Epik India dan Bahasa Malaysia

September 1, 2013
Epik India dan Bahasa Malaysia

Beberapa bulan lalu, saya bertemu seorang individu yang merupakan orang kuat dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama Hindu.

Rakan yang membawa saya bertemu individu berkenaan dengan bangganya memperkenalkan saya sebagai seorang sasterawan yang memaparkan budaya dan gaya hidup masyarakat India dalam karya-karya Bahasa Malaysia.

“Beliau juga sedang menulis siri kisah Mahabharata di Free Malaysia Today dan Ramayana di The Malaysian Insider,” kata rakan saya kepada individu berkenaan.

Kisah Ramayana dan Mahabharata diceritakan semula secara bersiri.

Kisah Ramayana dan Mahabharata diceritakan semula secara bersiri.

Saya terkejut dan hairan melihat rasa terkejut dan hairan yang muncul pada wajah orang kuat NGO berkenaan yang terlibat secara langsung dalam usaha-usaha mendidik generasi muda kaum India beragama Hindu mengenai budaya India dan ajaran Hindu.

(Untuk rekod, NGO berkenaan tidak melakukan kerja-kerja memujuk, berdakwah atau mempengaruhi orang “memeluk” agama Hindu; sebaliknya membimbing dan mengajar penganut agama Hindu supaya mengenali budaya dan ajaran agama.)

“Mana boleh encik menulis kisah-kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia? Bukankah tindakan itu akan dianggap sebagai cuba menyebar luaskan ajaran Hindu kepada orang ramai, khususnya kepada orang Melayu yang beragama Islam?”

Demikian reaksi yang beliau berikan dalam masa beberapa minit sahaja selepas kami bertemu. Dalam masa beberapa minit itu juga saya sudah ada alasan untuk mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan beliau “membimbing dan mengajar penganut agama Hindu di Malaysia mengenali budaya India dan ajaran agama Hindu”.

Pandangan sempit bahawa buku dan bahan bacaan Bahasa Malaysia adalah “untuk Melayu, oleh Melayu, sudut Melayu, tentang Melayu”  mungkin juga disebabkan “kempen” pihak tertentu.

Misalnya, “badan-badan penulis Melayu” seperti Gapena dan PENA pernah menegaskan bahawa “Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).

Dalam siri Mahabharata yang saya tulis untuk siaran secara mingguan di Free Malaysia Today sejak 3 Oktober 2012, turut diselitkan bagaimana epik berkenaan turut diterjemah ke pelbagai bahasa lain dan dibaca masyarakat dunia tanpa mengira agama dan budaya.

Ramayana, Mahabharata jadi bukti

Buku-buku agama Hindu memang ada diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.

Buku-buku agama Hindu memang ada diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.

Begitu juga dalam kes Ramayana yang disiarkan secara bersiri (mingguan) di The Malaysian Insider sejak 6 Januari 2013. Sengaja saya nyatakan bahawa epik berkenaan sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia dan dibaca orang ramai merentas kaum dan agama.

Malah, bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia juga, epik Ramayana bukanlah sesuatu yang baru. Budaya dan sastera Melayu juga tidak “lengkap” tanpa pengaruh Ramayana sejak zaman dahulu. Hakikat dan sejarah ini tidak boleh dinafikan atau disembunyikan.

Sejak September 2012, ada pihak yang sengaja menimbulkan isu kononnya saya cuba menyebarkan ajaran agama Hindu kepada khalayak pembaca Melayu-Islam menerusi karya-karya Bahasa Malaysia yang saya hasilkan.

Susulan daripada kempen berbentuk perang saraf yang dilakukan puak tertentu, pertama kali dalam sejarah dan pengalaman saya menulis secara profesional sejak 1992, sebuah cerpen saya ditolak (walaupun pada mulanya sudah diluluskan) dengan alasan ada unsur penyebaran agama Hindu!

Agak menarik bahawa cerpen berkenaan akhirnya mendapat pula ruang dan peluang penyiaran di sebuah majalah berprestij. Tidak pula timbul isu “ada unsur penyebaran agama Hindu” apabila saya mengemukakan semula manuskrip yang 100 peratus sama.

Cerpen yang dituduh “menyebarkan agama Hindu” termuat dalam buku ini.

Cerpen yang dituduh “menyebarkan agama Hindu” termuat dalam buku ini.

Malah, lebih menarik apabila cerpen penuh kontroversi itu sedia diterbitkan oleh sebuah penerbitan berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Orang ramai berpeluang membaca cerpen “Chitra Paurnami” dalam majalah Dewan Sastera (Februari 2013) dan juga dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).

Kebimbangan tidak berasas dan perasaan takut akan bayang-bayang sendiri yang membuatkan seorang penolong editor sebuah majalah menolak cerpen itu dahulu akhirnya terbukti tidak berasas. Kempen anti-Uthaya yang dilakukan puak tertentu juga gagal.

Akan tetapi, timbul pula isu baru apabila orang kuat sebuah NGO agama Hindu mempersoalkan tindakan saya menulis kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia untuk khalayak pembaca generasi muda pelbagai kaum dan agama.

Pada pandangan dan pendirian saya, tidak salah sekiranya bahan-bahan berkaitan agama Hindu ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia (selain daripada Bahasa Tamil dan Inggeris, misalnya) dalam usaha menyebarkan maklumat kepada penganut agama Hindu di Malaysia.

Hanuman: Suara Hati

Novel Hanuman: Suara Hati bakal terbit pada September 2013.

Novel Hanuman: Suara Hati bakal terbit pada September 2013.

Saya pernah juga menyentuh isu ini serta memaparkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum berhubung topik sama menerusi beberapa makalah sebelum ini; khususnya “SJKT, BM dan agama Hindu” (Free Malaysia Today, 14 Mei 2013) dan “Bahasa Malaysia dan agama Hindu” (Projek Dialog, 16 Mei 2013).

