Apakah Kita Bertanggungjawab Membantu Orang Lain?

 

Moral Dilemma

Dilema Moral

Bayangkan seorang kenalan yang sudah lama tidak ketemu, tiba-tiba muncul di hadapan rumah. Belum sampai 10 saat bertegur sapa, dia meminta kamu meminjamkan duit kepadanya. Seminggu selepas itu, dia nak pinjam lagi.

Itulah yang saya alami dua minggu lalu. James (bukan nama sebenar) adalah kawan sekolah rendah yang tinggal berdekatan rumah saya. Kami tidak berhubung selepas sekolah rendah.

Ada berita mengatakan dia tidak berjaya tamat SPM, malah terlibat dalam gengsterisme dan hal-hal yang melanggar undang-undang.

Kali terakhir saya dengar tentang James adalah lebih kurang 3-4 tahun yang lalu. Khabar angin mengatakan dia ditahan polis kerana menjual CD cetak rompak. Malah, ibunya telah melarikan diri dengan adik perempuannya.

Apabila James datang meminta duit, saya keberatan hati untuk meminjamkannya. Berbaur rasa takut, sedih, simpati, kecewa, dan marah. Hati manusia tidak dapat diselam.

Adakah dia berasa sedih dan malu terpaksa menggadaikan maruah meminta duit daripada rakan kerana keadaan yang terdesak?

Jika begitu, memang patut saya menolongnya. Atau adakah dia bergembira selepas mendapat duit itu dan menganggap saya sebagai sumber duit yang mudah?

Apa peri pentingnya peristiwa ini? Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang tidak harus hanya diketepikan.

Rezeki – Empunya Kita Sahaja?

Pertamanya, apakah pendapatan saya milik saya sepenuhnya? Katakanlah gaji bulanan saya RM 2,500. Saya bekerja bertungkus-lumus setiap hari dan pada hujung bulan, saya dapat gaji. Adakah gaji itu milik saya seorang sahaja?

Mungkin ya, kerana itu adalah hasil titik peluh saya.

Tapi pada masa yang sama, ada suara dalam hati saya yang mengatakan tidak. Kerana walaupunpun saya ingin berpendapat sebaliknya, sebarang kejayaan dan gaji saya bukan pencapaian saya seorang.

Contoh paling mudah ialah ibu bapa yang telah banyak berkorban supaya saya dapat menyambung pendidikan di menara gading. Sudah tentulah sebaik sahaja mendapat gaji, saya patut memberi sebahagiannya kepada mereka.

Dalam nada yang sama, kehidupan bermasyarakat menjamin bahawa tiada seorang pun yang hidup terpulau bersendirian. Kita saling bergantung dalam masyarakat.

Jika tiada guru yang mengajar saya, atau pembayar cukai yang membiayai perbelanjaan kerajaan, penjual makanan yang jujur, pemandu bas awam yang menepati masa, dan buruh asing yang membersihkan ruang awam, saya tidak akan dapat menumpukan perhatian dan membuat kerja saya dengan efisien.

Dengan erti kata lain, saya merupakan sebahagian daripada masyarakat yang dapat menikmati kesenangan hasil daripada jasa dan peranan orang lain. Maka, saya juga terhutang budi kepada masyarakat.

Community

Makna Hidup Bermasyarakat

Apabila kita hidup dalam sebuah masyarakat, setiap orang mempunyai suatu peranan, tanggungjawab atau kewajipan terhadap masyarakat.

Tidak wajar sekiranya kita hanya ingin menikmati kesenangan daripada keamanan dan keharmonian masyarakat, namun lokek meringankan beban orang lain.

Keduanya, adakah saya mempunyai hak mutlak untuk memutuskan bagaimana saya membelanjakan gaji?

Contohnya, adakah ia bermoral untuk membeli sehelai baju H&M yang berharga RM 50, sedangkan wang tersebut boleh membantu golongan yang kelaparan?

Ketiga, bagaimana saya dapat membantu dengan cara yang betul?

Pernah seorang aktivis memesan di media sosial bahawa kita tidak harus memberi duit kepada pengemis jalanan. Mungkin mereka sebahagian daripada sindiket.

Meminta-minta

Sebaliknya, beri makanan dan minuman kepada mereka, dengari kisah-kisah mereka, dan berikan wang kepada NGO atau pertubuhan kebajikan yang lebih mengetahui cara-cara membantu golongan susah secara efektif.

Memberi duit adalah perkara yang mudah. Untuk betul-betul membantu, ia memerlukan masa dan tenaga. Jika kita tidak mampu, mungkin kita boleh berikan wang kepada organisasi atau individu yang boleh berbuat demikian.

Bila saya renung kembali, saya memberikan wang kepada James pada kali pertama kerana ia cara mudah untuk membuatkan dia beredar dari rumah saya.

Saya tidak memberi wang pada kali kedua kerana saya takut, tidak mahu dia bergantung kepada saya, dan juga kerana mementingkan diri.

Saya tidak punyai jawapan untuk persoalan yang dibangkitkan. Yang saya tahu adalah wujudnya ramai lagi James di luar sana.

Menyelubungi diri dengan kesenangan manakala melupakan yang susah adalah suatu sikap yang tidak dapat dipertahankan secara moral. Saya/Kita perlu memikirkan cara atau mengenalpasti saluran efektif untuk membantu mereka.

Penulis adalah penyelidik di Penang Institute dan presiden Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)