlaku sesuatu perkara negatif yang tidak dapat kita jelaskan. Maka, tidak menghairankan bahawa segala tanggungjawab diletakkan kepada “dewa” bagi menjelaskan segala perkara positif yang berlaku dalam hidup manusia di Lembah Sindhu, lebih 5,000 tahun dahulu. Bagi menjawab pertanyaan di mana tempat tinggal dewa, cara paling mudah untuk “mengelak” adalah dengan merujuk pada tempat paling jauh. Tempat paling “jauh” pada waktu itu di Lembah Sindhu mungkin sahaja Himalaya. Maka, diberitahu kepada kanak-kanak dan remaja bahawa “dewa” atau “Tuhan” yang memelihara kehidupan kita sebenarnya tinggal di Himalaya. Tuhan perhatikan manusia dari atas kayangan di puncak Himalaya. Konsep karma, dharma, kelahiran semula dan sebagainya diperkenalkan untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang wujud. Memandangkan bahawa agama Hindu bermula dengan “pencarian” manusia yang menyedari kewujudan suatu kuasa positif maha hebat yang sukar dijelaskan, maka lama-kelamaan, “mitos” yang diwujudkan untuk menjawab pertanyaan kanak-kanak mula dikembangkan secara lebih tersusun. Lahirlah pelbagai purana dan mitos yang pada dasarnya menjelaskan kewujudan suatu kuasa maha besar (Dewata/Tuhan) yang tidak boleh dilihat. Pada sekitar 5,000 tahun dahulu, pasti telah ada penduduk di Lembah Sindhu yang bertanya, “Bagaimana rupa Tuhan itu?” Secara logik, dan saya pernah terbaca di entah mana, sekiranya seekor kuda diminta menggambarkan Tuhan, pasti kuda itu akan menggambarkan Tuhan dalam bentuk rupa kuda juga. Eka Aneka Begitulah, penduduk di Lembah Sindhu mula memberi gambaran mengenai Tuhan mengikut pemahaman dan interpretasi masing-masing. Tuhan digambarkan sebagai Dewa Shiva; dengan mengambil inspirasi daripada rupa Himalaya. Adakah Tuhan itu lelaki? Penduduk pada masa itu – lebih 5,000 tahun dahulu – cuba menjelaskan bahawa Tuhan berlaku adil kepada lelaki dan wanita. Maka dizahirkan Dewi Parvathi sebagai pasangan kepada Dewa Shiva. Pemikiran penduduk semakin berkembang dan mereka mula bertanya dan tertanya-tanya: Adakah ada dua Tuhan iaitu Dewa Shiva dan Dewi Parvathi? Lalu dijelaskan oleh orang-orang tua, pemikir dan pujangga bahawa Dewa Shiva dan Dewi Parvathi (atau Shakti) adalah satu. Muncul konsep “eka” atau apa yang kita sering sebut sebagai “esa” atau “tunggal”. Muncul konsep “ekan anekan” – Tuhan yang eka tetapi dikenali dalam aneka bentuk. Penduduk di Lembah Sindhu yang menyedari kewujudan Tuhan terus berusaha mencari jalan untuk “mendekati”-Nya. Masing-masing dengan caranya. Masing-masing dengan gayanya. Sebab itulah dalam agama Hindu – sehingga kini – tidak ada satu cara/jalan yang khusus/mutlak untuk “menemui” Tuhan. Dalam ajaran Hindu, semua jalan adalah jalan menuju Tuhan. Memandangkan penduduk di Lembah Sindhu sejak dahulu mempunyai bakat melukis dan membuat patung, maka pemahaman mereka terhadap konsep ketuhanan, dewa-dewi serta kisah-kisah dalam purana, mitos dan veda disajikan dalam bentuk lukisan dan berhala. Tuhan dizahirkan dalam bentuk Shiva, Brahma, Vishnu, Saraswathi, Lakshmi, Parvathi, Kali, Ganesha, Murugan, Krishna dan ribuan “rupa” mengikut tahap pemahaman manusia pada waktu itu. Para pemikir dan ahli falsafah pula mula mengumpulkan segala maklumat berhubung usaha “manusia mencari Tuhan” untuk dijadikan kitab, sruti, smriti, sutra, shastra, veda, purana, itihasa dan sebagainya untuk dijadikan panduan yang lebih sistematik. Namun, apa yang kita kenali sebagai agama Hindu masih amat kompleks dan kadang-kadang mengelirukan bagi sesiapa yang melihatnya dengan penuh prasangka. Perasaan prasangka itulah yang menjadi penghalang dalam kalangan kita untuk saling mengenali, memahami, mengetahui, menghormati dan menerima perbezaan kaum, agama, etnik, budaya dan adat yang wujud sejak dahulu. Semoga perkongsian kecil ini membuka denai ke arah perbincangan yang lebih mendalam secara terbuka tanpa menganggapnya sebagai usaha menyebarkan agama Hindu.  

