Dramaturgi Tanda Putera: Sejarah yang benar atau propaganda?

September 2, 2013
Dramaturgi Tanda Putera: Sejarah yang benar atau propaganda?

Mohd Faizal Musa, Ph.D.

Felo Penyelidik

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600 Bangi, Selangor

 

Sesebuah produk seni sentiasa terdedah kepada kontroversi. Tanda Putera, sebuah filem arahan Shuhaimi Baba dan diterbitkan oleh Kavita Sidhu, Ibrahim Elias dan Kamarul Nizam Abdul Rahman tidak terkecuali dari kontroversi. Antara lain, Tanda Putera telah dibantah oleh Lim Kit Siang yang menyifatkannya sebagai ‘menggugat perpaduan’ (Anis Nazri 2012), dan Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan (Syed Jaymal Zahiid 2013) yang menyebut filem Tanda Putera sebagai ‘rasis’. Sebagai sebuah filem yang diterbitkan oleh Pesona Pictures dengan kerjasama  dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan Multimedia Development Corporation, filem Tanda Putera masih ditayangkan kepada kelompok tertentu sahaja. Oleh kerana bantahan, rungutan, kritikan dan tuduhan seperti di atas, filem Tanda Putera yang ditayangkan secara terpilih ini menjadi satu tanda tanya dalam kalangan masyarakat awam. Salah satu contoh tayangan tertutup ini adalah tayangan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan pada 18 April 2013 lepas, ia dianjur secara bersama dengan Biro Tata Negara. Shuhaimi Baba menegaskan Tanda Putera akan ditayangkan selepas Pilihanraya Umum Ke 13 untuk mengelakkan bantahan yang mungkin berlaku; ‘Saya telah membuat keputusan untuk tayang filem ini selepas pilihan raya agar penonton dapat tengok dalam keadaan tenang dan tak perlu gaduh dan buat protes’ (Harian Metro 2013).

Secara ringkasnya Tanda Putera mengisahkan persahabatan yang akrab di antara Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak (lakonan Rusdi Ramli) dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail (lakonan Zizan Nin). Mereka digambarkan bergelut dengan masalah negara ekoran kejadian 13 Mei 1969, serangan bertubi-tubi Kominis dan konflik dalaman parti. Dalam pada itu, mereka juga menyembunyikan penyakit dari pengetahuan umum. Tun Abdul Razak merahsiakan penyakit leukemia yang dihidapinya sementara Tun Dr. Ismail pula mempunyai masalah jantung.  Tanda Putera juga memperlihatkan ketokohan kedua-dua pemimpin ini sehingga menghimbau kekaguman buat Zarah (lakonan Ika Nabila), tenaga pengajarnya iaitu Kara (lakonan Kavita Sidhu), dan Zaman (lakonan Ahya U).  Durasi Tanda Putera adalah 117 minit. Kos pembikinannya adalah RM4.8 juta termasuk promosi dan sebanyak 30 peratus adegan Tanda Putera telah disunting kerana dianggap terlalu ganas (Siti Nursyahidah Abu Bakar 2012). Apakah yang kontroversi pada Tanda Putera? Adakah pada lakonan Rusdi Ramli sebagai Tun Razak, atau Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail, atau Faezah Elai sebagai Toh Puan Rahah? Adakah pada sinematografi kerjaan Filus Ghazali? Atau adakah pada lakonlayar dan muatan naratifnya yang dihasilkan oleh Shuhaimi Baba?

Berdasarkan bantahan dan rungutan yang dikemukakan terhadap Tanda Putera sebelumnya, dapat diandaikan filem ini telah mencetuskan kontroversi berdasarkan dramaturginya. Dalam hal ini dramaturgi bermaksud naratif filem. Sesebuah naratif filem merangkumi tiga aspek iaitu kausaliti (sebab-akibat), latar masa dan ruang (David Bordwell dan Kristin Thompson 2008: 75). Dramaturgi sesebuah filem terbuka dan boleh diisi dengan ideologi, gagasan, dan penyebaran budaya tertentu. Setiap karyawan perlu memahami, sebaik sahaja sesuatu tema atau subjek dipilih untuk digubah menjadi sebab dan akibat, lantas diberi latar masa dan ruang tertentu, maka di ketika itu jugalah sesebuah naratif terbangun. Sebaik naratif dalam bentuk visual ini siap dan diberi nama sebuah filem, ia terdedah kepada pelbagai tafsiran:

We must be aware, then, of the cultural and ideological assumptions spectators bring to the cinema. We must conscious, too, of the institutionalised expectations, the mental machinery that serves as the subjective support to the film industry, and which leads us to consume films in a certain way (Robert Stam dan Louise Spence 2004: 891).

Penjelasan di atas menegaskan seseorang penonton datang dengan tanggapan yang terbentuk oleh latar budaya dan ideologinya. Bukan itu sahaja, filem itu sendiri sebagai satu institusi sedang melakukan satu bentuk pencorakan, atau pembentukan identiti menerusi dramaturgi atau naratif yang dikemukakan.

