Apa kesalahan LGBT?

Dewasa ini Malaysia seringkali berhadapan dengan isu dan istilah “LGBT”.

Bagi sesiapa yang belum pernah dengar kata singkatan ini, “LGBT” merujuk kepada golongan “lesbian”, “gay”, “biseksual” dan orang “trans” atau “transgender” (mereka yang berasa perwatakan “jantina” badan mereka tidak serasi dengan identiti batin mereka).

Dengan kata lain “LGBT” mewakili satu istilah untuk melambangkan bukan sahaja kepelbagaian seksualiti manusia, malah golongan yang dipinggir kerana tidak terangkum dalam apa yang dianggap sebagai kebiasaan oleh masyarakat.

Peminggiran golongan minoriti seksual ini telah melahirkan satu sikap prejudis yang menganggap bahawa sesiapa yang bukan bersifat heteroseksual (terpikat kepada jantina lain dalam kerangka “fitraH”) bukan manusia yang lengkap atau waras. Tambahan pula, sikap ini disokong dan disaran oleh golongan golongan agamawan yang tidak arif tentang hal biologi dan seksualiti.

Tambah lucu lagi adalah logik disebalik prejudis itu nyata terencat dengan anggapan-anggapan yang dangkal.

Satu contoh adalah “hujah” mereka bahawa golongan LGBT ini, sekiranya dibiarkan sahaja sebagai satu “gejala” yang “berleluasa”  akan membawa kepada kepunahan (extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi.

Siapa yang menghancurkan muka bumi?

Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan.

Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat.

Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050.

Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat.

Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China.

Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun.

Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya.

Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual?

LGBT: Tanda kiamat?

Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat.

Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”.

Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita.

Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang  berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat.

Bak kata lain kita  sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan  pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”.

Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan  bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita.

Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya.

Prejudis salah tumpuan

Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama.

Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini.

Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan.

Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya?

Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.

 

 

 

 

unnamed