Apabila Islam Adalah Minoriti

Apabila setiap mahasiswa/mahasiswi mengimbas kembali detik-detik pengajian mereka di universiti, pasti ada memori tertentu yang meninggalkan kesan seperti jejak yang tidak dapat dipadamkan.

Suatu hari pada bulan Februari 2015, saya dan rakan-rakan yang belajar di Amerika dikejutkan dengan pembunuhan kejam tiga pelajar beragama Islam di Chapel Hill, North Carolina. Deah Barakat, Yusor Mohammad Abu Salha, dan Razan Mohammad Abu Salha adalah pelajar cemerlang dan giat meluangkan masa untuk melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan seperti memberi makanan dan bekalan pergigian kepada golongan gelandangan.

Lebih sukar dipercayai daripada kejadian mengerikan itu adalah liputan media dan respons daripada sesetengah orang di Amerika. Begitu mudah mereka mengenepikan tragedi ini sebagai sebuah kes biasa akibat pergaduhan merebut “parking lot”. Hanya orang yang naif tahap budak tadika boleh mempercayai alasan itu.

Bayangkan kalau identiti mangsa dan penembak diterbalikkan. Sang propaganda media pasti membuat liputan 24 jam mengeluarkan pelbagai teori sensasi dan mempersoalkan sama ada Muslims dapat hidup bersama komuniti lain di Amerika. Tidak dilupakan juga label “terrorists” yang hanya dikenakan kepada pengganas beragama Islam.

Pada pendapat saya, golongan media, pelobi, dan ahli politik konservatif tidak dapat lari dari bertanggungjawab atas insiden Chapel Hill. Rhetorik mereka tiap-tiap hari yang menanam kebencian dan ketidaktoleransian sedikit sebanyak membawa kepada tragedi ini. Apabila golongan yang berpengaruh saban hari mencetuskan ketakutan dalam kalangan pengikutnya, kita hanya menunggu waktu sebelum tragedi berlaku.

Sejurus selepas kejadian Chapel Hill, saya memerhatikan kerimasan rakan-rakan saya beragama Islam terutamanya kaum wanita yang memakai tudung. Ada beberapa kawan berkongsi kegelisahan mereka kerana pemakaian “hijab” sangat ketara menunjukkan bahawa mereka adalah Muslims. Ada ibubapa yang risau dan memberitahu anak mereka supaya tidak perlu memakai hijab pada waktu tersebut.

Tapi kawan-kawan saya teguh dengan pendirian mereka. Nasib baik tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku, malah ada kawan yang memberitahu bahawa ada sahaja orang yang tidak dikenali memberi sokongan dan galakan ketika menaiki bas atau berjalan ke kelas. Bukan semua orang Amerika jahat. Ramai juga yang menunjukkan tanda solidariti dan mengutuk “hate crime” tersebut.

Islam di pinggiran

Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka.

Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan.

Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims.

Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian.

Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku.

Diskriminasi dan penindasan

Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika.

Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul?

Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana.

Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011.

Hipokrisi?

Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka.

Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti.

Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka?

Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka?

Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti.

Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang.

Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas.

Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”

unnamed