Hak LGBT dan Akta Harmoni Nasional

Baru-baru ini banyak yang dibincangkan tentang Akta Harmoni Nasional.

Tidak menghairankan bahawa persoalan utama yang dibincangkan adalah mengenai hak LGBT yang cuba dilindungi oleh jawantankuasa Undang-undang dan Dasar Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN atau “NUCC” dalam Bahasa Inggeris).

Di sini saya ingin menyatakan kehormatan saya terhadap Dr. Mujahid Rawa sebagai seorang ahli jawatankuasa MKPN yang yang cuba berterus-terang dalam menjawab lapan unsur Peguam Muslim UPro.

Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama rang undang-undang Harmoni Nasional dicadangkan ialah untuk menjadikan prejudis kaum dan agama sebagai jenayah, serta menghapuskan diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna apa-apa bentuk diskriminasi berdasarkan kepercayaan adalah tidak munasabah. Tetapi apakah implikasi keterangan tersebut ke atas mereka yang ingin untuk menghukum golongan LGBT berasaskan kepercayaan agama?

Hukum Agama dan Keharmonian Negara

Di sini, saya ingin membahaskan apakah maknanya keharmonian negara sekiranya soal keadilan diabaikan.

Mereka yang tegas menentang hak asasi manusia bagi LGBT kata “jangan berani hendak menuntut hak kamu sebagai LGBT kerana ini bertentangan dengan kepercayaan kita sebagai orang yang beragama Islam”.

Disebabkan kepercayaan agama mereka, soal keadilan tidak akan timbul untuk golongan LGBT. Golongan ini sudah dijadikan penjenayah sebelum mereka berbuat apa-apa yang salah.

Tetapi perbuatan yang salah di sisi undang-undang tidak patut disamakan dengan perbuatan yang berdosa dari segi agama. Patutkah penolakan mereka terhadap LGBT semata-mata bermakna kelompok LGBT patut digelar penjenayah? Atas dasar apa? Melalui proses yang ditentukan oleh siapa?

Bak kata lain, kumpulan-kumpulan yang menganggap mereka sebagai pembela majoriti negara berlagak seperti suara mereka adalah suara muktamad. Soal majoriti yang sering digunakan untuk menentukan asas kepentingan politik tidak sewajarnya digunakan untuk menegakkan keadilan.

Perundingan di tahap nasional dijalankan kerana suara golongan minoriti sering disenyapkan dan distigma. Jika hak minoriti tidak diiktiraf, buat apa berbelanja untuk mengadakan konsultasi?

Sekiranya harmoni negara hanya bergantung kepada sesiapa yang paling kuat berteriak, mereka yang paling disokong parti politik atau mereka yang paling banyak menerima liputan media massa, ini bermakna kita akan tercengkam di bawah naungan mereka yang lebih agresif terhadap kita.

Adakah itu “keharmonian Negara” yang patut didirikan?

Sikap hipokrit

Hakikatnya, aktiviti seks manusia – hetero mahupun sejenis – tidak begitu berbeza. Tidak boleh dinafikan bahawa ada di antara golongan heteroseksual yang juga melakukan perhubungan seks oral dan perbuatan yang lain yang biasanya tidak dianggap sebagai “fitrah”.

Sekiranya perhubungan seks itu adalah sama dan hanya pasangannya yang berbeza, apakah dosa yang dilakukan oleh golongan LGBT? Bukankah ini satu sikap yang hipokrit, untuk menghukum golongan LGBT hanya kerana semata-mata jenis perhubungan seks mereka?

Kerugian bagi Negara

“Harmoni nasional” negara bermakna peminggiran golongan LGBT, adalah harmoni yang palsu.

Jelas sekali daripada perdebatan yang sedang berlaku, ada tekanan untuk menggugurkan klausa yang melindungi golongan LGBT daripada diskriminasi dan keganasan.

Contohnya Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli jawatankuasa MKPN berasa perlindungan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan orang trans atau transgender akan menjejaskan Akta Harmoni.

Beliau seolah-olah tidak mengambilkira bahawa paksaan yang digunakan oleh sesetengah pihak tertentu ke atas MKPN untuk menggugurkan klausa tersebut dalam menegakkan harmoni nasional akan secara langsung menghapuskan harmoni tersebut.

Soalan yang perlu ditanya adalah pengiktirafan LGBT akan bermakna mereka yang menentang hak LGBT tidak dapat hidup tanpa diskriminasi, stigma dan keganasan? Apa yang menjejaskan harmoni negara adalah bila kita yang berprinsip dan berperikemanusiaan rela berkompromi dalam keadaan yang tertekan, mahupun orang yang menekan adalah orang yang beragama atau tidak.

Patutkah situasi syak dan ketegangan wujud dalam hal menegakkan harmoni nasional? Sekiranya kita membenarkan situasi tersebut berlaku, bukankah kita seolah-olah memberi kebenaran untuk sesiapa untuk bertindak secara prejudis, di mana mereka hanya perlu menekan dan marah sehingga mereka mendapat tuntutan mereka?

Jika ya negara ini malangnya akan dijadikan tebusan sesiapa yang paling berkuasa dan paling kuat marah dan mengugut. Maka tergadailah integriti dan kemanusiaan kita.

Ia juga bermakna kita mempunyai pemimpin yang hanya berprinsip dalam keadaan dan isu yang senang dan selamat sahaja.

Kata akhir

Dalam blognya, Dr. Mujahid memberi jaminan bahawa proses penggubalan rang undang-undang Harmoni Nasional belum muktamad dan masih di peringkat perundingan.

Namun, apa yang muktamad bagi saya adalah reality bahawa harmoni negara tidak dapat ditegakkan selagi keadilan tidak ditegakkan untuk semua, tanpa pilih kasih, tanpa prejudis, tanpa berat sebelah, tanpa pengaruh orang atasan, orang berkuasa dan agamawan.

Keadilan hanya boleh ditegakkan dalam keadaan dimana kesetaraan dijamin untuk semua.

Setiap rakyat negara berhak dilindungi daripada diskriminasi, stigma dan keganasan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Undang-undang yang degil berbuta terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada mana-mana golongan minoriti, termasuk LGBT, adalah satu penghinaan terhadap keadilan yang ingin ditegakkan.

 

 

 

unnamed