Hanya Allah mempunyai kuasa mutlak

Syariah diturunkan untuk kebaikan manusia. Manusia yang tidak amalkan Syariah, manusia yang rugi. Tuhan tidak berhajat kepada Syariah, kerana sifat berhajat itu adalah lambang kelemahan, sedangkan Tuhan itu maha suci dari sebarang kelemahan.

Syariah itu diturunkan, menawarkan kebaikan di dunia dan akhirat. Ini yang membedakan antara Syariah berbanding selainnya. Disebalik kesukaran berusaha untuk mahu capaikan kebaikan di dunia, diberikan balasan akhirat. Ia tidak akan terhasil kecuali dilakukan itu dengan keikhlasan kepadaNya.

Firman Allah, “Tidak kami disuruh kecuali mengabdikan diri kepadaNya dalam keadaan Ikhlas kepada agama”. (Surah Al-Baiyyinah, ayat 5)

Dari sudut dunia pula, kebaikan yang dilakukan tetap dikira sebagai kebaikan,  tidak kira pelaku itu Muslim atau tidak. Keburukan pula adalah keburukan, tidak kira pelaku itu tidak Muslim atau tidak.

Penilaian sesuatu itu baik, tidak semestinya mesti ia datang dari orang Islam. Sesuatu tindakan oleh orang bukan Islam tidak semestinya buruk hanya kerana akidahnya semata-mata.

Dalam hadis,  dipamerkan Nabi memuji keadilan raja Habshah, walaupun ketika itu beliau seorang beragama kristian. Malahan, di suruh para sahabat berlindung di bawah pemerintahan tersebut.

Dalam Al-Quran pula, ada pengiktrafan terhadap amanah yang dilakukan oleh Abdullah bin Salam ketika beliau belum  lagi beragama Islam.  Firman Allah yang bermaksud, “Sebilangan Ahli Kitab, mereka yang diberikan amanah harta yang banyak, mereka akan diberikan kepada kamu” (Surah Ali-Imran, ayat 75)

Dalam Al-Quran juga, dipamerkan bahawa Allah tidak akan membinasakan negara yang diperintah oleh orang bukan Islam, jika negara itu terdapat rakyat yang saling melakukan islah atau pembaik pulih antara setengah dengan setengah yang lain.

Firman Allah yang bermaksud, “tidaklah Tuhan kamu membinasakan kerajaan secara zalim dalam keadaan ahli (rakyat) saling melakukan islah atau pembaik pulih” (Surah Hud, 117)

Dalam meniliti ayat ini, Al-Imam Fakhr Al-Din Al-Razi menyatakan, “Maksudnya adalah, Allah swt tidak akan membinasakan rakyat sesebuah negara dengan sebab mereka mensyirikkan Allah dalam keadaan mereka saling baiki membaiki dan saling berbuat baik dalam urusan sesama mereka.

Sesungguhnya kebinasaan itu tidak diturunkan dengan sebab rakyatnya tidak beraqidah Islam, tetapi diturunkan kebinasaan dengan sebab buruk dalam urusan sesama mereka, disamping mereka tidak berhenti dari melakukan kerosakan dan kezaliman.”(Rujukan: Fakhr Al-Din Al-Razi (meninggal 606 Hijrah), Mafatih Al-Ghaib (nama lain: Al-Tafsir Al-Kabir), Dar ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi – Bairut, tarikh : 1420 Hijrah)

Islam mengutamakan kelayakan

Islam meletak bahawa perlantikan seseorang pemerintah itu berdasarkan kepada kelayakan, bukan berasaskan keturunan. Nabi muhammad SAW ada menyatakan yang bermaksud, “Apabila disandarkan urusan itu kepada orang bukan berkelayakan, tunggulah saat kehancuran”. (Al-Bukhari, Hadis no : 59)

Sebarang tindakan yang mendatangkan kerosakan, bukan dari kehendak Islam. Sabda Nabi yang bermaksud “tiada kerosakan kepada diri sendiri dan kerosakan kepada orang lain dalam Islam” (Al-Tibrani, Al-Mukjam Al-Awsat, hadis no : 5193)

Dari sudut kepercayaan, Nabi SAW menyatakan bahawa kerosakan, malahan kehancuran bakal berlaku dengan melantik pemerintah yang tidak berkelayakan. Jelas dan nyata, perlantikan bukan kerana keturunan, tetapi dengan kelayakan.

