Di antara Tuhan dan tukul kayu

 

Adakah undang-undang itu tidak mempunyai kewajipan? Adakah Kehakiman dan Parlimen tidak mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan dan mewujudkan undang-undang yang memajukan moral kita, bukan melambatkan ia? Jika tidak untuk melindungi kita daripada orang lain, maka untuk melindungi kita daripada diri kita sendiri. Undang-undang yang membolehkan kita mengurangkan kemanusiaan [diminish the humanity] sesiapa tidak adalah undang-undang. Undang-undang sebegitu adalah rangka kerja untuk jenayah. Dan terus terang saya katakan, saya benar-benar tidak peduli jika anda sebagai seorang individu tanpa watak atau hati nurani [conscience]. Tetapi tanah yang mana undang-undangnya membenarkan dan bukan mengawal yang kejam di kalangan rakyat, adalah sebuah negara yang harapannya sudah hilang.
-John Davinier, Belle (2013)

Adakah harapan negara Malaysia sudah hilang? Bagi setengah individu dan golongan yang didiskriminasikan dan dijenayahkan walaupun mereka tidak membuat apa-apa yang salah terhadap orang lain (seperti golongan transgender), mungkin jawapannya, “ya”.

John Davinier merujuk kepada undang-undang yang tidak baik, yang menjadi rangka kerja untuk jenayah oleh mereka yang lebih berkuasa dan yang lebih berpengaruh. Apakah yang membolehkan undang-undang menjadi rangka kerja untuk jenayah? Isu yang seringkali menjadi topik perbincangan yang hangat di merata negara adalah isu agama dan kedaulatan undang-undang. Apakah peranan agama dalam masyarakat yang bebas dalam sebuah demokrasi? Dan apakah implikasinya terhadap kedaulatan undang-undang dalam sesebuah negara seperti Malaysia?

Sumber gambar: Spiritual Abuse Recovery
Sumber gambar: Spiritual Abuse Recovery

Kecenderungan memuja agamawan dan kepercayaan yang taksub

Marci A. Hamilton adalah seorang Kristian yang menganggap dirinya sebagai seorang yang kuat berpegangan agama. Beliau adalah penulis buku God vs. the Gavel: Religion and the Rule of Law. Beliau adalah seorang professor undang-undang dan merupakan salah seorang ulama terkemuka di USA.

Pada satu masa dahulu, beliau pernah berpendapat bahawa pengamalan agama patut diberi kelebihan di sisi perundangan sesebuah negara dan tidak patut dibatasi oleh peraturan yang ditegakkan oleh kerajaan.

Beliau, kerana sudah dapat mendidik diri dengan pengetahuan dan ilmu yang lebih mendalam, hari ini berpendapat adalah bodoh untuk mana-mana negara untuk mempercayai sangat kepada agamawan dan institusi agama sehingga memberi keistimewaan yang khas di sisi perundangan negara.

Beliau berkata masalah ini tidak boleh dianalisakan setakat dari segi perundangan, tetapi mesti ditangani juga dari segi kebudayaan sesebuah masyarakat.

Bagi beliau, adalah memudaratkan untuk sesebuah negara sekiranya masyarakatnya mempunyai sikap romantis terhadap agamawan dan institusi agama seolah-seolah mereka ini sentiasa buat apa yang betul dan patut.

Beliau turut berkata bahawa kepercayaan yang tidak realistik bahawa agama selalu untuk yang baik sahaja adalah satu mitos yang sangat merbahaya. Hakikatnya, para agamawan dan institusi agama juga membuat apa yang salah kerana gilakan kuasa dan pengaruh demi kepentingan diri.

Sumber gambar: Free Malaysia Today
Sumber gambar: Free Malaysia Today

Penyalahgunaan kuasa dan kepercayaan oleh agamawan dan polis moral

Satu contoh yang paling baik adalah isu penyalahgunaan kuasa agamawan yang terlibat dalam jenayah seksual dan kekerasan yang dikemukan oleh Marci A. Hamilton.

Jenayah seksual yang diperlakukan terhadap kanak-kanak oleh guru dan kepala sekolah agama agak ketara di negara Amerika Syarikat, tetapi apa yang tidak diumumkan secara telus adalah bagaimana masalah seperti itu ditangani dengan cekap supaya ia tidak akan berlaku lagi.

Jenayah seksual juga diperlakukan kepada mereka yang kurang berkuasa dan yang tidak berpengaruh seperti orang transgender di Malaysia.

