Adakah Tuhan menentang anak yatim?

Hari ini saya akan menulis tentang pertentangan di antara Tuhan dan anak yatim. Dan saya akan menulis berdasarkan pemerhatian saya. Tetapi kali ini jangan harap saya akan masukkan petikan dari al-Quran atau Hadis. Saya tidak akan memakai serban pada kali ini untuk menjual agama. Malah jangan harapkan saya memetik kata-kata pujangga besar. Anak-anak ini lebih besar dari pujangga sebesar mana pun mereka.

Hari ini Malaysia, sebuah negara Asean paling maju, punya menara berkembar setinggi 4 kali Everest, jaringan LRT 18 kali lebih dahsyat dari Tube di London, malah penganjur pertandingan kereta berenjin jet kapal terbang F1 yang disegani seluruh dunia.

Semua rakyat berbangga menjadi anak Malaysia. Khabarnya 6 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Kereta terbang di Kuala Lumpur, polis robot aka Robocop di Machang dan Putrajaya akan menjadi pusat pentadbiran paling canggih dengan teknologi aeronautik dan nuklear menjadi nadi kehidupannya.

“Tolong Kami Bantu Kami”

Tetapi dua hari yang lalu, saya terjumpa sebuah video di laman Youtube menayangkan sebuah program untuk orang kaya, bangsawan dan kerabat diraja di sebuah mahligai bertatah emas yang menggunakan anak yatim untuk membuat persembahan. Dan persembahan yang ditayangkan di dalam video tersebut adalah persembahan anak yatim, menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami.

Saya tak perlukan penjelasan lanjut. Saya tak nak tahu siapa arahkan anak-anak ini menyanyi lagu seperti itu. Saya tak peduli siapa yang bawa mereka ke majlis yang menghidangkan air dari syurga itu.

Semua orang boleh beri alasan. Siapa sahaja boleh cipta pelbagai situasi untuk menyesuaikan diri mereka. Semua itu boleh pergi mati.

Tetapi tatkala kita berbual hal Wawasan 2020, mengamalkan sistem perbankan Islamik, demokrasi berparlimen, mempunyai seorang angkasawan Muslim dan berjuta slogan muluk-muluk, lihat bagaimana akhlak kita dengan anak yatim?

Masyarakat ‘2nd Class’

Tuan-tuan dipersilakan pergi ke rumah anak yatim di sekitar kariah tuan-tuan setiap hujung minggu. Lihat apa aktiviti mereka. Kalau mereka tak bermain pasir, mereka akan diangkut oleh orang kaya, kaum bangsawan dan kerabat diraja ke kenduri-kendara untuk menghabiskan sisa makanan.

Tuan-tuan lihat baju yang mereka pakai, dan perhatikan baju yang disumbangkan oleh masyarakat. Tuan-tuan belek buku yang mereka baca.

Baju yang mereka pakai bukan baju baharu. Baju yang mereka pakai itu baju ‘2nd hand’ yang dilonggokkan oleh keluarga Pak Ali yang mahu mengosongkan almari rumah. Buku yang mereka baca bukan buku baharu. Buku itu ialah buku ‘2nd hand’ yang di hantar oleh keluarga Makcik Zainab yang merasa rumahnya kini sempit dengan longgokan buku teks anak-anaknya.

Kita panggil anak-anak ini datang makan di kenduri kita kerana kita mahukan pahala, kerna kita mahu masuk ke syurga dengan jalan pintas. Jika bukan kerana syurga, mustahil kita akan panggil anak-anak ini menghabiskan makanan kita.

Kita sumbangkan baju terpakai kerana rumah kita semak dan penuh dengan baju-baju lama. Dengan menghantarnya ke rumah-rumah anak yatim, kita harap Tuhan akan memberikan kita skuter hibrid untuk ke syurga dengan lebih pantas.

Kita longgokkan buku terpakai ke pusat jagaan anak yatim kerana mahu mengubahsuai rumah. Ketika itu baru kita terlihat longgokan buku. Dengan menghantarnya ke tempat yang tidak ada siapa akan menolak, kita berdoa agar Tuhan membelikan kita sebuah kereta berenjin jet kapal terbang untuk memotong orang lain dan lebih cepat masuk syurga.

Tiket sehala ke syurga

Itu baru cerita bab kenduri, bab baju dan bab buku. Pada bulan Ramadhan lebih dahsyat suasananya. Saban hari anak-anak akan dibawa berbuka puasa bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini. Mereka akan dihidangkan dengan susu dari syurga, kurma dari zaman Nabi serta daging burung Merak dari kayangan.

Semua orang berlumba-lumba mendapatkan mereka. Semua syarikat, yayasan mahupun agensi kerajaan akan memastikan mereka dapat berbuka puasa bersama anak-anak. Ketika berbuka itulah mereka berbual sesama mereka seolah-olah mereka telah mendapat satu tiket ke syurga setiap seorang.

Ahli politik tidak kurang jijiknya, mereka akan terjun bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini untuk membeli baju raya kepada anak-anak. Di akhirnya anak-anak ini akan mendapat 5 pasang baju melayu dan baju kurung setiap seorang. Seolah-olah inilah baju yang mereka perlu pakai selama setahun.

Ketika ini, rumah dan pusat jagaan akan dipenuhi dengan ratusan tan beras sumbangan orang ramai. Masyarakat berebut-rebut membeli tiket sehala ke syurga dengan sumbangan beras-beras ini.