]]>

Minoriti perlu berani bersuara

Oleh: Uthaya Sankar SB Di Malaysia, kumpulan minoriti masih menjadi mangsa penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan. Saya sengaja – dan dengan penuh sedar – memulakan tulisan dengan menyatakan realiti di atas supaya pendirian saya adalah amat jelas sejak awal. Tidak perlulah sesiapa mencari-cari dan tercari-cari apa yang mahu saya tekankan dan dedahkan menerusi tulisan saya. Hakikat yang amat menarik untuk diperhatikan adalah bahawa kumpulan minoriti biasanya dilindungi dan diberikan pelbagai keistimewaan. Malah, undang-undang dan peraturan dibuat ke arah itu. Bagaimanapun, hal sama tidak berlaku di negara tercinta ini; sekurang-kurangnya sejak 1957. [caption id="attachment_853" align="alignright" width="240"] Masih ramai minoriti kaum India yang belum memiliki dokumen pengenalan yang sah.[/caption] Salah satu isu yang sering disuarakan adalah mengenai kumpulan minoriti India yang lahir di negara ini dan tidak memiliki mana-mana kewarganegaraan lain. Walau bagaimanapun, mereka masih dinafikan hak mendapatkan dokumen pengenalan diri. Sebagai minoriti, mereka bagaikan tidak ada pilihan lain selain menanti pihak tertentu “membaling tulang” dari semasa ke semasa; khususnya menjelang pilihan raya. Pandangan, contoh dan hujah yang saya kemukakan adalah berdasarkan pengalaman serta pemerhatian saya sendiri terhadap apa yang berlaku di depan mata melibatkan golongan minoriti. Bercakap mengenai “minoriti”, perkara-perkara yang mahu saya bincangkan bukan semata-mata merujuk pada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama. Sebaliknya turut merujuk pada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa. Sebagai contoh, ada sebuah kuil di kawasan perumahan saya. Kedudukannya di tepi jalan utama berdekatan sebuah bulatan. Setiap tahun, pada tarikh upacara keagamaan, ramai yang terpaksa meletakkan kereta di sepanjang jalan raya itu untuk ke kuil. Dalam kejadian sebelum tahun 2008 – sebelum Kerajaan Negeri Selangor diubah oleh Rakyat menggunakan kuasa undi – pihak berkuasa tempatan akan mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit. Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadan, bazar diadakan di lokasi bertentangan kuil berkenaan. Orang ramai bebas meletakkan kenderaan sesuka hati di mana-mana dengan alasan mahu ke Bazar Ramadan. Pihak berkuasa tempatan tidak pernah mengeluarkan saman kerana perbuatan itu melibatkan golongan majoriti. Penulis Interlok jadi minoriti [caption id="attachment_850" align="alignleft" width="240"] Pengarang Interlok menjadi mangsa manipulasi golongan yang mahu menindas kumpulan minoriti.[/caption] Apa yang berlaku dalam contoh di atas pasti membuatkan golongan minoriti (penganut agama Hindu) marah dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan pihak berkuasa. Mahatma Gandhi menegaskan bahawa even if you are a minority of one, the truth is the truth – kebenaran tetap kebenaran walaupun kumpulan minoriti itu hanya terdiri daripada seorang individu. Hal ini segera mengingatkan saya kepada isu novel Interlok: Edisi Murid yang menimbulkan kontroversi mulai akhir 2010 apabila dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). Kehangatan kontroversi membuatkan masyarakat kurang mengetahui keseluruhan cerita. Misalnya, sebagai menghormati dan akur pada bantahan yang dikemukakan masyarakat India (minoriti), Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) selaku pengarang asal novel berkenaan (1968) bersetuju supaya istilah-istilah yang menyentuh sensitiviti kaum India (minoriti) dibuang daripada novel edisi murid (2010). Perkara ini dinyatakan sendiri kepada saya oleh isteri beliau, Datin Siti Saroja. Bagaimanapun, ada pula kumpulan tertentu (majoriti) yang tampil meminta (mendesak) supaya surat izin itu “ditiadakan” dan novel Interlok: Edisi Murid tetap digunakan di sekolah tanpa sebarang pindaan. Maka, Pak Lah yang tidak bersalah terpaksa menjadi minoriti yang ditindas, dizalimi, didiskriminasi, ditipu dan diperalatkan oleh pihak tertentu demi kepentingan peribadi dan apa yang dikatakan “hak kumpulan majoriti”. Usaha menjatuhkan maruah Pak Lah juga dilakukan pihak tertentu menerusi tindakan menggunakan pelekat – “pelekat ajaib” – bagi melakukan pindaan pada novel berkenaan. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tetap dengan pendirian tegas walaupun selepas kesemua anggota Panel Bebas Meminda Novel Interlok memilih untuk menjadi minoriti dan berdiam diri serta akur pada apa sahaja tindakan pemerintah (majoriti). Minoriti yang suka ditindas Seorang lagi penulis kaum India sentiasa menjadi minoriti yang dipersenda dan diperlakukan sesuka hati oleh kelompok majoriti. Oleh kerana dia menulis dalam bahasa Melayu dan sering menulis karya bertema agama Islam, maka selalu sahaja pada majlis-majlis rasmi, orang akan meminta (mendesak) dia dan suaminya “masuklah Islam cepat-cepat”. Saya perhatikan bahawa dia hanya mampu berdiam diri dan tersengih kerana menganggap dirinya minoriti yang tidak boleh melawan asakan majoriti yang menentukan masa depannya. Individu yang sama juga pernah membenarkan dirinya (minoriti) dipergunakan sebuah pertubuhan (majoriti) untuk menjadi perisik bagi mengetahui pendirian Kavyan (di mana saya menjadi presiden) dalam isu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid. Individu itu sendiri yang kemudian membuat pengakuan kepada saya berhubung perkara ini. Pada masa sama, katanya, oleh kerana dia hanya minoriti (minority of one), maka dia tidak dibenarkan oleh presiden pertubuhan itu untuk menyatakan pendiriannya mengenai novel Interlok: Edisi Murid pada sebuah forum yang dianjurkan oleh pertubuhan itu. Seorang lagi minoriti (minority of one) yang merupakan seorang pensyarah pula cuba meraih tempat dalam kalangan majoriti dengan menyebarkan fitnah mengenai Kavyan kepada para editor di sebuah penerbitan. Kononnya karya para ahli Kavyan perlu diboikot oleh penerbit berkenaan kerana Kavyan (minoriti) bersikap anti-Melayu serta berani melawan menteri (majoriti) dan pertubuhan pengarang (majoriti) dalam isu Interlok: Edisi Murid. Minoriti perlu bersuara Sementara ada minoriti yang sanggup menggadai maruah demi seketul tulang, ada pula minoriti – sama ada minority of one atau minority of many – yang terpaksa menggadai nyawa demi mempertahankan hak dan maruah. [caption id="attachment_851" align="alignright" width="212"] Cara paling mudah menindas LGBT adalah dengan melabel mereka menganjurkan pesta seks bebas.[/caption] Sekadar contoh terdekat adalah asakan demi asakan yang dilakukan pihak tertentu dan juak-juaknya terhadap golongan minoriti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Pada tahun lalu, program Seksualiti Merdeka difitnah sebagai pesta seks bebas. Pihak tertentu (majoriti) menggunakan hampir semua media arus perdana untuk melakukan penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan terhadap minoriti LGBT. Dalam agama Hindu, terdapat enam mazhab yang saling menghormati dan saling melengkapi. Hal yang berbeza pula saya perhatikan dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia – dan hanya di Malaysia. Tidak sekadar sewenang-wenangnya menuduh orang “Bukan Islam” sebagai kafir, ada pula kumpulan majoriti tertentu yang melakukan penindasan terhadap penganut mazhab selain mazhab yang mereka anuti. [caption id="attachment_852" align="alignleft" width="150"] Semua agama mewajibkan golongan minoriti dilindungi dan berikan hak.[/caption] Akibatnya, kumpulan minoriti yang menganuti mazhab lain dilabel sebagai pengikut ajaran sesat dan dihina sesuka hati. Selalunya pada tahap yang amat bertentangan dengan ajaran sebenar dalam agama Islam itu sendiri. Ternyata, untuk kumpulan majoriti tertentu di negara bertuah ini terus berkuasa, kumpulan minoriti perlu ditindas dengan apa cara sekali pun. Atau demikianlah kepercayaan dan amalan mereka. Seorang penulis dan seorang pensyarah (minority of one each) yang saya jadikan contoh di atas tidak perlu menghayati kata-kata Mahatma Gandhi. Mereka adalah golongan minoriti tanpa maruah yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi hamba kepada golongan majoriti – serta mahu terus menjadi mangsa penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan. Sebaliknya, golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara. Ruang untuk berdialog demi mencari penjernihan minda. Biarlah saya menggunakan ruangan ini untuk memberi peluang kepada mereka. Kerana saya juga sebahagian daripada golongan yang dilabel sebagai “minoriti” di negara bertuah ini.

