Apa yang anda tahu mengenai agama minoriti?

Setiap agama tidak lepas daripada konfliknya tersendiri. Konflik boleh sahaja berlaku antara penganut agama dengan penguasa agama, penganut agama tertentu dengan penganut agama lain. Konflik tersebut mungkin sahaja berpunca daripada perbezaan pendapat dalam perkara teologi dan pelaksanaan sesuatu hukum agama.

Konflik lain mungkin juga berpunca daripada para politikus yang sewenang-wenangnya ingin meneruskan dasar pecah dan perintah dengan mengapi-apikan isu yang dianggap sensitif bagi mendapat perhatian golongan fanatik agama yang kurang faham tentang sesuatu isu.

Stigma, prejudis, diskriminasi adalah ancaman serta cabaran normal yang dihadapi kepada penganut agama minoriti diseluruh dunia. Realiti lebih menyakitkan apabila agama minoriti seringkali dijadikan alat untuk menindas bagi juak berkepentingan penganut agama majoriti.

Dalam Bengkel Kemajmukan Agama anjuran Projek Dialog pada 7 Mac 2015 lalu, saya mempelajari bahawa kelompok agama minoriti juga merujuk kepada kelompok penganut agama majoriti yang sama tapi berlainan mazhab.

Lebih parah mazhab ini tidak diterima kerana agama majoriti tersebut telah dilabelkan mengikut mazhab yang direstui pihak pemerintah dan penguasa agama.

Saya ingin merujuk kepada pengikut Ahmadiyyah dan Syiah yang mendakwa mereka adalah Islam tetapi tidak diterima oleh kerajaan dan difatwakan sesat oleh JAKIM. Berdasarkan perkongsian daripada para panel, saya terkejut apabila mereka mengatakan ada intimidasi dari segi hak bersembahyang di masjid oleh pihak penguasa dan sekatan terhadap penyebaran ajaran mereka.

Perselisihan faham penganut arus perdana Muslim Malaysia terhadap Ahmadiyyah lebih berkisar kepada pengasas gerakan Ahmadiyyah iaitu Hazrat Mirza Ghulam Ahmad. Dalam fahaman Ahmadiyyah, Hazrat Mirza Ghulam Ahmad dianggap sebagai nabi dan Imam Mahdi yang dijanjikan, berdasarkan tafsiran dalil Quran dan hadith, dan disokong oleh pertolongan-pertolongan daripada Allah. Nabi Isa AS dipercayai telah wafat, dan yang Nabi Isa yang ditunggu-tunggu oleh Islam dan Kristian bukanlah Nabi Isa yang dahulu, tetapi akan lahir seseorang yang menggunakan istilah Nabi Isa sesuai dengan ayat Al-Quran dan Hadis. Ini berbeza dengan fahaman kebanyakan umat Islam bahawa baginda tidak dimatikan namun hanya diangkat bersama Tuhan. Penting sekali, mereka menegaskan bahawa selain daripada perkara-perkara utama tersebut, mereka adalah Islam seperti yang lain, percaya kepada rukun Iman 6 Perkara dan rukun Islam 5 Perkara yang sama.

Bagi penganut agama Hindu, panelis berkongsi bahawa penganut Hindu di Malaysia mempunyai 6 mazhab utama. Diterangkan juga bahawa Hindu bukanlah agama pada dasarnya tetapi lebih kepada ajaran kehidupan.

Tambahan pula, Hindu bukanlah agama dakwah seperti agama lain dan ianya tersebar akibat migrasi serta asimilasi ajaran terhadap kaum dan bangsa mengikut geografik di Asia.

Antara cabaran yang dihadapi penganut Hindu di Malaysia adalah konotasi negatif  akibat salah faham penganut lain yang mengatakan Hindu mengamalkan politheisme. Ini disangkal oleh panelis, yang mengatakan bahawa Hindu juga percaya kepada satu Tuhan yang dimanifestasikan dalam jutaan jelmaan mengikut pengalaman manusia.

