Adakah benar Melayu masih terpinggir?

Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan untuk menaikkan tahap sosio-ekonomi golongan bumiputera agar setara dengan etnik yang lain, ianya pada masa yang sama bertujuan untuk mengatasi perbezaan di antara setiap etnik yang wujud di negara kita dan juga untuk bersatu dan berdiri atas suatu dasar kebangsaan yang kukuh. Golongan bangsa Melayu merangkumi sebahagian besar daripada kategori Bumiputera di negara kita. Walaupun DEB berjaya menaikkan tahap status ekonomi selama tiga puluh tahun ia dilaksanakan, jurang kekayaan di dalam setiap kaum itu sendiri semakin melebar dan pencapaian ini sepatutnya dibezakan dengan tujuan menghapuskan kemiskinan secara menyeluruh.

Lalu pada tahun 2016 dengan berlangsungnya ekonomi krisis secara global, kita mulai menyaksikan perubahan keadaan status ekonomi bagi kebanyakan golongan bumiputera yang pada suatu masa pernah digolongkan sebagai golongan kelas menengah pada beberapa dekad yang lepas. Anak-anak muda pula secara amnya bergelut dengan pelbagai jenis hutang: pendidikan, pengangkutan dan juga perumahan. Anak-anak muda Melayu mulai diasak ke lembah kemiskinan manakala segelintir golongan bumiputera yang kecil sedang aktif mengaut keuntungan yang besar jumlahnya. Ini menunjukkan bahawa adanya pergelutan kelas yang sedang berlaku di antara golongan elit dan golongan rakyat bawahan.

Maka pada waktu berlakunya krisis ekonomi begini, kita dapat menyaksikan fenomena ekstremisme mulai berlaku secara terang-terangan. Gerakan Baju Merah sebagai contoh, menjadikan kaum dan hak Melayu sebagai premis utama mereka dan menjadikan ia sebagai suatu hal yang perlu dibela. Hubung kaitan di antara rasisme dan krisis ekonomi mempunyai kesamaan yang signifikan di mana keresahan untuk terus menjalani kehidupan mulai menjadi jelas dan seringkali para ahli politik yang ekstrem menggunakan ideologi perkauman sebagai alasan bagi menutup ketirisan di dalam rencana perekonomian yang disalah guna.

Langsung persoalan yang timbul daripada pihak kami adalah, jika benar dengan keadaan ekonomi yang semakin memburuk akan mengakibatkan kehilangan kerja dan kejatuhan keadaan kehidupan di setiap negara, apakah cara-cara yang mampu dilakukan bagi memperbaiki keadaan? Di sini kami merasakan bahawa wujudnya hubungan yang penting di antara kekuatan kesatuan pekerja di dalam pembelaan hak ekonomi para pekerja melayu. Oleh itu, kesedaran mengenai kedua-dua hal: keadaan ekonomi golongan melayu dan kekuatan kesatuan pekerja yang membela hak mereka perlu ditingkatkan secara beriringan.

Jadi pihak Projek Dialog berpendapat bahawa keadaan yang membelenggu kelas pekerja perlu dijelaskan dan sebaiknya dibincangkan bagi mengenal pasti punca utama yang sedang berlaku. Forum ini dibahagikan kepada dua topik: pertama mengenai hubung kaitan di antara DEB (Dasar Ekonomi Baru), dan kesinambungannya iaitu DPN (Dasar Pembangunan Nasional) dan kewujudan bangsa Melayu yang masih terpinggir pada hari ini. Kedua pula bakal membincangkan mengenai kepentingan kelas pekerja Melayu mengenai keutamaan berkesatuan dan bagaimana ianya dilihat sebagai salah satu cara untuk menuntut hak ekonomi bagi golongan pekerja secara umum.

Usaha ini perlu dilaksanakan dengan harapan bahawa orang awam dapat melihat fenomena perkauman yang mulai menjadi ekstrem ini dengan lensa yang lebih luas dan bukannya menjadikan sikap prejudis sebagai sebab utama. Forum ‘Melayu di Pinggiran?’ bakal bermula pada jam 8 malam di Restoran Khulafa Bistro yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.