Eksistensialis Dalam Cinta

Penterjemahan tidak rasmi dari laman “Ideas”. Diterjemah oleh Hamizah Hanan. 

Soalan: bolehkah eksistensialis mengajar kita sesuatu yang berguna mengenai CINTA?

Terkenal dengan daya tarikan utama yang membincangkan kematian, ketakutan, kemabukan dan renungan terhadap alam maya, ia seharusnya tidak mengejutkan apabila eksistensialis juga banyak memberi nasihat berguna tentang cinta romantis. Walaupun mereka berbeza idea tentang cinta, namun ada perkara yang dipersetujui bersama.

Cinta romantis boleh membuatkan kita tidak keruan dan ketagihan seperti narkotik (contohnya, lihat “Addicted to Love” oleh Earp et al.). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa terdapat perbezaan antara membayangkan keindahan bercinta dengan bagaimana kita bertindak ketika dilamun cinta.

Walaupun cinta itu memilih kita, namun, pada asasnya kita berhak untuk menentukan perilaku ketika bercinta (contohnya; lihat animasi Nigel Warburton bertajuk “Jean-Paul Sartre and Existential Choice”).

Sebahagian daripada pengalaman yang menyeronokkan adalah membiarkan diri kita dibuai dengan perasaan cinta. Tetapi, jika dibiarkan berleluasa di luar kawalan seterusnya menjadi ketagihan adalah sesuatu yang hedonistik dan berjiwa lemah.

Contohnya, sementara Søren Kierkegaard mengkagumi Don Giovanni dari karya Mozart kerana kebolehannya yang luar biasa dalam menggoda, beliau juga mengkritik Don Giovanni kerana menjadi hamba cinta, iaitu apabila ketagih hawa nafsunya.

Ianya juga berguna untuk mengetahui bahawa jika kita tidak dibelenggu dengan kebimbangan, maka itu bukanlah cinta romantik. Kierkegaard mengatakan bahawa Hercules, yang mampu menandingi Don Giovanni, adalah lebih matang dan romantik kerana beliau runsing untuk memenangi cinta wanita yang didampinginya.

Satu lagi sumber kebimbangan dalam percintaan (di mana Hercules tidak terlalu cemas mengenainya) adalah berapa lama hubungan ini akan berterusan dan bagaimana pengakhirannya. Kerana kita bebas, eksistensialis mencadangkan, bukan sahaja si pencinta bebas memilih untuk bercinta, namun mereka juga bebas untuk meninggalkannya.

Kierkegaard mengatakan bahawa kebebasan itu membuatkan kita runsing dan Jean-Paul Sartre ada menyebut bahawa ini adalah salah satu sebab mengapa orang yang sedang bercinta begitu terdesak untuk mengawal satu sama lain.

Kita mungkin ghairah tentang idealisme “si dia” dan kehidupan bahagia selama-lamanya, namun cinta hanyalah sementara. Sartre menyatakan bahawa penyatuan adalah “kesempurnaan cinta, motivasi dan penghujungnya, serta nilai keunikkannya’.

Cinta adalah projek untuk menyayangi , untuk bergabung dengan yang lain, supaya kita dapat mengetahui apa yang difikirkannya terhadap kita. Jika kita mengetahuinya, maka kita mampu mengenali diri secara keseluruhannya (dan inilah matlamat hidup menurut Sartre).

Walau bagaimanapun, eksistensialis mencadangkan bahawa membelenggu diri dengan idealisme percintaan itu adalah tidak berguna kerana penyatuan akhirnya adalah mustahil, dan keinginan si pecinta untuk memaksakannya menyebabkan hubungan tersebut terperangkap dalam kitaran godaan, keinginan seksual, sadisme, dan masokisme yang tiada berpenghujung.

Simone de Beauvoir, pasangan hidup Sartre mencadangkan bahawa ini bukanlah pandangan berguna dalam hubungan romantik. Pada beliau ianya lebih berguna untuk menyedari bahawa persahabatan seharusnya menjadi asas percintaan, bukan alternatif kepadanya.

Rakan dan pencinta terbaik, menurutnya, adalah yang menghormati kebebasan masing-masing dan memberikan sokongan terhadap perkembangan dan usaha ke arah apa jua matlamat yang dipilih individu tersebut, walaupun ianya mengejar matlamat yang akhirnya membawa mereka ke arah berbeza.

Tambahan pula, eksistensialis mencadangkan bahawa idealisme Barat tentang cinta yang akhirnya berkemuncak dengan perkahwinan adalah tidak masuk akal. Kerana cinta sepanjang hayat adalah pengecualian dan bukannya hakikat, ianya tak berguna untuk mempercayai bahawa perkahwinan akan menyebabkan cinta kekal subur atau berjanji untuk mencintai satu sama lain selamanya.

Friedrich Nietzsche, bapa kepada eksistensialisme, mencadangkan supaya kita mengharamkan perkahwinan bagi sesiapa yang dilamun cinta kerana hawa nafsu adalah asas yang lemah untuk komitmen tersebut. Sebaliknya, ia lebih berguna untuk kita menyedari bahawa perkahwinan berkemungkinan membawa kita keluar daripada cinta, kerana ianya perjanjian untuk bersama dengan pasangan tersebut walaupun perasaan cinta itu telah hilang.

Salah satu tarikan cinta romantik ini adalah ianya membuatkan hidup kita berasa bermakna. Seperti klise Jerry Maguire, cinta membuatkan kita berasa sempurna. Eksistensialis memberi amaran bahawa ini adalah ilusi yang tidak berguna. Memandangkan bahawa hakikat kewujudan mendahului nilai dasar, maka tidak wujudnya istilah seperti teman sehati sejiwa dan tiada siapa yang ‘diciptakan untuk satu sama lain’.

Beauvoir menyangkal bahawa perhubungan sehati sejiwa inilah yang membuatkan sang pencinta membelakangkan matlamat hidup mereka demi menjamin perhubungan tersebut. Ini kepercayaan palsu. Hubungan yang berasaskan persahabatan tidak akan mengahadapi masalah tersebut.

Secara eksistensialis, sang pencinta seharusnya bertanggungjawab membina hidup sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk memberi makna kepada hidup mereka, kerana pada asasnya kekasih bebas untuk meninggalkan cinta.

Walaupun cinta bersifat kebimbangan dan tidak kekal lama, eksistensialis mengusulkan bahawa ianya salah satu cara terbaik untuk mengenali diri kita dan potensi kita, iaitu melalui pandangan orang lain yang mengenali kita secara intim.

Lebih lagi, eksistensialis menunjukkan bahawa ia tidak berguna untuk melihat kegairahan kita sebagai sesuatu yang menguasai diri dan tidak dapat dikawal. Mungkin kita ‘terjatuh’ cinta namun apa yang kita lakukan dengannya sepenuhnya bergantung kepada diri kita.

unnamed