Biar khatib berkhutbah

Hampir setiap Jumaat, penulis akan menunaikan ibadat solat Jumaat di Masjid India, Kuala Lumpur. Masjid tersebut terletak berdekatan dengan pejabat penulis, tetapi penulis masih perlu menaiki kereta untuk ke sana. Walaupun ada masjid yang lebih dekat dengan pejabat penulis, malahan boleh berjalan kaki, penulis masih sanggup ke Masjid India jika berkesempatan.

Ada pelbagai sebab mengapa penulis mahu menunaikan solat Jumaat di sana. Pertama, ia terletak di sebuah kawasan di Kuala Lumpur yang penulis gemari. Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak masih mengekalkan panorama yang sama, jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur yang lain.

Penulis juga tertarik dengan masjid itu sendiri, sebuah masjid yang dikendalikan oleh kaum India-Muslim sejak seabad lalu. Berbanding dengan masjid-masjid lain di ibu kota yang gah, rekabentuk Masjid India yang sederhana masih mempunyai tarikannya tersendiri.

Tetapi, sebab utama mengapa penulis lebih gemar menunaikan solat Jumaat di Masjid India adalah kerana khutbahnya. Atau lebih khusus lagi, khutbahnya yang disampaikan dalam bahasa Tamil. Dan pemahaman bahasa Tamil penulis amatlah terhad kepada beberapa patah perkataan sahaja.

Bukannya penulis tidak mahu mendengar khutbah. Penulis bukan jenis yang berlegar di luar masjid ataupun menikmati makanan ketika khatib menyampaikan khutbah. Penulis sebenarnya gemar mendengar khutbah dan menambah ilmu agama di dada, yang masih banyak kurangnya.

Semasa penulis mengaji di Cardiff, United Kingdom, penulis amat menggemari khutbah yang disampaikan di  masjid yang berhadapan dengan rumah sewa penulis. Walaupun ia kadangkala ia mempunyai mesej politik, ia masih menarik dan disampaikan dengan bersulamkan pengajaran dan pengisian tentang Islam. Selalunya ia disampaikan dalam bahasa Inggeris, tetapi kadangkala bahasa Arab digunakan dan ada terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Tidak lama dahulu, di sebuah masjid di Petaling Jaya ada seorang khatib yang menyampaikan khutbah dengan bermelodi. Khutbahnya sedikit panjang berbanding dengan khatib-khatib lain, tetapi ia penuh dengan pengisian tentang agama. Penulis amat menggemari khutbah-khutbah yang disampaikan oleh khatib tersebut. Malangnya, khatib tersebut dengar cerita tidak lagi menyampaikan khutbah di masjid tersebut dan penulis tidak tahu apa yang terjadi kepadanya.

Tetapi, rata-rata khutbah yang disampaikan di Malaysia membangkitkan perasaan negatif dalam diri penulis. Sebab itu penulis lebih rela mendengar khutbah dalam bahasa Tamil. Sekurang-kurangnya, penulis boleh menenangkan diri tanpa memikirkan hal dunia sambil menunggu masa menunaikan solat.

Masalah khutbah kita adalah ianya ditentukan oleh pihak yang berkuasa. Jadi, khutbah itu dijadikan saluran untuk menyebarkan ‘maklumat’ yang hanya memenangkan mereka. Lihat sahaja khutbah beberapa minggu lepas yang memuji pengumuman kerajaan untuk ‘memperkasakan ekonomi’ bumiputera.

Penulis sendiri tidak tahu bagaimana program-program yang memberi kelebihan berdasarkan kaum boleh dianggap selari dengan Islam, tetapi nampaknya bijak-pandai agama yang menyediakan teks tersebut tidak sependapat dengan penulis.

Tidak lupa juga baris-baris di dalam teks khutbah yang disediakan untuk masjid-masjid di Kuala Lumpur pada bulan April yang lalu yang bertajuk “Menepati janji, membawa harapan”:

Lihat dan pertahankanlah apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah negara hari ini demi menjaga kesucian agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan juga harta. Semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat yang bijaksana, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan menghargai pihak pemerintah dan bandingkanlah keadaan kita dengan umat Islam di negara-negara jiran.

Untuk konteks, khutbah ini disampaikan semasa negara mengalami musim pilihanraya. Kebetulan?

Khutbah juga digunakan untuk menyerang apa yang ditakrifkan sebagai ‘musuh Islam’, tetapi lebih tepat sebenarnya jika kita katakan bahawa mereka adalah ‘musuh pihak yang memegang tampuk kuasa’. Contohnya pada tahun 2011 masjid-masjid di Kuala Lumpur menyampaikan khutbah yang menyerang penganjur Bersih 2.0 dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, LBGT  dan penganut agama Kristian juga sering menjadi sasaran mereka yang menyediakan teks khutbah Jumaat.

Tidak hairanlah ada makmum yang bercakap, tidur, ber-Facebook atau tweet atau makan cendol di luar masjid. Jangan salahkan makmum yang tidak menghayati khutbah sekiranya khutbahnya sedemikian. Jangan terkejut sekiranya orang bukan Islam yang mendengar khutbah atau membaca teks khutbah mempunyai tanggapan negatif tentang agama kita. Bagaimana mahu menunjukkan keindahan agama Islam sekiranya mesej yang disampaikan sering menyerang agama lain?

Bukan niat penulis untuk menetapkan apa yang patut disampaikan. Kepakaran dan ilmu penulis tidak di situ. Tetapi penulis merasakan bahawa terdapat peluang dalam masa setengah jam setiap minggu untuk menyampaikan khutbah yang benar-benar bermanfaat kepada para makmum. Sia-sialah sekiranya peluang itu digunakan sebagai saluran propaganda.

Penulis berpendapat bahawa penyelesaiannya adalah dengan memberi kebebasan kepada setiap khatib untuk menyampaikan khutbahnya. Kita perlu bebaskan khutbah kita dari tangan pihak berkuasa agama dan kembalikannya kepada khatib-khatib kita. Biar mereka tentukan apa yang mereka ingin sebarkan kepada makmum, bukan pihak berkuasa agama. Biar khatib-khatib kita menjadi sumber maklumat, bukan setakat penyampai maklumat yang ditentukan oleh pihak atasan.

Ya, mungkin ada khatib yang masih menyampaikan puji-pujian dan penghargaan kepada pihak yang berkuasa. Mungkin juga masih ada yang akan menyebarkan mesej negatif tentang agama lain. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kemungkinan bahawa khatib akan menyampaikan khutbah yang bermanfaat, seperti khatib bermelodi yang pernah menyampaikan khutbah di sebuah masjid di Petaling Jaya suatu ketika dahulu.

Bebaskan khutbah kita, biar khatib yang berkhutbah!