Abu Hassan Hasbullah (2006: 12-18) bagaimanapun dalam membincangkan aspek dramaturgi filem Melayu meletakkan dua prinsip dramaturgi yang perlu diperhatikan. Pertama ialah naratologi, atau ilmu berkenaan falsafah dan ideologi yang diwacanakan dalam penceritaan filem. Kedua ialah sinematomi, iaitu berkenaan dengan ‘struktur, dan bentuk’ yang meliputi aspek pengarahan, sinematografi dan lakonan. Ini bermaksud, beliau beranggapan sinematomi itu sendiri merupakan satu komponen dramaturgi dan bukan terhad kepada naratifnya sahaja. Oleh kerana itu, busana, mekap, pencahayaan, ruang dan apa sahaja yang muncul dalam skrin filem adalah bahagian dari dramaturgi dan tidak bebas dari kritikan seorang spectator.

Kedua-dua keterangan mengenai dramaturgi tersebut, yang bersumber Barat dan lokal tidak bertentangan antara satu sama lain. Dramaturgi adalah naratif sesebuah filem yang berhubung rapat dengan isian, muatan, dan wacana yang disuguhkan oleh sesebuah filem.

30 minit pertama filem Tanda Putera memuatkan insiden 13 Mei 1969, iaitu rusuhan kaum yang menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia.  Babak-babak seterusnya menunjukkan persahabatan antara Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Tun Dr Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri sehinggalah ke hujung nyawa mereka. Justeru, jika naratif Tanda Putera dibahagi kepada dua komponen, hanya terdapat dua isian berbaloi untuk didiskusikan. Dua isian naratif ini dihias dengan beberapa sub plot yang antara lain memaparkan adegan perpaduan kaum antara Zarah, pensyarah Universiti Malaya, Kara dan Alan Yun sebagai Alan. Terdapat juga sub plot menonjolkan latar keluarga Zarah dan Zaman.

Sebagai perbincangan dramaturgi, terdapat dua cara untuk melihat Tanda Putera. Pertama, ruang naratif Tanda Putera dilihat dari perspektif sejarah. Sementara kedua, ruang naratif filem ini dilihat dari sudut estetikanya. Penilaian dramaturgi dari perspektif sejarah tidak dapat dielakkan dan ia dikuatkan oleh dakwaan penulis lakon layar dan pengarahnya sendiri bahawa Tanda Putera dihasilkan berdasar kajian ‘mendalam’; ‘Setelah melakukan kajian secara terperinci, saya yakin dengan interpretasi dalam filem ini iaitu peristiwa 13 Mei bukan bermula daripada rusuhan kaum’ (Siti Nursyahidah Abu Bakar 2012). Selain pengakuan Shuhaimi Baba sendiri bahawa filem Tanda Putera adalah hasil ‘kajian terperinci’, pengkritik filem Ku Seman Ku Hussain (2012) turut mendokong Tanda Putera sebagai ‘sejarah sebenar’ dan mengaitkan secara langsung parti DAP dengan peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Menurut Ku Seman Ku Hussain:

Semua orang tahu bahawa DAP yang mula membakar sentimen perkauman kalangan orang Cina ketika itu. Sejarah 13 Mei bukan sejarah lisan tetapi terakam dalam bentuk cetak, audio dan juga visual. Sumber ini semuanya menunjukkan DAP bertanggungjawab mencetuskan sentimen perkauman. Pengarah filem ini, Shuhaimi Baba juga membuat rujukan daripada sumber yang sama. Beliau mendapat kenyataan yang sama mengenai 13 Mei 1969. Maka DAP tidak perlu memalsukan sejarah sebenar dan membenarkan sejarah yang palsu untuk mencuci tangan.

Sebvagai satu sanggahan awal, Pandangan Ku Seman Ku Hussain tersebut belum dapat dijadikan pegangan; bahawa Tanda Putera memang merakam insiden sejarah yang benar. Tambahan lagi soalan yang sering diajukan oleh sejarawan sendiri adalah ‘apa yang benar dalam sejarah?’ Oleh kerana itu, dapat dinyatakan kutipan pendapat Ku Seman Ku Hussain belum tentu benar malah boleh dipertikaikan. Hal yang perlu diulang di sini ialah setiap penonton datang membawa latar budaya dan ideologi masing-masing. Maka sebagai sebuah karya filem yang memuatkan subjek yang dikira sensitif dalam konteks Malaysia, Tanda Putera akan dihakimi dari dua sudut pandang itu oleh setiap lapis audien.

Adakah Sejarah Yang Dirujuk Shuhaimi Baba Itu Benar?

