CFM kecewa terhadap penggunaan sentimen anti-Kristian dalam pilihanraya

CHRISTIAN FEDERATION OF MALAYSIA

(PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA)

Alamat: 26 Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Tel / Fax : + 60 3 7957 1457

Emel: cfmsia@yahoo.co.uk

CFM Kecewa dan Membantah Penggunaan Sentimen Anti-Kristian pada Papan Tanda Kempen Pilihan raya

Kami dari masyarakat Kristian terkejut akan penggunaan sentimen anti-Kristian yang keji dan biadap pada papan tanda kempen pilihan raya, dimana gambar-gambar mesej tersebut telah menjadi ‘viral’ di kalangan netizen-netizen baru-baru ini. (sila lihat pada gambar).

Mesejnya bertanya “Mahukah kita lihat anak cucu pergi sembahyang ke rumah Allah ini?” dengan bersertakan dua gambar gereja-gereja yang mempunyai simbol salib. Perkataan “Gereja Allah” ini berbaur hasutan dan kemungkinan besar akan memberi padah yang bahaya terhadap keselamatan rakyat Kristian dan ahli gereja-gereja hanya kerana kami menggunakan perkataan “Allah”. Ini merupakan kebimbangan yang sebenar memandangkan baru-baru ini terjadinya kes-kes seperti pembakaran gereja dan ugutan membakar Bible berbahasa Malaysia.

Mesej keji yang tertera pada papan tanda kempen tersebut hanya akan mengapi-apikan satu  komuniti (Muslim) terhadap komuniti Kristian degan menyebarkan rasa takut melalui taktik menakut-nakuti dengan menggunakan isu “Allah”, walaupun pihak makamah tinggi telah membenarkan penggunaannya sebagai hak bagi kebebasan agama.

CFM dan pemimpin-pemimpin Kristian yang lain sebelum ini telahpun menyatakan bahawa Bumiputera-Bumiputera Kristian menggunakan Bible dalam BM kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa penghantar mereka, manakala perkataaan “Allah” telahpun digunakan dalam Bible sejak berkurun-kurun tahun dahulu tanpa sebarang tentangan dari orang Muslim seperti apa yang berlaku sekarang.

Orang-orang Kristian dan juga rakyat Malaysia yang berkeprihatinan perlu mengutuk penggunaan papan-papan tanda kempen pilihanraya yang berbaur  hasutan dan fitnah yang sedemikian dan segala bahan-bahan dan retorika-retorika hasutan dalam sepanjangan waktu kempen sehingga hari mengundi pada 5 Mei 2013.

Kami mendesak pihak Suruhanjaya Pilihanraya untuk segera menanggalkan papan-papan tanda dan bahan-bahan kempen penghasutan yang sedemikian. Selain itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini dan mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

Kami menyeru rakyat Malaysia supaya melaporkan kepada pihak polis mengenai mana-mana papan tanda, bahan kempen pilihanraya, dan juga ceramah kempen yang tidak menghormati komuniti-komuniti di negara ini dan yang hanya bertujuan untuk mengapi-apikan kebencian terhadap agama lain bagi kepentingan politik.

Komuniti Kristian mengekalkan hak-haknya seperti yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak bagi orang bukan Islam untuk menguruskan agama mereka sendiri.

Hak ini termasuklah rakyat Malaysia yang hanya fasih dalam Bahasa Malaysia selain bahasa ibunda mereka, seperti penduduk asal Sabah dan Sarawak, komuniti Baba, dan komuniti Orang Asli, dengan menggunakan Al-kitab dan semua bahan-bahan lain dalam Bahasa Malaysia yang perlu bagi tujuan keagamaan mereka.

Pada masa yang sama, kita berasa amat kecewa terhadap peningkatan kes-kes keganasan yang berkaitan dengan pilihanraya ini (seperti yang dilaporkan dalam media) seperti pembakaran kereta, menanam bahan letupan berhampiran pusat ceramah, kes-kes kebakaran dan geng-geng motosikal yang menakutkan orang ramai untuk menghadiri ceramah yang sebenarnya adalah cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan ugutan pada hari-hari sebelum hari pilihan raya. Kami menyaran kepada semua supaya lebih berwaspada semasa musim pilihan raya ini.