Desentralisasikan Sistem Pendidikan Malaysia

Oleh Wing Thye Woo, Universiti Sunway, Universiti California di Davis

Untuk mara ke peringkat pembangunan seterusnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia harus diterajui oleh ilmu pengetahuan dan bukan lagi berlandaskan modal. Meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan satu kelas menengah yang besar menerusi pemusatan ekonomi, desentralisasi (pemencaran kuasa) dari segi pembuatan keputusan amat perlu untuk mengolah pertumbuhan yang diterajui oleh ilmu pengetahuan (knowledge-led economy) yang bakal membebaskan Malaysia dari perangkap pendapatan sederhana dan membahagikan hasil pertumbuhan ekonomi secara lebih saksama. Maka, selain daripada pembaharuan dasar ekonomi dan sistem kewangan, pembaharuan sistem pendidikan amat mustahak.

Sistem pendidikan Malaysia telah gagal meningkatkan kecekapan pelajar sederhana dalam kemahiran asas seperti membaca, matematik dan sains serta pencapaian akademi pelajar berbakat. Padahal, kualiti sistem pendidikan Malaysia rendah – luar biasa dalam konteksnya – mengikut kajian antarabangsa yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) ke atas kemahiran asas pelajar sekolah rendah dan menengah. Dalam 65 negara yang dikaji oleh OECD pada tahun 2012, kedudukan Malaysia dalam matematik, membaca dan sains adalah 52, 59 dan 53 masing-masing. Skor Malaysia adalah sebanding dengan Thailand (50, 48 and 49), Chile (51,48 and 47) dan Mexico (53, 51 and 55).

Akan tetapi, perbelanjaan per kapita kerajaan dalam pendidikan (diukur dalam dolar antarabangsa berdasarkan pariti kuasa beli (PPP)) ialah PPP$1307 untuk Malaysia, jauh lebih tinggi daripada PPP$701 untuk Thailand, PPP$860 untuk Chile and PPP$832 untuk Mexico. Jurang besar di antara perbelanjaan Malaysia dan Thailand, Chile dan Mexico sedangkan pencapaiannya lebih kurang sama mencerminkan keparahan masalah sistem pendidikan Malaysia.

Persoalan tentang kebertanggungjawapan (akauntabiliti) dan kecekapan guru di bawah sistem pendidikan Malaysia timbul kerana ketiadaan sistem ‘ganjaran berdasarkan prestasi’ dan jaminan pekerjaan sepanjang hayat. Sementara itu, kerana kurikulum sekolah – yang ditetapkan oleh kerajaan perseketuan ke atas semua sekolah yang mendapat bantuan kerajaan – ditetapkan pada tahap akademi yang rendah, bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam kesemua matapelajaran dalam peperiksaan kebangsaan tahunan semakin meningkat.

Selain itu, sebahagian besar daripada kurikulum ciptaan kerajaan ditetapkan untuk memenuhi keperluan politik. Ini bermakna masa dan sumber di sekolah tidak mencukupi untuk mengajar matematik, membaca dan sains dengan baik. Sebagai contoh, pelajar di sesetengah sekolah dikehendaki mengambil masa panjang  mempelajari tiga bahasa, menerima ajaran agama dan mengikut banyak kelas tentang sejarah dan masyarakat Malaysia. Kurikulum sedemikian adalah dirancang untuk meningkatkan penerimaan naratif yang dihendaki oleh Barisan Nasional tentang jenis pengaturan sosial-ekonomi- politik yang dianggap optimal untuk Malaysia, seperti Ketuanan Melayu. 

Akibat daripada perancangan kurikulum yang dimotivasikan oleh politik, pelajar digalakkan untuk menyerap sudut pandangan kerajaan secara bulat-bulat dan bukan menilai sudut pandangan tersebut secara kritikal. Politisisasi kurikulum sekolah bermakna nada keseluruhan sekolah-sekolah di Malaysia adalah pematuhan kepada ortodoksi dan bukannya pemikiran kreatif yang berperanan penting untuk menghasilkan pertumbuhan yang diterajui oleh ilmu pengetahuan.Wing Thye Woo, Universiti Sunway, Universiti California di Davis

Sistem pendidikan Malaysia telah mengalami pelbagai reformasi sistemik di bawah  pentadbiran Barisan Nasional yang  melebihi 60 tahun. Setiap reformasi tersebut telah mencetuskan perbahasan hangat dan setiap satu gagal meningkatkan prestasi pelajar. Sebaliknya, yang meningkat setelah pelaksanaan setiap pembaharuan sistemik ini adalah kuantiti pelajar dalam sistem pendididkan, bukan kualiti pendidikan.