Nor Azlah Sham Rambely dan Teo Kok Seong (2012: 33-42) menyatakan terdapat enam faktor tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Kedua-dua pengkaji dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan faktor-faktor tersebut adalah; pertamanya kehadiran orang-orang Cina di Tanah Melayu. Dalam kajian mereka, kuasa kolonial British telah memberi peluang yang besar kepada kaum Cina dalam bidang perniagaan, dan mengabaikan kaum Melayu yang ‘masih mengusahakan ekonomi sara diri’. Hal ini mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi sehingga menjelmakan riak kebencian. Kedua, pendudukan Jepun antara tahun 1942 sehingga 1945 meluaskan jurang antara kaum Cina dan Melayu. Sepanjang kehadiran Jepun di Tanah Melayu, kaum Cina telah ditindas dengan begitu teruk sekali berbanding kaum Melayu. Kaum Cina yang melarikan diri dari kekejaman Jepun telah menyertai atau cenderung untuk bersama Parti Komunis Malaya. Komponen ekstrimis dalam Parti Komunis Malaya iaitu Bintang Tiga telah menjadikan mangsa mereka kaum Melayu dengan tanggapan kaum Melayu berpihak kepada Jepun. Namun begitu, Bintang Tiga turut mensasarkan kaum Cina yang kaya. Ketiga, kembalinya Inggeris ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua untuk menggubal Malayan Union telah memuncakkan sentimen ketuanan Melayu dan secara tidak langsung menyemarakkan kebencian kepada kaum pendatang iaitu Cina dan India. British dalam pada itu melayan kaum Cina seolah-olah seluruh komuniti tersebut mendokong Parti Komunis Malaya. Polisi yang tidak seimbang ini mendorong munculnya faktor keempat iaitu pemberontakan Komunis antara tahun 1948 sehingga 1960. Dalam tempoh ini terdapat banyak pembunuhan dan keganasan berlaku termasuklah pertempuran antara orang Sakai dan Cina pada tahun 1949, dan serangan sekumpulan kecil orang Melayu terhadap perkampungan orang Cina di Bukit Selambau, Kedah. Kelima, satu faktor yang jarang disentuh oleh dokumen sejarah ialah terbitnya fahaman Melayu yang keterlaluan. Sejak Ogos 1964, terdapat dokumen menunjukkan Singapura telah merungut meminta Kuala Lumpur melakukan sesuatu untuk membendung fanatisme ini. Menurut Nor Azlah Sham Rambely dan Teo Kok Seong (2012: 38), pelampau Melayu telah merancang untuk menghapuskan parti PAP di Singapura dengan cara ganas. Pelampau Melayu ini juga berhasrat mendirikan Greater Malaysia yang merangkumi Indonesia. Elemen kemelampauan ini diwakili oleh Singapore Malay Action Committee yang ditajai UMNO. Dalam masa yang sama, fahaman kemelampauan Melayu ini mendapat bantuan Perkhidmatan Perisik Indonesia. Ledakan perkauman di Singapura ini menjadi semakin keras pada 1 April 1965 di mana pada Julai 1966, pasukan ISD Singapura telah menyatakan untuk ‘mengambil tindakan terhadap pelampau Melayu di Singapura yang antara lain adalah ahli UMNO’. Kesemua faktor di atas bergabung menjadi ledakan besar apabila parti Perikatan menang tipis dalam Pilihanraya Persekutuan 1969. Nor Azlah Sham Rambely dan Teo Kok Seong (2012: 39) seterusnya menyatakan pada 12 Mei 1969, Jawatankuasa Kerja Pusat MCA mengumumkan untuk tidak melibatkan diri dengan Perikatan di peringkat persekutuan dan negeri tetapi menyokong Perikatan di parlimen. Perarakan kegembiraan ahli parti pembangkang bertembung dengan perarakan balas ahli UMNO dari Kampung Bharu, Kuala Lumpur telah menyebabkan berlakunya pergaduhan, dan seterusnya menyebabkan tercetusnya peristiwa buruk 13 Mei 1969.

Justeru jika pandangan kedua-dua pengkaji dianalisa, terdapat dua hal yang sangat berlawanan kutub iaitu elemen radikal dalam kalangan masyarakat Cina dan juga Melayu yang gagal dibendung dari awal. Oleh kerana itu, isu kaum bukanlah satu-satunya isu yang menyebabkan insiden 13 Mei. Ia juga bermaksud, peristiwa hitam tersebut tidak boleh disangkutkan dengan mudahnya di atas bahu parti pembangkang semata-mata kerana kebencian antara kaum memang telah tertanam dan berhasil dinyalakan oleh puak-puak ekstrim dari kedua-dua belah pihak.

Sementara itu dalam ‘13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia’, Kua Kia Soong (2007) berpendapat peristiwa 13 Mei adalah satu ‘rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu’. Rampasan kuasa ini ‘disokong oleh polis dan tentera untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama’ bagi memboleh dan memudahkan pelaksanaan ‘agenda baru Melayu’ (Beh Lih Yi 2007a). Kua Kia Soong (2007: 130) dipetik menulis; ‘Kelas pemerintah kapitalis baru bergantung kepada ideologi yang berasaskan sentrisme Melayu untuk mengaut sokongan orang Melayu’. Untuk menguatkan tesisnya, Kua Kia Soong antara lain merujuk laporan Pegawai Suruhanjaya Tinggi British, laporan daripada media asing, kenyataan akhbar Persatuan Palang Merah Malaysia, catatan sulit Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia Barat dan Timur serta penilaian Jabatan Kabinet British, Pejabat Luar Negeri dan Komanwel serta Kementerian Pertahanan. Buku ini turut mengambil kira pandangan masyarakat ekspatriat British di ibu negara pada waktu itu.

