Alkisah hutang lukisan Pak Samad

Pisang emas dibawa berlayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang lukisan perlu dibayar,

Jangan sampai menyesal nanti.

Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan.
Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan.

Sewaktu membuat pendedahan terbuka mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) pada 1 April 2014, saya tidak menyangka tindakan itu akan membuka laluan ke arah pendedahan yang lebih besar mengenai Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Khabarnya Kerajaan Negeri Selangor masih berhutang belasan ribu ringgit setelah membeli lukisan daripada Pak Samad. Kalau ada wakil PR yang hadir, bolehlah tolong sampaikan kepada Menteri Besar dan Exco terbabit. Katakan bahawa Uthaya mengungkitkan isu ini.”

Demikian saya berkata semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel Sungai Mengalir Lesu karya Pak Samad di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.

Pada pendirian saya, pendedahan itu amatlah wajar untuk menunjukkan betapa kuasawan dan politikus beranggapan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya mengambil “harta” milik seniman dan sasterawan secara percuma.

Seolah-olah hasil seni dan sastera tidak mempunyai nilai. Seolah-olah seniman dan sasterawan perlu bersedia memberikan “harta” (hasil karya) dan “bakat” secara percuma kepada kuasawan dan politikus tanpa mengharapkan sebarang bayaran yang setimpal.

Insiden melibatkan lukisan Pak Samad berlaku pada 26 September 2012 apabila beliau diberikan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor. Sesungguhnya, semasa membentangkan kertas kerja di KLSCAH, saya tidak tahu jumlah lukisan Pak Samad yang dibeli kerajaan negeri, siapakah Exco terbabit, kepada siapa lukisan itu dihadiahkan dan harga/nilai sebenar lukisan terbabit.

PD 1Dipulau
Kebimbangan yang diluahkan semasa membicarakan novel Pak Samad.

Hanya pada keesokan hari (2 April 2014), saya mendapat maklumat penuh menerusi laporan-laporan bertajuk “Exco Selangor tidak bayar duit lukisan Pak Samad” (Astro Awani), “Exco hutang lukisan Samad Said RM16,000” (Free Malaysia Today), “Exco Selangor akui tak bayar lukisan Pak Samad” (The Malaysian Insider) dan “Kerajaan Selangor akan bayar lukisan Pak Samad” (Malaysiakini).

Melalui laporan media alternatif itulah saya – sebagaimana orang ramai – mendapat tahu bahawa dua buah lukisan dibeli untuk dihadiahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena majlis yang berlangsung pada 26 September 2012.

Soalnya, mengapa masa yang begitu lama diambil – jika kerajaan negeri ikhlas dan jujur dalam pembelian itu – untuk membayar kepada Pak Samad? Sebagai seorang seniman, Pak Samad pula memilih untuk berdiam diri dan tidak mengungkitkan isu “hutang” berkenaan.

Beri geran, ambil lukisan?

Akan tetapi, apakah hal ini bermakna PR dan PKR boleh buat-buat lupa? Jika inilah sikap yang dimiliki, apakah bezanya antara Barisan Nasional (BN) dan PR dalam soal menghargai seniman dan sasterawan?

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Januari 2014 memperkotak-katikkan golongan sasterawan dengan membahagikan mereka menjadi dua kelompok: “penyokong kerajaan” dan “penyokong pembangkang”. Seolah-olah golongan sasterawan dan seniman tidak punya maruah; sebaliknya perlu bernaung di bawah parti politik dan celah kangkang politikus.

Berbalik kepada isu tadi, Pak Samad tidak mendedahkan nama Exco terbabit semasa berucap di KLSCAH bagi mengulas pendedahan terbuka yang saya lakukan berhubung lukisan terbabit. Beliau hanya menyatakan bahawa Exco terbabit sudah dimaklumkan tentang harga lukisan yang mahu dibeli.

