Cabaran menggubal undang-undang jenayah Islam

Gembar-gembur hudud

Laman berita The Malay Mail Online baru-baru ini melaporkan tentang pembentangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad semasa kuliah umum tentang hudud yang disampaikan di sebuah universiti tempatan baru-baru ini.

Menurut beliau, Parlimen hanya perlu majoriti mudah untuk melaksanakan hokum hudud di Malaysia.

Menurut beliau lagi, tidak ada halangan dari segi Perlembagaan untuk menggubal undang-undang hudud kerana ia boleh diluluskan oleh Parlimen seperti undang-undang biasa.

Penulis tidak setuju dengan pendapat bekas Ketua Hakim Negara dalam isu ini.

Pada pendapat penulis, perlaksanaan hudud di Malaysia ini tidak boleh dijalankan hanya dengan menggubal undang-undang biasa. Untuk melaksanakan hudud, Perlembagaan perlu dipinda.

Topik hudud adalah antara topik yang paling sukar untuk dibincangkan dengan rasional di negara ini.

Ramai orang yang tidak dapat melihat isu ini dengan terbuka. Seringkali mereka yang tidak setuju dengan hudud akan diberi pelbagai label.

Pendekatan rasional

Tetapi penulis akan cuba untuk melihat isu ini hanya melalui kaca mata undang-undang dan Perlembagaan sahaja, dan bukan dari sudut agama atau keperluan melaksanakan hudud.

Jenayah di bawah perundangan Islam terbahagi kepada beberapa jenis. Salah satu daripadanya adalah jenayah hudud.

Jenayah hudud adalah jenayah yang mana hukumannya telahpun ditetapkan kerana jenayah tersebut adalah jenayah yang dilakukan terhadap tuhan (bahasa Inggeris, crimes against God).

Bandingkan dengan jenayah tazir, yang merupakan jenayah terhadap masyarakat dan yang mana hukumannya adalah mengikut budibicara hakim (qadi).

Dengan menyerap undang-undang hudud ke dalam system perundangan negara, kita akan menjadikan kesalahan terhadap tuhan sebagai suatu jenayah. Kita harus ingat bahawa negara ini bukanlah negara Islam (dalam bahasa Inggeris, Islamic state).

Malahan di dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa undang-undang negara adalah sekular. Di dalam sebuah negara dengan undang-undang sekular, tidak ada konsep ‘jenayah terhadap tuhan’ (dalam bahasa Inggeris, crimes against God), hanya konsep jenayah terhadap negara (dalam bahasa Inggeris, crimes against the State).

Maka, undang-undang jenayah Islam akan dibawa masuk ke dalam undang-undang yang sepatutnya sekular.

Sekiranya hudud berkuatkuasa ke atas bukan Islam Muslim maka apa yang secara asasnya merupakan undang-undang Islam akan dikenakan ke atas bukan Islam. Bukan Islam boleh dihukum kerana crimes against God, padahal mereka tidak menganut agama tersebut.

Sekiranya hudud tidak dikenakan ke atas bukan Muslim, ia mungkin akan mewujudkan suatu situasi di mana terdapat prosedur, kaedah pembuktian (evidential rules) dan hukuman yang berbeza di antara Muslim dan bukan Muslim.

Seorang pesalah Muslim mungkin berhadapan dengan hukuman yang lebih berat berbanding dengan seorang bukan Muslim bagi kesalahan yang sama. Ini akan bertentangan dengan hak kesamarataan (equality) yang termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat

Oleh itu, Perlembagaan harus dipinda untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam (Islamic state). Undang-undang tertinggi negara perlu ditukar daripada Perlembagaan kepada al-Quran dan Sunnah, barulah hudud boleh digubal.

Perkara 8 juga perlu dipinda untuk membenarkan perbezaan di antara undang-undang hudud dan undang-undang biasa bagi undang-undang jenayah.

Tetapi pindaan substantif seperti ini tidak boleh dibuat begitu sahaja. Malahan, ada yang mengatakan bahawa pindaan seperti ini tidak boleh dibuat kerana ia menukar ‘struktur asas’ Perlembagaan Persekutuan, yang pada ketika ini jelas menyatakan bahawa undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan itu sendiri.

Doktrin ‘struktur asas’ ini bermula dari India dan telah dibawa masuk ke dalam negara melalui keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurut doktrin ini, apa-apa pindaan yang dibuat yang menukar struktur asas Perlembagaan adalah tidak mengikut Perlembagaan (dalam bahasa Inggeris, unconstitutional).

Dari segi perundangan Islam itu sendiri, penulis berpendapat bahawa hudud wajar wujud di dalam satu sistem pemerintahan negara Islam. Hudud dan tazir melengkapkan sistem pemerintahan Islam dan tidak boleh diimport dengan begitu sahaja ke dalam sistem demokrasi berparlimen yang sedia ada.

Sekiranya benar-benar mahu melaksanakan hudud di Malaysia, ia memerlukan complete overhaul. Bentuk perlembagaan yang baru dan sistem undang-undang yang baru yang tidak menggunapakai peninggalan British iaitu sistem demokrasi berparlimen yang sedia ada.

Kita juga mesti berlaku adil. Walaupun penganut agama Islam adalah majoriti, kita juga ada minoriti bukan Muslim yang besar.

‘Kontrak sosial’ yang termaktub di antara warganegara Malaysia dan negara Malaysia adalah untuk sebuah negara berpaksikan Perlembagaan dengan struktur asas yang sedia ada. Bukan sebuah negara khalifah yang berpaksikan teokrasi Islam.

Kita tidak boleh memaksa mereka yang tidak seagama dengan kita untuk menerima sistem undang-undang yang berlandaskan agama kita.

Melihat halangan-halangan undang-undang Perlembagaan yang penulis butirkan di atas, kesimpulannya adalah hudud hampir mustahil dapat dilaksanakan di negara Malaysia.

Dalam situasi ini, bukankah lebih baik sekiranya kita memastikan pentadbiran negara ini sejajar dengan nilai-nilai Islam, daripada kita mewujudkan negara Islam yang hanya Islam pada nama?

 

 

 

unnamed