Pekerja Migran: Golongan pekerja yang paling kuat ditindas

2016-10-31-20-37-10

31hb Oktober yang lepas, Projek Dialog mengadakan forum yang diberi tajuk ‘Pekerja Migran: Apa yang ada perlu tahu?’ di MCCHR Pusat Rakyat. Forum yang bermula lebih kurang pukul 8.30 malam ini adalah salah satu usaha bagi pihak kami untuk bekerjasama dengan Kesatuan dan Komuniti Pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja migran dari Indonesia, Filipina dan juga Kemboja.

Benar, mungkin ada yang sedikit skeptikal mengenai usaha seperti ini, malah ada saja yang memikirkan bahawa pendekatan seperti ini tetap tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka. Tetapi di sini kami dengan yakin menyatakan bahawa tujuan yang telah dilaksanakan oleh kami hanya berteraskan matlamat untuk meningkatkan pemahaman anak-anak muda di negara kita tentang keadaan para pekerja migran.

Dari sudut pandang pekerja migran sendiri, mereka dapat menyatakan masalah yang membelenggu mereka secara harian yang semestinya bercanggah ataupun berbeza dengan sudut pandang para majikan ataupun agensi-agensi yang bertanggungjawab membawa mereka masuk sebagai buruh murah.

2016-10-31-20-22-49

Forum yang berlangsung pada malam semalam bermula dengan saudara Adrian Pereira, selaku pengarah eksekutif North-South Initiative. Adrian mula menerangkan mengenai perkembangan perubahan polisi negara yang berkaitan dengan kemasukan pekerja migran. Pada akhirnya dia memberi kesimpulan bahawa realitinya negara kita berteraskan polisi buruh murah dan pada masa yang sama para pekerja migran dilihat sebagai sumber komoditi yang mampu menjana untung bagi mereka semua. Ini secara jelasnya ternampak apabila keadaan mereka seringkali di dalam keadaan yang teruk dan juga produktiviti mereka di dalam perkembangan pembangunan negara kita sendiri.

Kemudian forum diteruskan dengan Puan Nasrikah dari Komunitas Serantau menerangkan tentang jumlah kemasukan pekerja Indonesia. Masalah-masalah yang dominan hampir sama berlaku dikalangan kesemua pekerja migran. Hampir semua pekerja migran dari kesemua industri, dipaksa bekerja lebih masa, tidak mempunyai peluang kepada kelebihan kesihatan yang bagus, kes penipuan daripada pihak majikan dan juga oleh agensi yang terlibat.

2016-10-31-20-47-18

Kesemuanya ini mengakibatkan para pekerja migran mengalami masalah kesihatan yang melampau. Malah, ada sahaja kes kematian yang berlaku secara harian dan ini adalah realiti yang tidak dapat kita rasakan. Baru-baru sahaja saudari Nasrikah menunjukkan satu insiden di mana seorang pekerja Indonesia yang jatuh daripada tingkat 10 sewaktu bekerja tetapi tiada laporan langsung melalui mana-mana media.

Kini Komunitas Serantau sedang aktif untuk membimbing para pekerja migran untuk mulai menulis secara jurnalistik agar kesusahan yang dihadapi mereka mampu dikongsikan dan disebarkan di kalangan pekerja migran dari Indonesia. Buletin yang diberi nama Buletin Serantau merupakan salah satu inisiatif yang penting sebagai titik permulaan bagi para pekerja untuk mulai berorganisasi dan berbincang tentang masalah struktural yang dihadapi mereka.

Kemungkinan besar buletin yang dimulakan oleh pihak Komunitas Serantau turut mampu digunakan oleh para pekerja migran yang lain dan di dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Dengan ini kemudiannya mereka dapat bekerjasama di antara mereka dan memahami bahawa masalah yang dihadapi oleh mereka adalah masalah struktural yang menjangkaui negara dan lebih kepada kerjasama kerajaan, agensi dan majikan yang secara terang-terangan memihak kepada motif keuntungan dan menindas para pekerja.