Sehari selepas pendedahan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tampil “mengakui kesilapan gagal melunaskan bayaran lukisan yang dibeli” (The Malaysian Insider, 2 April 2014) dan “Mesyuarat Exco negeri meluluskan pembayaran penuh kepada Pak Samad secepat mungkin selepas ini” (Malaysiakini, 2 April 2014).

Maknanya, jika isu “hutang” itu tidak ditimbulkan, maka kerajaan negeri dan Exco terbabit mungkin akan terus buat-buat lupa sampai kiamat – atau sehingga BN “merampas” Selangor.

“Saya tidak terkejut apabila terbaca mengenai Pak Samad dan lukisannya. Saya semacam sudah programkan diri secara tidak sedar bahawa politikus adalah spesis manusia yang oportunis,” kata Kirubananthan Muniandi, seorang tukang lukis dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Besar kemungkinan berlaku salah faham dalam isu ini. Mungkin Kerajaan Negeri Selangor melihat Pak Samad sebagai pro-PR, maka lukisan tersebut dianggap sebagai ‘sumbangan’ dan bukannya ‘pembelian’. Usah kita lupa bahawa karya seni Pak Samad ada nilai dan harga tersendiri,” Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Pulau Pinang berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook.

Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor memang “hebat”. Luluskan geran RM10,000 kepada Pak Samad tetapi pada masa sama “mencuri” (terlepas pandang perihal bayaran) lukisan bernilai RM16,000. Demikian saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 4 April 2014 selepas membaca pelbagai kenyataan Rodziah yang disiarkan di media.

Menurut laporan The Malaysian Insider (2 April 2014), lukisan berkenaan “tidak dibayar” tanpa pengetahuan Rodziah. Katanya, berlaku salah faham kerana kerajaan negeri hanya membayar RM10,000 atas pengiktirafan Pak Samad sebagai Sasterawan Tamu Selangor tetapi “tidak menyentuh mengenai sebarang urusan jual-beli lukisan berjumlah RM16,000.”

Kenyataan bercanggah oleh politikus

Rodziah juga memberitahu sidang media bahawa isu itu dianggap selesai selepas diserahkan kepada Dr Ahmad Yunus Hairi yang memegang portfolio Sukan, Belia dan Adat Resam Melayu untuk tindakan selanjutnya.

Akan tetapi, seperti biasa, nampaknya kata-kata politikus tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Apa tidaknya! Pada 2 April 2014, Rodziah mengesahkan bahawa kedua-dua lukisan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Selangor di bawah pengurusan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Dalam sidang media khas pada 4 April 2014, Rodziah mengatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada dua lukisan itu telah diserahkan kepada Padat untuk tujuan pameran.

Sebaliknya, tujuan sebenar sidang media khas itu adalah untuk membolehkan Rodziah menunjukkan “bukti” bahawa geran berjumlah RM10,000 yang diumumkan pada 26 September 2012 sudah dibayar kepada Pak Samad pada 5 Februari 2013.

Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan.
Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan.

Soalnya bukan geran RM10,000 tetapi “hutang” RM16,000 bagi lukisan Pak Samad. Akan tetapi, nampak gayanya, seperti dilaporkan Malaysiakini, Rodziah dalam sidang media itu mengaku “tidak ada secara langsung terlibat dalam proses rundingan berkaitan harga lukisan berkenaan” dan beliau “tidak berada dalam lembaga pengarah badan itu pada hujung 2012”.

Dua hari sebelumnya, Exco itu mengakui bahawa “apa yang berlaku adalah ekoran salah faham” kerana beliau yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan negeri “tidak mengetahui yang lukisan tersebut perlu dibayar berasingan”.

Pada sidang media 4 April 2014, beliau mengakui bahawa “kerajaan negeri tidak boleh beli terus, jadi kita beli melalui Padat dan diserahkan kepada mereka (Anwar dan Khalid)” serta “pembelian itu dibincang dan (harganya) dipersetujui kedua-dua pihak” iaitu kerajaan negeri dan Padat.

