Deklarasi (pencabulan) Hak Asasi Manusia ASEAN 2012

Dr Mohd Faizal Musa

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

43600, Bangi, Selangor

 

Adalah suatu hal yang tidak dapat dinafikan bahawa hak asasi manusia adalah satu fenomena yang baharu, dan dibincangkan secara meluas sejak 1945. Hal ini misalnya diakui oleh Fred Halliday (1999:135). Salah satu diskusi hangat mengenai hak asasi manusia, dalam hal ini Universal Declaration on Human Rights (selepas ini UDHR) 1948 ialah betapa ia bersifat ‘Euro-sentrik’ atau terlalu kebaratan, dan dengan itu gagal menimbangkan tradisi oriental dan agama sebagai teras ketika penggubalannya.

Kenyataan di atas amat disedari oleh sarjana di Barat. Alfred Fernandez (2006) misalnya menjelaskan bagaimana negara-negara Islam dan Timur mempersoalkan kedudukan UDHR 1948 sebagai ‘satu agama baharu’ yang sukar untuk disambut oleh mereka:

The countries of the South, in particular African and Asian, claim that they were not present in 1948 as they did not exist as such at the time. And number of countries of Islamic faith regard human rights as a kind of civil religion alternative to their beliefs, which they are not ready to accept (Alfred Fernandez, 2006: 18).

Petikan pandangan Alfred Fernandez tersebut adalah refleksi terhadap apa yang berlaku di Vienna, pada tahun 1993, iaitu ketika berlangsungnya UN Conference on Human Rights. Ketika persidangan hak asasi manusia anjuran United Nations tersebut berlangsung, negara-negara Asia dan Islam bergabung tenaga mengkritik United Nations dan negara-negara Barat, sebagai memaksakan secara keras model hak asasi manusia yang digubal mereka tanpa menimbangkan faktor-faktor lokal.

Adalah penting untuk dinyatakan di sini, di Vienna itu juga, sebagai satu reaksi kepada UDHR 1948, negara-negara Islam telah menyerahkan Cairo Declaration on Human Rights in Islam (selepas ini Cairo Declaration). Deklarasi ini dikemukakan lebih awal ketika berlangsungnya 19th Conference of Islamic Foreign Ministers pada tahun 1990, di Kaherah. Menurut Cairo Declaration, hak asasi adalah bersumberkan Allah Yang Maha Esa dan tiap tafsiran hak haruslah tidak bertentangan dengan undang-undang Syariah:

All Rights and freedoms stipulated in this Declaration are subject to the Islamic Shariah (Article 24). The Islamic Shariah is the only source of reference for the explanation or clarification of any articles of the Declaration. (Article 25).

Apakah undang-undang syariah yang dimaksudkan oleh artikel 24 pada Cairo Declaration di atas? Selain artikel yang dikemukakan di atas, prinsip-prinsip Syariah turut ditekankan dalam artikel yang lain:

Article 22(a): Everyone shall have the right to express his opinion freely in such a manner as would not be contrary to the principles of Shariah.

Sekali lagi soalan timbul, apakah undang-undang syariah yang dimaksudkan? Cairo Declaration turut melarang sebarang ‘cubaan’ memurtadkan seseorang Islam dalam artikel 10, namun ia juga gagal menjelaskan kedudukan ‘seseorang yang telah pun murtad’:

It is prohibited to exercise any form of pressure on man or to exploit his poverty or ignorance in order to force him to change religion to another or to atheism.

Selain itu, kekaburan yang lain juga terjelma pada artikel yang lain. Hak-hak individu misalnya diberi jaminan dalam artikel 18, Cairo Declaration tetapi ia juga menimbulkan persoalan, misalnya, apakah negara (state) berhak menceroboh kehidupan rahsia seseorang yang secara tersembunyi adalah ateis atau lesbian di mana ia mengamalkan cara hidup yang tidak menurut Syariah tersebut antara empat tembok kediaman peribadinya:

Article 18(b): Everyone shall have the right to privacy in the conduct his private affairs, in his home, among his family, and with regard to his property and his relationships.

