Catatan Ramadhan; Di antara Anak Yatim, Gelandangan dan Shisha

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang). Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain).” (Riwayat At Tabrani)

Ramadhan tiba lagi. Untuk sebahagian besar masyarakat Melayu-Islam di Malaysia ini, bulan Ramadhan adalah bulan untuk mengumpul pahala.

Namun buat sesetengah golongan masyarakat, bulan Ramadhan adalah bulan rezeki buat mereka. Untuk anak-anak yatim dan miskin yang menduduki rumah-rumah kebajikan, jadual mereka penuh dengan jemputan majlis berbuka dan jemputan membeli baju raya. Untuk golongan gelandangan pula, banyak pihak menghulurkan bantuan bekalan makanan dan pakaian.

Dua pengalaman Ramadhan saya iaitu Ramadhan 1433 yang lalu dan Ramadhan kali ini adalah pengalaman yang berbeza tetapi signifikan. Biar saya ceritakan catatan Ramadhan tersebut secara ringkas.

Anak Yatim dan Miskin

1 Ramadhan 1433 yang lalu, saya dan rakan-rakan Teach For The Needs yang lain berpeluang bertandang ke Rumah Anak Yatim Darul Hikmah, Gopeng untuk menyampaikan sumbangan dan menjalankan aktiviti #TFTN di sana.

Di sana kami berkenalan dengan Dahrul dan 47 anak-anak berumur seawal 4 tahun hingga 17 tahun. Mendukung anak-anak berumur 6 dan 7 tahun, terdetik di hati kami, apa rasanya hidup di rumah anak yatim sejak dari kecil? Apa rasanya berbuka tanpa ibu dan bapa? Apa rasanya hidup di dalam asrama sejak dari kecil sepanjang masa, tanpa ada waktu pulang ke kampung?  Siapa yang akan mengejutkan mereka bersahur? Apa perasaan mereka di pagi raya?

Semua persoalan ini membunuh perasaan dan emosi kami. Persoalan bertambah; siapa yang akan membantu mereka menjawab segala macam soalan sebagai anak kecil? Siapa yang akan membantu mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh sekolah? Siapa yang akan memastikan kebersihan dan kesihatan mereka terjaga?

Akhirnya, Ramadhan menjawab. Yang anak-anak ini perlukan bukanlah majlis berbuka saban hari. Yang anak-anak ini perlukan bukanlah baju melayu dan songkok baharu. Mereka tidak minta untuk dibawa makan ke hotel untuk berbuka. Tetapi yang mereka perlukan adalah kasih sayang. Sentuhan hati dan perasaan bahawa ada insan yang menyayangi dan mengambil berat akan mereka.

Pencerahan yang kami terima; kerja menyantuni anak yatim ini bukan hanya di bulan puasa sahaja.

Gelandangan

10 Ramadhan 1434 yang lalu pula, saya berpeluang mengikuti program #FoodForHomeless anjuran pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) di bawah seliaan saudara Loqman Karim.

Lebih 70% dari peserta program ini adalah bakal guru yang akan keluar mengajar beberapa tahun lagi. Menariknya program ini menemukan saya dengan Pakcik Amran, lelaki tua berumur 60 tahun yang berasal dari Johor Bharu dan telah 12 tahun menjadi gelandangan (homeless) di Kuala Lumpur.

Beliau menunjukkan kepada kami beberapa kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan sepertinya, seperti di Dataran Maybank dan kawasan lapang di hadapan Pudu Raya (kini Pudu Sentral). Menurutnya, gelandangan pada malam itu tidur agak lewat kerana selalunya ada serbuan oleh majlis tempatan pada malam Sabtu.

Pakcik Amran meneruskan ceritanya dengan menyoal kami; “Berapa banyak masjid di seluruh Kuala Lumpur ini? Berapa banyak kutipan wang solat Jumaat setiap minggu? Berapa puluh ribu janaan wang ini masuk ke pihak pengurusan masjid setiap bulan? Adakah terjejas aktiviti masjid jika hanya 10% daripada ratusan ribu duit tersebut disalurkan untuk membantu golongan ini?

Kami tersentak dengan soalan Pakcik Amran. Beliau meneruskan; “Semua masjid tutup pintu seawal jam 7 pagi pabila melihat kami. Lalu ke mana harus kami pergi? Negara ini penuh dengan program keraian, perayaan yang meraikan VIP yang memakan puluhan ribu ringgit, tetapi lihat keadaan kami? Jika hari hujan, kami tidur di celah-celah bangunan dalam keadaan duduk sahaja!

