2014 setakat ini: Cabaran dan Harapan

Banyak sungguh dugaan untuk negaraku di tahun baru ini, ya Tuhan.

Kita menyelak suratkhabar dan sepertinya tanah air ini semakin kemarau dengan berita yang menrunsingkan.

Kita dikejutkan oleh kehilangan pesawat MH370, kematian seorang peguam ulung tanah air, kemudian penculikan dan pencerobohan di negeri Sabah dan baru-baru ini – kejatuhan pesawat MH17 oleh pemberontak pro-Rusia.

Tidak lupa dengan keadaan dompet kita yang semakin mengecil dari bulan ke bulan selaras dengan keadaan ekonomi negara. Juga tidak lupa dengan hujah sesetengah ahli politik negara (dan ahli NGO) yang kadang-kadang semakin tidak masuk akal dan alpa dengan keadaan rakyat marhaen yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa.

Ironinya, tahun 2014 juga merupakan Tahun Melawat Malaysia.

Malah, paparan di Wall Street Journal pada 18 Julai 2014 tertulis: “Malaysia Yang Berduka Bertanya: Apa Sudah Terjadi Dengan Kita?”

Namun begitu, makalah ini bukan bertujuan untuk menyenaraikan dan mendebatkan isu-isu yang melanda negara.

Makalah ini bertujuan untuk meraikan Malaysia dan rakyatnya kerana di tengah semua duri kemelut ini senang untuk kita menjadi sinis dan lupa dengan tunas-tunas harapan yang bercambah.

Tunas harapan di tengah duri

Pada 17 April 2014, Malaysia telah kehilangan salah satu tokoh politiknya di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Rupa-rupanya di sebalik sifatnya yang tegas, dirinya sebuah jiwa yang cekal mencari keadilan tanpa mengira agama dan bangsa.

Sepertinya pemergian peguam ini yang juga dikenali sebagai Harimau Jelutong terasa kurang adil pula dan terlalu cepat berlaku.

Awal bulan ini seorang menteri wilayah telah mengarahkan dapur jalanan untuk ditempatkan semula dari pusat bandar Kuala Lumpur, serta menyatakan bahawa peminta (serta pemberi) sedekah akan dikenakan denda. Alasannya golongan gelandangan serta peminta sedekah menjejaskan imej pusat bandar dan aktiviti dapur jalanan pula menyumbang kepada kekotoran yang bersepah.

Tetapi ingatkah anda bagaimana kita telah bersatu menentang pernyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap golongan gelandangan dan bersatu menghargai usaha warga sukarela yang terlibat dalam dapur jalanan?

Minggu lalu pula tersebar video seorang wanita yang naik angin melemparkan kata-kata kasar kepada seorang uncle yang telah melanggar keretanya yang mahal. Tetapi ingatkah anda bagaimana kita telah bersatu menentang tindakan wanita tersebut sebagai rasis dan tidak bertempat, dan mengambil iktibar dari sifat uncle yang tenang dan pantas memaafkan?

Melangkah ke depan

Pada setiap kisah pasti tersirat pengajarannya. Mungkin inilah pengajarannya: kita sebagai rakyat Malaysia harus berhenti menjadi pasif.

Kita harus semakin aktif mengejar kemajuan – bukan sahaja kemajuan fizikal dan material, tetapi juga kemajuan mental, emosi dan rohani. Kejarlah kebenaran, walaupun kebenaran itu kadang-kadang pahit untuk ditelan. Kejarlah kasih sayang yang tidak mengira agama dan bangsa, kerana jelas kita sudah tidak mempunyai masa untuk berbalah dan mendirikan tembok pemisahan di antara kita.

Pengajaran ini bukanlah pesanan yang baru. Tetapi mungkin sudah tiba masanya kita pindahkan apa yang kita tahu di minda (head knowledge) dan terapkan di hati (heart knowledge) agar ia mengalir dari setiap tingkah laku dan kata-kata kita.

Penulis tidak tahu bagaimana keadaannya di tahun-tahun yang akan datang. Mungkin banyak lagi yang perlu kita tempuhi. Mungkin masih jauh perjalanan di dalam terowong ini. Hakikatnya, kita tinggal di dunia yang terlalu kurang sempurna. Tetapi itu tidak penting – yang penting kita berani mengambil langkah: langkah demi langkah menuju ke depan untuk negara. Untuk kita bersama.

Makalah ini diakhiri dengan sajak hasil nukilan sasterawan negara Datuk Dr. Kamal Abdullah, atau juga dikenali dengan nama penanya Kemala.

Ya, jangan berduka Malaysiaku – seperti matahari yang bersinar setelah habisnya hujan, pastilah akan terukir kembali senyum di wajah yang suram, pastilah juga kecekalan dan perpaduan akan semakin tersemat di jiwa rakyat yang diduga.

Bangkitlah, negaraku! Dunia menanti.

 

Kubebat tanganmu yang luka
Kubebat dadamu yang luka
Kubebat bahumu yang luka
Kubebat pipimu yang luka
Kugiring matamu yang duka
Kuiring lagumu yang duka
Kusaring cumbumu yang duka.

Embun mencari rumput tempat berpaut
Daun mencari tangkai untuk bertaut.

Jangan berduka, Malaysiaku!

Gunung dilingkari kabut
Mendung memayungi bumi
Berhujan darahkah Wilayah Utara?

Serigala melolong di gunung
Todak melompati teluk tanjung
Nadim lahir lagi
Demi hidup baru. Makna baru.

Ada kilat ragu di matamu
Berhujan darahkah Wilayah Selatan?
Tiba juga pesan warisan
Tegaklah atas nama peribadi
Senyum ibu dan sapaan Tuhan.

Jangan berduka, Malaysiaku!

Kalau ada wabak
Memadami jejak-jejak putih
Kalau ada lagak menepisi kasih
Akan berhujan perakkah di Barat?
Langit Timur membawa jalur-jalur
Sejarah berhujan emaskah Sang Ningrat?

Ada tembang pilu sang nelayan
Ada tempang lagu petani kemarau
Mencari kasih di sudut hati
Suaranya serak dan parau.

Selepas jauh berjalan
Kaki direjami sendayan
Dengan duka pertama
Pahlawan menatap cermin retak pusaka.

Jangan berduka, Malaysiaku!

Empangan Utara dan Selatan
Tembok kota Timur dan Barat
Gelora dua samudera menampar
Angin tujuh zaman terdampar
Firasat ibu mencabar.

Kecil-kecil bintang seribu
Langit tanah air mengerdip cahaya
Kecil-kecil bintang kasihmu
Titipkan rindu pahlawan utama.

Kudakap dadamu calar
Kutatap bahumu balar
Kutatap langkahmu wajar
Semoga tetap berjiwa benar.

Belantara cinta Insan
Dalam hidayat Tuhan
Kucabut ranjau tujuh zaman
Kugenggam mutiara masa depan.

Jangan berduka, Malaysiaku!

–       Kemala, Jangan Berduka Malaysiaku (Watan, 3 Disember 1984)