]]>

Mengenali Ciri-ciri Ajaran Buddha

The Silk Route. Terdapat Buddhisme aliran Mahayana, Theravada, Hinayana, Chan, Zen, Son, Nichiren, Shingon, Tantric, Tiantai, Yogacara dan Vajrayana yang memiliki beberapa perbezaan mengikut pengaruh setempat. [caption id="attachment_4639" align="alignleft" width="300"]Terdapat pelbagai aliran Buddhisme di seluruh dunia. Terdapat pelbagai aliran Buddhisme di seluruh dunia.[/caption] Namun begitu, ada beberapa ciri asas ajaran Buddha yang mungkin kurang diketahui masyarakat umum di Malaysia; khususnya golongan yang bukan mengamal Buddhisme. Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) menjadi asas dalam ajaran Buddha. Maklumat menyeluruh mengenai asal usul, ajaran dan perkembangan ajaran Buddha boleh dibaca dalam buku The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism (2011) yang turut menjadi rujukan saya. Menerusi makalah bertajuk “Buddha Sebar Islam?” (Projek Dialog, 21 Januari 2015) dan “Dari Buddha ke Maitreya” (The Malaysian Insider, 26 Januari 2015), dijelaskan bahawa Gautama tidak pernah mengaku dirinya nabi atau penerima wahyu daripada Tuhan. Gautama juga bukan Tuhan, anak Tuhan atau dewa. Sebaliknya Gautama adalah manusia biasa yang lahir dalam keluarga diraja. Kemudian, Gautama bertapa dan akhirnya mengasaskan apa yang kita kenali sebagai Buddhisme. Apa yang pasti, dalam ajaran Buddhisme, Gautama lahir sebagai manusia, hidup sebagai manusia, dan meninggal dunia sebagai manusia. Mungkin ada pihak yang mendewa-dewakannya, tetapi perbuatan itu tidak mengubah hakikat sebenar. Salah satu bab dalam buku The Fundamentals of Buddhism (2008) yang memuatkan koleksi syarahan Sayadaw U Silananda (1927-2005) turut menghuraikan perkara ini. Mengikut catatan sejarah dan kisah hidup Gautama yang dirakam menggunakan bahasa Pali oleh sami-sami Buddha di Sri Lanka, putera itu melakukan pencarian makna hidup dengan harapan akan mendapat jawapan daripada Tuhan. Akan tetapi, akhirnya Gautama meninggalkan pencarian itu. Dia memutuskan bahawa tidak ada gunanya mencari jawapan bagi pertanyaan yang penuh misteri itu. Ajaran dalam Vinaya, Suttanta dan Abhidhamma Dalam ajaran asal Buddha, kewujudan Tuhan tidak diperkatakan. Sebaliknya, setiap apa yang berlaku di seluruh alam (termasuk hidup manusia) adalah berasaskan hukum alam yang juga disebut sebagai Hukum Karma (atau “kamma” dalam bahasa Pali). Secara mudah, para pengikut Buddha disaran tidak mencari Tuhan. Anggap sahaja Tuhan tidak wujud. Sebaliknya, lakukan segala kebaikan dalam kehidupan mengikut Hukum Karma dan Hukum Dharma (atau “Dhamma” dalam bahasa Pali). [caption id="attachment_4638" align="alignleft" width="300"]Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan membantu peserta lebih memahami ajaran Buddha. Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan membantu peserta lebih memahami ajaran Buddha.[/caption] Bagaimana jika ada Tuhan? Penganut ajaran Buddha tidak perlu risau kerana mereka telah melakukan kebaikan sepanjang hidup. Bagaimana jika Tuhan tidak wujud? Masih tidak perlu risau kerana penganut ajaran Buddha telah melakukan kebaikan. Gautama menyampaikan ajarannya selama 45 tahun. Sekitar tiga bulan selepas Gautama meninggal dunia (pada tahun 544SM), Majlis Buddha yang pertama bersidang. Majlis berkenaan diadakan bagi mengumpulkan segala ajaran Gautama dan merekodkannya dalam bentuk bertulis. Segala ajaran yang dahulu disampaikan secara lisan dalam bentuk sutra (atau “sutta” dalam bahasa Pali) iaitu frasa-frasa pendek yang mudah dihafaz, didokumentasikan mengikut tiga klasifikasi, iaitu Vinaya, Suttanta dan Abhidhamma. Mengikut rekod, sekumpulan orang Hindu daripada kelompok Brahmin turut menjadi pengikut ajaran Buddha. Mereka meminta supaya ajaran-ajaran utama Gautama direkod menggunakan bahasa Sanskrit, iaitu bahasa utama dalam ajaran Hindu dan kitab-kitab Veda. Permintaan itu ditolak kerana Gautama mahukan segala ajaran yang disampaikannya sampai kepada masyarakat umum tanpa sebarang sekatan. Maknanya, ajaran Buddha boleh – malah digalakkan – diajar dan disebarkan menggunakan bahasa-bahasa tempatan. Atas “kelonggaran” itulah juga ajaran Buddha sangat mudah tersebar, disampaikan, diterima dan dihayati penduduk di seluruh pelosok dunia. Hal ini mungkin agak berbeza dengan agama-agama tertentu yang semacam meletakkan syarat ketat kononnya ajaran agama berkenaan hanya boleh disampaikan dan dipelajari menggunakan bahasa tertentu. Ajaran Sanatana Dharma atau Hinduisme adalah ajaran agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Walaupun Hinduisme amat kompleks dan memiliki syarat/panduan yang ketat dan khusus, kebebasan yang seluas-luasnya diberikan kepada para penganut untuk mengamalkan ajaran mengikut tahap pemahaman dan kemampuan masing-masing. Ada persamaan yang amat ketara antara Hinduisme dan Buddhisme dalam hal ini. Kedua-duanya membenarkan – malah amat menggalakkan – penganut melakukan dialog, pencarian, perbandingan dan menyoal segala ajaran yang dikemukakan. Persamaan, Perbezaan dengan Hinduisme Maknanya, ajaran Buddha tidak harus diterima bulat-bulat. Kita perhatikan ada orang daripada agama tertentu yang hanya menurut segala peraturan dan ajaran walaupun mereka tidak faham serta mahukan penjelasan. Akan tetapi, kerana akur pada syarat ketat dalam agama itu, mereka memilih untuk menutup mulut. Hal ini amat berbeza dengan Hinduisme dan Buddhisme. Gautama sendiri sering mengingatkan para pengikut supaya jangan hanya menurut apa-apa yang diajarkannya. Jangan menurut semata-mata kerana disuruh. Jangan terima sesuatu hanya kerana sudah menjadi tradisi dan ikutan. Jangan terima bulat-bulat semata-mata kerana tercatat dalam kitab. Jangan terima sesuatu semata-mata kerana kita menghormati guru yang menyampaikan ajaran itu. [caption id="attachment_4637" align="alignleft" width="300"]Gautama tidak mahu para pengikut menerima bulat-bulat segala ajarannya. Gautama tidak mahu para pengikut menerima bulat-bulat segala ajarannya.[/caption] Malah, Gautama juga menggalakkan para pengikut mempersoalkan dan membahaskan apa-apa ajaran yang disampaikannya. Pada pendirian Gautama, ajarannya bukan wahyu daripada Tuhan, tetapi falsafah kehidupan. Maka, wajarlah dibahaskan supaya beroleh pemahaman dan penghayatan sebenar. Gautama juga mengingatkan bahawa segala dosa dan pahala dalam Hukum Karma adalah atas tanggungan sendiri. Hal ini berbeza sedikit dengan ajaran Hinduisme di mana terdapat beberapa kategori karma, iaitu prarabdha (tidak boleh diubah), sancita (boleh diubah), dan agami (menyumbang kepada prarabdha). Dalam ajaran Buddha, setiap orang bertanggungjawab atas diri sendiri sahaja. Maknanya, tidak timbul soal ibu bapa masuk neraka jika anak-anak tidak sembahyang. Tidak timbul soal ketua/pemimpin menanggung dan menghapuskan dosa bagi pihak para pengikut. Satu lagi perkara yang ditekankan oleh Gautama adalah mengenai hak sama antara lelaki dan wanita. Sebagaimana sami lelaki boleh menjadi bhikkhu, begitulah juga sami wanita boleh menjadi bhikkhuni. Tidak timbul soal hanya lelaki boleh mengetuai upacara sembahyang dan upacara keagamaan. Peluang, hak dan kedudukan sama adil dan sama rata antara lelaki dan wanita diutamakan dalam ajaran Buddha. Salah sebuah daripada lima epik agung Tamil (Aimperukapiyam) berjudul Manimegalai. Unsur femanisme dan hak wanita diangkat menerusi karya berkenaan. Turut diceritakan bagaimana golongan bhikkhuni diberikan kuasa autonomi dalam menggerakkan dan mentadbir sangha yang dikhaskan untuk mereka. Demikianlah antara keunikan ajaran Buddhisme yang mungkin kurang diketahui umum. Mungkin sahaja aliran ajaran Buddha yang menjadi ikutan setiap individu berbeza antara seorang dengan yang lain. Tidak mustahil apa-apa yang dihuraikan dalam makalah ini dianggap menyentuh sensitiviti. Bagaimanapun, seperti ditegaskan oleh Gautama sendiri, perbahasan dan dialog amat dialu-alukan bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan. unnamed

