Reviu: Diaspora India di Malaysia

 

Persoalan mengenai identiti menjadi begitu beragam, terkait dengan pelbagai faktor. Ini secara tidak langsung menjadikannya sebagai sebuah persoalan yang begitu kompleks yang jarang dibincangkan melalui perbincangan verbal di antara sesama sendiri, kerana ianya merupakan suatu hal yang tidak berkunjung sudah.

Walaupun begitu, identiti masih menjadi persoalan yang penting pada zaman moden ini. Kerana sebahagian besar di antara kita menjalani kehidupan tersendiri berdasarkan premis identiti; ianya mempengaruhi cara kita berfikir dan cara kita memahami kehidupan itu sendiri. Dengan itu, pihak kami merasakan persoalan ini adalah relevan untuk konteks negara pasca kolonial seperti Malaysia.

Secara umumnya, setiap kaum di negara terbentuk secara sosial dan juga politik. Kaum India mempunyai sub-etnik yang pelbagai dan begitu juga dengan kaum lain. Untuk artikel ini kami akan membicarakan secara santai, apakah perbualan yang telah diutarakan sewaktu berlangsungnya forum yang diberi tajuk ‘Diaspora India di Malaysia’.

Persoalan identiti menjadi penting apabila satu sub-etnik menjadi dominan di dalam budaya, politik dan hal-hal lain yang bersangkutan. Pendidikan yang telah kita lalui selama ini juga turut mempengaruhi identiti kita, seperti mana kewujudan sekolah vernakular di sini didominasi oleh satu sub-etnik dan mengetepikan sub etnik yang lain. Oleh itu, forum yang berlangsung pada 29hb Mac lepas dibahagikan kepada dua: pertama membincangkan bab sejarah dan keduanya membincangkan keadaan kaum India kontemporari di Malaysia dan bagaimana ianya berkait rapat dengan segala aspek kehidupan kita.

Pihak Projek Dialog berasa teruja kerana disertai oleh dua panelis yang aktif dalam menyuarakan persoalan seperti ini iaitu Puan Charanjit Kaur, dari Universiti Tunku Abdul Rahman yang fokus kepada pengajian antropologi sosial dan juga saudara Uthaya Sankar SB, seorang penulis yang fokus kepada persoalan kaum India dan juga agama Hindu di Malaysia.

Forum dimulakan dengan penerangan kedatangan kaum India di rantau ini. Saudara Uthaya menjelaskan bahawa kedatangan kaum India ke Malaya bukan hanya apabila dibawa oleh pihak British tetapi telah terbukti melalui pelbagai catatan yang klasik sewaktu era pemerintahan Asoka, Rajendara Chola, Palleva serta empayar Srivijaya.

Turut juga terdapat individu yang diberi nama Mudaliar dan Tun Mutahir di dalam teks Sejarah Melayu yang merupakan India Muslim dan memainkan peranan penting dalam Kesultanan Melayu Melaka. Tidak lupa juga kepada orang Chetti di Kampung Chetti, Melaka yang berasal daripada pedagang dari Kanchipuram, India yang berkahwin dengan wanita Melayu (Hindu) tempatan. Bukti-bukti yang dinyatakan Uthaya adalah salah satu contoh yang membuktikan sejarah kewujudan kaum India yang telah berlangsung selama beratus-ratus tahun di rantau ini.

Uthaya Sankar SB, selaku salah satu panelis menerangkan mengenai sejarah penghjirahan orang India di rantau ini.

Kemudian diteruskan dengan kedatangan beberapa sub etnik yang lain dan dibahagikan kepada pembahagian kerja yang berlainan seperti Tamil dan Telegu yang bekerja di ladang, Punjabi selaku tentera dan polis dan juga Malayali dan Ceylon yang bekerja sebagai mandur landang, pembantu perubatan dan juga kerani. Ini berlaku atas prospek peluang ekonomi yang wujud di rantau ini. Penerangan saudara Uthaya menunjukkan bahawa kedatangan kaum India yang terdiri daripada pelbagai etnik mempunyai pelbagai jenis sebab dan faktor; dan dominasi budaya Tamil yang dikirakan sebagai majoriti di sini telah menenggelami naratif sub etnik yang lain. Meskipun begitu, bukan tujuan kami untuk menuduh sub etnik Tamil tetapi hanya menunjukkan naratif sejarah, dengan harapan agar beberapa naratif dapat difahami secara kritikal.