Sudah tentu rujukan bersumberkan penilaian pegawai British, media asing dan masyarakat ekspatriat seperti yang dilakukan oleh Kua Kia Soong dengan mudah disangkal sebagai tidak objektif oleh sejarawan tempatan. Akan tetapi memandangkan sejarah mempunyai dua wajah iaitu naratif ulung dan mini naratif, maka pandangan bahawa  13 Mei berlaku kerana kerakusan ‘golongan kapitalis (dalam Umno)’ bukanlah sesuatu yang sederhana dan wajar diberi pertimbangan. Persoalan naratif ulung dan mini naratif ini akan disentuh kemudian. Kua Kia Soong tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana merujuk ‘sumber asing’ apatah lagi tidak ada laporan media tempatan yang berwibawa dapat dijadikan sandaran kerana aksi penapisan oleh pihak berkuasa (Beh Lih Yi 2007b). Harus dinyatakan di sini, sebagai satu keadilan akademik, pandangan kontroversial Kua Kia Soong tersebut ditolak mentah oleh Nik Anuar Nik Mahmud dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Nik Anuar yang kemudiannya menjawat jawatan Profesor di Institut Alam dan Tamadun Melayu menyifatkan pandangan Kia Soong tersebut adalah ‘serong’, dan ‘bersifat prejudis’ sekaligus  menolak ‘dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh kapitalis Melayu’ (Malaysia Kini 2007).

Dalam erti kata lain terdapat dua tanggapan terhadap insiden 13 Mei. Iaitu ‘sumber sahih’ yang disandarkan kepada kerajaan dan ‘sumber meragukan’ yang datangnya dari   sumber diplomat dan wartawan asing. Ini bermakna sehingga bila pun, peristiwa 13 Mei akan jatuh dalam dua kategori yang tidak selamat. Iaitu kategori naratif ulung yang percaya kepada idea atau gagasan sejarah yang datang dalam bentuk ‘large scale’ berbanding mini naratif yang datang dalam bentuk perca kecil, atau peristiwa lokal (Mary Klages 2007). Contoh paling mudah untuk hal ini adalah pertikaian samada Mat Indera adalah seorang tokoh Kominis yang terlibat dalam perisiwa serangan Bukit Kepong, atau beliau adalah seorang pejuang kemerdekaan yang menentang British dan Melayu yang berkiblatkannya (Sinar Harian 2012). Sejarah versi naratif ulung menyatakan Mat Indera adalah seorang kominis (Amiruddin Harun dan Azeli Ali 2012) berbanding versi mini naratif yang merujuknya sebagai seorang pejuang (Ayub Kassim 1973).

Setelah membabarkan pandangan sejarah di atas, soalan seterusnya adalah, adakah pandangan sejarah di atas  ditampilkan dalam Tanda Putera?

Tidak, tetapi mungkin juga ya.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyataan di atas ini?

30 minit pertama Tanda Putera iaitu babak yang memperihalkan 13 Mei digubah sebagai ‘foreground story’, babak-babak seterusnya yang memperihalkan persahabatan dan gaya kepimpinan Tun Razak adalah ‘background story’ yang memuatkan ‘sub teks’ sesebuah filem. Untuk menilai dan mengupas sub teks sesebuah filem, struktur naratif perlu dikaji dan dianalisa dan hubungan struktur cerita itu pula dilihat bersama dengan perkembangan watak utama. Hal ini telah dinyatakan dengan baik oleh Ken Dancyger dan Jeff Rush (2007: 200):

Subtext always relates to character. In order to present a model of screenplay subtext, it is necessary to look at the structure of the screen story.

‘Foreground’ dan ‘background’ meski mengandungi kelewahan yang mungkin membosankan sesetengah audien, sebenarnya berisi maklumat yang penting. Ada kemungkinan ia berlaku secara tidak sengaja dan tidak dirancang tetapi setidak-tidaknya ia dapat dibaca atau diinterpretasikan sedemikian.

Antara babak awal Tanda Putera menunjukkan apa yang berlaku 14 hari sebelum pilihanraya 1969. Terdapat keratan akhbar memapar ‘Pekerja UMNO Dibunuh’. Seterusnya ditunjukkan sebuah lori dengan wajah-wajah Cina bertampalkan bendera bersimbol roket persis bendera DAP. Paparan berikut adalah kenyataan bahawa pada Mei 1969, Perikatan menang tipis dan ada laungan supaya ‘Melayu balik kampung’ di Setapak. Babak-babak meresahkan ini tiba ke adegan bunuh membunuh, diselang selikan dengan adegan siswa di beberapa kampus berdemonstrasi (salah satu gejala era 60an). Siswa-siswa tersebut antara laing melaungkan ‘Kami Mahu Perobahan’ dan ‘Tunku Undur’. Meskipun adegan-adegan ‘foreground’ ini dilihat lewah oleh penonton awam, ia memberi signal tertentu. Bahawa sudah ada suara untuk menuntut supaya Tunku Abdul Rahman segera beredar dari kerusi Perdana Menteri. Selepas bersulam beberapa babak, ditonjolkan keluarga Tun Razak yang hidup dengan penuh gaya. Toh Puan Rahah diperlihatkan menilik orkid, dan menurut Tun Razak ia sempat melihat isterinya menari. Tun Dr Ismail lebih-lebih lagi diperlihatkan sebagai pemimpin yang tenggelam dengan gaya hidup Barat. Bukan sahaja beliau mempercayai seorang doktor dari Barat, Macpherson, beliau malah ditunjukkan juga serba serbi ‘moden’ (baca: Barat).