]]>

Veda sebagai asas Hinduisme

Mahabharata dan Ramayana mungkin memperlekehkannya sebagai mitos, legenda dan cerita rekaan semata-mata. Sebaliknya kelompok yang berfikiran waras, rasional dan intelek akan mampu memahami betapa epik-epik berkenaan sebenarnya menyajikan secara halus, tersirat dan menyeluruh segala ajaran Sanathana Dharma (Hinduisme). Misalnya, pada 18 Februari 2015, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengeluarkan kenyataan bahawa “masyarakat Melayu tidak berminat dengan falsafah Hindu.” Kenyataan itu sebagai reaksi kepada makalah saya bertajuk “Menyelongkar Rahsia Melayu Era Hindu” (The Malay Mail Online, 16 Februari 2015) yang berusaha mengangkat kehebatan Tamadun Melayu di Nusantara sejak sebelum kedatangan Islam. Dalam makalah itu, saya turut memetik kenyataan dari buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014) oleh Srikandi, Al-Semantani dan Ibnu Rusydi yang mengakui ketandusan intelek yang berlaku apabila “tamadun Melayu sering dikembarkan dengan Islam.” [caption id="attachment_4495" align="alignleft" width="300"]Contoh ayat dalam Veda yang mendoakan kesejahteraan umat manusia. Contoh ayat dalam Veda yang mendoakan kesejahteraan umat manusia.[/caption] ISMA membuktikan kejahilan dengan berkata, “masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam tidak pernah dibuktikan beriman dengan apa-apa falsafah teras agama Hindu dan Buddha. Falsafah Hindu dan Buddha tidak pernah diterima oleh orang Melayu.” Menurut ISMA, “Kitab Hindu dalam bahasa Melayu seperti Mahabharata dan Bharata Yuddha tidak menyorotkan perbincangan falsafah Hindu. Sebaliknya tumpuan diberikan kepada aspek mitos, epik dan keperwiraan.” Maka tidak hairanlah wujud puak kurang cerdik yang beranggapan Mahabharata dan Ramayana sekadar cerita dongeng yang tidak berasas. Mereka gagal memahami falsafah ajaran Sanathana Dharma yang teranyam kemas di dalamnya. Untuk lebih memahami perkara ini, kita wajar mengenali kitab-kitab Veda. ISMA dan puak-puak fanatik yang seangkatan dengannya tentu “tidak berminat dengan falsafah Hindu” serta tidak perlu ambil tahu hal-hal berkaitan ilmu, budi (Sanskrit) dan akal (Arab) yang dikongsikan di sini. Ditulis Manusia, Bersumberkan Tuhan Segala penerangan dalam makalah ini tidak ditujukan kepada puak berkenaan. Sebaliknya dikongsikan untuk manfaat masyarakat pelbagai kaum dan agama yang masih waras dan beriman serta sedia menerima fakta, sejarah dan hakikat dengan minda terbuka. Terdapat empat kitab Veda dalam Hinduisme iaitu Rigveda (mengandungi lebih 10,520 ayat), Yajurveda (sekitar 6,000 ayat), Samaveda (sekitar 1,875 ayat) dan Atharvaveda (sekitar 2,000 ayat). Terdapat beberapa ayat yang muncul secara berulang dalam kitab-kitab ini. Secara paling mudah, “veda” bermakna “ilmu” atau “pengetahuan”. Maka, secara paling mudah, segala ajaran dalam kitab-kitab Veda menjadi panduan ke arah kehidupan yang sihat, progresif, kondusif, menyeluruh, teratur, gembira, aman, bermanfaat dan beretika secara zahir dan batin. [caption id="attachment_4496" align="alignleft" width="300"]Epik, mitos dan purana tepu dengan ajaran Hinduisme. Epik, mitos dan purana tepu dengan ajaran Hinduisme.[/caption] Walaupun Sanathana Dharma tidak dimasukkan dalam kategori “agama langit” (agama-agama yang diwahyukan kepada nabi dan rasul), penganut Hindu sedar, tahu dan mengakui hakikat kesemua Veda bersumberkan Tuhan. Ilmu yang terkandung dalam Veda berciri abadi dan tidak akan lapuk ditelan zaman. Sebagaimana Sanathana Dharma bermakna “kebenaran yang abadi”, begitulah juga kitab-kitab Veda mengandungi serta mengangkat “kebenaran yang abadi” (eternal truth). Hinduisme turut dikenali sebagai Vaidika Dharma iaitu “agama menurut kitab-kitab Veda.” Mungkin timbul pertanyaan, siapakah penulis kitab-kitab Veda? Untuk memahami perkara ini, kita perlu menyedari hakikat bahawa konsep ajaran Hinduisme adalah “manusia mencari Tuhan” dan bukannya “Tuhan mengarah manusia”. Walaupun Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda ditulis, dicatat dan dirakamkan oleh golongan pendeta, sumbernya adalah Tuhan. Mungkin ada pihak yang cuba menyebarkan dakyah kononnya Veda direka oleh manusia. Dakyah seperti itu tidaklah menghairankan kerana Abu Sofeya dalam buku Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014) mengakui ada pihak cuba “membuktikan Al-Quran bukan datang daripada Allah tetapi ia