Pernah didokumenkan bagaimana pegawai Jabatan Agama yang membuat operasi menangkap Mak Nyah suka menjenguk mata atau menyentuh tubuh seperti buah dada mereka bila mereka bersalin baju dengan alasan, “Ala, lelaki dengan lelaki”.

Untuk maklumat lanjut mengenai kes tersebut, sila rujuk kepada laporan Human Rights Watch, “I’m scared to be a woman” yang diterbitkan dalam tahun 2014.

Malangnya, wacana tentang kes-kes sebegini selalunya berkisar atas isu siapa orang yang melakukan kesalahan tersebut dan sekiranya orang itu dipandang “lebih baik” daripada orang yang diperlakukan, kelakuan yang salah tidak diambil berat langsung.

Di Malaysia, pernah berlaku kes yang melibatkan guru agama atau guru dari institusi Islam yang menjadikan anak muridnya mangsa jenayah seksual atau keganasan. Contohnya, kes seorang guru wanita dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) didakwa menjadikan seorang anak muridnya berusia empat tahun sebagai pemuas nafsu.

Selain daripada laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa dan pemantauan yang dilakukan terhadap guru wanita terbabit, tidak diketahui apa tindakan yang selanjutnya yang diambil. Kes ini berlaku pada bulan Julai 2015.

Komen-komen terhadap berita ini pula berkisar sekeliling bagaimana jenayah seks yang diperlakukan oleh seseorang tidak bersempadan, budaya, agama atau bangsa. Pada hakikatnya, apa yang patut ditanya adalah apakah tindakan institusi Islam terhadap guru wanita yang terbabit, dan bagaimana isu ini boleh dielakkan daripada berlaku sekali lagi.

Tumpuan perhatian terhadap siapa orangnya yang terbabit merupakan isu yang dilebih-lebihkan daripada apa yang patut dibuat oleh institusi Islam, seolah-olah institusi sebegitu terhilang daripada persoalan kewajipan institusi tersebut.

Terdapat kes-kes yang lain di Malaysia yang melibatkan agamawan. Ini termasuk kes-kes “Pelajar Mati Dipukul Guru Agama-Mengapa?”, “Guru Agama berperangai binatang: Sanggup liwat pelajar sendiri”, dan “Guru ditahan didakwa cuba meliwat murid”.

Filem seperti “Ombak Rindu” pula langsung tidak membantu dalam mengubah pemikiran dan kebudayaan masyarakat Malaysia terhadap isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang diperlakukan oleh agamawan.

Seorang pemimpin PKR Latheefa Koya yang juga aktivis kumpulan peguam Lawyers for Liberty pernah menyoal arahan pengarah Ghaz Abu Bakar dan mengkritik bagaimana beliau boleh mengambarkan jenayah rogol oleh seorang agamawan di tempat yang baik.

Sumber gambar: Malaysiakini
Sumber gambar: Malaysiakini

Pendidikan berasaskan ilmu, bukan autoriti

Apa yang sering disyorkan sebagai cara untuk menangani masalah jenayah seks terhadap kanak-kanak adalah pendidikan seksual. Pendidikan seksual adalah satu langkah yang patut dijalankan oleh Kementerian Pendidikan, dan patut diajar oleh orang yang berkebolehan.

Ia juga pendidikan yang sepatutnya berdasarkan penyelidikan dan ilmu, bukan kepercayaan agama.

Tetapi, malangnya di Malaysia, pendidikan seksual tidak dapat lari daripada pengaruh agamawan dan institusi agama. Campurtangan sebegini ketara melebih-lebihkan peranan institusi agama dan orang agamawan walaupun peranan Kementerian Pendidikan cukup jelas sekali.

Dalam demokrasi, undang-undang adalah lanjutan daripada tiga kuasa-kuasa kerajaan – badan kehakiman, perundangan dan eksekutif. Undang-undang oleh itu mempunyai peranan untuk dimainkan dalam mengimbangi kuasa di antara mereka yang mempunyai kuasa dengan orang-orang yang tidak mempunyai kuasa dan pengaruh.

Dalam ertikata yang lain, undang-undang patut memastikan akauntabiliti dan ketelusan kuasa.

Mungkin contoh-contoh yang dibekalkan di sini tidak cukup meyakinkan untuk setengah daripada para pembaca, tetapi cubalah fikir bagaimana kedaulatan undang-undang akan terjejas sekiranya kita masih mahu melebih-lebih dan mengangkat-angkatkan institusi agama dan golongan agamawan.

Langsung akan terhilang makna ertikata “kesamarataan di sisi undang-undang” dalam sebuah demokrasi.