Forum: Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia

laman FB: https://www.facebook.com/events/1435811303328189/

“..membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, hak dan keadilan, dan membentuk sebuah ‘Bangsa Malaysia’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
(Mahathir Mohamed, 1991)

Lebih 20 tahun lepas satu cita-cita dan harapan telah dibentuk sebagai landasan halatuju masa depan Negara. Cita-cita ini terangkum di dalam matlamat membawa Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya digelar Wawasan 2020. Di bawah perancangan ini, Malaysia diharapkan mencapai kemajuan berteras Sains dan Teknologi, pembangunan ekonomi yang adil dan sejahtera untuk dinikmati rakyat secara bersama, serta masyarakat yang terintegrasi keseluruhannya tanpa mengira perbezaan latarbelakang kaum dan agama membentuk identity nasional yang baru, satu Bangsa Malaysia.

Namun, ketara hari ini yang turut diakui perencana Wawasan 2020, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, cita-cita ini berkemungkinannya gagal. Beliau meletakkan sebab utamanya ialah kegagalan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi yang saksama, tetapi jika dilihat pada aspek pembentukan Bangsa Malaysia, situasi semasa memperlihatkan permasalahan yang berterusan untuk mencapai masyarakat yang harmoni.

Secara luarannya, konsep Bangsa Malaysia ini seakan-akan telah diterima semua rakyat Malaysia, namun jika dilihat dengan lebih mendalam, penerimaan ini lebih bersifat superficial. Hujah-hujah politik, kaum, agama dan ekonomi terus bergema mengundang perpecahan. Oleh itu, ada keperluan yang mendesak untuk kita menilai semula secara kritikal konsep Bangsa Malaysia ini dan sejauhmana ia masih berperanan sebagai gagasan utama satu identiti nasional yang mampu mengisi semangat kebersamaan dikalangan rakyat Malaysia yang berkepelbagaian.

Projek Dialog mengambil inisiatif untuk membuka kembali wacana identiti nasional secara kritikal terhadap konsep Bangsa Malaysia ini dalam satu perbincangan kritikal yang akan menyentuh cabaran-cabaran yang berbentuk perundangan, kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera, polemik bahasa dan pendidikan, serta lain-lain faktor untuk kita temukan punca permasalahan serta mencari inspirasi baru terhadap identiti nasional.
Forum ini akan menampilkan anak-anak muda daripada pelbagai latarbelakang; Michelle Yesudas (Lawyers for Liberty), Fahmi Samsudin (Abim), Arlene Tan dan Calvin Ohsey daripada Projek Dialog. Perbincangan ini akan dilangsungkan secara santai dan interaktif pada 5 April 2014 (Sabtu), 3 -5 pm bertempat di Pusat Rakyat Loyar Burok , Kuala Lumpur (A-3A-8, Pantai Business Park,  Jalan Pantai Baharu, 59200 Kuala Lumpur.

Penyertaan adalah terbuka untuk semua khususnya anak-anak muda dialu-alukan turut serta memberi pandangan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ehsan Shahwahid di alamat email ehsanshahwahid@gmail.com atau di talian 012-2631160.

1978648_511673945609887_833997186_n