Dilema Melayu, Cina, India

Kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikiran rasional akan mengalami dilema dan rasa serba salah apabila berdepan dengan istilah-istilah yang mengelirukan seperti “keturunan”, “kaum”, “etnik”, “ras” dan “bangsa” pada borang rasmi.

Untuk berlaku adil, orang Melayu biasanya “terlepas” daripada masalah ini kerana mereka selalu memberikan jawapan “Melayu” bagi kesemua kategori di atas.

Di sisi yang lain, orang Punjabi berdepan masalah kerana orang lain biasanya keliru antara “Punjabi” dan “Sikh”, lalu menggunakan label “keturunan Sikh” sedangkan ada orang Punjabi beragama Hindu, Islam dan Kristian.

10248949_10152072784243990_940535555_n
Asal-usul orang Melayu masih menjadi topik sensitif untuk dibincangkan.

Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara).

Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara bernama “Melayu”.

Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali).

Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India.

Meneliti erti dalam kamus

Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya.

Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa (September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah (Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini.

Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”.

Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”. Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi.

Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India.

Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan “bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah.

Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat apa yang dimaksudkan.

Semangat perkauman, semangat kebangsaan

Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.

Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)?

Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan.

Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan” dan seumpamanya!

Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman.

Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia.

Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja; tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi. Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi) orang “Bukan Melayu”.

Kaum Melayu tidak wujud?

Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab, Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum, ras, etnik dan bangsa Melayu.

Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu” (Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember 2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum.

Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara asal.

Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” (2013).

There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud.

Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini.

Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan,  serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan.

Melayu hanya bahasa, bukan keturunan

“Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik. Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh sekitar 385.5 juta orang di Nusantara.

“Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya.

Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu.

Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema.
Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema.

Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun yang boleh dijadikan rujukan.

Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu” dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang Melayu.

Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai? Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu.

Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya dari sudut biologi, keturunan atau kaum.

Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional.

“Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak

Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu, konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth).

Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal.

Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok orang Melayu semata-mata.

Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”.

Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah. Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”. Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak.

Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata. Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah “kebenaran budaya”.

Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan.
Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan.

Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan “kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu pemahaman lanjut berhubung topik ini.

Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta “pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri!

Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu, saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.

 

 

 

 

unnamed