adalah ciptaan Nabi Muhammad.” Kamaludin Endol dalam buku Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014) yakin wujud “campur tangan Iblis dan syaitan yang memperalatkan ahli-ahli agama purba bagi membuat rombakan di sana sini” pada Bible sehingga menyebabkan orang Kristian “berada dalam kesesatan yang nyata.” Empat Kategori Ajaran Kitab Veda Berbalik kepada Veda, segala maklumat yang terkandung di dalamnya bersifat universal dan datang daripada Tuhan serta ditujukan kepada semua manusia di seluruh dunia. Puak yang tidak memahami ajaran Hinduisme tentu sahaja akan bertanya “Tuhan mana satu dalam Hinduisme yang menyampaikan ajaran Veda?” [caption id="attachment_4494" align="alignleft" width="300"]Antara buku yang sesuai dijadikan bacaan tambahan. Antara buku yang sesuai dijadikan bacaan tambahan.[/caption] Misalnya Jaafar Siddiq dalam buku Jesus Adalah Muslim? (2013) cuba mengelirukan pembaca dengan menghuraikan kononnya konsep Trimurti bermakna wujud tiga Tuhan (Brahma, Vishnu dan Shiva) dalam Hinduisme. Dalam pada itu, lalakan dan lolongan mana-mana puak yang masih tidak menyedari hakikat Hinduisme sebagai agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia, eloklah diabaikan sahaja. Usah membazir masa melayan salakan mereka. Kitab Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda secara jelas, mudah dan nyata berulang kali menegaskan bahawa Tuhan Maha Esa (Tunggal). Tuhan dikenali dengan pelbagai nama seperti Mitra, Indra, Agni, Varuna, Divya, Aditya, Sukra, Prajapati, Sachchidananda, Mahaguru, Iswar, Surya, Paramatma, Savita dan Pranava. Selaras dengan konsep Eka Aneka (“satu tetapi beraneka”), Tuhan Yang Maha Esa menyampaikan ilmu “kebenaran yang abadi” menerusi kitab-kitab Veda demi manfaat umat manusia sepanjang zaman. Kandungan Veda boleh dibahagikan kepada empat kategori umum. Pertama adalah Vigyana iaitu ilmu falsafah dan metafizik untuk membimbing manusia mengenali Tuhan. Kedua, Karma yang mendidik manusia melakukan perkara-perkara baik bagi mendapatkan pulangan yang baik di dunia dan akhirat. Kategori ketiga adalah Upasna iaitu memuja Tuhan. Cara-cara untuk melakukannya diterangkan dalam kitab. Kesemua Veda menegaskan hakikat keesaan Tuhan. Keempat, Gyan iaitu ilmu mengenai alam semesta dan bagaimana melaluinya manusia boleh mengakui kuasa Tuhan. Epik dan Purana Bersumberkan Veda Kandungan Veda bukan ciptaan atau rekaan manusia; sebaliknya ilmu daripada Tuhan. Kitab-kitab ini bukan milik mana-mana kaum kerana ilmu yang terkandung di dalamnya ditujukan kepada seluruh umat manusia. Kitab Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda pada asalnya dirakam menggunakan bahasa Sanskrit. Lama kemudian, barulah diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain supaya lebih mudah difahami oleh penduduk di seluruh dunia; selaras dengan kedudukannya sebagai sumber ilmu bagi semua orang. Terdahulu, segala ajaran Dharma yang terkandung di dalam Veda mula disampaikan dalam versi yang lebih mudah oleh golongan pendeta menerusi kitab-kitab yang ditulis berasaskan ajaran Sanathana Dharma. Koleksi ajaran itu dinamakan Dharmasastra. Kemudian terhasil pula dharmasutra, smrti dan nibandha yang lebih mudah difahami tetapi tetap bersumberkan kitab-kitab Veda. Kisah-kisah purana dan epik seperti Mahabharata dan Ramayana meneruskan tradisi ini. Maknanya, epik-epik Hindu yang dituduh sebagai mitos dan cerita rekaan sebenarnya tetap bersumberkan Veda. Hal ini pernah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Dharma Sebagai Norma Masyarakat” (Free Malaysia Today, 7 Mei 2012) serta beberapa makalah yang terkandung di blog saya. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah segala kandungan Veda berkaitan falsafah, sains, kemanusiaan, ekonomi, politik, etika, moral, alam semesta, hak asasi dan sebagainya tahan diuji zaman. Tidak hairanlah keempat-empat Veda serta ajaran Sanathana Dharma turut dikenali sebagai “kebenaran yang abadi.” Salah sebuah buku yang wajar dibaca untuk memahami dan memperkasa diri dengan maklumat lebih mendalam mengenai kitab-kitab ini adalah Vedas: Divine Message of God to Mankind (2011). Sekurang-kurangnya generasi muda pelbagai kaum dan agama boleh bersedia dengan fakta dan ilmu untuk berhujah andai terpaksa berdepan dengan puak-puak yang menyebarkan dakyah dan penipuan bagi memperlekeh, menghina dan memutar-belit ajaran Sanathana Dharma. unnamed

