Kesihatan Mental 101 – Stigma, kemurungan dan tekanan masyarakat

Kesihatan mental mempunyai tahap-tahapnya yang tersendiri. Ia mempunyai perkembangan yang dapat kita kenali sejak dari awal lagi. Tetapi seringkali wujudnya permasalahan dari segi budaya, stigma dan juga tekanan masyarakat. Kesihatan mental adalah sesuatu yang masih lagi belum diperbualkan secara meluas. Malah ianya dianggap sebagai sesuatu yang tidak sesuai dan jarang dikaitkan dengan hal yang menyeluruh, iaitu hubungan kita sesama manusia dan bagaimana ianya mempengaruhi kesihatan mental seseorang.

Laman web Berita Harian pada 28hb September 2016, menyatakan kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental. Menteri Kesihatan, Dr. S Subramaniam berkata ianya berpunca daripada beberapa faktor, antaranya masalah kewangan, pengangguran, tekanan kerja dan masalah keluarga seperti perceraian. Beliau sendiri menyatakan, “Masalah mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun kajian menunjukkan paling tinggi membabitkan golongan berpendapatan rendah dan kelompok berumur 16 hingga 19 tahun.”

“Di Scotland, Akta Kesihatan Mental yang baru telah dibina atas prinsip-prinsip dan langkah-langkah yang berkenaan dan sesuai dengan pekerja sosial dan kebajikan, golongan kelas pekerja, dan lain-lain. Ia akan menggalakkan penglibatan mereka dalam menentukan rawatan mereka masing-masing dan mengukuhkan lagi segala sokongan untuk mereka membuat keputusan,” kata Cik Maureen Watt, Menteri Kesihatan Mental yang pertama di UK.

Kerajaan Scotland mahu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mengetahui hak-hak mereka dan mempunyai autonomi dan kebebasan penuh untuk membuat keputusan tentang penjagaan kesihatan mereka sendiri.

Bermula dengan perbincangan dan isu seperti inilah kami mulai merasakan bahawa ianya merupakan sesuatu hal yang penting bagi pihak awam untuk membincangkan dan memahaminya. Ianya juga merupakan sesuatu yang signifikan bagi masyarakat secara umum mengetahui ciri-ciri yang boleh dikesan agar setiap masyarakat mengenal pasti masalah dan berjaya mengelakkan daripada ianya menjadi lebih teruk.

Forum kami yang diberi tajuk Kesihatan Mental 101 diadakan di MCCHR Pusat Rakyat pada 16hb November yang lepas. Forum ini bermula dengan penjelasan Puan Nurhijjah tentang tanggungjawab pihak Persatuan Kesihatan Mental Malaysia dan bagaimana prosedur dijalankan. Kemudiannya beliau meneruskan tentang beberapa masalah yang timbul berhubungan dengan kualiti penjagaan klien kesihatan mental. Forum ini kemudiannya disambung kepada sesi kedua, iaitu mengenai penceritaan pengalaman oleh saudari Vishalatchi, individu yang terselamat daripada skizofrenia.

2016-11-16-20-07-17

Puan Nurhijjah menghuraikan secara umum bagaimana stigma di kalangan masyarakat adalah salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kesukaran untuk meyakinkan para pesakit ataupun klien tentang keperluan usaha dua hala, iaitu pihak klien dan persatuan untuk mengurangkan tahap kesakitan mental yang dihadapi oleh mereka. Ini dimulakan dengan penekanan empati terhadap klien-klien dan memahami asal-usul mereka. Kebanyakan di antara para pesakit mental bermula dengan penafian bahawa mereka menghadapi masalah dan tahap ini perlu dijangkaui agar mereka mengenal pasti cabaran yang perlu di atasi oleh mereka sendiri.

Salah satu faktor yang menguatkan lagi keteguhan mereka di dalam menafikan wujudnya masalah kesihatan mental adalah stigma yang masih berleluasa di kalangan masyarakat. Masalah kesihatan mental adalah sesuatu yang boleh dikenal pasti, sama ada ianya bermula dari waktu kecil ataupun bermula dari trauma yang berlaku di dalam kehidupan. Masalah psikologi adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar dan ianya memerlukan suatu bentuk sokongan samada melalui hubungan kekeluargaan ataupun institusi secara konsisten. Jadi sebetulnya kesemua pihak sebaiknya mengakui akan kewujudan masalah kesihatan mental sebagai sesuatu yang serius dan tidak perlu menolaknya sebagai sesuatu yang remeh dan tidak penting.