Untuk menjayakan reformasi sekolah, perlu ada kesedaran bahawa ibubapa-ibubapa mempunyai objektif berbeza terhadap pendidikan anak-anak mereka. Demi menghormati hasrat ibubapa, Malaysia perlu mempelbagaikan kurikulum sekolah-sekolah awam. Kepelbagaian kurikulum hanya akan tercapai dengan adanya desentralisasi dalam tiga bidang.

Pertama sekali, kesemua sekolah harus berkongsi satu teras akademik yang sama, yang diperuntukkan masa dan sumber yang mencukupi untuk mengajar dengan baik dan pada masa yang sama setiap sekolah harus dibenarkan untuk memilih matapelajaran lain yang diajar dalam ruangan selebihnya. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan akan menetapkan bahawa kurikulum teras seperti Bahasa Malaysia, matematik, membaca dan sains harus diajar secara seragam di semua sekolah, pihak sekolah patut dibenarkan untuk memutuskan kekerapan kelas bagi matapelajaran seperti Sejarah Malaysia, Sejarah Dunia, Agama dan Geografi setelah berunding dengan komuniti tempatan.

Kedua, kuasa pengawal selia sekolah patut dialihkan dari kerajaan pusat ke kerajaan negeri. Kerajaan-kerajaan negeri boleh memperkenalkan insentif kepada para guru, membenarkan penubuhan pelbagai jenis sekolah awam dan mengaji pelbagai cara pengajaran.

Ketiga, kuasa pengagihan peruntukan pendidikan awam patut dipencarkan. Baucar pendidikan patut diberikan kepada setiap kanak-kanak yang mencapai umur bersekolahan pada setiap tahun. Ibubapa boleh memilih sekolah yang menawarkan kurikulum yang dirasakan paling sesuai untuk anak mereka dan menebus baucer tersebut di sekolah itu.  Ini bermakna apabila seseorang kanak-kanak pergi ke sesebuah sekolah, sejumlah peruntukan pendidikan awam juga akan mengikutinya ke sekolah itu.

Kejayaan dalam pembaharuan sistem pendidikan adalah bergantung kepada satu pakej reformasi yang menyeluruh dan bukan hanya satu-satu langkah reformasi. Desentralisasi dalam ketiga-tiga bidang ini hanya salah satu reformasi asas yang perlu dilaksanakan secara serentak untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah awam.

Reformasi asas yang lain termasuk memperkenalkan satu struktur ganjaran dan kenaikan pangkat yang dapat memberi ganjaran kepada mereka yang mengajar dengan cemerlang dan mentadbir secara inovatif dalam sekolah, melatih guru secara berkesan, membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak dari kawasan pedalaman untuk menghadiri sekolah-sekolah berasrama yang diurus dengan baik dan juga memperkenalkan program makanan berkhasiat kepada pelajar miskin. Sementara itu, kongkongan ke atas penubuhan dan operasi sekolah swasta juga patut dilonggarkan supaya sekolah-sekolah ini dapat menjadi kayu ukur kepada prestasi sekolah-sekolah awam, selain meluaskan pilihan para pelajar, terutamanya sektor pengajian tinggi.

Untuk menjayakan pembaharuan sistem pendidikan (dan reformasi secara umum), Dasar Ekonomi Baru (DEB) harus dinilai semula. Sememangnya, DEB tidak serasi dengan hasrat untuk memantapkan kecemerlangan institusi sosial ekonomi Malaysia. Dasar ini juga tidak berupaya menghasilkan bilangan bakat kelas dunia yang mencukupi untuk menampung keperluan industri dan sektor penting dalam abad ke-21, malah juga tidak dapat menggerakkan kesemua kuasa minda di Malaysia demi penciptaan ilmu, ataupun membangunkan Malaysia menjadi pusat ilmu dan inovasi serantau yang dapat menarik bakat kelas dunia ke Malaysia. Kerangka dasar awam DEB yang digubal pada abad ke-20 yang berorientasikan pemusatan kuasa harus disinggirkan supaya Malaysia dapat melepaskan diri dari perangkap pendapatan sederhana dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.

Wing Thye Woo merupakan Presiden Institut Asia-tenggara Jeffrey Cheah dan Pengarah Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs di Universiti Sunway dan Profesor Ekonomi di Universiti California di Davis.

Rencana ini adalah diterjemahkan dari rencana Bahasa Ingeris “Decentralising Malaysia’s education system,” East Asia Forum, 27 Mac 2019; https://www.eastasiaforum.org/2019/03/27/decentralising-malaysias-education-system/