Apa Salahnya Kritik Arabisasi ala Arab Saudi?

Dari pihak penganjur,

Saya Mrym Lee dan saya Kurator Program untuk Projek Dialog. Pelbagai reaksi telah saya perhatikan dari pelbagai pihak tentang forum ‘Arabisasi ka Salafi ka Wahabi? Arabisasi tang mana!’ yang dianjurkan Projek Dialog baru-baru ini.

arab banner

Pertama sekali saya ingin mengatakan pembukaan ruang perbincangan ini amat baik sekali. Perbincangan tentang masyarakat tidak akan berlaku tanpa interaksi masyarakat itu sendiri dengan isu yang diperbincangkan. Dalam bahasa orang putih, discourse does not occur in a vacuum. Kedua, kritikan atau lontaran pandangan biarlah objektif dan bukannya dilontarkan berdasarkan prejudis kita terhadap sesiapa. Kebanyakkan komentar yang saya perhatikan, baik di media arus perdana dan media sosial, mengkritik para panelis (terutamanya Marina Mahathir) tanpa mendengar kandungan forum secara penuh.

Antara komentar yang popular ialah Marina Mahathir dilihat sebagai mengkritik Arabisasi sahaja tanpa mengkritik Western-isasi, Korea-nisasi, Jepun-isasi dan lain-lain pengakomodasian budaya yang hegemonik dalam masyarakat kita. Saudara-saudari sekalian tontonlah rakaman video forum ini, tiada satu pun panelis yang menolak penyerapan mana-mana budaya asing ke dalam budaya tempatan semata-mata, ini termasuklah pengaruh budaya dan bahasa Arab ke atas amalan orang tempatan apabila mereka datang bersama penyebaran Islam di Nusantara.

Perkara yang dipermasalahkan di sini, sebagaimana dikatakan oleh Syed Farid Alatas, ialah apabila proses pengambilan budaya itu ‘mencerminkan sikap rendah diri orang Melayu’. Apabila budaya orang Melayu sendiri dianggap rendah jika dibandingkan dengan budaya orang Arab, kita mesti bezakan proses asimilasi budaya dengan proses yang mencerminkan sikap rendah diri  – inilah konteks ‘Arabisasi’ yang dibawa oleh Syed Farid.

Setiap panelis juga bersetuju pada salah satu bentuk Arabisasi, iaitu bentuk Arabisasi mengikut Arab yang mana? Sejarawan Eddin Khoo dari PUSAKA menitikberatkan poin ini dengan menyatakan ketidaksenangan beliau dengan istilah ‘Arabisasi’ – “Arab yang mana? Arab teluk? Arab padang pasir?” Marina juga bertanya soalan yang sama ketika sesi beliau sebelumnya, tetapi mengapa yang dihentam di media sosial hanyalah apa yang Marina cakap? Sedangkan panelis lain juga bertanyakan soalan yang absah ini?

Lagi sekali, saya ambil apa yang Syed Farid cakapkan di forum pada malam tersebut, beliau OK dengan Arab yang datang ke Nusantara dari Hadramawt, keturunan nenek moyang beliau sendiri. Tetapi ‘Arabisasi’ yang kita ada sejak kebelakangan ini bukanlah ‘Arabisasi’ yang sama yang telah wujud beratus-ratus tahun di rantau ini. ‘Arabisasi’ yang dipermasalahkan sejak kebelakangan ini adalah ‘Arabisasi’ cetek yang mengikut-ikut aspek luaran dan hukum-hukum Arab Saudi, yang tidak mendatangkan (malahan menghalang) pengkayaan budaya seperti musik, seni dan tarian, contoh yang diberikan Syed Farid pada forum itu ialah tarian zapin yang merupakan pengaruh budaya yang baik dari keturunan Arab Hadramawt.

Saya ingin tekankan satu ini sahaja: pendapat tentang apa-apa diskusi tentang hegemoni sangat meluas dan boleh datang dari pelbagai sudut. Jika kita ingin memberikan kritikan, bukankah lebih baik jika kita mengutarakan pelbagai pandangan secara sama rata dan bukannya menumpukan kritikan kita pada satu sosok sahaja?

Banyak lagi diskusi tentang topik Arabisasi yang dibentangkan pada malam tersebut. Tiada satu pun panelis yang kata “Arabisasi tak bagus dan Western-isasi tu bagus”, tidak Marina, tidak Syed Farid, tidak Eddin Khoo. Saya gembira BYOT Society dapat pinjamkan kamera untuk rakamkan diskusi forum supaya mereka yang tidak dapat hadir pada forum tersebut boleh mendengar sendiri isi kandungan forum. Berhentilah membuat tuduhan melulu yang menghentam tanpa bukti dan tanpa melihat konteks perbincangan.

Semoga terus bermanfaat,
Mrym Lee
Kurator Program di Projek Dialog

Link ke rakaman di YouTube:

https://youtu.be/8xzBeiTYZlI