Cabaran Bangsa Malaysia dalam Realiti Etnosentrik

Pada abad ke-19, perkembangan sains masih lagi pada tahap kuno dan kewujudan DNA belum lagi di temui, para saintis menggunakan pelbagai kajian sains yang bersifat (kita hari ini kenali sebagai) pseudo-sains untuk menjelaskan pengertian mereka berkenaan ras.

Johann Friedrich Blumenbach di antara ahli saintis yang mengklasifikasikan manusia mengikut bangsa mereka. Di dalam skemanya, warna kulit merupakan cara utama untuk menyusun kategori manusia. Bangsa ‘Caucasian’ berkulit putih, bangsa ‘Mongolian’ berkulit kuning, bangsa ‘Malayan’ berkulit coklat, bangsa ‘Ethiopian’ berkulit hitam, dan bangsa ‘American’ berkulit merah.

Pengertian para saintis and antropologi berkenaan ras dan konsep bangsa pada masa itu terlalu daif, malah telah membuka jalan kepada Pergerakan Eugenik (Eugenics Movement). Mereka memberi konklusi bahawa atribusi biologi termasuk warna kulit boleh mencerminkan moraliti dan kepintaran sesebuah bangsa.

Walhal, dalam sains, kepelbagaian pada ras kita adalah mutasi yang berlaku secara pilihan semula jadi (natural selection) dan terjadi sejak berjuta-juta tahun dahulu.

Sebagai contoh bagi warna kulit, tidak kiralah sama ada ia berwarna hitam manis, kuning langsat, putih melepak ataupun sawo matang, warna kulit kita adalah ditentukan oleh pigmen melanin yang juga bertindak sebagai adaptasi biologi terhadap sinaran radiasi UV.

Pergerakan Eugenik ini hanyalah membuka ruang kepada penciptaan ‘Master Race’, atau Bangsa Agung, dimana Hitler, pemerintah rakus kuasa mempergunakan ‘Sains Eugenik’ pada masa itu untuk mengikhtirafkan kesucian (purity) bangsa Aryan. Hilter menaikkan semangat nasionalisme bangsa Aryan di German melalui dakyah tersebut lalu mewajarkan pembersihan etnik terhadap bangsa-bangsa lain demi mempelihara kesucian bangsa Aryan.

Hari ini, dengan kemajuan dan pergertian sains yang lebih mendalam, kita sepatutnya lebih celik akan fakta bahawa ras kita langsung tidak ada kena mengena dengan diri kita sebenar. Malangnya sehingga kini, masyarakat masih dipecahbelah oleh warisan pemikiran tentang ras yang lapuk dan tidak berasas.

Stereotaip Bangsa

Konsep ras hanyalah satu daripada banyak dinding ilusi yang menjuruskan kepada pemecahbelahan dalam masyarakat majmuk. Realitinya, manusia yang dilahirkan dalam norma-norma hidup dan nilai-nilai hidup dalam budayanya sering melihat dunia berdasarkan kaca mata budayanya sendiri, menganggap hanya norma-norma hidup mereka adalah normal. Maka tanpa disedari mereka akan menilai budaya dan cara hidup masyarakat lain dengan berat sebelah.

Ditambahkan pula jika masyarakat tersebut tidak berkongsi identiti nasional dan aspirasi yang sama, maka sikap perkauman ini hanya akan bertambah kerana mereka hanya akan bergaul sesama sendiri tanpa memahami budaya dan nilai-nilai yang berlainan.

Di Malaysia, kaum elit sering menggunakan strategi politik membahagi dan memerintah (divide and rule) untuk menyemaikan naluri perkauman bagi kepentingan mereka sendiri. Siapa yang tidak pernah dengar akan stereotaip buruk setiap bangsa dimana ‘bangsa Melayu adalah malas, bangsa Cina adalah tamak, dan bangsa India adalah penipu’.

Yang amat merisaukan, sikap etnosentrik ini telah meresap dalam ke akar umbi pemikiran masyarakat kita. Cuba berbual dengan mana-mana rakyat Malaysia, rata-rata ramai yang pernah melalui saat-saat diskriminasi dan rasisme oleh masyarakat berlainan bangsa.

Diskriminasi secara terang-terang

Di dada akhbar, jika terdapat iklan-iklan peluang pekerjaan, dengan tanpa segan-silunya majikan akan meletakkan bahawa hanya bangsa tertentu sahaja boleh memohon untuk temuduga bagi jawatan tersebut. Kadang-kadang, majikan akan memberi kriteria-kriteria seperti diwajibkan berbahasa dialek atau bahasa ibunda bangsa tertentu yang bersifat diskriminasi dan tidak berkenaan langsung dengan tugas-tugas keperluan dalam jawatan tersebut.

Diskriminasi juga berlaku di dalam persekitaran pekerjaan juga. Hal ini dapat dilihat dimana jawatan-jawatan kanan pengurusan hanya dipegang oleh sesetengah bangsa kerana persepsi stereotaip terhadap bangsa-bangsa yang lain. Terdapat juga diskriminasi secara terang-terang dimana informasi dikongsi diantara rakan sekerja yang sebangsa dengan menggunakan bahasa ibunda mereka.

Selain itu, terdapat industri-industri yang bersifat rasisme, walaupun dengan tidak sengaja. Contoh yang amat ketara adalah rasisme dalam industri kecantikan. Mungkin ia adalah stereotaip di kalangan masyarakat Asia, tetapi iklan-iklan krim pemutih kulit senantiasa mencermin kecantikan yang bersifat satu dimensi dimana mesej yang mereka sampaikan adalah warna kulit sawo matang dan hitam manis adalah tidak secantik kulit putih melepak.