Kemudiannya tiba giliran Puan Luela A Mirafuentes dari Filipino Domestic Workers Trade Union berkongsi pengalaman beliau melalui peranan organisasinya membela hak-hak pekerja migran. Bayangkan, kedutaan Filipina sendiri tidak mengenal pasti Kesatuan Pekerja bagi pekerja dari Filipina.

Seperti hal yang sama untuk semua pekerja migran, mereka langsung tidak dibenarkan untuk menubuhkan Kesatuan Pekerja. Ini menjadikan mereka tidak tentu hala apabila kejadian penindasan berlaku dan bingung sama ada agensi ataupun syarikat mereka mampu atau tidak untuk menolong mereka. Pengalaman mengajar mereka tentang ketidakadilan yang berlaku di agensi, kerajaan dan juga pihak kedutaan mereka sendiri. Luela juga menegaskan tentang kejadian rasuah yang berleluasa di antara pihak penguasa yang terlibat.

Luela sendiri menyatakan kesedihannya apabila para pekerja migran di dalam bahagian domestik di panggil sebagai ‘domestic servant’ dan bukannya ‘domestik worker’. Stigma yang wujud terhadap para pekerja migran juga meningkatkan skeptisisme di kalangan mereka. Ini melemahkan lagi semangat mereka untuk berorganisasi secara kolektif.

2016-10-31-20-21-33

Forum kemudian diteruskan dengan perkongsian cerita oleh saudara Kao Poeun dari Independent Democratic of Informal Economic Association. Beliau menerangkan secara spesifik tentang penindasan yang berlaku di salah satu kilang di Malaysia. Kebanyakan para pekerja migran dikunci almarinya dan dihalang untuk keluar daripada hostel mereka. Lebih teruk lagi, kehidupan mereka disini dengan keadaan tempat tidur dan mandi yang benar-benar tidak sesuai untuk terus melakukan kerja. Ianya merupakan masalah yang terus menerus, bermula dari tempat tinggal sehinggalah ke tempat kerja. Kesemuanya mempunyai hubung kaitan yang jelas.

Pada akhirnya, para audiens mulai berdialog dengan wakil-wakil pekerja migran. Ann yang juga terlibat dengan North South Initiative menyatakan bahawa nisbah pekerja kerajaan yang diarah untuk memantau keadaan para pekerja migran amatlah sedikit jika ingin dibandingkan dengan agensi ataupun syarikat-syarikat yang wujud di Malaysia. Ini menjadikan setiap kes penindasan yang berlaku akan mengambil masa yang benar-benar lama dan memakai jumlah kos yang tinggi.

Pihak Projek Dialog berharap agar isu-isu dominan seperti hak untuk menubuhkan Kesatuan Pekerja, penyelarasan gaji minimum, hak-hak asas seperti SOCSO dan EPF, dan juga membatalkan polisi ‘buruh murah’ dapat diselesaikan melalui organisasi dan kerjasama di kalangan para pekerja migran sendiri. Dan ini dengan harapan agar proses untuk perlaksanaan ini tidak akan berhenti dan semoga pada akhirnya, kesemua pekerja secara asasnya dibela secara adil, baik pekerja Malaysia ataupun pekerja migran itu sendiri.

Forum ini memaparkan suara, cerita duka dan pengalaman pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Filipina dan Kemboja – Nasrikah, Luela, dan Kao Poeun. Walaupun Adrian memberi gambaran situasi pekerja migran yang sangat mendalam dan kritis, ia masih penting untuk kita memberi ruang kepada pekerja migran dan mendengar perkara-perkara dari perspektif pekerja migran. Forum ini lebih bermakna disebabkan oleh pandangan pekerja migran yang segar dan tidak ditapis, dan tidak lupa juga soalan-soalan penting yang dibangkitkan oleh para hadirin. Pertukaran pendapat yang berlangsung sewaktu forum ini telah berkembang menjadi kaya dalam magnitud dan impaknya.