]]>

Penulis Minoriti dan "Penyebaran" Agama Hindu

Indian Malaysia Kepelbagaian Budaya, Satu Bahasa Salah satu cabaran ke arah pembinaan Bangsa Malaysia bukan sahaja perpaduan tetapi juga mengamalkan integrasi, melalui pemupukan bibit-bibit persefahaman, saling memahami, menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan antara pelbagai kaum/etnik. Wahana yang paling mudah untuk memupuk nilai integrasi adalah melalui bahan bacaan, khususnya buku cerita yang ditulis pengarang pelbagai kaum/etnik/agama bagi menggambarkan kepelbagaian yang membentuk identiti Bangsa Malaysia. Saya berpegang kepada konsep “satu bahasa, pelbagai budaya” iaitu Bahasa Malaysia digunakan untuk menghasilkan karya sastera kebangsaan bagi menggambarkan budaya pelbagai kaum, etnik dan agama di negara ini. Usaha murni itu turut dilakukan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak 1999. Namun begitu, sejak hampir setahun lalu, kempen “anti-Kavyan” giat dilakukan dengan menyelitkan bibit-bibit perkauman dan ketegangan agama bagi menindas kelompok minoriti yang turut mewarnai peta sastera kebangsaan. Sekaligus menyukarkan usaha mencapai integrasi. Apabila novel Panchayat: Edisi Khas mahu diterbitkan pada Ogos 2012, sudah ada “kempen” menerusi ruang siber dan khabar angin menyeru khalayak Melayu-Islam memboikot novel saya dengan alasan ada gambar berhala pada kulit novel. Mujurlah masyarakat kita tidak jahil untuk mempercayai pembohongan seumpama itu. Dalam perkembangan terkini, karya saya dikatakan “ada unsur penyebaran agama Hindu” dan “salah dari segi Akta Penerbitan”. Alasan itu digunakan untuk menghalang cerpen terbaru saya daripada disiarkan di sebuah majalah berprestij tanah air. Tentu sahaja saya tidak marah atau kecewa semata-mata kerana karya saya tidak disiarkan. Sebaliknya, apa yang menjadi persoalan adalah alasan yang diberikan untuk mewajarkan manuskrip itu ditolak. Ternyata ada unsur penindasan.   Sebenarnya, sejak awal 2012, beberapa individu dilaporkan menghubungi editor di beberapa penerbitan dan “menghasut” supaya karya saya dan mana-mana ahli Kavyan tidak disiarkan. Alasan (fitnah) yang dikemukakan adalah bahawa kami “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Kerana Kavyan tampil menolong beberapa pengarang yang menjadi mangsa penipuan beberapa penerbit. Kerana Kavyan berjuang memartabatkan Bahasa Malaysia. Kerana Kavyan berani bersuara tanpa menjadi “pak turut” kepada mana-mana pihak; khususnya politikus. “Cerpen-cerpen Uthaya ada unsur penyebaran agama Hindu. Tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta Penerbitan. Suruhlah dia hantar ke surat khabar atau majalah India. … Cerpen dia agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. … Tak boleh disiar di majalah bahasa Melayu. Cerpen-cerpen dia menyebar agama Hindu secara halus kepada pembaca Melayu.” Demikian nada kempen terbaru yang dilakukan. Apa yang menarik, penolong editor sebuah majalah juga menyertai kempen “anti-Uthaya” dan mula “mengajar” ketua editor majalah berkenaan supaya memboikot karya-karya saya. Cerpen terbaru saya yang sudah diluluskan untuk terbitan oleh editor dan ketua editor, tiba-tiba ditolak oleh penolong editor itu menggunakan alasan tadi. Nama DBP “dijual” Malah, individu berkenaan juga ternyata berniat jahat apabila menggunakan nama bekas ketua Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Haji Ali. Kononnya, semasa Padilah menjadi ketua, DBP memboikot karya-karya saya dan tidak menyiarkannya di mana-mana majalah DBP. Maka, majalah di mana dia menjadi penolong editor juga, katanya, perlu memboikot karya-karya saya. Tentu sahaja fitnah itu bertujuan menjejaskan nama baik serta imej DBP dan Padilah.   Tambahan pula, tidak timbul langsung isu mana-mana karya saya diboikot oleh mana-mana majalah DBP. Terkini, karya saya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar (Jun 2012). Saya tidak menolak kemungkinan (ulang: kemungkinan) puak anti-Kavyan turut berusaha meracuni editor-editor di DBP. Bagaimanapun, tentulah DBP sebagai sebuah badan yang berwibawa, profesional dan beretika tidak akan terpengaruh dengan hasutan dan fitnah yang disebarkan oleh puak tidak bermaruah seperti itu. Berbalik kepada alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” yang cuba dipelopori individu/kumpulan anti-Uthaya, mereka pasti terkejut besar jika berpeluang membaca cerpen “Rudra Avatara” (Dewan Sastera, Januari 2005) dan “Cerita Paurnami” (Dewan Sastera, Mac 2006) misalnya. Tidak mustahil bahawa puak itu akan menuduh Rozninah Abd Azib, bekas editor Dewan Sastera sebagai agen kepada penyebaran agama Hindu menerusi cerpen-cerpen berkenaan. Tambahan pula, Dewan Sastera adalah majalah sastera paling berprestij di tanah air dan diterajui pula sejak dahulu oleh editor-editor yang berwibawa. Sewaktu saya berbual-bual dengan Padilah dan Rozninah di kafe DBP pada 16 Februari 2012, kami turut menyentuh mengenai dua cerpen di atas. Rozninah tidak melihatnya sebagai karya yang “ada unsur penyebaran agama Hindu”. Malah, walaupun sudah lebih enam tahun, beliau masih ingat kedua-dua cerpen itu kerana unsur kemanusiaan dan kekeluargaan yang disajikan. Tidak ada laporan mengatakan pembaca Melayu-Islam murtad selepas membaca cerpen-cerpen berkenaan. Sebagai individu yang menulis secara profesional sejak 1992, tentulah saya tahu apa yang boleh ditulis dan apa yang perlu dielakkan dalam cerpen. Tentulah saya tahu perihal Akta Penerbitan DBP, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan, etika penulisan dan sensitiviti kaum/agama apabila mengirim karya untuk disiarkan. Paparan Budaya Kaum India Semasa mengirim manuskrip cerpen terbabit yang diluluskan ketua editor dan editor tetapi kemudian ditolak penolong editor sebuah majalah, saya nyatakan begini pada e-mel: “Karya ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya cerpen ini menggabungkan unsur budaya, keluarga, mitos dan pengajaran yang disajikan secara tersirat menggunakan teknik “cadangan”. Gaya bahasa yang digunakan adalah bahasa mudah, sesuai dengan sudut penceritaan watak seorang kanak-kanak.” Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa jumlah penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia tidak ramai. Maka, sebagai kelompok “minoriti”, pasti sahaja banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilalui. Apatah lagi apabila terpaksa berdepan dengan puak anti-Kavyan yang berusaha bersungguh-sungguh mempengaruhi para editor akhbar dan majalah supaya memboikot apa-apa tulisan yang dikirim pengarang kaum India.       Malah, saya difahamkan bahawa pada Jun 2012, seorang penulis terkenal dan disegani memberi “peringatan” kepada sekumpulan editor di sebuah penerbitan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan karya daripada penulis kaum India – kecuali Raja Rajeswari Seetha Raman – kerana pasti ada cubaan menyebarkan ajaran agama Hindu menerusi karya yang dikirim. Sekadar makluman, Raja Rajeswari adalah penulis kaum India yang selesa menulis puisi bertema Melayu-Islam. Maka, walaupun beliau masih “minoriti” (penulis kaum India) tetapi beliau adalah “minoriti terpilih” kerana tidak pernah disyaki atau dituduh cuba menyebarkan agama Hindu menerusi puisi-puisi Islamik yang dihasilkannya. Akan tetapi, para pengarang lain (minoriti) tidak cukup bertuah seperti beliau untuk diberikan layanan istimewa. Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam cerpen-cerpen saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup kaum India. Sebenarnya, saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Demikian saya nyatakan pada bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (DBP: 1996). Demikian juga saya sering tegaskan kepada peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Nasihat yang sama juga saya berikan kepada peserta Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran DBP pada 19 Mei 2012. Penindasan Secara Halus Mungkin sahaja akan ada pihak yang tampil mengatakan bahawa isu sebuah manuskrip cerpen saya ditolak adalah isu terpencil dan tidak wajar diperbesar-besarkan. Akan tetapi, bagi saya, isu sebenar bukanlah soal cerpen itu tidak disiarkan – kerana saya boleh sahaja menyiarkannya di tempat lain; malah mendapat bayaran yang lebih. Isu yang lebih besar di sini adalah “penindasan secara halus” yang dilakukan secara terancang oleh pihak tertentu terhadap penulis pelbagai kaum yang menulis mengenai kaum, budaya, adat, kepercayaan, agama dan cara hidup selain daripada acuan Melayu-Islam. Dalam pada kita lantang berkokok “meraikan kepelbagaian”, apa yang sebenarnya berlaku adalah penindasan secara terancang terhadap golongan penulis minoriti yang berusaha “menyajikan kepelbagaian” yang dilaung-laungkan itu. Label paling mudah adalah “cuba menyebarkan agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh” bagi menghalang hasil karya itu daripada disiarkan untuk bacaan umum. Kononnya boleh menggugat akidah penduduk beragama Islam di Malaysia. Begitu rapuhkah keimanan dan akidah penganut agama Islam di negara bertuah ini? Apa yang diperkatakan di sini bukan semata-mata soal kebebasan bersuara. Sebaliknya adalah mengenai tanggungjawab penulis membuka ruang ke arah pembinaan Bangsa Malaysia dengan menampilkan kepelbagaian budaya, adat-resam, kepercayaan dan agama untuk dinikmati pembaca. Semuanya musnah apabila dicantas pihak editorial yang terlalu rapuh keimanan dan terlalu tebal perasaan perkauman dalam diri. Mungkinkah akan tiba pula masanya ada pihak mencadangkan agar semua manuskrip karya yang dihasilkan pengarang “Bukan Melayu-Islam” wajib diserahkan kepada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dinilai dan diluluskan? Bukan kerana unsur Islamik yang mungkin ditampilkan tetapi kerana bimbang “ada unsur penyebaran agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh”. Mungkin akan disarankan juga supaya karya-karya pengarang kaum India diserahkan oleh penerbit kepada peguam dan pakar undang-undang kerana bimbang kisah mengenai budaya, adat dan cara hidup watak kaum India itu “salah dari segi Akta Penerbitan” dan boleh mengancam keamanan negara. Pada waktu itu nanti, juak-juak anti-Kavyan serta penolong editor yang menolak cerpen saya dengan fitnah “ada unsur penyebaran agama Hindu” pasti akan tersenyum girang sambil menerima habuan yang dijanjikan pihak tertentu. Dan di pentas yang lain pula, pemerintah akan berkempen secara besar-besaran menggalakkan penulis pelbagai kaum menghasilkan karya Bahasa Malaysia untuk menggambarkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara bertuah ini demi mencapai integrasi yang diimpikan bersama. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 29 September 2012]