 

Walaubagaimanapun, forum yang berlangsung semalam lebih memberi fokus kepada penyakit yang menghadapi masalah skizofrenia. Puan Nurhijjah turut menerangkan salah satu faktor utama kepada masalah skizofrenia adalah kemurungan dan juga gangguan seksual yang seringkali di alami oleh para pesakit skizofrenia. Ini adalah sesuatu hal yang jarang dibincangkan kerana kesemuanya ini, dari hal masalah kesihatan mental sehinggalah ke pengalaman gangguan seksual adalah sesuatu yang masih dikirakan sebagai stigma. Jika ianya mulai diperbualkan secara luas, maka secara tidak langsung segala masalah yang berhubung kaitan dengan skizofrenia ini sendiri dapat difahami secara menyeluruh dan segala punca utama dapat dikenal pasti dan sebaiknya mampu diatasi.

Suatu hal yang menarik disebut oleh beliau adalah mengenai kekuatan hobi sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan seseorang daripada terus jatuh bergelumang di dalam lautan skizofrenia. Hobi memerlukan suatu usaha yang konsisten dan jika kita mengambil seni sebagai contoh, segala keresahan ataupun masalah kehidupan yang pernah dilalui dapat disalurkan melalui pelbagai bentuk dan medium seni. Ianya bukanlah dapat dikatakan sebagai jalan utama untuk menyelesaikan masalah kesihatan mental tetapi sedikit sebanyak medium seni dapat digunakan untuk mengelak daripada tahap skizofrenia ataupun apa-apa jenis masalah kesihatan mental menjadi lebih teruk.

2016-11-16-21-00-09Kemudiannya forum beralih fokus kepada saudari Vishalatchi selaku individu yang terselamat daripada skizofrenia. Beliau menceritakan titik permulaan sewaktu mula mengalami skizofrenia. Dari tahap penafian sehinggalah ke tahap di mana beliau menguatkan diri secara konsisten untuk menolong dan membantu para penghidap skizofrenia yang lain tentang bagaimana ianya dapat diatasi agar kesemuanya mampu berfungsi dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Langsung beberapa persoalan yang timbul tentang bagaimana ianya dapat diatasi jika keadaan yang berbeza berlaku pada individu yang lain.

Yang jelas dapat difahami adalah keperluan untuk mengenal pasti skizofrenia sebagai sesuatu yang jelas bagi setiap individu, terus berusaha untuk bersama-sama rakan-rakan dan keluarga yang lain dan juga berani untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Dan ini kesemuanya perlu berkait rapat dengan usaha institusi dan juga kerajaan untuk terus memastikan bahawa hal ini mampu dibincangkan secara meluas. Malah ianya juga penting bagi para ahli psikologi untuk menolong mereka secara tulus dan ikhlas dan bukannya melihat bidang ini sebagai salah satu saluran untuk meningkatkan kualiti kerjaya semata-mata.

2016-11-16-21-24-00

Pada penghujung forum, kesemua pihak mulai berbincang tentang hal-hal yang berkait rapat dengan keadaan kesihatan mental di Malaysia. Ada yang menyatakan bahawa masalah ini semakin merebak di kalangan anak muda dan ada juga inisiatif yang dimulakan oleh beberapa kumpulan seperti MINDA yang merasakan bahawa masalah kesihatan mental masih belum dibincangkan secara normal. Kesemua inisiatif seperti ini adalah permulaan bagi pihak kami untuk mengembangkan lagi tahap perbincangan yang telah ada. Kami, pihak Projek Dialog berharap agar persoalan kesihatan mental bakal ditingkatkan dan segala tabu yang berkaitan dengannya mampu dikurangkan. Ini dilihat sebagai sesuatu hal yang signifikan agar masalah yang benar-benar mempengaruhi tahap kesihatan mental dapat dikesan dan diatasi secara konkrit.