Petikan-petikan dari Cairo Declaration di atas adalah satu bentuk ‘cultural relativism’ yang kelihatan dihujahkan untuk tidak menerima UDHR 1948 secara mutlak (Fred Halliday 1999: 153). Dalam konteks hak asasi manusia, ‘cultural relativism’ dilihat dengan kaca mata bahawa nilai-nilai kemanusiaan tidak universal seperti yang disangkakan, sebaliknya berbeza menurut perspektif budaya yang pelbagai. Permainan cultural relativism ini memang diketahui oleh aktivis hak asasi manusia, dan memang menjadi alasan yang paling berbahaya untuk perjuangan hak asasi manusia. Seperti yang ditegaskan oleh Diana Ayton-Shelker (1995);

Cultural relativism is the assertion that human values, far from being universal, vary a great deal according to different cultural perspectives. Taken to its extreme, this relativism would pose a dangerous threat to the effectiveness of international law and the international system of human rights that has been painstakingly constructed over the decades. If cultural tradition alone governs State compliance with international standards, then widespread disregard, abuse and violation of human rights would be given legitimacy. Accordingly, the promotion and protection of human rights perceived as culturally relative would only be subject to State discretion, rather than international legal imperative. By rejecting or disregarding their legal obligation to promote and protect universal human rights, States advocating cultural relativism could raise their own cultural norms and particularities above international law and standards.

Kekaburan yang terzahir pada Cairo Declaration dapat dihujahkan sebagai sangat serius memandangkan tafsiran syariah yang ada pada mazhab-mazhab dalam Islam acap kali bertentangan. Ini adalah kerana persoalannya, meminjam Fred Halliday (1999: 147) bukan sahaja ‘perennial tradition’ tetapi juga ‘a set of discourses and interpretations that are created by contemporary forces and for contemporary needs’. Ambil sahaja rigidity yang ada pada mazhab Hanbali dan bandingkan dengan mazhab Syiah yang jauh lebih progresif dari mazhab-mazhab fikah dalam jurus Ahlus Sunnah wal Jamaah. Fatwa berkaitan sesuatu isu dalam mazhab tersebut boleh sahaja luput sebaik sahaja mujtahid yang mengeluarkannya meninggal dunia kerana menurut prinsip mazhab ini ialah la qaula l’l-mayyit (yang sudah meninggal dunia tidak dapat bersuara). Dalam mazhab Syiah juga, fatwa hanya terpakai dalam dunia Islam dan tidak berjalan di negara bukan Islam. Selain itu, mazhab Syiah seperti yang ditekankan oleh Imam Khomeni sebelum meninggal dunia, meletakkan maslahat lebih utama mengatasi fatwa atau ‘religious injunction’. Ini menunjukkan, sukar sekali Salman Rushide misalnya yang dianggap mencabul human dignity (dalam hal ini agama adalah maruah kemanusiaan) untuk djatuhkan hukuman mati sebagai seorang ‘murtad’. Dalam erti kata lain, Cairo Declaration sangat terdedah kepada interpretasi syariah yang pelbagai dan ia berbahaya

Malaysia, adalah anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan juga merupakan salah satu anggota ASEAN yang aktif. Dalam tahun 2012, negara-negara ASEAN memilih untuk mempunyai dan menandatangani satu deklarasi yang dinamai ASEAN Declaration of Human Rights (selepas ini ASEAN Declaration). Malaysia diwakili oleh ketua kerajaan yang memerintah, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak . Tentu, sekali imbas, tidak ada yang menjolok mata atau sebarang kontradiksi antara ASEAN Declaration tersebut dengan UDHR 1948. Malah bahasa, dan rangkap yang digunakan adalah sama. Akan tetapi, pengamatan yang lebih dekat akan mendapati ASEAN Declaration ini bertujuan untuk ‘membentuk acuan sendiri’ dengan memberi penekanan kepada apa yang dinamakan sebagai cultural relativism dalam disiplin ilmu hak asasi manusia:

All human rights are universal, indivisible, interdependent and interrelated. All human rights and fundamental freedoms in this Declaration must be treated in a fair and equal manner, on the same footing and with the same emphasis. At the same time, the realization of human rights must be considered in the regional and national context bearing in mind different political, economic, legal, social, cultural, historical and religious backgrounds (ASEAN Human Rights Declaration, 2012).