]]>

Manipulasi Fakta dalam Buku Teks Sejarah

Sejarah Tingkatan 1 Sejarah Pada Anak-anak Kita Ada masa fakta dimanipulasi untuk menyampaikan propaganda, agenda dan dakyah yang membawa kemusnahan kepada perpaduan kaum yang dipupuk sejak dahulu. Demikianlah juga hal yang dapat diperhatikan dalam isu fakta mengenai kedatangan Portugis seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan 1 di seluruh negara menerusi buku teks Sejarah. Baru-baru ini, beberapa ibu bapa beragama Kristian meluahkan rasa kurang selesa apabila anak-anak pulang dari sekolah dan bertanya tentang gambaran negatif mengenai orang Kristian dalam buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila meneliti kandungan yang dimaksudkan, saya sendiri berasa hairan kerana “fakta” yang dipelajari di sekolah pada tahun 1960-an dan 1970-an tidak sama dengan “fakta” yang disogokkan sekarang. “Kedatangan orang Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib. Mereka ingin menghancurkan kerajaan Islam yang ada di Timur termasuk kerajaan Melaka yang merupakan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam. Pada masa yang sama, Portugis mahu menyebarkan agama Kristian.” Demikian dipaparkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 yang ditulis oleh Ahmad Fawzi Mohd Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man; serta disunting oleh Wan Norliani Wan Jusoh dan Nazri Mohamad Don. Edisi yang saya baca adalah terbitan 2009 dan dimaklumkan bahawa terbitan 2014 juga sama kandungannya. Saya memaparkan foto halaman buku berkenaan di Facebook pada 30 Jun 2015 untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang pernah belajar Sejarah di sekolah dahulu. Dalam masa beberapa hari sahaja, paparan itu dikongsi lebih 1,660 orang dari seluruh negara. Masing-masing hairan dengan “fakta” yang dipaparkan sebagai tujuan utama Portugis datang ke Timur. “Apa yang sedang berlaku di negara ini? Sejarah yang saya belajar menyatakan Portugis datang ke Timur untuk rempah-ratus,” komen Kalidas Muniandy. Nagathisen Katahenggam menambah: “Tujuan utama kedatangan Portugis untuk penguasai perdagangan dan meluaskan kuasa.” Manakala Aiza Zizan merujuk kepada konsep Gospel, Gold, Glory (Keagamaan, Kekayaan, Kemegahan) yang memotivasi pelayaran orang Portugis dahulu. Turut melahirkan rasa hairan ialah Hendry Rao yang tertanya-tanya bagaimana konsep 3G yang menjadi asas kedatangan Portugis bertukar menjadi “agenda Kristianisasi” semata-mata. [caption id="attachment_4919" align="aligncenter" width="501"]Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian. Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian.[/caption] Pelbagai Pihak Tampil Luah Rasa Hairan dan Kecewa Prabha Rajoo mengimbas apa yang pernah dipelajari sejak sekolah rendah pada 1980-an dan berkata, “Sejarah yang saya belajar menyatakan orang Portugis datang ke Melaka untuk mendapatkan monopoli perdagangan rempah.” Memanglah ada pihak yang tampil berhujah, Portugis turut menyebarkan ajaran Kristian di Timur. Akan tetapi, entah mengapa aspek itu yang diangkat dan dijadikan tujuan utama dalam buku teks sekolah. “Hanya di Malaysia, sejarah boleh diolah, ditukar dan dimanipulasi sesuka hati,” kata Vicknes Loganathan bagi meluahkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku. “Setahu saya, orang Portugis tiba di Melaka untuk memecahkan aliran perdagangan antara China dan Arab. Ini berkaitan aliran perdagangan rempah-ratus yang dibawa ke Venice,” Jayaprakash Jayachandran menghuraikan. S. Annadurai menasihatkan pihak terbabit (KPM) supaya tidak mempolitikkan fakta sejarah demi agenda peribadi. Alexandar Alex menambah, “Sekiranya tindakan mengubah sejarah berterusan, ia tidak boleh digelar sejarah tetapi harus diberi gelaran mitos.” Gopal Subramaniam yang turut memberikan komen menjelaskan hakikat Portugis menawan Melaka pada 1511: “Penjajahan kuasa Barat hanya tamat pada 1957. Selama 446 tahun Tanah Melayu berada di bawah penjajah. Apakan ada bukti sekurang-kurangnya seorang Muslim masuk agama Kristian sepanjang tempoh itu?” Paparan yang dibuat di Facebook turut mendapat perhatian wartawan Malay Mail Online. Apabila dihubungi untuk mendapatkan maklumat, saya meluahkan rasa kecewa kerana Perang Salib dijadikan alasan utama dalam buku teks Sejarah berbanding tujuan sebenar, iaitu perdagangan dan peluasan kuasa. Natijahnya, pelajar (remaja) pelbagai kaum dan agama akan mendapat gambaran tidak tepat mengenai orang Kristian (Portugis). Hal ini saya alami sendiri apabila beberapa pelajar Tingkatan 1 bertanya, apakah orang Kristian jahat kerana menawan Melaka untuk memaksa orang Islam memeluk ajaran Kristian. Selepas isu ini diketengahkan menerusi laporan di Malay Mail Online pada 5 Julai 2015, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Sivachandralingam Sundara Raja tampil mengakui kesilapan dalam buku teks berkenaan. “Portugis datang ke Timur untuk mendapatkan rempah-ratus. Mereka datang untuk berdagang; bukan untuk menjajah dan mengambil alih seluruh negara; serta bukan sesekali untuk meneruskan Perang Salib,” katanya (Malay Mail Online, 5 Julai 2015). Dua hari kemudian, penulis buku sejarah yang amat disegani, Ranjit Singh Malhi, dipetik sebagai berkata, hakikat keinginan Portugis meneruskan Perang Salib di Timur memang ada dinyatakan dalam buku teks Sejarah pada tahun 1960-an. [caption id="attachment_4921" align="aligncenter" width="491"]Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta. Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta.[/caption] Agenda Terancang Kuasawan dan Pemerintah “Tujuan utama kedatangan Portugis ke Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Sebab utama Portugis menawan Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah,” kata Ranjit sambil mengaku penjajah turut berusaha menyebarkan ajaran Kristian (Malay Mail Online, 7 Julai 2015). Untuk rekod, pada tahun 2010, Ranjit dan seorang lagi pakar sejarah, Ng How Kuen, tampil mendedahkan penipuan, manipulasi dan kesalahan fakta yang disumbat ke dalam buku teks Sejarah bagi tujuan politik pihak pemerintah. Akhbar The Sun (13 Disember 2010) melaporkan kenyataan Ranjit yang menyelar kandungan buku teks Sejarah terbitan 1996 bagi pelajar Tingkatan 1. Contohnya, dinyatakan kononnya beberapa pedagang India meminjamkan kapal mereka kepada Portugis yang mahu menyerang dan menawan Melaka. Pada 26 Mei 2015, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai laporan terdapat 80 kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah bagi murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). [caption id="attachment_4920" align="aligncenter" width="504"]Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara. Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara.[/caption] Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan mengesahkan KPM sudah mengarahkan buku teks berkenaan dicetak semula selepas 9 kesalahan fakta dibetulkan. Maknanya, manipulasi fakta sejarah yang disajikan kepada generasi muda menerusi buku teks Sejarah bukan sesuatu yang baru. Seperti dikatakan oleh Ng How Kuen, golongan guru yang menulis buku teks Sejarah ketara mengubah fakta sejarah mengikut telunjuk parti pemerintah. Kerajaan yang ada sekarang sudah pun berusaha keras menggunakan Biro Tatanegara (BTN) untuk menanam kebencian orang Melayu dan orang Islam terhadap orang Bukan Melayu dan orang Bukan Islam yang dilabel sebagai “pendatang”. Saya percaya segala manipulasi fakta yang dilakukan dalam buku teks sekolah tidak akan dibetulkan. Sebaliknya akan dibiarkan dengan pelbagai alasan licik, demi meneruskan agenda perkauman yang sudah dirancang penuh teliti. Manipulasi fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 seperti yang didedahkan ini tentulah bukan kesilapan yang tidak disengajakan. Sebaliknya, tentu sahaja salah satu daripada ribuan usaha bagi memberikan gambaran negatif mengenai orang Bukan Melayu di Malaysia. Kononnya orang Kristian meneruskan Perang Salib dan agenda Kristianisasi; sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 merupakan salah satu contoh amat nyata. Malangnya, golongan minoriti di negara bertuah ini tidak ada ruang untuk bersuara apabila terus ditekan, dihina, diperlekeh dan dizalimi golongan majoriti yang menguasai bidang politik dan pendidikan.

]]>