Apartheid Senyap

Apartheid

Apartheid – Apa Maksudnya?

Tahun 2002, Rome Statute of International Criminal Court telah memfailkan “apartheid” sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Istilah “apartheid” bermaksud pemisahan kaum. Aprtheid merujuk kepada sistem yang mengamalkan diskriminasi  perkauman.

Di Afrika Selatan, semenjak tahun 1948 sehingga 1994 – dasar “Apartheid” digubal melalui pengabsahan sistem undang-undang oleh Parti Kebangsaan. Kesannya, kaum kulit hitam didiskriminasi sebagai warga kelas kedua.

Timbul idea “keperkasaan orang putih” (white supremacist) yang didukung kelompok ultra perkauman yang merasakan warga kulit putih lebih layak mendapat keistimewaan berbanding kulit hitam.

Pada masa yang sama, muncul seorang pejuang kulit hitam yang akhirnya bangkit menentang penindasan berdasarkan warna kulit di Afrika Selatan.

Namanya Nelson Rolihlala Mandela atau lebih dikenali dunia sebagai Nelson Mandela. Akibat ketidaksenangan beliau terhadap dasar pilih kulit sang pemerintah, beliau memimpin gerakan African National Congress (ANC).

Melalui ANC, beliau melancarkan siri protes, mogok dan demonstrasi menuntut hak samarata tanpa mengira kaum.

Tahun 1962, beliau dan beberapa pimpinan ANC lain ditangkap atas tuduhan menjatuhkan kerajaan Afrika Selatan. Akhirnya, beliau ditangkap dan disumbat ke dalam penjara selama puluhan tahun.

Penahanan beliau mencetus penduluan yang baru, dimana beliau sosok yang paling lama dipenjarakan. Beliau dibebaskan pada tahun 1990, sekaligus memegang rekod tahanan politik paling lama dalam sejarah dunia moden.

Setelah dibebaskan, beliau tidak pernah putus asa meneruskan perjuangan. Perjuangan apa? Perjuangan menuntut hak kemanusiaan.

Sejarah Apartheid – Peninggalan Kolonialisme

Dasar apartheid juga sebahagian daripada warisan kolonial penjajah. British memulakan dasar Apartheid di negara-negara jajahan mereka termasuklah India, Kenya dan Malaysia.

ColonialismDasar pecah dan perintah menerusi aktiviti ekonomi diperlukan British untuk memastikan kaum tani dan buruh tidak bangun melawan.

Ini kerana pengalaman imperialis seperti Belanda di Indonesia mengajar British bahawa percampuran etnik bakal meledakkan kebangkitan mereka menentang penjajahan.

Hal yang sama diutarakan oleh pemikir Afrika-Caribbean bernama Franz Fanon. Fanon menjelaskan dalam ‘The Wretched of Earth”, kesedaran melawan penjajah bermula  melalui proses pembudayaan kebangsaan atau “National Culture”.

Menurut Fanon lagi, seruan ke arah anti-penjajahan perlulah dicermati dengan asas perpaduan dan kebersamaan golongan tertindas.  Golongan tertindas ini tidak mengira samada mereka berbangsa Melayu, Cina mahupun India.

Semua daripada kesukuan terbabit merupakan subjek kepada penjajahan.

Tenaga buruh mereka dieksploit supaya para penjajah mengaut keuntungan modal yang besar. Dengan adanya intergrasi di antara suku-etnik yang berbeza, mereka akan bersama-sama menatijahkan aspirasi untuk bersatu menghalau penjajah kolonial.

Semangat kesukuan tidak lagi penting kerana perlawanan menentang penjajahan lebih besar maknanya. Lantaran, ini adalah alasan mengapa British begitu takutkan perpaduan kaum di Tanah Melayu.

Apartheid di Malaysia Sekarang?

Bahkan, tiada beza juga dengan UMNO dan Barisan Nasional yang takutkan perubahan politik atas semangat kekitaan, sebagai warga Malaysia.

Sebelum Merdeka, aktiviti sosio-ekonomi dipisah-pisahkan supaya proses kesedaran ke arah kemerdekaan akan berlanjutan.

Jadi, sepanjang masa itu, British dapat memungut segala hasil kekayaan Tanah Melayu dengan pantas, tanpa menghiraukan kaum buruh dan tani ini sedar bahawa mereka sedang dimanipulasi.