Malah, pembaca beragama Hindu yang berminat wajar berusaha mendapatkan buku-buku berjudul Panduan Bhagavad Gita Untuk Hidup Berjaya tulisan M.S. Rama dan Shivapuranam Edisi Bahasa Malaysia tulisan M.K. Selva yang siap dicetak frasa “Untuk Bacaan Penganut Hindu Sahaja” pada kulit depan.

Kedua-dua buku berkenaan merupakan usaha yang membanggakan dan ditulis pula menggunakan Bahasa Malaysia yang berkualiti. Pengarang bernama M.S. Rama dan M.K. Selva sebenarnya orang yang sama. Malangnya, saya tidak dapat mempromosikan buku-buku berkenaan secara terbuka kerana kedua-duanya tidak memiliki International Standard Book Number (ISBN).

Sementara itu, penulisan siri Ramayana dan Mahabharata yang saya lakukan bukan berciri teks keagamaan dan tidak juga bermotifkan usaha menyebarkan ajaran agama Hindu kepada penganut agama Hindu – apatah lagi kepada orang Melayu-Islam!

(Untuk rekod, saya “menyebarkan” ajaran inter-faith dan dialog antara agama seperti turut digalakkan Nabi Muhammad, Jesus, Mahatma Gandhi,  Siddharta Gautama Buddha dan Guru Nanak; bukannya “menyebarkan” ajaran mana-mana agama tertentu secara khusus.)

Sebaliknya, kedua-dua kisah itu – dengan hiasan lukisan menarik oleh Hussain Sajad dan Pat Patricia – bertujuan memperkenalkan epik besar dari Tamadun India kepada generasi muda pelbagai kaum dan agama di Malaysia; selaras objektif mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS).

Pada masa sama, dapat juga mengangkat serta memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penyebar ilmu dan maklumat. Kalau bukan kita yang meletakkan keyakinan pada bahasa kebangsaan kita, siapa lagi?

Pada 1 September 2013, Bahagian 47 bagi Mahabharata dan Bahagian 32 bagi Ramayana akan disiarkan. Berbeza dengan kebimbangan yang dilahirkan oleh pegawai sebuah NGO agama Hindu kepada saya beberapa bulan lalu, tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa kedua-dua kisah itu mungkin cuba unsur penyebaran ajaran Hindu.

Hal yang sama juga dapat diperhatikan apabila saya menulis novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan edisi terbaru (edisi terhad) dengan pelbagai maklumat tambahan – termasuk prakata, pengantar, prolog, epilog dan glosari – yang dijadualkan menemui pembaca dengan judul Hanuman: Suara Hati pada September 2013.

Yakinlah pada kemampuan bahasa kita

Khalayak pembaca pelbagai kaum dan agama tidak menghadapi masalah untuk membaca kisah itu yang menampilkan watak utama, Hanuman, si kera putih bermata hijau. Apatah lagi ia sebuah karya parodi retorik yang menggabungkan pula kisah-kisah daripada pelbagai versi Ramayana yang terdapat dalam pelbagai bahasa, budaya dan agama di seluruh dunia.

Pada tahun 1996, apabila novel Hanuman: Potret Diri diterbitkan oleh DBP, pertanyaan dan kebimbangan mengenai “kesesuaian” saya mengangkat kisah dan watak-watak daripada epik Ramayana dalam karya Bahasa Malaysia ditimbulkan bukan oleh orang Melayu-Islam, tetapi oleh orang India-Hindu.

Begitulah juga apabila saya menampilkan watak-watak Rama, Sita, Hanuman dan Ravana dalam beberapa cerpen berbentuk satira seperti “Bitara Sita” (Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1993), “Sengketa Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 23 April 1995), “Sasterawan Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 12 November 1995) dan “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002).

Dalam kesemua kes di atas, kebimbangan dilahirkan oleh rakan-rakan dan kenalan India-Hindu yang risau memikirkan kesan dan akibat apabila saya menyuakan watak-watak daripada epik dan purana Hindu kepada masyarakat pelbagai kaum menerusi fiksyen dan faksyen Bahasa Malaysia!

Sejak dahulu, kebanyakan mereka (yang sebenarnya prihatin) bimbang memikirkan kemungkinan karya-karya saya dianggap menyebarkan agama Hindu dan bertentangan dengan undang-undang negara. Semuanya semata-mata kerana saya mengangkat watak-watak dan kisah-kisah daripada Ramayana dan Mahabharata.

Saya segera – sambil menaip makalah ini – teringat akan cerpen “Fikir Yuyutsu” karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan novel Kembang Kanigara karya S.M. Zakir yang masing-masing mengangkat kisah, watak, semangat dan falsafah daripada epik Mahabharata dan Ramayana.

Maka, ada suatu perkara paling asas yang perlu difikirkan bersama dan dibincangkan secara lebih mendalam oleh masyarakat kita; khususnya NGO kaum India yang berhasrat memperkenalkan budaya India kepada generasi muda India, dan NGO agama Hindu yang bertanggungjawab memberikan bimbingan agama Hindu kepada generasi muda Hindu – termasuk kepada golongan gangster yang hangat diperkatakan sekarang.

Perkara yang perlu difikirkan adalah sama ada kita masih tidak yakin, takut dan was-was untuk mengangkat hal-hal berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam tulisan/karya Bahasa Malaysia. Sambil itu, sentiasalah beringat bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi serta bahasa milik setiap warga di negara ini.

Kalau bukan kita yang menggunakan, mengangkat, memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Malaysia, siapa lagi? Tepuklah dada, tanyalah selera.



Leave A Response »