Gabungan NGO-NGO Malaysia ke proses UPR (COMANGO)

GABUNGAN NGO-NGO MALAYSIA KE PROSES UPR (COMANGO)

Kenyataan Media, 9 Januari 2014

Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO) amat terkejut dan terganggu atas dakwaan yang dibuat Ketua Setiausaha (KS) Kementerian Dalam Negeri menerusi kenyataan media di mana COMANGO dilabel sebagai sebuah “Pertubuhan Haram”.

Di bawah S5, Akta pertubuhan 1966, hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang boleh membuat pengisytiharan bahawa sesebuah pertubuhan itu tidak sah sekiranya pertubuhan tersebut bertujuan untuk menjejaskan atau menentang kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Antara sebab COMANGO dilabel haram oleh KS adalah andaian bahawa kami memperjuangkan hak-hak yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini adalah tidak benar.

Antara sebab-sebab KS menyatakan bahawa pengisytiharan COMANGO tidak sah adalah: banyak pertubuhan yang mengesahkan laporan COMANGO untuk Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB (United Nations, UN) bukan organisasi berasaskan Islam, tidak berdaftar dan malah COMANGO sendiri juga tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS). Sebab-sebab yang dikemukakan ini adalah tidak berpandukan S5, Akta Pertubuhan 1966.

COMANGO juga berasa hairan dengan kesanggupan Kerajaan menggunakan Islam sebagai alat politik hanya untuk mendiamkan kritikan terhadap pencabulan hak asasi manusia sambil memburuk-burukkan pejuang hak asasi manusia. Kerajaan  seolah-olah menggunakan taktik mengancam sambil bersekongkol menggalakkan penyebaran sentimen melampau dan memecah belah.

Proses UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB ini melibatkan penyertaan 193 negara ahli PBB, termasuk negara bermajoriti Muslim. Banyak negara bermajoriti Muslim telah menerima perjanjian Hak Asasi Manusia yang didakwa oleh kumpulan-kumpulan pelampau anti-Comango sebagai tidak selari dengan nilai-nilai Islam. Kami risau bukan sahaja kerana Kerajaan sedang berpendirian sama seperti kumpulan-kumpulan pelampau ini, tetapi juga kerana ia turut menggalakkan sentimen hasutan dengan mendanai kumpulan-kumpulan seperti PERKASA. Kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri, mengesahkan pandangan kami bahawa kerajaan seolah-oleh terikat oleh agenda kumpulan-kumpulan pelampau ini.

Senarai yang dilampirkan bersama kenyataan media tersebut tidak tepat dan mengelirukan. Pertubuhan-pertubuhan di dalam COMANGO termasuk pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Akta Syarikat 1965, persatuan-persatuan yang tidak diperbadankan serta gabungan masyarakat sivil.

COMANGO menyangkal kenyataan KS yang mendakwa hanya organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan sahaja menjalankan aktiviti secara sah.

Kami menegaskan bahawa tindakan COMANGO tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia atau komitmen Hak Asasi Manusia Malaysia sendiri sebagai Negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penyertaan masyarakat sivil termasuk penyerahan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, badan-badan perjanjian, dan prosedur-prosedur khusus diiktiraf dan merupakan sumbangan penting kepada proses UPR.

Proses UPR memerlukan kerajaan untuk berkerjasama dengan semua pihak yang ingin memperbaiki keadaan Hak Asasi Manusia dalam sesebuah Negara. Tindakan COMANGO adalah bertepatan dengan proses yang dimandatkan dalam resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Hak Asasi Manusia, PBB.

Malah, Kerajaan Malaysia telah banyak kali berurusan dengan COMANGO sejak kami menyerahkan laporan pertama kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2008. COMANGO telah bertemu dengan ahli perwakilan Kerajaan Malaysia semasa proses penilaian terhadap Malaysia di Geneva pada Oktober 2013, juga sebelum penilaian dibuat pada bulan September. COMANGO juga telah menerima jemputan dalam berberapa sesi rundingan yang lain.

Malaysia kini sedang aktif untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Keselamatan PBB. Atas sebab itu, Kerajaan tidak boleh hanya menyertai beberapa proses PBB, tetapi pada masa yang sama mengasingkan dirinya daripada proses-proses yang lain, terutamanya kerana Majlis Hak Asasi Manusia merupakan komponen penting dalam rangkuman sistem hak asasi manusia PBB yang lebih luas. Proses UPR ini dirangka untuk menyegerakan, menyokong, dan mengembangkan promosi dan perlindungan Hak Asasi Manusia supaya ia dapat dinikmati bersama oleh semua manusia, melalui matlamat meningkatkan tahap Hak Asasi Manusia di semua Negara. Tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri bertentangan dengan matlamat ini dan merupakan suatu pencabulan terhadap hak kebebasan kami untuk bersuara dan berpersatuan.

Mengisytiharkan COMANGO sebagai tidak sah hanyalah satu taktik politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu perpaduan Negara, rasuah yang berleluasa, agihan kekayaan Negara yang tidak sama rata, serta lain-lain keputusan kerajaan yang tidak  diterima oleh rakyat seperti pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup termasuk minyak, tol dan tenaga elektrik.

COMANGO akan mengarahkan peguamcara bagi memfailkan semakan undang-undang di mahkamah tinggi untuk membatalkan pengisytiharan yang dibuat oleh KS.

Honey Tan Lay Ean                                                                       Yap Swee Seng

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor                             Suara Rakyat Malaysia

(EMPOWER)                                                                                   (SUARAM)

 

Untuk dan bagi pihak Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO)

 

Email: empower05@gmail.com, detention@suaram.net

Tel: 03–7784 4977 (EMPOWER) and 03-7784 3525 (SUARAM)