Ini “Tsunami Rakyat” lah!

Oleh: Uthaya Sankar SB
(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)

Tokoh-tokoh dalam Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan pandangan menyokong penuh kenyataan “tsunami Cina” oleh Pengerusi BN, Najib Razak pada awal pagi 6 Mei 2013; sejurus selepas BN “menang” dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tidak perlulah saya menyenaraikan nama-mana tokoh terbabit serta pandangan mereka kerana media arus perdana (elektronik dan cetak) sudah memberikan ruang seluas-luasnya kepada mereka. Saya pula meluahkan reaksi saya menerusi Facebook dan blog www.uthayasb.blogspot.com sejak Isnin.

Sebagai Rakyat (pengundi), apa pula reaksi sebenar orang ramai yang sukar mendapatkan ruang untuk muncul di kaca televisyen dan akhbar? Saya berusaha mengumpulkan pandangan daripada beberapa rakan. Berikut saya paparkan luahan hati mereka, dengan sedikit suntingan bahasa tanpa menghilangkan maksud asal.

Atriza Umar, pegawai eksekutif dan aktivis dakwah dari Seremban, Negeri Sembilan:

Saya dan sudah tentunya jutaan rakyat Malaysia terfikir, adakah penasihat agama kepada Perdana Menteri pernah menasihatkan dan mengingatkannya tentang Ayat-Ayat Allah? Tentang kepimpinan Rasulullah? Apa lagi Khalifah-Khalifah yang sangat takut akan murka Allah? Semoga Perdana Menteri menghayati dengan mata hatinya maksud (terjemahan) ayat-ayat ini:

Slogan “1Malaysia” hanyalah topeng yang dipakai BN.
Slogan “1Malaysia” hanyalah topeng yang dipakai BN.

 

 

 

 

“Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat.” (Surah an-Nisa, ayat 105)

“Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Clifford Tan, arkitek dari Kota Kinabalu yang bekerja di Singapura:

Masyarakat Cina tidak menolak mana-mana calon atas alasan kaum atau agama. Apa yang kaum Cina tolak bulat-bulat dalam PRU-13 adalah calon- calon yang korup, rasis, bangang, sewel, zalim dan sebagainya. Kebetulan majoriti calon seperti itu adalah daripada BN/UMNO. Sekiranya calon berkualiti seperti Khalid Samad (Parlimen Shah Alam) bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, saya yakin beliau akan turut menang besar dengan undi majoriti berpuluh ribu. Karpal Singh (calon kaum India beragama Sikh) menang dengan majoriti 41,778 undi di Parlimen Bukit Gelugor, mengalahkan Teh Beng Yeam (calon kaum Cina) di kawasan majoriti pengundi Cina. Banyak lagi contoh begini tetapi media arus perdana yang dikuasai BN/ UMNO pasti tidak akan menyiarkan berita sebenar seperti ini.

Jas Guna Senggani, perunding kewangan Islam dari Sungai Petani:

BN telah membunuh demokrasi menerusi PRU-13.
BN telah membunuh demokrasi menerusi PRU-13.

Tuduhan “tsunami Cina” hanya untuk menyembunyikan kegagalan mendapat dua pertiga di Parlimen serta kekalahan Najib sebagai pemimpin. Jika ini dikatakan sebagai “tsunami Cina”, bagaimana dengan kes di Kedah? Amat nyata kejatuhan Kedah kepada BN adalah berikutan undi orang Melayu. Semata-mata kerana orang Melayu mengundi BN/UMNO, adalah mereka layak dipanggil rasis? Amat cetek dan hina sekali pandangan Najib dan para pengikut dungunya yang masih lagi “merajakan syaitan di hati” kerana bergelar pemimpin. Isteri saya kaum Cina. Adakah dia dikatakan rasis kerana mengundi Pakatan Rakyat (PR)? Atau kami sekeluarga yang mengundi calon PR harus dilabel sebagai rasis? Secara jujur, Malaysia tidak memerlukan pemimpin rasis seperti dalam BN dan saya hairan mengapa masih ada penduduk yang sanggup mengundi mereka.

Chulan Chin, penjawat awam dari Hulu Langat:

Saya kurang bersetuju apabila isu “tsunami Cina” dibangkitkan berikutan kegagalan BN dalam PRU-13. Sebaik-baiknya BN perlu bercermin diri; menilai kelemahan serta menyedari hakikat bahawa rakyat sudah bijak menilai dengan mata hati. Rakyat mampu membezakan siapa yang lebih layak dan berhak mewakili suara mereka dalam kerajaan. Usahlah BN mencari helah bagi membela diri, lalu menuding ke arah pihak lain. Tindakan BN memainkan isu “tsunami Cina” dikhuatiri boleh menyemarakkan api sengketa antara kaum. Hubungan antara kaum dalam PR amat baik sehingga mampu memenangkan calon mereka tanpa mengira kaum/agama. BN perlu sedar tentang ketidakadilan yang dibuat sebelum PRU-13, iaitu menafikan PR hak yang adil dalam media arus perdana. Rakyat pula disogokkan dengan pelbagai habuan bagi memancing undi menjelang PRU-13, selain memainkan isu video lucah dan fitnah. Ada pula gangguan kempen menerusi mesej suara (voice mail) menerusi telefon bimbit daripada calon-calon BN sepanjang siang dan malam. Semua ini serta pelbagai lagi kempen yang dijalankan oleh BN sendiri yang menjadi punca kebencian dan rasa muak rakyat pelbagai kaum terhadap BN. Ini bukan “tsunami Cina” tetapi “tsunami Rakyat”.

