Dokumentari ‘Ulama Perempuan’: Gerakan gender sebagai perubah sosial

Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas. Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar ‘ulamak’.

Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu tabu seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan berbincang mengenai hubungan diantara bukan muhrim.

Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala.

Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai, pertamanya: falsafah perubahan sosial; kedua: prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman; dan ketiga: agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki.

Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual.

Gerakan gender sebagai perubah sosial

Di dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah.

Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah.

Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia: Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas.

Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita.

Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang diteuramah di dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan.

Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki.

Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901.

Kepentingan memahami pesanan Agama

Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama (interfaith) yang bersifat humanis.

Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid.

Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama.

Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim.

Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama?

Salah seorang yang menghadiri tayangan filem tersebut merumuskan berbezaan ini dalam sebuah ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”.