Boikot sebagai revolusi tanpa pemimpin

“The first rule of good theatre is ‘Show, don’t tell.’ It applies to good political action as well”

-Carne Ross

Peristiwa penyerangan bertubi-tubi oleh Israel terhadap Gaza pada kali ini benar-benar mendukacitakan kita buat kali yang sudah menjadi lumrah dalam ceritera politik antarabangsa.

Hipokrasi media-media barat seperti BBC dan Skynews menunjukkan kepada kita betapa rosaknya institusi media yang beralih menjadi alat propaganda yang bukan sahaja menyebarkan informasi yang tidak tepat bahkan mempunyai ideologi yang mendukung keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Artikel saya pada kali ini tidak akan menyentuh secara mendalam sejarah pergolakan Palestin-Israel, pembentukan Israel 1948, dan peristiwa panjang usaha perdamaian dan gencatan senjata, penjanjian-perjanjian yang dikhianati dan sebagainya. Pergolakan yang berlaku Palestin ternyata bukanlah perkara baru bagi seluruh dunia , terutama kepada umat Islam.

Tumpuan saya, adalah kepada apakah yang boleh kita lakukan sebagai rakyat biasa, dari agama apa pun, dari bangsa dan budaya apa pun untuk bersama-sama bersolidariti secara padu dan berkesan bagi memberi mesej yang jelas kepada negara haram Zionis-Israel supaya rakyat dari seluruh dunia terutama di Malaysia benar-benar boleh membawa perubahan. Jawapan saya adalah, kita harus bermula dengan mengangkat kembali tradisi boikot dan memperkukuhkan mobilisasinya.

Sejarah kejayaan boikot

Perkataan boikot ini sejarahnya dari seorang British yang bernama Charles Cunningham Boycott.

Semasa menjadi agen yang menjaga tanah milik Lord Erne, beliau dipinggirkan dan ramai petani-petani yang memprotes meninggalkan penuaian dianjurkan oleh Irish Land League bagi membantah keputusan Lord Erne yang tidak mahu menurunkan harga sewaan tanahnya kepada 25%. Ini kerana hasil tuaian ketika itu tidak memberangsangkan.

Tindakan ini menyebabkan berlakunya boikot besar-besaran sehingga menyebabkan 50 Orangeman dari Pekan Cavan dan Monaghan terpaksa menawarkan khidmat sukarelawan membantu menguruskan tanah yang ditinggalkan itu. Proses memulihkan semula keadaan ini menelan belanja sehingga 10,000 pound untuk nilai tuaian berjumlah 500 pound. Dari sudut sejarahnya perkataannya sahaja telah menunjukkan kemampuan boikot untuk memberi impak dalam isu-isu yang diperjuangkan.

Begitu ramai sebenarnya yang sudah skeptikal akan keperluan boikot ini. Ramai yang berpendapat bahawa boikot tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah kerana kebergantungan kita terhadap produk-produk tertentu dan ketidakmampuan kita untuk menggantikan dengan produk yang lebih baik. Apatah lagi dalam kerana ekonomi antarabangsa dimana negara dunia ketiga misalnya terpaksa bergantung kepada produk-produk dan barangan import dari dunia maju kerana ketiadaan produk local yang mampu bersaing sehebat kualiti barangan luar.

Walaubagaimanapun, masih ramai yang saya kira tidak nampak bahawa boikot sebenarnya suatu kuasa massa yang tersembunyi akibat dari ketidakpedulian dan sifat ego masyarakat. Selain melontarkan kebencian yang melampau dalam terhadap Israel seumpama menyatakan hasrat ingin membunuh dan mendoakan kecelakaan mereka, boikot sebenarnya menjadi alternatif terbaik gerakan “non-violence resistance” yang telah terbukti berjaya sekiranya tindakan secara kolektif diambil.

Misalnya, pada tahun 1957, di Afrika Selatan,   Alexandra People`s Transport Action Committee (APTAC) dibentuk bagi berkempen memboikot dari menaiki bas yang harga tambangnya dinaikkan oleh Public Utility Transport Corporation (PUTCO). Kesedaran memboikot ini dilancarkan pada 7 Januari tahun yang sama dengan mereka beramai-ramai berjalan kaki dari Alexandra ke Johannesburg tanpa menaiki bas. Gelombang boikot ini juga disambut baik oleh penduduk Moroka dan Javabu yang turut bersolidariti walaupun tambang bas tidak dinaikkan di kawasan mereka.

Masyarakat pula menunjukkan sokongan yang padu dengan menumpangkan sebahagian penduduk yang ingin bergerak ke destinasi mereka.Mereka melaluinya dengan tabah sehingga terpaksa tidak keluar rumah kerana kepenatan akan tetapi teguh mempertahankan tuntutan mereka.

Akhirnya, tuntutan mereka berjaya melumpuhkan kepentingan industri bas dan rundingan dicapai pada bulan April dan seterusnya tuntutan kearah menyemak semula kadar gaji diteruskan pada June. Ini suatu kemenangan yang besar hasil susah payah masyarakat bersolidariti dengan teguh mempertahankan tuntutan.

Pad tahun 1930-an, selain melancarkan demonstrasi besar-besaran bagi mengambil garam di laut dalam usaha memecahkan monopoli Bristih terhadap garam yang merupakan nadi kehidupan masyarakat India, Mahatma Ghandi juga melancarkan boikot terhadap produk Bristih terutamanya kain kotton British dan menyeru lokal menggunakan kain kotton buatan tangan di rumah.