Rosihan Amri Md Zakaria, guru dari Bayan Lepas, Pulau Pinang:

Kononnya rakyat didahulukan. Sebenarnya kaum Cina dihina.
Kononnya rakyat didahulukan. Sebenarnya kaum Cina dihina.

Saya sangat tidak bersetuju dengan tuduhan “tsunami Cina” kerana jika dilihat, kebanyakan masyarakat bandar menyokong PR. Malah ramai calon Bukan Cina dari PR menang di kawasan majoriti pengundi kaum Cina. Juga terdapat calon Melayu tewas kepada calon Bukan Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu. Saya berpendapat, pengundi tidak lagi mengundi mengikut kaum. Pola ini jelas di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. Pola mengundi mengikut kaum (“along racial lines”) masih kelihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar. Tindakan BN menyalahkan kaum Cina adalah tidak betul, apatah lagi jika komen itu datang daripada Perdana Menteri. Pemegang jawatan itu adalah ketua bagi semua rakyat Malaysia dan sepatutnya Najib berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum selepas melalui PRU-13 yang – pada pendapat saya – sangat kotor dan banyak manipulasi.

Gunalan Krishnan, pelajar tahun akhir jurusan perubatan dari Puchong, Selangor:

Nampaknya para pemimpin BN mula menunjukkan wajah sebenar selepas PRU-13. Sebelum ini, mereka ternyata berpura-pura dan bersembunyi di sebalik topeng bernama gagasan 1Malaysia demi mahu memancing undi dan jawatan. Tindakan BN membuat tuduhan “tsunami Cina” adalah suatu penghinaan besar bagi Bangsa Malaysia. Rakyat Malaysia tidak mahu seorang Perdana Menteri yang rasis seperti Najib mewakili rakyat dan negara ini di persada antarabangsa. Kalau Najib masih ada maruah, lebih baik dia meletakkan jawatan dengan segera.

Prem Sutha, pengurus dari Skudai, Johor:

Wajah sebenar pemimpin BN sudah diketahui rakyat.
Wajah sebenar pemimpin BN sudah diketahui rakyat.

Saya tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi saya menentang keras tindakan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan rasis. Undi adalah pilihan individu, hak individu yang tidak boleh diungkitkan dan sememangnya tidak perlu dipersoalkan. Sebagai sebuah negara demokrasi, para pemimpin dalam BN sepatutnya menerima “suara” rakyat yang dilahirkan menerusi peti undi.

Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam), penulis sambilan dari Ipoh, Perak:

Apabila slogan “1Malaysia” dilaungkan, BN beranggapan penerimaan rakyat sudah terbukti; dan kesamarataan sudah direalisasikan. Pemimpin BN perlu sedar bahawa “kejayaan” yang dibayangkan itu hanya bersifat upacara (“functional”) di pentas. Apabila sokongan pada realiti mula berkurangan menerusi PRU-13, BN mula melatah dengan menyalahkan “tsunami Cina”. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kenyataan “Cina yang tak kenang budi” (“ungrateful Chinese”) dan “Melayu yang tamak” (“greedy Malays”) oleh bekas pemimpin UMNO/BN. Tindakan pemimpin dan penyokong BN bersetuju dengan kenyataan-kenyataan dangkal itu pula umpama perbuatan “sokong membawa rebah”. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa perubahan memang sudah berlaku melalui “Malaysian Swing” menerusi PRU-13. Sejumlah 51.32 peratus undi popular menyokong PR, berbanding hanya 48.67 peratus bagi BN. Memang BN menang majoriti mudah (“simple majority”) tetapi telah hilang tujuh lagi “suara” di Parlimen. Sepatutnya para pemimpin BN bermuhasabah diri dengan menilai kesilapan yang dilakukan BN sepanjang tempoh berkempen (20 April – 4 Mei 2013). Apa-apa pun, BN perlu menerima hakikat bahawa rakyat memang mahukan perubahan!

Pandangan yang dikemukakan sejumlah kecil rakan-rakan kepada saya menerusi mesej Facebook mungkin tidak mewakili keseluruhan “suara” rakyat. Sekurang-kurangnya mewakili sebahagian kecil suara yang mustahil mendapat tempat di media arus perdana seperti Buletin Utama TV3 dan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, berikutan sikap rasis dan perkauman yang ditunjukkan
secara amat nyata oleh para pemimpin dan pengikut BN sejak beberapa hari lalu, tidak perlulah kita was-was untuk memahami siapa sebenarnya yang mencetuskan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.

Sama-sama kita mendoakan agar Tuhan menyelamatkan rakyat dan negara Malaysia daripada kemusnahan yang dibawakan puak rasis dan perkauman dalam BN yang bertopengkan gelaran politikus dan Ahli Parlimen.