Jika benar kita mahu menjamu anak-anak, mengapa tunggu Sabtu atau Ahad? Jika benar kita mahu  menyumbangkan baju atau buku, mengapa berikan yang terpakai? Jika benar kita mahu membeli baju baharu kepada mereka, mengapa tunggu bulan Ramadhan?

Jawapannya mudah. Semua yang kita lakukan, bukan untuk anak-anak. Tetapi semuanya untuk kita. Untuk pahala kita. Untuk skuter hibrid kita. Untuk kereta berenjit jet kapal terbang kita. Untuk tiket sehala kita. Skuter hibrid, kereta berenjin jet kapal terbang dan tiket sehala ini akan membawa kita ke syurga tanpa perlu beratur di akhirat nanti.

10 kali Haji

Tetapi ini hanyalah secebis dari seluruh skandal penyelewengan anak-anak yatim yang sedang hebat dan giat dijalankan di seluruh negara. Ada yayasan yang menggunakan anak-anak untuk mengutip derma.

Ada pertubuhan yang menggunakan anak-anak untuk menyara pekerjanya. Ada pemimpin yang menggunakan anak yatim untuk memanjat tangga politik. Ada agamawan yang menggunakan anak yatim untuk menjual serban dan jubah agamanya.

Anak-anak ini digunakan, dipergunakan, diperah dan dijual tanpa ada pembela. Siang dan malam mereka adalah ihsan orang lain. Mereka tidak pernah dianggap sebagai anak merdeka. Mereka dicemuh di sekolah.

Di luar, mereka bukan sahaja dipandang sebagai warga ‘2nd class’, tetapi digunakan oleh pelbagai orang dan persatuan untuk kepentingan orang lain.

Inilah yang berlaku apabila masyarakat tidak pernah berpihak kepada yang tertindas. Negara mampu menghantar ribuan jemaah haji saban tahun, tetapi masih ada anak yatim yang menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami di majlis hari jadi kaum bangsawan.  Masyarakat tidak pernah ikhlas untuk membantu golongan tertindas ini.

Masyarakat yang kita punyai ialah masyarakat individualistik. Mereka boleh pergi haji 10 kali, tetapi masih menghantar baju terpakai ke rumah anak yatim. Mereka boleh pergi 1000 kali umrah, tetapi masih tidak punya masa untuk membuka beg anak-anak, berbual dan memberikan kasih sayang kepada golongan ini.

Yang penting ialah pahala, bukan pendidikan anak-anak. Yang penting ialah syurga, bukan masa depan anak-anak.

Tuhan bersama siapa?

Jadi seluruh kesengsaraan dan penindasan terhadap anak yatim ini menimbulkan persoalan, adakah Tuhan menentang anak yatim? Bagaimana kaum agamawan boleh bersama-sama Tuhan menentang anak yatim?

Tuhan tahu perasaan anak-anak ini tatkala mereka merintih kepenatan dihurung ke hulu ke hilir memenuhkan jemputan orang kaya. Tuhan tahu rintih hati mereka tatkala air menitik keluar dari kelopak mata merindukan ibu bapa yang tiada.

Tuhan tahu hati-hati yang diperlakukan seperti hamba ketika mereka tidak punya sang pelindung.

Yang perlukan bantuan bukan mereka tetapi kita. Yang perlu kita doa kepada Tuhan ialah untuk mengurniakan semula otak ke dalam kepala dan naluri kemanusiaan di dalam hati kita. Agar mentaliti masyarakat berubah dan melihat anak-anak ini sebagai anak merdeka.

Anak-anak ini tidak perlukan baju atau buku baharu. Yang mereka perlukan ialah kasih sayang. Mereka perlu diterima di dalam struktur sosial sebagai ahli masyarakat, bukannya warga kelas kedua. Anak-anak ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif.

Jika mahukan tiket sehala ke syurga sekalipun, tak perlu tunggu bulan Ramadhan untuk belikan mereka baju atau buku baharu. Kitalah yang perlu turun dan hadir ke rumah mereka untuk memasak makanan, bukan mereka yang perlu beratur dan menunduk di hadapan kita ketika mengambil nasi kenduri.

Yang pasti, Tuhan sentiasa bersama anak-anak. Dia mengucup ubun anak-anak sehingga mereka menangis setiap hari. Tuhan tidak pernah bersama orang kaya, sang bangsawan atau kerabat diraja, golongan penindas yang memaksa anak mengemis dan meminta-minta di hadapan mereka tatkala mereka mencicip sirap emas di keraian syurga dunia.

Tuhan tidak pernah bersama lelaki berserban agama jadi-jadian yang menjual anak-anak untuk memenuhkan poket jubahnya sendiri.

Untuk yang sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah negara moden, model negara Islam progresif dengan utopia Wawasan 2020, majlis Ya Hanana 1000 malam, sistem perbankan Islamik yang cemerlang serta tidak percaya wujudnya golongan tertindas di negara ini, saya ucapkan selamat maju jaya.

Anak-anak yatim akan terus diperlakukan sebegini rupa, dijual, dipandang dan diperlekeh sebagai warga ‘2nd class’, diminta mengemis untuk sesuatu yang mereka tak pernah minta; kerana kita punya warga masyarakat seperti anda. Orang yang tidak punya sikap, serta tidak pernah berani untuk berpihak kepada orang yang tertindas.

Yang perlu kita risaukan ialah diri kita sendiri. Adakah Tuhan bersama kita?

 

 

 

 

unnamed