Kemudian tiba giliran saudari Charanjit Kaur yang lebih memberi fokus kepada sejarah kedatangan kaum Punjabi di sini. Tarikh sebenar sejarah kedatangan orang Sikh ke Malaysia masih tidak dapat dipastikan secara tepat. Tetapi terdapat kepercayaan umum yang menyatakan bahawa terdapat dua orang Sikh yang mula–mula menjejakkan kaki ke negara ini, iaitu Nihal Singh dan Kharak Singh yang merupakan banduan politik. Negeri–negeri Selat yang dijadikan ‘dumping ground’ banduan–banduan Sikh yang lain untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh hingga dua puluh lima tahun.

Secara umumnya, orang Sikh berhijrah ke luar negara adalah untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Selain itu, penaklukan British ke atas Punjab ekoran kemangkatan Maharaja Punjab, iaitu Maharaja Ranjit Singh (1799–1839) menyebabkan orang–orang Sikh berhijrah beramai–ramai meninggalkan Punjab. Punjab telah tewas kepada pihak British dalam Perang Sikh Pertama (1846) dan Perang Sikh Kedua (1849). Perjanjian damai Lahore yang ditandatangani menyebabkan separuh daripada kerajaan Punjab diserahkan kepada British.

Puan Charanjit Kaur menerangkan mengenai asal usul penghijrahan Punjab.

Kemudian dia menerangkan mengenai dua faktor yang menjadi tarikan penghijrahan orang Punjab ke rantau ini iaitu faktor ekonomi sebagai faktor tarikan dan juga faktor perang sebagai faktor tolakan. Faktor yang disebutnya turut juga dapat dilihat dari lensa umum, iaitu faktor penghijrahan bagi kebanyakan di seluruh dunia.

Setelah selesai bahagian penerangan mengenai sejarah, kemudiannya forum diteruskan kepada persoalan kontemporari iaitu dari segi budaya kaum India di Malaysia. Bahagian ini dilihat sebagai sesuatu hal yang menarik kerana ianya juga dapat dipersoalkan dalam setiap kaum yang wujud di sini.

Saudara Uthaya menjelaskan bagaimana dunia moden negara kita telah menyebabkan kebanyakan kaum India tidak menyedari budaya khusus sub-etnik yang lain selain Tamil. Ini pula dikuatkan dengan kewujudan MIC di mana ianya lebih memberi fokus kepada Tamil sehingga ianya mempengaruhi segala aspek seperti budaya dan pendidikan. Keunikan setiap sub-etnik ditenggelami dan jarang pula dipertekankan. Walaupun negara kita diraih sebagai negara yang berbilang bangsa, tetap juga keunikan yang lebih spesifik tidak dinyatakan dan ini berbeza dengan negara jiran yang lain di mana dalam pendaftaran kad identiti, keturunan yang spesifik seperti Malayali, Telegu dan sebagainya disebut secara jelas.

Kemudian turut diteruskan oleh saudari Charanjit di mana di dalam konteks negara kita, identiti ditentukan oleh warna kulit dan bukannya berdasarkan asal-usul keturunan yang lebih spesifik. Puan Charanjit juga ada menyebut bagaimana wujudnya isu seperti ini terjadi di Jabatan Pendaftaran Negara di mana anak yang didaftar mempunyai masalah hanya kerana dilihat sedikit ‘cerah’ bagi etnik India, sehingga dipaksanya mengambil ujian DNA.

Jadi adakah hal ini merupakan suatu masalah yang perlu diutarakan dan dipersoalkan oleh rakyat kita umumnya? Pihak kami merasakan bahawa ianya adalah suatu persoalan yang kritikal di mana perlunya suatu usaha secara sedar yang perlu dilakukan oleh rakyat majoriti bagi memahami kompleksiti sesuatu kaum ataupun sub-etnik, agar kejumudan itu dapat dielakkan dan tidak terus dilonggokkan ke dalam suatu kategori yang didirikan berdasarkan agenda politik pecah perintah. Ia juga penting agar penyelarasan sesuatu budaya itu dilaksanakan secara demokratik dan wujudnya proses dua hala di mana autonomi sesuatu sub-etnik yang wujud di negara kita dapat diperkembangkan, dengan harapan agar sub-etnik ini sendiri mampu berdiri secara utuh sehingga dapat menghasilkan produk budaya yang unik dan mampu dikongsikan sesama rakyat setempat secara meluas. Tetapi perlu juga difahami bahawa proses seperti ini mengambil inisiatif yang jelas dari komuniti itu sendiri dan bukannya dari pendekatan ‘top-down’. Bayangkan saja pada suatu masa, di mana setiap sub-etnik mampu berkembang dengan sendirinya sehingga berjaya menghasilkan produk budaya yang benar-benar unik dan lebih dekat dengan jati diri dan identiti sesuatu individu itu sendiri.