Di Mana Masyarakat?

Soalan-soalan Pakcik Amran membuatkan kami terfikir; di mana masyarakat tatkala golongan marginal seperti anak yatim, miskin dan gelandangan ini memerlukan mereka? Ali Shariati di dalam bukunya ‘Haji’ menulis; “Jalan Allah adalah jalan umat manusia. Dengan perkataan lain, untuk dapat menghampiri Allah, terlebih dahulu engkau harus menghampiri manusia. Bagaimanakah hal itu dilakukan? Untuk mencapai kesalehan engkau harus benar-benar terlibat di dalam masalah-masalah yang dihadapi umat manusia; engkau tidak boleh bersikap sebagai seorang rahib yang memencilkan dirinya di dalam biara; engkau harus terjun ke lapangan dan terlibat secara aktif,”

Maka berapa ramai dari masyarakat kita yang berstatus Haji, tetapi meninggalkan masyarakat seperti masjid sekitar Kuala Lumpur meninggalkan golongan gelandangan ini? Satu program tersusun dalam skala jangka masa panjang perlu dirancang untuk membantu mereka. Menurut Pakcik Amran lagi, golongan ini perlu didekati dengan konsep kasih sayang, bukannya melalui serbuan dan tangkapan.

Sebuah asrama atau rumah perlindungan perlu disediakan oleh pihak berwajib khususnya oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu. Kita perlu belajar kepada model-model negara luar seperti ‘Coalition For The Homeless’ (USA) atau ‘The Finnish Model’ (The Finnish national programme to reduce long-term homelessness, Finland) yang menyediakan ‘support system’ dari 3 sehingga 6 bulan kepada gelandangan ini untuk membantu mereka mengubah nasib hidup mereka dengan pelan jangka masa sehingga mencecah 10 tahun. Bengkel dan latihan industri melibatkan kemahiran individu perlu dijalankan seiring agar apabila keluar dari rumah ini nanti mereka mampu menyara hidup mereka sendiri.

Sebagai sebuah negara yang kaya, masalah 2000 hingga 5000 gelandangan kota ini tidak akan selesai hanya melalui serbuan dan rekod sahaja. Menteri dan Ahli Parlimen perlu turun padang melihat senario dan realiti masyarakat terutamanya di ibu kota. Puluhan juta wang kutipan zakat yang meningkat saban tahun perlu disalurkan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan mungkin boleh mengeluarkan fatwa – ‘wajib’ untuk Masjid seluruh Malaysia memastikan tiada gelandangan dalam radius 10 atau 20 kilometer dari Masjid dan memastikan 10 hingga 20 peratus duit kutipan digunakan untuk menyantuni golongan miskin ini – bukannya untuk membesar dan mencantikkan masjid.

Bukan Lagi Kerja Amal

Maka tanggungjawab siapakah untuk memastikan keperluan asas iaitu cinta, kasih dan sayang ini dipenuhi ke atas mereka? Inilah tanggungjawab masyarakat. Umum masyarakat melihat kerja-kerja menyantuni anak yatim, orang miskin dan gelandangan ini adalah kerja amal. Kerja-kerja yang dijalankan untuk menambah pahala.

Dari Abu Dzar Radhiyallahu ‘anhu , ia berkata: “Kekasihku (Rasulullah) Shallallahu ‘alaihi wa sallam berwasiat kepadaku dengan tujuh hal, yang pertama adalah supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka,” (Dishahîhkan oleh Syaikh al-‘Allamah al-Imam al-Muhaddits Muhammad Nashiruddin al-Albâni rahimahullah dalam Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 2166).

Kesilapan besar masyarakat apabila melihat sisi ini secara individualistik. Kerja amal dilakukan untuk membantu diri sendiri masuk syurga. Masyarakat harus melihat kerja-kerja menyantuni anak yatim , kaum miskin dan gelandangan ini bukan lagi sebagai kerja amal, tetapi sebagai tanggungjawab mereka sebagai masyarakat. Kerja amal ini – bukanlah sebuah pilihan, tetapi bahkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, golongan yang bernasib baik.

