Sensitiviti masyarakat dan peranan dialog

Di ambang Syawal baru-baru ini, satu kontroversi telah timbul melibatkan Projek Dialog berhubung perkongsian kartun satira yang menyentuh pertentangan antara nilai agama dengan dengan amalan homoseksualiti di laman Facebook Projek Dialog.

Ini telah mengakibatkan kecaman ditujukan oleh pelbagai pihak yang menganggap Projek Dialog sengaja melakukan provokasi serta penghinaan terhadap komuniti beragama di Malaysia disebabkan isu dan cara perkongsian homoseksualiti tersebut terlalu sensitive dan bertentangan dengan nilai norma masyarakat di Malaysia.

Kecaman terhadap Projek Dialog kali ini juga telah mengaitkan beberapa organisasi lain termasuklah gabungan NGO, Negara-Ku di mana Projek Dialog merupakan antara organisasi dibawah gabungan ini.

Malah ada pihak yang menyamakan Projek Dialog dengan gerakan arus Baru atas dakwaan menimbulkan permasalahan dan menggalakkan api kebencian dalam masyarakat Malaysia.

Pertama sekali, Projek Dialog tidak mempunyai niat dengan sengaja untuk melakukan sebarang tindakan provokatif atau yang dianggap menghina mana-mana golongan sama ada komuniti beragama atau selainnya dalam masyarakat Malaysia.

Sekiranya ini telah berlaku, Projek Dialog melihat ini sebagai satu kesilapan dan salah faham serta memohon maaf atas sebarang tindakan yang mengakibatkan perselisihan ini berlaku.

Namun penting untuk dinyatakan di sini, Projek Dialog tidak bersetuju dengan pandangan bahawa sesetengah isu yang sensitif termasuklah berkaitan homoseksualiti tidak sepatutnya diwacanakan hanya kerana dianggap bertentangan dengan nilai norma masyarakat di Malaysia.

Mengelak daripada membincangkan isu-isu sebegini bukanlah kaedah terbaik dalam berhadapan dengan realiti sosial di Malaysia yang berkepelbagaian sama ada dari segi nilai, agama mahupun pendekatan menghadapi sesuatu isu.

Projek Dialog mengutamakan pendekatan dialog dalam berhadapan dengan isu-isu yang dianggap sensitif ini.

Apa itu Projek Dialog?

Projek Dialog merupakan satu inisiatif yang diusahakan sebagai respon terhadap kegagalan kita masyarakat di Malaysia untuk berhadapan dan mengetengahkan isu permasalahan yang sering dianggap sensitif.

Atas sebab itu, sejak awal penubuhan dua tahun yang dahulu, Projek Dialog telah secara aktif membincangkan, menggalakkan dan menjadi platfom wacana berkenaan hubungan antara agama dan etnik, isu-isu masyarakat seperti masalah gelandangan, pendidikan, diskriminasi minoriti dan sebagainya melalui pelbagai siri program dan penulisan.

Salah satu keutamaan dalam usaha dialog ialah menguruskan sensitiviti dan insensitiviti yang tertanam dalam minda masyarakat tanpa menetapkan kekangan terhadap mana-mana golongan untuk bersuara dan menyampaikan pandangan.

Sensitiviti atau insensitiviti satu pihak terhadap pihak yang lain dalam sesuatu isu kebiasaannya bukanlah satu persepakatan yang dikongsi bersama dalam satu masyarakat dengan komuniti pelbagai dan terpisah seperti di Malaysia.

Dialog merupakan satu proses berhadapan dengan permasalahan dan pertentangan, bukan sekadar satu aktiviti suka-suka memuatkan retorik mudah perpaduan dan penyatuan dikalangan golongan perpandangan serupa dan mengabaikan pihak berpandangan berbeza.

Proses dialog ini penting untuk meningkatkan kefahaman, toleransi serta penerimaan antara pelbagai golongan berbeza dalam masyarakat tanpa sebarang pengasingan khususnya terhadap golongan minoriti.

Atas sebab ini, sememangnya ada kebarangkalian perbezaan pandangan yang akan menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan golongan-golongan tertentu.

Isu-isu kontroversi tetap akan timbul, dan dalam sesetengah situasi kesilapan akan dilakukan yang merupakan kebiasaan dalam satu usaha dialog, seperti mana yang telah berlaku baru-baru ini.

Dialog merupakan satu proses yang panjang dimana setiap permasalahan baru yang dihadapi merupakan satu pelajaran dalam memahami realiti sosial dalam masyarakat berkepelbagaian di Malaysia.

Perkongsian bukan Perwakilan

Turut penting untuk dinyatakan di sini, atas sebab kepelbagaian pandangan yang dipromosikan oleh Projek Dialog, sebarang perkongsian sama ada berbentuk kenyataan di laman web mahupun perkongsian dalam media sosial tidak semestinya mewakili pandangan individu, kolumnis mahupun organisasi yang terlibat dengan Projek Dialog.

Projek Dialog merupakan platfom perkongsian yang meraikan kepelbagaian pandangan dan pendirian secara bebas sama ada oleh individu mahupun organisasi dan ini yang ingin ditekankan oleh Projek Dialog, sebagai arah masyarakat Malaysia menuju masa hadapan yang lebih harmoni.