Paparan-paparan babak dalam Tanda Putera yang menunjukkan cara berfikir kaum Melayu kaya ini kelihatan menepati tesis Kua Kia Soong (2007: 147) yang dikutip menulis; ‘Memang jelas rusuhan Mei 1969 telah membolehkan kelas pemerintah kapitalis yang mengawal Majlis Gerakan Negara memegang tampuk kuasa. Nyata juga bahawa kelas aristokrat lama di bawah pimpinan Tunku telah ditenggelami oleh elit Melayu baru yang dipimpini Razak.’

Apakah Shuhaimi Baba secara tidak sengaja telah memaparkan ‘versi sejarah mini naratif’ ini ketika melakukan kelewahan dalam dramaturgi Tanda Putera? Memandangkan setiap penonton Tanda Putera datang membawa latar budaya dan ideologi, maka tidak mustahil tafsiran sedemikian turut bermain dalam minda khalayak tertentu. Terdapat adegan yang tidak sukar untuk dihadami maksudnya, misalnya perbicaraan tentang Dasar Ekonomi Baru dan kemiskinan orang Melayu dilakukan di padang golf, dan tepi kolam renang. Atau babak-babak kontras yang menunjukkan anak-anak Tun Razak khusus Ahmad Johari yang diasuh dengan cara penuh bangsawan serta bersekolah tinggi di MCKK dan luar negara sedang anak-anak Felda berjalan kaki jauh, dan belajar dalam kelas yang dinding kayunya terkopak dan patah berlubang bila ditebuk. Tidakkah Shuhaimi Baba sedang mengungkapkan sesuatu ketika menunjukkan kemelaratan hidup Maimon sekeluarga dan menggandingkan kemudian scene lain apabila Toh Puan Rahah sedang tertawa ria berlimpahan kemewahan di sisi Toh Puan Norashikin binti Mohd Seth (lakonan Linda Hashim)? Barangkali Tanda Putera dalam kelewahan dramaturginya telah secara tidak sedar menghantar mesej bahawa lihatlah bagaimana kapitalis dalam kalangan Melayu Baru membincangkan perihal Petronas dan MAS di sisi sofa empuk?  Adegan ‘background’ ini membuatkan penonton tertanya, apakah Shuhaimi juga sengaja menayang-nayang keelitan pemimpin Melayu waktu itu, kerana bukan sedikit penonton yang merasakan gandingan kontras antara seorang anak Felda yang comot dengan anak seorang pemimpin yang begitu empuk dengan kemewahan.

Tidak syak lagi Tanda Putera adalah sebuah filem versi naratif ulung. Tentu, ia tidak akan dapat dinikmati oleh penganut faham sejarah mini naratif. Kebenaran yang dipaksakan dalam tradisi naratif ulung tidak bertemu dengan kebenaran yang dipegang oleh pengekor tradisi mini naratif. Shuhaimi Baba memilih jalan selamat menerusi naratif ulung dan dengan itu komited untuk sendeng terhadap satu versi sejarah. Sehubungan dengan itu, berlakulah pemaparan bias yang tidak dapat dielakkan dalam Tanda Putera:

Postmodernism, in rejecting grand narratives, favors “mini-narratives,” stories that explain small practices, local events, rather than large-scale universal or global concepts. Postmodern “mini-narratives” are always situational, provisional, contingent, and temporary, making no claim to universality, truth, reason, or stability (Mary Klages 2007: 169).

Berdasarkan kutipan di atas, hujah mengesahkan hanya satu sumber sejarah iaitu Tanda Putera adalah ‘sejarah yang benar’ kerana ia menempuh kajian mendalam dan terperinci tidak lagi timbul.

Ini kerana tidak ada satu versi sejarah yang dapat dipegang.

Sekiranya sejarah mengambil kira faktor kefanatikan perkauman sesetengah orang Melayu seperti yang disebut oleh Nor Azlah Sham Rambely dan Teo Kok Seong (2012: 33-42), dan mengambil pula tesis Kua Kia Soong (2007) bahawa golongan kapitalis Melayu lah yang merancang 13 Mei untuk merampas kuasa dari Tunku Abdul Rahman maka tuduhan bahawa parti pembangkang khusus DAP satu-satunya bertanggungjawab dalam insiden hitam tersebut ternyata tidak adil, jahat, malah tidak bertanggungjawab.

Jelaslah, 13 Mei akan kekal menjadi episod kabur dalam sejarah negara. Mengungkap insiden tersebut dalam sebuah karya seni dengan harapan ia tidak dipolitikkan, tidak menjadi kontroversi dan tidak dicurigai adalah sesuatu yang sia-sia. Malah memilih insiden 13 Mei tersebut sebagai satu muatan ruang naratif adalah satu perbuatan politik. Jika ia berpihak kepada naratif ulung, ia menjadi sebuah karya propaganda. Jika ia memihak kepada mini naratif ia akan ditanggapi sebagai karya kiri.