Diskriminasi dan rasisme juga berleluasa dalam isu perumahan. Seringkali, pihak berkuasa memainkan peranan mengasingkan kepelbagaian bangsa di Malaysia dengan meletakkan satu-satu bangsa sahaja di sesebuah kawasan perumahan dengan alasan agama dan sebagainya. Polisi perumahan juga bersifat diskriminasi dimana diskaun perumahan diberi pada sesebuah bangsa sahaja dan bukan berdasarkan kemampuan atau pendapatan isu rumah mereka.

Malah bagi sewa rumah, rasisme juga berlaku dengan terbuka melalui pengiklanan sewa rumah seperti ‘untuk Muslim sahaja’ atau ‘Chinese preferred’ atau ‘Only Indians can apply’. Jadi, jika seseorang itu merupakan bangsa ‘dan lain-lain’ yang bermigrasi ke kota Kuala Lumpur, mereka harus tinggal di mana?

Polarisasi kaum ini juga berlarutan dengan melaratnya dalam sistem pendidikan negara kita. Setiap bangsa hanya selesa bergaul dengan bangsa mereka sendiri. Identiti nasional kita terlalu lemah, amat sukar bagi bangsa-bangsa yang berlainan di Malaysia untuk berkomunikasi dan memahami sesama mereka kerana konteks pemahaman nasional dan sejarah negara yang terlalu daif. Perpaduan negara hanya akan wujud jika terdapat ‘a sense of belonging’ atau semangat kekitaan dikalangan kita semua.

Identiti sebuah Bangsa Malaysia

Bagaimanakah kita mampu memupuk semangat kekitaan ini dalam masyarakat yang serba majmuk dan berlainan pergertian terhadap aspirasi negara ini?

Pembangunan negara yang sihat dipupukan bukanlah dengan retorik ‘Satu Malaysia’ yang menggambarkan sesuatu  utopia dimana setiap bangsa digayakan dengan kostum tradisional mereka yang cantik. Keharmonian antara bangsa juga tidak harus berdasarkan kontrak sosial dan perwakilan parti politk etnik yang sempit.

Sebaliknya, seperti dalam UNESCO Declaration Race and Racial Prejudice yang diterbitkan pada 1978, pemupukan gagasan sebuah Bangsa Malaysia adalah bermula pada diri kita masing-masing.

Dalam erti kata lain, jika kita ingin menentang rasisme dengan sekeras-kerasnya, cubalah bermula dengan belajar menjadi seorang manusia yang penuh kasih sayang dan berkemanusiaan.

Hindarilah dari melihat norma-norma hidup dan budaya orang lain hanya melalui kaca mata budaya kita sahaja. Sebaliknya kita perlu mencelik mata dan memahami budaya-budaya kaum lain melalui rukun tetangga, petukaran budaya, mempelajari bahasa ibunda kaum lain dan sebagainya.

Eratkan hubangan melalui nilai-nilai universal seperti semangat kejiranan, perpaduan, kecintaan sesama manusia, kesamarataan, keadilan dan sebagainya. Semaikan etika humanistik di dalam budaya setiap kaum, dimana lagi mendalam kita menghayati dan menghargai warisan budaya kita, lagi tinggilah jiwa kemanusiaan kita.

Bagi ketua-ketua agama setiap kaum, mereka mempunyai pengaruh yang luas dalam masyarakat. Selalunya, api hasutan dan kebencian antara kaum dapat dilenyapkan dengan mudah jika ketua-ketua agama mainkan peranan aktif dalam komuniti. Keharmonian sesama kaum dapat diperlihara melalui khutbah-khutbah yang bermesejkan kedamaian, perkhidmatan masyarakat yang tidak mengira kaum, dan menggalakan dialog antara agama.

Komunikasi yang efektif antara setiap rakyat Malaysia dapat diwujudkan dengan memastikan bahasa nasional kita adalah bukan bersifat ekslusif, sebaliknya adalah bahasa bagi semua rakyat Malaysia.

Dalam dunia pekerjaan, diskriminasi haruslah diambil berat dan diberi tindakan serius terhadap sesiapa yang memupuk semangat etnosentrik di kalangan pekerja-pekerja. Majikan dan kerajaan haruslah memainkan peranan yang aktif. Antaranya penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi dalam pekerjaan, penghapusan kuota etnik, dan pemansuhan kategori kaum dalam pengisian borang-borang sama ada bagi urusan dengan kerajaan, pihak bank atau pun dalam sektor swasta.

Kerajaan perlu memainkan peranan yang utama dalam membanteraskan putik-putik perkauman melalui polisi-polisi yang bersifat kesamarataan dan keadilan. Polisi ekonomi dan social perlulah pro-golongan berpendapatan rendah, dan bukan digunakan sebagai alat permainan politik perkauman bagi kaum elit.

Seringkali rasisme diinstitusikan (institutionalised racism) dan diskriminasi berlalu secara terang-terang kerana tiada kehendak politik (political will) untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk  bertamadun yang bersatu padu dan makmur.

Seperti  kata-kata Aimé Césaire, seorang intelek Perancis ternama yang berasal dari Martinique: “Jika tiada satu kaum pun yang memegang monopoli bagi kecantikan, kebijaksanaan, dan kekuatan, maka sesungguhnya, akan adanya tempat bagi semua manusia pada titik pertemuan kemenangan”. (And no race holds a monopoly of beauty, of intelligence, of strength, and, there is a place for all at the Rendezvous of Victory).