Ajaran Agama Diperoleh Dalam Hati, Bukan Dalam Troli

Gambar: Snipthepix.com
Gambar: Snipthepix.com

Oleh Kuo Yong Kooi

Apakah yang perlu dikerjakan untuk seorang penganut yang dedikasi kepada agamanya? Amalan yang berada di dalam hati atau di luarnya?

Kalau kita hanya mengatur dan memperbaiki apa yang di luar kita, maka kita akan mengalihkan perhatian ke atas perkara luaran yang tidak semestinya boleh memperbaiki hati.

Ajaran semua agama bertujuan untuk memperbaiki tingkah laku dan hati penganutnya. Syarat-syarat dalam agama adalah panduan kita untuk memantapkan hati kita.

Ayat-ayat suci dalam semua buku agama di dunia bertujuan untuk membuka hati supaya penganutnya dapat menikmati keindahan dunia sebagai insan yang berhati nurani.

Adanya sedikit sebanyak persamaan syarat-syarat ini antara Islam dan Buddhisme.

Umpamanya, lima syarat-syarat dasar Buddhisme dalam bahasa Pali dipanggil pancasila. Dasar ini tiada persamaan dengan pancasila politik yang diidami Presiden Sukarno di Indonesia.

Pancasila Buddhism

Pancasila: Dasar Ajaran Buddhisme

Pancasila ajaran dasar moral Buddha adalah:

1) Aku bertekad melatih diri untuk menghindari pembunuhan
2) Aku bertekad melatih diri untuk tidak mengambil sesuatu yang tidak diberikan (mencuri)
3) Aku bertekad melatih diri untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak tertib/sopan (hubungan luar nikah)
4) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari ucapan yang tidak benar (berbohong), omong kosong, berdusta dan fitnah.
5) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari segala makanan dan minuman yang mampu mengurangkan kewarasan, melemahkan pertimbangan, memabukkan dan melalaikan (termasuklah yang menyebabkan ketagihan seperti rokok mahupun arak)

Jikalau seseorang itu ingin lebih mendalami agama Buddhisme, maka dia perlu meningkatkan lagi disiplinnya kepada lapan dasar.

Tiga dasar tambahan adalah:

6) Aku bertekad melatih diri menghindari makanan setelah tengah hari (berpuasa dari tengah hari ke subuh, dan hanya dibolehkan meminum air dan jus sahaja, dan bukan susu ataupun sup)
7) Aku bertekad melatih diri menghindari tarian, nyanyian, bermain musik, hiburan, perhiasan bunga-bungaan untuk diri, wangian, dan mencantikkan diri dengan kosmetik
8) Aku bertekad melatih diri menghindari daripada tidur atau berehat di tempat yang tinggi dan besar/mewah

Jika kita lihat dasar yang kelapan ini, ia sudah hilang ertinya dalam konteks zaman sekarang.

Di zaman Gautama Buddha, 2558 tahun dahulu, hanya orang kaya sahaja yang menggunakan tempat duduk dan tempat tidur yang tinggi.

Maka jika kita ingin menafsirkannya dalam konteks zaman kini, ia bermaksud kehidupan yang sederhana ataupun yang menyenangkan hati.

Apakah lapan syarat-syarat utama Buddhisme ini tidak sama dengan syarat-syarat Islam?

Gambar: Steven Edson
Gambar: Steven Edson

Hidup Menjadi Sami Buddha

Jikalau seseorang ingin lagi lebih mendalami ajaran Buddha, maka dia boleh menjadi sami Buddha. Untuk berikrar menjadi sami Buddha, terdapat 227 syarat lagi bagi sami lelaki dan 311 syarat-syarat bagi sami perempuan.

Dalam linkungan syarat-syarat tambahan ini, sami Buddha tidak boleh mempunyai hubungan seks ataupun menyentuh seseorang dari jantina lain.

Sebelum penulis menjelajahi hidup sebagai seorang sami Buddha selama dua tahun di Myanmar dan Thailand dari tahun 1997 ke 1998, penulis mendapati syarat-syarat ini terlalu keras.

Kadangkala syarat-syarat ini seperti ketinggalan zaman, contohnya syarat asas kelapan yang dibincangkan tadi.

Setelah bermeditasi dengan lama, penulis baru memahami keperluan syarat-syarat keras itu.

Ia menyempurnakan tugas sami Buddha supaya gaya hidup ini, melalui meditasi, mampu membangkitkan kebebasan daripada cengkaman samsara, atau kesengsaraan.