Tanda Putera: Propaganda Yang Disengajakan?

Oleh kerana Tanda Putera memilih naratif ulung sebagai pendekatan sejarahnya, maka tidak dapat tidak jika dilihat dari sudut estetikanya, filem ini mendekati apa yang dinamai karya seni propaganda. Adakah sebarang kesalahan jika ia satu karya propaganda? Jawapannya tidak. Namun begitu, karya seni propaganda tidak terlepas dari skeptisme. George Orwell, pengarang Inggeris terkenal, pernah berkata, ‘all art is to some extent propaganda’  atau semua seni itu pada sesetengah keadaan atau takat adalah propaganda (A. Peter Foulkes 1983: 2). Jika begitu, apakah propaganda? Untuk tidak menimbul kekeliruan, beberapa definisi dari kamus-kamus bahasa Inggeris terbaik dirujuk. Ini kerana perkataan itu datangnya dari bahasa Inggeris:

Allegations, facts, opinions, and the like, systematically spread with the intention of helping or harming some individual, group, institution, or movement; the dissemination of such information, now often used disparagingly to denote half-truths, distortions, and biased information, utilized mainly by political factions (New Webster’s Dictionary of the English Language 1986: 764)

Suatu lagi pengertian yang tidak jauh bezanya:

False, distorted or misleading information, rumours, etc. Deliberately spread in order to help or harm a person, group, institution, country, etc (The New Hamlyn Encyclopedia World Dictionary 1971: 1337)

Atau makna lain:

Doctrines, arguments, facts spread by deliberate effort through any medium in order to further one’s cause or to damage an opposing cause (The Macquarie Dictionary 1981: 1381)

Dari tiga definisi ini dapatlah dilihat propaganda dari satu sudut, mempunyai persamaan; iaitu penyebaran satu-satu idea yang dilakukan secara sistematik, tersusun dan disengajakan, terancang dan bertujuan khusus untuk menaikkan atau lebih lazimnya menjatuhkan satu-satu individu, kumpulan atau institusi. Propaganda juga lebih dirujuk kepada tuduhan berat sebelah dan membesar-besarkan keburukan. 30 minit pertama Tanda Putera mengaitkan DAP dengan insiden 13 Mei 1969. Apakah hal ini benar atau tidak benar, telah pun dibincangkan secara panjang lebar sebelumnya. Babak-babak setelah 30 minit pertama dalam Tanda Putera bertujuan untuk mengangkat penuh usaha-usaha Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional. Sukar untuk menolak dakwaan bahawa Tanda Putera secara sengaja melakukan pemomokan terhadap parti pembangkang DAP dan juga secara sengaja dan terancang mengingatkan penontonnya supaya berterima kasih kepada Barisan Nasional yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara dan rakyat seluruhnya.

Salah satu dialog yang bertujuan mengampu penuh maksud itu adalah dialog Toh Puan Rahah, ‘Abangkan PM, Hah percaya Tuhan akan beri petunjuk kepada abang’. Ia disusuli dengan adegan Tun Razak bermunajat supaya Allah melindungi tanahair. Setelah sedemikian banyak dramatisasi tidak mustahil inilah destinasi akhir filem Tanda Putera. Hal seperti ini disebut oleh J. Dudley Andrew (1976: 62) ketika membahaskan tradisi formatif gaya Sergei Eisenstein:

This dramatic level begins to dissolve into an even higher level of generality within the spectator’s mind. He sees the story as merely a single instance of a general theme which could be stated by other stories and other oppositions. At the highest level, then, the spectator becomes aware of the central problem or problem which the filmmaker had hoped to engender within him. The film has functioned as a machine, utilizing reliable fuel (attractions), energized to create a steady stream of motion (montage), developing a controlled and total dramatic meaning (story, tone, character, etc.), leading toward an inevitable destination (the final idea or theme).

Seluruh 30 minit pertama Tanda Putera yang memomokkan DAP sebagai parti perkauman dan pencetus 13 Mei 1969 dibina dan disulam dengan sekian banyak usaha Tun Razak dan Tun Dr Ismail secara penuh emosi adalah ‘total dramatic meaning’ yang ingin mengingatkan audien kepada ‘inevitable destination’, apabila isteri Perdana Menteri mengatakan ‘seorang pemimpin seperti PM tentu mendapat petunjuk Tuhan’. Makanya, ‘the highest level’ seperti yang disebut J. Dudley Andrew itu adalah kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin, pengukuhan konsep feudalisme, dan ingatan bahawa penguasa adalah bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Tentu untuk menjadikan ia berkesan dan diingati oleh penonton yang akan pulang ke rumah, kata-kata tersebut harus lahir secara lembut, santun dan penuh penghayatan dari watak Toh Puan Rahah yang dilakonkan oleh seorang pelakon yang jelita seperti Faezah Elai.