Berlainan pula dengan agama Kristian, meskipun minoriti dengan penduduk 9.2% Malaysia; terdapat juga pelbagai konflik dalaman dan luaran yang berlaku terhadap penganut agama Kristian. Konflik dalaman lebih kepada perebutan pengikut antara denominasi dan fahaman.

Perebutan yang dimaksudkan ini dimana terdapat dakwaan bahawa penganut Kristian ajaran Katolik selalu menjadi sasaran dakwah Kristian Protestan yang kelihatan agresif mencari penganut baru.

Penganut Kristian Katolik membentuk kelompok majoriti kira-kira 1 juta daripada 9.2% umat Kristian di Malaysia. Menurut panelis bagi pihak Kristian yang merupakan seorang Katolik, perebutan ini berlaku kerana umat Kristian bukan Katolik amat serius mendakwa bahawa umat Katolik adalah bukan Kristian dan mereka perlu didakwahkan supaya beroleh keselamatan.

Disamping itu, faktor umat Katolik sendiri yang tidak mendalami ajaran Katolik dengan baik juga penyumbang kepada perpindahan ke gereja aliran lain.

Konflik luaran umat Kristian amat dipengaruhi oleh faktor teologi dan politik. Rata-rata umat majoriti Islam seringkali merasa diri mereka diancam oleh gerakan Kristianisasi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian merupakan agama dakwah atau misionaris. Namun, intimidasi terhadap umat Kristian dengan penerbitan buku-buku dan forum anti-Kristian merupakan cabaran yang perlu ditangani.

Umat Kristian sendiri dalam diam juga mempunyai prejudis terhadap umat Islam. Tidak hairan elemen Islamofobia ada juga diterapkan oleh segelintir gerakan Kristian kerana ingin menuntut bela mempertahankan agama mereka sendiri.

Cuma beza dengan Islam, ianya dilakukan secara tertutup dan tersembunyi manakala elemen Kristianofobia bagi kalangan penganut Islam dilakukan secara terang-terangan seperti forum di UiTM pada Mei 2014.

Iktiraf kebebasan dan kepelbagaian agama dan fahaman

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menuntut toleransi yang tinggi oleh semua orang. Perbezaan serta konflik merupakan sesuatu yang perlu dihadapi dengan tenang dan positif berbanding provokasi dan prejudis. Dialog, forum dan aktiviti kemasyarakatan antara pelbagai agama, serta rumah terbuka wajar dipergiat dengan sungguh.

Jikalau berbicara mengenai persoalan iman manusia yang beragama, saya berpendapat iman adalah rahmat, memerlukan akal budi dan sewajarnya bebas untuk memilih. Iman adalah rahmat jika yang percaya betul-betul ikhlas mencari kebenaran masing-masing tanpa ada rasa ‘membodek Tuhan’.

Iman memerlukan akal budi kerana setiap manusia wajar mendalami dan mempersoalkan apa yang mereka percaya dan sentiasa melakukan kebaikan dalam konteks kemanusiaan sebenar. Ianya bebas untuk memilih kerana fitrah manusia sewajarnya tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akal budi mereka.

Saya amat menghormati konteks sebenar kebebasan beragama. Bagi saya kebebasan beragama sewajarnya diangkat sebagai martabat hak asasi manusia bagi semua orang. Saya percaya jikalau kebebasan beragama tidak dizahirkan dengan betul, amat sukar bagi kita melihat kehormonian dalam kepelbagaian masyarakat.

Adalah lebih wajar jikalau setiap penganut agama memfokuskan “faith in action” iaitu iman dalam perbuatan bagi menyelesaikan pelbagai kemelut masalah masyarakat berbanding mencari perbezaan teologi serta intimidasi antara satu-sama lain.

Akhir kalam, untuk memupuk keharmonian dalam pelbagai agama adalah harus kerana hidup bermasyarakat menuntut kita untuk berkongsi rasa kemanusiaan yang sama. Usaha masyarakat, NGO, kerajaan dalam mengetangahkan dialog seumpama Bengkel Kemajukan Agama wajar diteruskan dan diperkenalkan di pelbagai tempat di Malaysia.

unnamed