Sudah dinyatakan bahawa apabila saya membangkitkan isu “hutang” ini pada 1 April 2014, saya tidak tahu siapa Exco terbabit. Maka, agak “menarik” juga apabila ditimbulkan dalam Malaysiakini (4 April 2014) kemungkinan saya mahu menggagalkan usaha Rodziah bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti.

Perkara kecil ini kembali menyedarkan kita bagaimana politikus dianggap “dewa” dan segala perkara yang berlaku pasti ada kaitan dengan hal-hal peribadi mereka. Hutang lukisan yang ditimbulkan adalah demi menuntut hak Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan); tiada apa-apa kaitan dengan golongan “dewa”, kuasawan dan politikus.

Dalam hal ini, saya memuji sikap Rodziah yang mengakui bahawa “wajarlah pihak itu menimbulkan tanda tanya dalam media (mengenai hutang lukisan) supaya kami tersedar balik” dan “saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi” (Malaysiakini, 4 April 2014).

Jangan zalimi seniman, sasterawan!

Berikutan pendedahan yang dibuat, Pak Samad sudah dihubungi Jabatan Muzium Selangor untuk menguruskan bayaran “hutang” lukisan (The Malaysian Insider, 3 April 2014). Maknanya, golongan seniman dan sasterawan perlu berani bersuara lantang jika mahu menuntut hak dan “hutang” daripada kerajaan.

“Sekiranya atas dasar jual-beli, seharusnya begitulah tradisi perniagaan. Sebaliknya jika atas dasar ‘ambil dulu, kira kemudian’ maka terbuka untuk membuat tuntutan di kemudian hari. Seniman memerah keringat dan idea. Jika pembeli tidak membayar, mereka seharusnya berasa malu,” kata Tengku Syahrel Raja Alaaudin (Awang Kechil), seorang pelukis dan penulis dari Kuala Lumpur.

Helmy Samad selaku pengurus syarikat Wira Bukit Sdn Bhd yang menerbitkan buku-buku Pak Samad turut meluahkan pandangan menerusi catatan di Facebook.

“Dari zaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), projek buku dengan Kerajaan Negeri Melaka, perolehan koleksi buku dan manuskrip oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan kini soal lukisan Bapak. Salahkah meminta sesuatu yang terhutang?

“Saya tahu Bapak dalam kesulitan. Bapak tiada banyak sumber hasil kecuali daripada karya dan pembacaan puisi. Bapak juga sangat ‘cerewet’ dan berhati-hati dalam hal ini. Bapak tidak mahu ‘dibeli’ atau rasa ‘terhutang’ jasa.

“Kadang-kadang dalam kehidupan, meminta sesuatu yang terhutang adalah satu ‘kesalahan’. Dalam soal ini, saya hanya mahukan Bapak dibayar,” kata Helmy dalam catatannya itu.

PD 1NovelMuhyiddin beranggapan bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan (BN) dan tidak pernah bersama pembangkang (PR) dalam membangunkan negara (Utusan Malaysia, 8 Januari 2014). Saya percaya sudah terlewat untuk membaiki sebarang ketololan yang sudah berakar-umbi dalam minda politikus dan juak-juak BN.

Akan tetapi, janganlah pula PR yang membentuk Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 meniru kebodohan pihak lawannya. Seniman dan sasterawan (kecuali “macai” dan puak “carma” yang tidak ada maruah diri) serta hasil karya (seni dan sastera) mereka ada harga serta nilai yang perlu dihormati.

Mungkin benar bahawa sekelompok seniman dan sasterawan menyokong perjuangan PR kerana menyampah dan meluat dengan BN. Akan tetapi, beringatlah bahawa sekiranya PR bersikap “dua kali lima, lima kali dua” dengan BN, seniman dan sasterawan tidak akan menyokong secara membabi buta.

Sasterawan dan seniman ada kuasa untuk “menjatuhkan” politikus yang zalim, menindas dan tidak beretika. Air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya. Semoga Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi “mangsa” kemarahan seniman dan sasterawan.

 

 

 

unnamed