Orang miskin itu bukanlah mereka yang berkeliling meminta-minta kepada orang lain agar diberikan sesuap dan dua suap makanan dan satu-dua butir kurma.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, (kalau begitu) siapa yang dimaksud orang miskin itu?” Beliau menjawab,”Mereka ialah orang yang hidupnya tidak berkecukupan, dan dia tidak mempunyai kepandaian untuk itu, lalu dia diberi sadaqah (zakat), dan mereka tidak mau meminta-minta sesuatu pun kepada orang lain.” Hadits shahîh. Diriwayatkan oleh Muslim (no. 1039 (101)), Abu Dawud (no. 1631), dan an-Nasâ`i (V/85). Dari Sahabat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu.

Lebih malang, institusi yang diharapkan seperti ahli politik, kementerian mahupun pihak berwajib yang melibatkan ‘political will’ tidak lagi boleh diharap. Saya menyeru seluruh kaum mahasiswa untuk menggembleng tenaga turun padang dan memastikan tanggungjawab ini dipenuhi.

Mahasiswa dari aliran pendidikan, sosiologi, sains sosial dan ekonomi harus berganding bahu menjalankan kajian empirikal membabitkan latar belakang, faktor sosio ekonomi seterusnya menggerakkan penubuhan rumah-rumah perlindungan untuk membolehkan gelandangan seperti ini ditangani sepenuhnya.  Pelan jangka masa panjang dan pendek perlu dilakar bersama-sama warga korporat untuk membolehkan sekurang-kurangnya 50% gelandangan dapat dihapuskan dalam masa kurang dua tahun dari sekarang.

Kajian empirikal ini seterusnya akan membolehkan masyarakat memahami mengapa dan bagaimana ‘sub-culture’ golongan gelandangan ini tercipta serta mekanisme pelan tindakan yang bersesuaian untuk membantu mereka melibatkan beberapa buah kota besar di seluruh negara. Gerakan sosial melibatkan anak muda ini kemudiannya akan membuktikan masalah-masalah masyarakat mampu ditangani jika perhatian serius dapat diberikan.

Sesungguhnya, satu-satu persona untuk dihayati dan diikuti adalah Nabi Muhammad SAW. Seperti diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Nabi pernah bersadba; “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku bersama rombongan orang-orang miskin“; serta; “Orang-orang faqir kaum Muslimin akan memasuki surga sebelum orang-orang kaya (dari kalangan kaum Muslimin) selama setengah hari, yaitu lima ratus tahun” Riwayat at-Tirmidzi (no. 2353, 2354)

Inilah ujian besar terhadap masyarakat. Ketika rakyat gah dibuai keputusan besar peperiksaan yang diumumkan oleh kementerian meningkat dan cemerlang saban tahun, masih ramai anak yatim dan miskin yang belum boleh membaca. Ketika pemimpin dan agamawan sibuk berbuka ‘ala-buffet’, terdapat 2000 hingga 5000 gelandangan yang tidak punya makanan sepanjang tahun.

Sepanjang sejarah, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kita dengan sifat Cinta-nya yang begitu tinggi. Beliau menyantuni golongan marginal seperti anak yatim dan kaum miskin seperti keluarga baginda sendiri. Tetapi lihat diri kita sekarang; bagaimana sikap kita terhadap golongan ini? Kemudian kita dengan bangga mendabik dada agama kitalah yang paling benar sekali (dengan melupakan Cinta Nabi Muhammad SAW).

Sekurang-kurangnya pada masa hadapan dengan adanya inisiatif oleh kariah setempat terutamanya anak muda untuk menangani masalah seperti ini, imej agama Islam akan lebih dipandang mulia, berbanding perbahasan tetek bengek seperti patutkah selebriti Islamik kahwin lagi atau lebih teruk, halal atau haramkan sisha.

Post-Script

Dahrul, selepas setahun menjalani kelas intensif #TFTNMembaca, khabarnya sudah boleh membaca (sebelum ini Dahrul adalah anak pendiam yang tidak suka bercampur dengan orang di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah). Pakcik Amran pula di akhir perbualan; “Kalau cakap tentang masjid, sebak rasa dada Pakcik. Nak bergenang air mata ni. Yalah, Pakcik dah rasa susahnya hidup begini, mengenangkan pula sikap orang kita yang begitu,

“Jalan menuju Tuhan adalah sebanyak tarikan nafas manusia, tapi jalan yang terpendek adalah berkhidmat kepada sesama” Abu Said Abil Khayr