Perenggan dari ASEAN Declaration tersebut memaparkan betapa hak asasi manusia yang dipromosi ASEAN adalah sangat bergantung kepada ‘regional and national context’. Maka tidaklah menghairankan, di sebalik pujian terhadap ASEAN kerana ‘berjaya’ dan ‘mahu’ memiliki deklarasi sendiri berkaitan hak asasi manusia, United Nations mengkritik ASEAN Declaration tersebut sebagai mengandungi kekaburan dengan terma-terma seperti ‘legitimate restrictions’, ‘morality’, atau ‘public order’ dan ‘national security’ yang terbuka kepada pelbagai penafsiran menurut selera masing-masing. Malah Michel Forst, sebagai mewakili UN Office of the High Commissioner for Human Rights (OHCHR) menyatakan terma-terma tersebut boleh disalahguna oleh pemerintah untuk mengehad bahkan mencabul hak asasi manusia; “acutely aware of the risk of these terms being used as a pretext by Governments to place arbitrary, disproportionate and unnecessary restrictions on human rights.” (Office of the High Commissioner for Human Rights, 2012). Bacaan akademik terhadap ASEAN Declaration ini juga mengesani terma ‘in accordance with national law’ yang membolehkan hak asasi manusia dihad, diketepikan, malah tergugur memandangkan ia boleh ditafsirkan dengan begitu terbuka.

Selain penuh dengan kekaburan. Perkara kedua yang lebih menyedihkan ialah, penggubalan ASEAN Declaration ini tidak melibatkan secara serius kumpulan sivil yang merupakan komponen penting dalam hak asasi manusia:

About five-dozen rights groups from across ASEAN have also signed statements criticizing the declaration. Critics have also slammed the process behind drafting the declaration. An ASEAN committee was formed to create initial drafts, but these were never released publicly, even during limited consultation sessions with civil society groups (Irwin Loy, 2012).

Kritikan di atas adalah relevan, memandangkan Navi Pillay, UN High Commissioner for Human Rights, sendiri menggesa supaya pimpinan ASEAN menyemak kembali draf ASEAN Declaration tersebut, memandangkan tiada penglibatan yang cukup dari kumpulan sivil; ‘reflected insufficient input from civil society and other stakeholders’ (Office of the High Commissioner for Human Rights, 2012).

Adakah agama Islam, seperti yang ingin ditonjolkan dalam Cairo Declaration dan negara Timur seperti yang terjelma dalam ASEAN Declaration ingin menunjukkan kejuaraan mereka berbanding Barat dalam melindungi hak-hak asasi manusia?

Kurang seminggu setelah menandatangani ASEAN Declaration, pada 22 November 2012 Jabatan Agama Islam Selangor telah mengganggu hak kebebasan beragama dan kepercayaan minoriti Syiah dengan menyerbu dua buah pusat komuniti mereka di Ukay Perdana Heights dan di Sri Gombak iaitu Hauzah Ar Ridha Alaihissalam. Kedua-dua pusat komuniti itu adalah di Selangor. Operasi serbuan yang diketuai Sharom bin Maarof memberi amaran kepada hadirin bahawa ‘tidak ada lagi sebarang majlis Muharram diizinkan mulai sekarang’ (Temu bual, 2012). Dalam kes ini ‘in accordance with national law’ seperti yang terkandung dalam ASEAN Declaration telah mengehad hak asasi manusia secara serius, serta mencabulnya.

Tanggungjawab mempertahankan hak asasi manusia tidak harus dipolitikkan. Kesimpulannya, seperti yang ditegaskan oleh Diana Ayton-Shelker (1995), tiada sebarang pertentangan antara hak asasi manusia dengan mana-mana agama, dan budaya. Melainkan kita bertegas ingin mengatakan bahawa agama anutan kita, atau budaya amalan kita memang tergolong dalam agama atau budaya yang menolak hak asasi manusia. Tentu sahaja Islam, adalah agama yang suci dan mendokong hak-hak asasi manusia. Juga, tentu sahaja budaya Malaysia (biar ia Melayu, Cina, India dan suku-suku Sabah dan Sarawak) adalah budaya yang menghormati hak-hak asasi manusia. Diana Ayton-Shelker malah yakin dialog berguna antara pelbagai agama, budaya dengan hak asasi manusia dapat dimulai dan dijalankan, bermula dengan ‘traditional cultures’ yang memberi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia:

…greater understanding of the ways in which traditional cultures protect the well being of their people would illuminate the common foundation of human dignity on which human rights promotion and protection stand (Diana Ayton-Shelker, 1995).