Gambar: Edenkeeper.org
Gambar: Edenkeeper.org

Menanggapi Perbezaan Agama

Sebagai manusia, fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang tiada yang unik antara satu bangsa dengan yang lain. Semua bangsa ada baik buruknya.

Bahasa agama hanya menyelaraskan kefahaman sesorang supaya mampu memahami isi hati sendiri dan bertindak sebagai insan yang bertanggungjawab.

Penulis berasa fikiran dan tindakan yang memberi kesan negatif kepada hati sendiri mahupun orang lain, itulah yang perlu diperbaiki sebagai seorang manusia, tidak kira apa jua bahasa ataupun agamanya.

Misalnya dari pengalaman sendiri, penulis sewaktu kecil diindoktrinasikan oleh kaum sendiri bahawa azan yang berkumandang dari pembesar suara itu mengacau ketenteraman.

Sebagai seorang remaja, penulis biasanya tidak senang apabila terhentinya program televisyen kerana waktu solat. Hati penulis sendiri selalu berasa bahawa waktu solat itu hanya menganggu aliran program yang disukai ramai. Kawan-kawan serta masyarakat juga kecewa, maka ini memperkuatkan lagi tanggapan negatif tentang waktu solat.

Apabila penulis bermeditasi sebagai sami Buddha di Myanmar, terdapat juga pembesar suara dari masjid di situ. Pandangan penulis terhadap suara azan ketika itu bertukar apabila hati tenteram hasil meditasi berpanjangan.

Ketenteraman hati meningkat lagi apabila terdengarnya suara merdu azan itu. Pada masa itulah perasaan penulis berubah dari kekecewaan kepada keghairahan apabila terdengarnya suara azan.

Walaupun penulis tidak memahami erti ayat-ayat yang dibacakan itu, perasaan ekstasi yang dialami tidak mengenali batasan bahasa mahupun agama.

Pengalaman ini membuka hati penulis bahawa manusia di seluruh dunia sejak zaman dahulu hingga sekarang sebenarnya mencari keindahan suara hati sebagai seorang insan.

Penulis berpeluang menikmati perubahan pendirian daripada yang buruk kepada yang indah, dan ini adalah satu keindahan pengalaman yang susah dicari jika kita tidak meluangkan masa untuk memahami hati sendiri.

Perihal Hati & Agama

Dari pengalaman itu penulis berasa ayat-ayat suci semua agama adalah pedoman hati bagi penganut-penganutnya. Jika kita berkeras hati seperti penulis ketika remaja, hati kita tidak dapat dibuka untuk mengalami ekstasi itu.

Melembutkan hati dengan amal ibadat atau bermeditasi berpotensi membuka hati kita kepada penghayatan yang lebih mendalam terhadap agama.

Apabila kita memahami bahawa apa yang perlu diperbaiki adalah hati, kita senang menanggapi bahawa isu-isu seperti pengasingan troli halal, penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu, demonstrasi membantah tanda salib di gereja Taman Medan dan lain-lain adalah sandiwara sampingan yang bermatlamat untuk memecah dan perintah masyarakat majmuk kita.

Kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah bahawa patung Hindu dan Buddha tidak harus dipamerkan kepada awam kerana didakwa bertentangan dengan Islam adalah satu muslihat berbaur politik perkauman.

Penulis tidak berasa tindakan itu sejenis penghinaan ke atas agama lain. Malah kenyataannya mengelirukan penganut-penganut agama sendiri, seolah-olah mereka tidak perlu berusaha mendalami kefahaman, keyakinan dan kelembutan hati sendiri.

Pengalaman setiap insan tidak boleh diseragamkan. Setiap insan memerlukan masanya sendiri untuk membuka hati kepada apa jua ajaran agama mereka.

Jika kita bersikap memaksa bahawa inilah pandangan yang perlu diikuti, maka paksaan itu menjadi halangan besar kepada pengalaman yang perlu dilalui hati seseorang.

Biasanya ajaran itu dalam bentuk pedoman, yang mengajak hati kita dalam satu pengembaraan. Mendekati ajaran agama dengan cara ini membolehkan hati seseorang terbuka menghayati agama dengan lebih mendalam lagi.

Penganut sendiri perlu mencari guru ataupun mufti yang bersikap begini, barulah ajaran agama yang sejati dapat difahami.

Seperti kata Ali Bin Abi Talib, “Kalau kau mahu hapuskan kejahatan dari hati orang lain, hapuskan ia dari hatimu dahulu.”

 

Kuo Yong Kooi adalah penyajak tamu di glombng.wordpress.com