Bebaskan Lena Hendry: Mangsa Ketidakadilan Undang-undang Penapisan

Lena Hendry telah didapati bersalah pada 21 Februari 2017 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menayangkan filem “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri lanka”, sebuah filem berkenaan perlanggaran hak asasi manusia yang berlaku ketika perang saudara di Sri Lanka. Hukuman beliau akan dibacakan pada 22 Mac 2017.

Lena Hendry merupakan seorang pejuang hak asasi manusia serta bekas Penyelaras Program PUSAT KOMAS. Beliau telah ditahan pada 3 Julai 2013 dan telah didakwa di bawah sebuah undang-undang drakonian, Seksyen 6 Akta Penapisan Filem, 2 bulan kemudian selepas penayangan filem tersebut.

Selepas mengharungi proses perbicaraan yang rumit dan panjang selama hampir 3 tahun, beliau akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 10 Mac 2016.

Namun begitu, pihak pendakwaraya telahpun merayu keputusan tersebut dan Lena telah didapati bersalah kerana menayangkan filem dokumentari tersebut tanpa mendapatkan ‘permit penapisan’ seperti yang ditetapkan di bawah akta penapisan filem yang ketat di Malaysia.

Solidariti bersama Lena Hendry oleh Fahmi Reza

Kami percaya bahawa penahanan Lena telah dibuat secara arbitrari dan beliau dengan secara sengaja dijadikan sasaran.

Kami tertanya-tanya akan sebab pihak polis tidak menahan teman-teman Lena yang turut sama hadir dalam program tersebut tetapi Lena pulak dimangsakan dan didakwa melakukan kesalahan.

Tindakan ‘double standard’ ini mempamerkan tuduhan pihak pendakwaraya yang tidak konsisten dan penyabitan beliau atas tindakan menyiarkan sebuah filem dokumentari adalah tidak munasabah.

Peguam pembelaan Lena juga telah jelas menunjukkan bahawa pertuduhan yang dibuat keatas beliau adalah diatas desakan kedutaan Sri Lanka yang tidak berpuas hati dengan penyiaran filem dokumentari ini yang mendedahkan pencabulan hak asasi manusia di Sri Lanka.

Kami berasa amat risau bahawa pihak penguatkuasa Malaysia mengutamakan keinginan dan hasrat kerajaan asing untuk menentukan filem yang boleh ditonton atau tidak di Malaysia.

Perkara yang lebih membingungkan adalah bahawa sejak Lena ditahan, filem dokumentari ini telah disiarkan oleh organisasi-organisasi lain tetapi mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang atau tangkapan oleh agensi-agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa, terutamanya bahagian filem di Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Salah satu insiden adalah apabila sebuah NGO menayangkan filem yang sama di tempat yang sama, hanya seminggu selepas kejadian penyiaran KOMAS.

Walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri turut hadir dalam insiden ini, pihak penganjur dan acara anjuran diteruskan tanpa sebarang halangan.

Insiden yang paling jelas mononjolkan perkara ini adalah di mana filem ini ditayangkan di Persidangan Pencegahan Rasuah Antarabangsa 2015 (IACC) yang telah dianjurkan di Kuala Lumpur, dan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan oleh pihak berkuasa.

Undang-undang penapisan filem di Malaysia memerlukan semua filem ditapis sebelum disiarkan, tetapi pada realitinya undang-undang ini digunakan untuk mengawal masalah cetak rompak filem dan produk, dan untuk mengawal selia pengedaran filem secara komersial dan penayangan di pawagam.

KOMAS telah menganjuran tayangan filem sebagai salah satu aktiviti pendidikan dan kesedaran awam, sejak 20 tahun yang lalu. Malah kita telah berjaya menganjurkan ‘Freedom Film Fest’, sebuah pesta tayangan dan pertandingan filem-filem hak asasi manusia sejak tahun 2003.

Oleh yang demikian, mengapakah pihak penguatkuasa Malaysia masih berkeras meneruskan kes Lena dengan merayu di Mahkamah Tinggi, walaupun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada awalnya kerana Mahkamah tersebut mendapati tiada ‘prima facie’ dalam kes beliau?

Di bawah Akta Penapisan Filem, sabitan Lena membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun penjara dan/atau denda tidak melebihi RM 30,000.

Penyabitan yang tidak adil ini akan menyelar beliau dengan rekod jenayah yang akan memberi kesan kepada beliau seumur hidup dari segi mendapat pekerjaan, pinjaman bank atau haknya untuk melancong ke luar negara.

Ini amat membimbangkan dan tidak munasabah bahawa seseorang itu boleh dihukum kerana ingin meningkatkan tahap kesedaran orang ramai, dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terpinggir yang menderita akibat kekejaman pencabulan hak asasi manusia.

Tambahan pula, walaupun kegagalan beliau untuk mendapatkan permit untuk menayangkan filem tersebut adalah satu kesalahan di bawah undang-undang, namun kegagalan tersebut hanyalah satu kesalahan dari segi prosedur dan tidak wajar dihukum dengan hukuman penjara dan denda yang tinggi.

Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan bahawa Perkara 10 di Perlembagaan Malaysia memberi jaminan kepada warganegara Malaysia bahawa mereka mempunyai hak kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan.

Pihak Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) menyifatkan hukuman penyuaraan pendapat mengenai fakta sejarah merupakan pelanggaran prinsip-prinsip ICCPR Konvensyen mengenai Hak Sivil dan Politik Internasional).

Filem dokumentari ini dan penyebarannya mengandungi ungkapan pendapat tentang apa yang berlaku semasa perang sivil di Sri Lanka, dan hak untuk membincangkan peristiwa politik masa lalu secara terbuka adalah satu-satunya asas kepada nilai-nilai yang disemai dalam ICCPR.

Pendakwaan Lena Hendry dibawah Akta ini telah menunjukkan bahawa tindakan kerajaan Malaysia adalah bertentangan dengan perlembagaan dan komitmennya terhadap ICCPR.

Satu penyelidikan yang dibuat oleh Majlis Peguam Amerika telah mendapati bahawa Akta Penapisan Filem Malaysia jauh lebih tegas berbanding pelbagai bentuk penapisan lain di Asia.

“Walaupun penapisan filem di rantau ini amat prevalen, hanya segelintir negara mempunyai kuasa mutlak atas filem dalam negara seperti di Malaysia.

Kuasa unik Malaysia dalam mengawal filem tidak terhad kepada filem-filem tayangan umum, tetapi juga filem-filem milik persendirian, menjadikan undang-undang Malaysia ketat secara unik,” kata laporan itu.


Oleh itu, kami membantah sekeras-kerasnya penganiayaan dan sabitan Lena Hendry dan menyeru kerajaan untuk menyelaraskan undang-undang mengikut piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk menghormati hak asasi rakyat untuk memilih filem yang boleh ditonton atau tidak boleh ditonton, berdasarkan prinsip-prinsip kebebasan bersuara dan informasi.

Hentikan pendakwaan yang tidak waras dan tidak adil terhadap pembela hak asasi manusia.

Bebaskan Lena Hendry serta merta.

Pusat KOMAS,
27 Februari 2017