Dalam erti kata lain, pada setiap agama dan budaya, terdapat nilai-nilai kemanusiaan dan perlindungan untuk semua manusia tanpa terpilih. Ini bermakna, kita harus memperakukan nilai-nilai kemanusiaan dan perlindungan dalam Islam turut merangkumi individu yang berbeza mazhab dan agama. Ia juga membawa pengertian nilai-nilai kemanusiaan dan perlindungan dalam budaya Timur tidak memilih kasta, kelas atau jantina.

Adalah menjadi satu kekhuatiran, Cairo Declaration atau ASEAN Declaration disuguh sebagai satu deklarasi balas di peringkat serantau atau satu-satu blok negara hanya untuk menafikan legitimasi UDHR 1948 bagi membolehkan penyelewengan kuasa dan politik regim tertentu dilindungi dan diteruskan. Hal ini telah pun diamati oleh sarjana Reza Afshari (1994: 249), yang menulis makalah akademik berjudul ‘An Essay on Islamic Cultural Relativism in the Discourse of Human Rights’. Menurut Afshari, isu-isu tradisi lokal termasuk keagamaan bukanlah hal utama yang perlu diperbesarkan, persoalannya di negara-negara Islam yang membantah UDHR 1948 itu, dan kemudian mencadangkan Cairo Declaration ini pun, hak-hak asasi warganya terus dicabuli oleh regim negara terbabit, yang tanpa segan silu menodai hak-hak asasi manusia secara terang-terangan.

 

RUJUKAN

Afshari, R. 1994. An Essay on Islamic Cultural Relativism in the Discourse of Human Rights. Human Rights Quarterly 16 (4). Hlm. 235-276.

ASEAN. 2012. ASEAN Human Rights Declaration. Association of Southeast Asian Nations Web Page. http://www.asean.org/news/asean-statement-communiques/item/asean-human-rights-declaration?category_id=26.

Ayton-Shelker, D. 1995. The Challenge of Human Rights and Cultural Diversity. UN Doc. DPI/1627/HR. http://www.un.org/rights/dpi1627e.htm.

Fernandez, A. 2006. From an Idea to a Culture of Human Rights. Dlm. Fernandez, A & Gowlland, G. (Ed.). Towards a Culture of Human Rights. College Universitaire Henry Dunant Universite D’ete des Droits de L’Homme et du Droit a l’Education. Geneva.

Halliday, F. 1999. Islam and the Myth of Confrontation. I. B Tauris. New York.

Heads of State/Government of the Member States of the Association of Southeast Asian Nations. 2012. Phnom Penh Statement on the Adoption of the ASEAN Human Rights Declaration. 19 November 2012. Association of Southeast Asian Nations Web Page. http://www.asean.org/news/asean-statement-communiques/item/phnom-penh-statement-on-the-adoption-of-the-asean-human-rights-declaration-ahrd?category_id=26

Loy, I. 2012. ASEAN Approves Controversial Human Rights Declaration. November 18. Voice of America. http://www.voanews.com/content/asean-summit-opens-in-phnom-penh/1548305.html

Office of the High Commissioner for Human Rights. 2012. UN Experts Raise Concerns Over ‘Landmark’ Southeast Asian Human Rights Declaration. 16 November. UN News Centre. http://www.un.org/apps/news/story.asp?NewsID=43520&Cr=human+rights&Cr1=#.UKzrVGctmZS

Temu bual. 2012. Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor 22 November 2012 Terhadap Komuniti Syiah.

The Member States of the Organization of the Islamic Conference. 1990. The Cairo Declaration on Human Rights in Islam: Adopted and Issued at the Nineteenth Islamic Conference of Foreign Ministers in Cairo. 5 Ogos. http://www.religlaw.org/interdocs/docs/cairohrislam1990.htm