Antara adegan yang tidak dapat dihindari untuk dikaitkan sebagai propaganda kepartian adalah kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihanraya 1974 di mana pemimpin utama berhimpun untuk memotong kek Barisan. Perbincangan-perbincangan sekali imbas pemimpin negara mengenai DEB (di padang golf), kasih sayang Tun Razak kepada orang bangsat termasuk mangsa banjir di pusat pemindahan, mimpi Tun Razak akan Petronas, lawatan-lawatan Tun Razak ke tanah rancangan; di mana seluruh adegan-adegan membawa kepada satu tujuan iaitu Barisan Nasional identik dengan kestabilan, keharmonian dan transformasi. Propaganda lapis atas itu didokong oleh propaganda lapis bawah seperti adegan yang memapar Najib, anak kepada Tun Razak menangis sebaik mendapat berita pemergian ayahnya. Malang sekali, adegan tersebut menjadi meleret kerana berganti dengan satu tautologi iaitu apabila Tun Hussein Onn yang mengambil alih pemerintahan diketengahkan menangis teresak ketika pengumuman kematian Tun Razak secara langsung di televisyen.

Tidak semua dalam Tanda Putera itu jelek. Satu-satunya aspek dari filem Tanda Putera yang mungkin berbekas dan dapat memadam seluruh kehebohan mengenai filem ini adalah lakonan Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail. Beliau berjaya memaparkan peribadi Tun Dr Ismail selaku seorang Melayu dengan gaya hidup Barat, iaitu tokoh dari golongan bangsawan-pemodal-politikus. Tidak mungkin penonton terlupa babak Tun Razak memuji baju mahal Tun Dr Ismail yang cantik dan berwarna-warni itu. Kemuncak lakonan Zizan yang bagus tersebut terjelma ketika beliau melakonkan adegan Tun Dr Ismail berdepan dengan sakarat dengan cara yang payah sekali. Rusdi Ramli bagaimanapun tidak cukup bertenaga membawakan watak Tun Razak. Malah adegan yang menunjukkan Tun Razak dalam keadaan nazak dan meninggal dunia dalam keadaan sukar tidak dihayati dengan cukup berkesan. Sebaliknya adegan ketika Tun Razak dalam keadaan terlalu uzur memberikan wang kepada Johari supaya membeli baju baharu hanya menimbulkan kejelakan dan kelucuan. Sekiranya Shuhaimi memberi fokus sepenuhnya filem ini kepada persahabatan Tun Razak dan Tun Dr Ismail, Tanda Putera akan lebih terselamat dari kesendengan sejarah dan penyuguhan propaganda kepartian. Pemilihan Awie sebagai penyanyi lagu Tanda Putera sendiri mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Tanda Putera hanyalah satu lagi jentera politik parti tertentu. Mungkin, Shuhaimi perlu tunduk kepada pemberi dana dan kehadiran nama Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim yang tertera di hujung filem bagai menjelaskan segala-galanya.

Kesimpulan

Memang Tanda Putera bukan sebuah filem perkauman. Tanda Putera juga bukanlah sebuah filem yang dapat dibanggakan dari segi sejarah mahupun seninya. Sebagai sebuah filem sejarah, ia gagal menonjolkan pelbagai sisi sejarah. Natijahnya Tanda Putera diwaspadai, disambut dengan prasangka oleh segelintir orang awam dan dihujahkan sebagai rasis. Walaubagaimanapun, masih ada cara membaca (menonton) Tanda Putera.  Sisi alternatif itu terjelma pada kemelampauan hidup mewah kaum bangsawan seperti yang terlihat pada cara hidup Tun Dr Ismail dan keluarganya, atau kemewahan dan kekekokan anak-anak Tun Razak dengan nilai tradisi Melayu.  Untuk penonton yang bukan dari kelas menengah dan sedang terhempuk oleh tekanan ekonomi; gaya hidup mewah dan cara fikir kedua-dua tokoh itu menimbulkan semacam kejengkelan. Ia mungkin jadi hiburan untuk segelintir khalayak yang terbiasa dengan Bollywood, di mana ketik gitar Kara lakonan Kavita dan gedik terlebih Ika Nabila dianggap sebagai satu seni bermanfaat. Namun sebagai satu hasil seni, Tanda Putera adalah sebuah karya propaganda. Ia bertujuan untuk memomokkan DAP selaku parti yang dikaitkan dengan unsur subversif, dan kecinaan melampau. Hal tersebut dipantak kepada penonton untuk 30 minit pertama. Minit-minit seterusnya memaparkan kestabilan, keharmonian kaum, usaha membasmi kemiskinan tegar dan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya tahun 1974. Filem Tanda Putera cuba mengingatkan audien bahawa gandingan Tun Razak dan Tun Dr Ismail adalah dua negarawan yang bersusah payah membangunkan negara pasca 13 Mei 1969. Malangnya, pemaksaan dan elemen propaganda parti Barisan Nasional yang terlalu tebal hanya mengingatkan penonton terpelajar kepada hakikat bahawa gandingan Tun Razak dan Tun Dr Ismail bukanlah gandingan Najib dan Muhyiddin. Tanda Putera adalah satu lagi teks sejarah versi penguasa yang hadir untuk meneguhkan fakta-fakta dalam buku teks sejarah di sekolah. Ia sedikit berbeza kerana ia hadir dengan naratif, dan mampu mendorong emosi.  Bahawa emosi tersebut adalah kebencian terhadap parti pembangkang, kerana mencetuskan kehuru-haraan, radikal, menunjuk punggung, suka demonstrasi dan bikin kacau lantas ditamatkan dengan emosi sedih sayu bahawa UMNO dan Barisan Nasional telah melakukan banyak jasa, berkhidmat, berkorban sehingga ke hujung nyawa. Maka kerana demikian wajarlah penonton untuk membalas budi. Penonton dengan cekik cekak feudalisme akan terhibur dan menangis. Penonton dengan pekik dan teriak hak asasi akan berasa sangat terhina dan tersinggung. Oleh kerana itu, satu-satunya kejayaan dan sumbangan Tanda Putera karya Shuhaimi Baba adalah dengan melebarkan lagi jurang perbezaan yang ada dalam masyarakat.