Gerakan ketidaktaatan sivil yang berterusan ini menyebabkan Ghandi ditangkap beberapa kali dan akhirnya perjuangan beliau membuahkan hasil apabila India mendapatkan kemerdekaannya pada Ogos 1947.

Banyak lagi contoh-contoh boikot yang berjaya membuahkan hasil seperti Delano Strike 1960, pimpinan Cesar Chavez bersama United Farm Workers (UFW) yang memprotes gaji terendah yang diterima pekerja anggur Filipina tidak seperti di negeri lain. Kempen dan kesedaran boikot ini menyebabkan hampir 14 juta rakyat Amerika memboikot pembelian buah anggur sehingga Delano terpaksa mengalah pada tahun 1969 dan menandatangi perjanjian dengan UFW.

Tidak lupa juga kejayaan Montgomery Bus Boycott, pimpinan Martin Luther King yang memboikot bas atas undang-undang Alambama yang rasis terhadap orang kulit hitam. Boikot ini berjaya sehingga kesnya di bawa ke mahkamah dan diisytiharkan “unconstitutional”

Kenapa boikot berjaya?

Boikot ini bukan suatu trend hipster mahupun kempen acah-acah jika tujuannya untuk memberi impak.

Boikot memerlukan disiplin dan stamina yang padu , sikap kepedulian yang tinggi, menjujung nilai kebersamaan sebagai yang nilai terpenting serta menjadikan kemanusiaan sebagai tunjang perjuangan.

Jikapun boikot tidak berjaya, ataupun digelar sebahagian pihak sebagai “bermusim”, ianya bukanlah kerana boikot itu tidak efektif, akan tetapi sikap masyarakat kita yang belum bersedia menjunjung tanggunjawab kemanusiaan bersama dan meninggalkan seketika ruang selesa yang dinikmati sebelum ini. Kita lebih suka berdoa dari jauh, menyerahkan keputusan kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalah kita daripada bangkit membuat perubahan.

Sangatlah malang apabila masyarakat diajak untuk boikot, sudahlah skeptikal, tidak mahu menyertai, bahkan mengherdik pula insan-insan murni yang cuba menyatakan sikap dan kepedulian.

Lebih ironi lagi, apabila boikot tidak berjaya, kerana ketidakpedulian mereka-mereka yang hanya ingin duduk dibelakang papan kunci memakan “pop-corn”, aneh sekali apabila keluar dari mulut mereka “kan aku dah cakap, tak berjaya pun boikot ini. Sekejap je panas” sedangkan gagalnya boikot itu kerana tiada solidariti yang ditunjukkan oleh mereka sendiri.

Carne Ross, di dalam bukunya “The Leaderless Revolution : How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century” membentangkan bahawa, sekurang-kurangnya ada tiga elemen yang boleh membawa perubahan tanpa pimpinan. Pertama ialah, meningkatkan pemberdayaan sosial melalui pengukuhan “participatory democracy”.

Beliau memetik model-model seperti Occupy Wall Stree Movement dan juga penyertaan besar-besaran rakyat dalam membincangkan polisi setempat seperti yang berlaku di Porto Alegre, Brazil. Ia menekankan politik “from all to all” dan bukan sekadar memberi tanggungjawab kepada perwakilan setempat.

Kedua ialah, politik personal. Ini adalah suatu sikap politik yang meletakkan tanggungjawab revolusi sosial terhadap tanggungan setiap individu dalam merubah keadaan masyarakat. Ianya elemen yang mengalihkan sikap kita dari hanya menyerahkan urusan politik kepada kerajaan yang kita sendiri tidak percaya, kepada organisasi mandiri yang mengumpulkan masyarakat setempat dan kerangka hubungan yang kompleks dan sepadu.

Ketiga ialah pembentukan budaya yang sihat dimana kita beralih dari budaya konsumerisme yang menjengkelkan kepada budaya “togetherness” di mana kita mengambil kembali kawalan keatas diri sendiri yang menjadi agensi terpenting mengelola tindak tanduk yang bertanggungjawab.

Dunia ini menurut beliau sememangnya tidak pernah ada kawalan yang berupaya menjaga hal ehwal rakyatnya secara mutlak. Politik berbentuk anarki yang menekankan kebertanggungjawaban sosial lebih menguntungkan demokrasi dan menawarkan “public scrutiny from all to all”.

Kesimpulan

Sudah tiba masanya untuk kita berhenti mengherdik usaha satu sama yang lain dalam upaya memberi kesan kepada ekonomi Israel dalam bantahan kita terhadap keganasan mereka. Memboikot barangan dan produk mereka sangatlah berkesan sekiranya kita cermat dan realistik dalam memilih produk-produk yang boleh kita sama-sama tinggalkan atas faktor bukan keperluan (seperti MCD dan Starbuck) dan simbol solidariti terhadap kemanusiaan..

Tentunya isu Gaza hanya cetusan di antara banyak lagi pencabulan terhadap kemanusiaan dan bukannya isu agama. Boikot merupakan suatu disiplin (walau bermusim) seperti bulan ramadhan dimana kita melatih diri dari menjadi konsumer terlajak dan rakus kearah mencapai matlamat politik dan menjunjung prinsip kemanusiaan di atas tahap tertinggi.

Semua bermula dari dalam diri kita. Kita tak perlukan pemimpin untuk menunjukkan jalan itu dan ini. Ayuh lancarkan boikot yang bersepadu ke atas produk-produk (kita mula dengan produk makanan) dan barangan Zionis-Israel dan memberi kesan kepada ekonomi mereka. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! Sambutlah seruan ini!

 

 

 

 

unnamed