Lebih nyata lagi, sistem perlantikan berasaskan kepada keturunan bukan kehendak Islam itu dilakukan oleh seorang sahabat dari kalangan Bani Umayyah bernama Muawiyyah, sedangkan Nabi SAW pernah berkata, “lelaki yang mula-mula menukarkan sunnah aku adalah lelaki dari Bani Umayyah”. (Albani, Silsilah Al-Ahadis Al-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif Li Al-Nasyr wa Al-tawzi’ – Riyadh, tarikh : 1422 – 2002, hadis no : 1749)

Hadis ini dihasankan oleh Syaikh Albani, malahan dibahas oleh Syaikh Albani bahawa hadis ini bermaksud merujuk kepada menukar sistem pentadbiran kepada monarki. (Albani, Silsilah Al-Ahadis Al-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif Li Al-Nasyr wa Al-tawzi’ – Riyadh, tarikh : 1422 – 2002, jilid 4, muka surat 330)

Politik / siyasah

Siyasah punyai maksud pentadbiran, mendidik, mengurus dan pelbagai lagi. Jika Islam melihat penurunan Syariah untuk memberi kebaikan, manfaat dan kemaslahatan kepada manusia, makanya politik adalah sebagai alat untuk memastikan kebaikan, manfaat dan kemaslahatan itu tercapai.

Ekoran itu, Al-Qaradawi menyatakan bahawa siyasah itu adalah melaksanakan sesuatu yang dapat memberi kemaslahatan (manfaat dan kebaikan) kepada rakyat (Al-Siyasah Al-Syariiyyah Fi Nusus Al-Syariah wa maqasidiha, Maktabah wahbah – Kaherah, tarikh : 2005 – 1426, hlmn 29)

Allal Al-Fasi pula menyatakan bahawa politik itu perlu kepada tiga perkara, iaitu memberikan hak kepada yang berhak, mengakui keadilan dan tadbir urusan rakyat dengan baik. (Maqasid Syariah wa makarimuha, Dar Al-Salam, tarikh : 2011 – 1432, hlmn 165)

Nyata di sini bahawa politik dalam Islam itu adalah berusaha sedaya mungkin agar tercapai kemaslahatan dan kemanfaatan untuk rakyat semaksima mungkin. Sesuatu sistem yang boleh menghalang tercapainya kemaslahatan semaksima mungkin, maka ia bukan kehendak Islam.

Demokrasi

Meneropong dari sudut sejarah politik umat Islam sejak zaman penurunan wahyu dan selepas itu, didapati bahawa sifat politik itu tidak statik, tetapi bersifat berubah-ubah.

Ini dapat dibuktikan dengan cara pelantikan Abu Bakar Al-Siddiq tidak sama dengan cara perlantikan Umar bin Al-Khattab. Begitujuga cara perlantikan Umar tidak sama dengan perlantikan Osman bin Affan, seterusnya cara perlantikan Ali bin Abi Talib.

Di era Muawiyyah, berlaku peperangan saudara melibatkan sesama Muslim, menjadikan bentuk politik umat Islam bertukar kepada monarki. Dari satu sisi, dilihat bahawa perubahan kepada monarki kerana nak elak dari diambil peluang oleh musuh-musuh luaran.

Namun, di era kini pengamalan demokrasi semakin berkembang di negara-negara umat Islam. Dalam keadaan begitu,  demokrasi bukan sistem yang baik, tetapi dalam maksud mengurangkan kerosakan, demokrasi jauh lebih baik jika mahu dibandingkan dengan monarki.

Malahan, sebilangan sarjana-sarjana Muslim seperti Rashid Al-Ghanoushi dan Hasan Al-Turabi menyatakan bahawa demokrasi dari sudut rohnya selaras dengan ajaran Islam.

Dari perbahasan ini, kelihatan bahawa monarki bukan sistem yang dianjur oleh Islam, tetapi penggunaannya di era Muawiyyah adalah berasaskan darurat, iaitu keterpaksaan kerana hendak mengelak dari berlaku kerosakan yang lebih besar.

Ia sama seperti Islam mengharamkan makan babi, tetapi diizinkan makan kerana darurat, seperti tiada makanan lain kecuali babi untuk menjaga nyawa, maka babi itu dibenarkan untuk dimakan.

Namun, selepas nyawa sudah terjaga, maka hukum makan babi itu menjadi haram semula. Dalam mantiq yang sama dalam melihat pengamalan monarki di era Muawiyyah.

Wallahu alam

 

 

 

 

unnamed