DEBKaum Melayu digalakkan untuk bercucuk-tanam dan terlibat dengan agenda ekonomi perladangan. Manakala, kaum Cina  terlibat dalam aktiviti perniagaan. Kaum India pula dibiarkan melarat sebagai buruh paksa di ladang-ladang sawit milik orang kaya British.

Tidak banyak beza dapat diungkapkan dengan realiti pada hari ini. Cuma, struktur dan pelakunya sahaja berbeza.

Jika dahulu, “Apartheid” dikuatkuasakan British, kini ia diusahakan UMNO. Dahulu, pihak British bertindak sebagai penguasa, kini UMNO pula yang mengambil alih tampuk pemerintahan.

Masalah yang berlanjutan pada hari ini sebenarnya adalah pengulangan sejarah  lampau.

Pihak UMNO-Barisan Nasional mencerakinkan perpaduan antara kaum yang terbina sejak tahun 1957, dengan agenda ekonomi perkauman Dasar Ekonomi Baru.

Di dalam Dasar Ekonomi Baru menjelang 1971-1990, dasar yang diperkenalkan bukan bertujuan untuk membela kebajikan rakyat. Tetapi, dijadikan modal survival parti politik untuk mendapatkan kepercayaan orang Melayu.

Kegagalan Dasar Ekonomi Baru untuk memenuhi kuota 30% ekuiti Bumiputera merencatkan lagi pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Kesannya, jurang pendapatan di antara kelas menengah rendah dan kelas menengah atas semakin meningkat.

Golongan Bumiputera merupakan pemegang ekuiti terendah di dalam ekonomi. Hampir 60% daripada kelas menengah rendah yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000/bulan merupakan Bumiputera.

Bukankah dasar ekonomi perkauman ini ternyata gagal?

Ketuanan Melayu, Apartheid Senyap & Fasisme

Setelah gagal mendapatkan kepercayaan majoriti orang Melayu, UMNO bertekad untuk memastikan agenda ‘Apartheid Senyap’ mereka berhasil.

Ucapan Abdullah Ahmad yang menyeru “Ketuanan Melayu” di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004, menguatkan lagi hujah bahawa UMNO mempunyai ciri-ciri “Apartheid kecil”.

Malah, konsep ketuanan Melayu sama sekali tidak ubah seperti kebangkitan pemimpin Nazi, Adolf Hitler dengan idea ‘Bangsa Aryan’ dan ideologi fasisme.

UMNO

UMNO semakin ketara umpama parti ultra-perkauman melampau. Mereka menyerang agenda muafakat kaum lain yang tidak sebulu dengan mereka.

Alasan bahawa orang Melayu dan Islam bakal tertindas jika PR memenangi pilihanraya sedang bertebaran dimana-mana. DAP sering menjadi mangsa belasahan UMNO dan gengsi-gengsi mereka.

Bahkan DAP difitnah sebagai agen pemurtadan ummah, pencetus idea negara Kristian, talibarut Komunis, perisik Lee Kuan Yew….. dan pelbagai lagi tohmahan yang tidak berasas.

Kemunculan gerakan seperti PERKASA, di bawah pimpinan Ibrahim Ali yang disifatkan pro-pemerintah menjadi alat untuk UMNO menyebarkan ketakutan. Perihal sama, PERKASA mengeluarkan sentimen berbaur perkauman dan hasutan.

Baru-baru ini, mereka bertindak di luar dugaan. Ugutan untuk membakar kitab suci Injil adalah satu penghinaan terhadap kesucian dan kebebasan beragama.

Atas alasan yang sama, motif “Apartheid Senyap” ini hanya satu. Mereka mahu menggerakkan kempen fasisme dengan menyebarkan risalah kebencian terhadap kaum lain.

Kekalutan sebegini dibiarkan sahaja oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional meskipun pelbagai laporan polis dibuat berikutan tindakan ekstremisme PERKASA dan agen Pro-Ketuanan Melayu, yang mula mengancam perpaduan kaum yang menjadi sendi kepada masyarakat Malaysia.

UMNO tidak lebih seperti “Apartheid Senyap”. Mereka secara perlahan-lahan bergerak dengan politik perkauman kerana takutkan kebangkitan rakyat melawan pembodohan yang mereka cipta.

Walhal, meraka adalah parti pemerintah sekaligus kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat.

Tindakan tidak bermoral seperti PERKASA wajar dibantah dan diselidiki dengan serius sekali.

Langkah berdiam diri tak langsung membantu untuk melunaskan semula api-api perselisihan yang kian marak.

[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 11 Februari 2013]