Hukuman Sebatan: Siapa yang terhukum dan dihukum?

Buat pertama kalinya di Malaysia pada Februari 2010, tiga wanita dihukum sebatan.

Beberapa hari yang lepas, “22 wanita antara 39 pesalah syariah dihukum enam sebatan bagi kesalahan sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah di Johor Bahru sejak dua bulan lalu. Dua lagi wanita yang dikenakan hukuman sama, mendapat penangguhan pelaksanaan kerana masing-masing sedang mengandung dan baru bersalin” (sumber: Berita Harian).

Hukuman sebatan ini tidak lain bersifat kejam, tidak manusiawi dan merendahkan. Apatah lagi adanya perbezaan antara hukuman sebatan ‘Islami’ bagi orang Islam – tertakluk di bawah perundangan syariah – sebagai simbol memalukan pesalah berbanding menghukum pesalah jenayah yang lebih berat.

Biasanya apa yang berlaku dalam masyarakat kita ialah yang dihukum adalah pesalah, bukan kesalahan. Jadi, pesalah ini akan sentiasa dicemuh dan orang sekeliling seakan tidak peduli bagaimana kesalahan itu boleh terjadi. Begitu juga berita, gosip dan latihan ilmiah kurang memfokuskan masalah mendasar yang mendorong seseorang berkelakuan atau tidak berkelakuan seperti lazimnya.

Jadi, isunya di sini bukan soal lelaki atau soal wanita yang gagal menaklukkan enkrateia yang boleh dibahas secara psikologi, gender bahkan feminisme – yang hanya akan memfokuskan “penderitaan yang memerlukan pembelaan” dan “perilaku narsistik yang perlu dikecam” – cara pikir binari ini yang hanya membuat kita kembali kepada tulang rusuk dan meletakkan kesalahan pada biologi seseorang.

Sedangkan al-Quran telah lama mengesahkan kesetaraan; perempuan dan lelaki sama-sama menerima perjanjian asal-primordial (al–A’raf, 7:127), dicipta sebagai hamba (al–Hujurat, 49:13), khalifah (al–An’am, 6:15), dimuliakan (al–Isra’ 17:70), diberi keampunan (al–A’raf, 7:20, 22, 23) dan keturunan (al–Baqarah, 2:187) serta berpotensi meraih prestasi (al–Imran, 3:195; an–Nisa, 4:124; Ghafir, 40:40).

Sudah jelas bahawa tiada kelebihan yang membolehkan satu jantina mengatasi jantina yang lain sehingga dibentuk hukuman yang bertujuan merendahkan salah seorang daripada mereka.

Sosioekonomi dan seksualiti

Justeru, perkara pokok di sini adalah bagaimana boleh terjadinya sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah bukan sahaja di Johor Bahru tetapi juga di tempat-tempat lain yang belum masuk berita.

Jika diperhatikan, sumbang mahram berlaku dalam kalangan saudara yang tidak boleh berkahwin – sehingga tidak boleh menimbulkan syak pada sesiapa. Begitu juga dengan persetubuhan luar nikah antara pasangan kekasih yang boleh berkahwin – tetapi berlaku di tempat-tempat yang dikira selamat agar tidak menimbulkan syak. Kedua-dua kejadian ini dibenarkan berlaku dalam keadaan sosioekonomi yang tidak stabil dan seksualiti yang dikekang.

Nah, apa pula kaitannya lelaki perempuan bermadu asmara dengan kadar inflasi yang kian meningkat? Suka untuk dinyatakan di sini, kejadian seperti ini tidak hanya terjadi pada mat rempit, kaki botol, kaki judi tetapi juga pak lebai dan ketua kampung yang menurut ramai, satu golongan itu kurang didikan dan satu lagi kuat pegangan agamanya.

Adalah berasas untuk mengatakan bahawa ekonomi antara punca utama masyarakat berkelakuan devians – setidaknya mereka tidak perlu ke sarang pelacuran berbayar dan berdepan risiko ditangkap mata-mata atau menghidap penyakit berbahaya.

Malah, duit yang ada boleh dibelanjakan untuk keperluan seharian kerana keperluan biologi sudah terpenuh dengan mereka yang berada depan mata (adik beradik, ibu ayah, sanak saudara, datuk nenek, cucu piut). Begitu juga halnya dengan persetubuhan di luar nikah yang banyak berlaku kerana hubungan yang diinstitusikan dalam bentuk perkahwinan menelan belanja banyak.

Seksualiti yang diredam di sebuah negara yang didakwa sebagai negara Islam yang datang bersamanya masalah ekonomi yang tidak kunjung selesai menyebabkan masyarakat mengambil jalan mudah untuk mendapatkan kepuasan. Kepincangan sosial dalam konteks ini bolehlah dikatakan berkadar terus dengan kos hidup.

Fungsi Negara

Justeru, dalam isu sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini penyelesaiannya bukan terletak dengan memisahkan atau menyatukan pasangan yang terlibat. Sebagaimana masalah buang anak tidak terselesai dengan menghukum ayah dan ibunya.

Terdapat fungsi negara dalam hal ini untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial buat warganya. Fungsi negara bukanlah mengintai-intai keseronokan orang lain tetapi memadam kesengsaraan warganya.

Negara seharusnya mampu untuk patuh dalam sosial kontrak yang sudah ada. Kerajaan sebagai timbal balik kepatuhan yang diberi, mesti memenuhi kebajikan dan keselamatan warganya.

Perhatian yang berat sebelah ini telah meminggirkan keselamatan negara sedang membangun (NSM) di rantau Asia terutamanya dalam konteks Malaysia. Neorealisme didapati gagal menjelaskan aspek keselamatan yang dihadapi NSM seperti kemiskinan, ketidaksetaraan dan pergolakan kaum.

Jadi, keselamatan akhirnya untuk siapa – negara atau rakyat? Inilah yang dimaksudkan dengan jaringan keselamatan sosial yang menyentuh lebih banyak khalayak daripada menyalahkan masyarakat atas keruntuhan ‘moral’. Sebagai warga yang terdiri daripada cerdik pandai, tidaklah sukar untuk melihat bagaimana aktor bukan negara disalahkan sementara aktor negara memanfaatkan keadaan ini untuk menunjukkan siapa lebih Islam dan melepaskan diri daripada tanggungjawab akan keselamatan komprehensif – mengandungi keselamatan insan (rujuk 7 kategori yang digariskan PBB) yang salah satunya ialah struktur ekonomi dan hak asasi manusia.

Ketidakstabilan sosial seperti sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini petunjuk gagalnya jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan kemisikinan dan mencapai kesejahteraan. Dan ia bukan bahan gosip petang hari antara jiran melainkan petanda kelemahan dalam pelaksanaan dasar sosial dan dasar ekonomi negara.