Rujukan

Abu Hassan Hasbullah. 2006. Filem Sebagai Ar Risalah Menemukan Keimanan dan Kebijakan Dramaturgi Wayang Gambar Melayu. Dlm. Seminar Penulisan Dramatik: Pemikiran Sejagat, Budaya Setempat Dalam Penulisan Dramatik. 2 dan 3 Disember. Jabatan Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia.

Amiruddin Harun. &. Azeli Ali. 2012. Sarjana UK sahkan Mat Indera komunis. Utusan Malaysia. 10 Oktober. http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121010/dn_01/Sarjana-UK-sahkan-Mat-Indera-komunis

Andrew, J.D. 1976. The Major Film Theories: An Introduction. Oxford. Oxford University Press.

Anis Nazri. 2012. Tanda Putera boleh gugat perpaduan – Kit Siang. HarakahDaily. 7 Ogos. http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12317-tanda-putera-boleh-gugat-pepaduan-kit-siang

Ayub Kassim. 1973. Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong Muar: Satu Post-Mortem. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Beh Lih Yi. 2007a. Mendedahkan punca sebenar rusuhan 13 Mei. Malaysia Kini. 11 Mei. http://www.malaysiakini.com/news/67120

Beh Lih Yi. 2007b. Apa yang sebenarnya berlaku ketika rusuhan 1969. Malaysia Kini. 11 Mei. http://www.malaysiakini.com/news/67135

Bordwell, D. &. Thompson, K. 2008. Film Art. New York. McGraw Hill International.

Dancyger, K. &. Rush, J. 2007. Alternative Scriptwriting. Oxford. Focal Press.

Foulkes, A.P. 1983. Literature and Propaganda. London: Methuen and Co. Ltd.

Harian Metro. 2013. Filem ‘Tanda Putera’ ditayang selepas PRU-13. 27 Mac. http://www.hmetro.com.my/articles/Filem_TandaPutera_ditayangselepasPRU-13/Article/

Klages, M. 2006. Postmodernism. Dlm. Literary Theory: A Guide for the Perplexed. London dan New York. Continuum International Publishing Group.

Ku Seman Ku Hussain. 2012. Tanda Putera mangsa politik. Utusan Malaysia. 29 Julai. http://www.utusan.com.my/utusan/rencana/20120729/re_05/tanda-putera-mangsa-politik

Kua Kia Soong. 2007. 13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia. Terj. Seah Li Ling. Petaling Jaya. Suaram Komunikasi.

Malaysia Kini. 2007. Buku Tunku: ‘Kapitalis Melayu’ bukan punca 13 Mei. 12 Oktober. http://www.malaysiakini.com/news/73525

New Webster’s Dictionary of the English Language. 1986. New York: Delair Publishing Company.

Nor Azlah Sham Rambely. &. Teo Kok Seong. 2012. Tragedi 13 Mei 1969. Dlm. Abdul Latif Samian dan Teo Kok Seong (pny.). Prosiding Kolokium Siswazah Institut Alam dan Tamadun Melayu 25 April. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sinar Harian. 2012. Mat Sabu: Mat Indera pejuang kemerdekaan. 8 Oktober. http://www.sinarharian.com.my/semasa/mat-sabu-mat-indera-pejuang-kemerdekaan-1.92621

Siti Nursyahidah Abu Bakar. 2012. Tanda Putera bukan filem politik. Sinar Harian. 24 Julai. http://www.sinarharian.com.my/hiburan/tanda-putera-bukan-filem-politik-1.69596

Stam, R. &. Spence, L. 2004. Colonialism, Racism and Representation: An Introduction. Dlm. Braudy, L. &. Cohen, M. Film Theory and Criticism. New York. Oxford University Press.

Syed Jaymal Zahiid. 2013. FELDA screening of ‘Tanda Putera’ proves movie racist, Ambiga says. The Malaysian Insider. 23 Februari. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/felda-screening-of-tanda-putera-proves-movie-racist-ambiga-says

The Macquarie Dictionary. 1981. Sydney: Griffin Press Limited.

The New Hamlyn Encyclopedia World Dictionary. 1971. London: The Hamlyn Publishing Group Limited.



Leave A Response »