Insiden Protes Salib: Renungan dan Harapan

Sejak kejadian protes salib berlaku, saya tergerak untuk berkongsi pendapat serta testimoni rakan saya di laman media sosial Facebook sebagai renungan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tentang pentingnya toleransi.

Perkongsian daripada Joe Sauna, yang merupakan seorang pekerja pastoral gereja Katolik di Shah Alam.

“Saya tinggal di kawasan majoriti kira-kira 90%. Muslim. Hampir semua jiran jalan saya adalah orang Islam. Jiran Melayu saya dan terutama yang tinggal tepat di seberang jalan bertentangan dengan rumah saya dapat melihat salib dengan ikon Yesus (crucifix) pada luar pintu rumah saya setiap hari.

Rata-rata jiran depan rumah iaitu Kak Nab keluar rumahnya untuk menghantar serta membawa pulang anak-anaknya ke sekolah sekurang-kurangnya 6 kali sehari. Setiap kali dia membuka pintu, dia akan melihat salib saya kerana ia agak sangat jelas bahkan ia menghadap pintu utama mereka. Tiada sekali pun aduan keluarganya. Setiap pagi dan petang kami akan bertegur sapa antara satu sama lain.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mempunyai jiran yang besar yang mempunyai iman yang sangat berakar umbi dalam kepercayaan mereka sendiri bahkan mereka tidak berasa terancam dengan permandangan harian salib di rumah saya, salakan anjing saya dan sapaan harian saya yang merupakan seorang Katolik. Semoga Tuhan memberkati mereka berlimpah-limpah!”

Berikut merupakan perkongsian rakan saya , Hilary David yang mengimbau kenangan beliau sebagai pelajar

“Berada dalam sebuah negara majoriti penganut Islam membuat saya dikelilingi dengan rakan-rakan Muslim, masjid atau surau di sana sini. Semasa di sekolah menengah, saya pernah mendengar azan 5 kali sehari dan yang paling teruk saya rasa saya boleh menghafal sebahagian daripada azan walaupun saya tidak faham apa yang dimaksudkannya.

Kadang-kadang ia adalah penggera saya untuk mengejutkan saya pada waktu awal pagi bagi tujuan mengulangkaji pelajaran semasa hari sekolah menegah saya. Saya juga kadang-kadang tinggal di dalam kelas pendidikan Islam sambil mendengar ustaz/ustazah mengajar rakan-rakan Islam saya.

Berdasarkan pengalaman tersebut, saya memahami agama yang sedikit, cukup bagi saya untuk menunjukkan rasa hormat kepada mereka. Tetapi ia tidak pernah mempengaruhi saya, tidak dapat untuk menukar saya dengan kepercayaan lain selain daripada apa yang saya ada.

Saya berminat untuk mengenali lebih lanjut, tetapi tidak berminat pula untuk menukar agama. Sebab mengapa? Kerana saya sayang agama saya sendiri.”

Hindari konflik agama dan kaum!

Meskipun protes salib tidak menggundang sebarang keganasan seperti mana insiden Taman Medan pada tahun 2001, amat jelas bahawa konflik membabitkan kaum dan agama wajar dielakkan di sebuah persekutuan yang bernama Malaysia.

Tidak cukupkah apa yang berlaku di gereja The Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang dibakar pada 8 Januari 2010 serta insiden cat hitam disimbah pada dinding luar Gereja Baptist Melaka di Durian Daun pada 10 Januari 2010?

Begitu juga insiden balas seperti serangan terhadap dua surau berasingan di Muar menjadi sasaran serangan pembakaran sengaja dan sebuah lagi surau di Seremban disimbah dengan cat merah dan disepahkan dengan botol arak pada tahun 2010.

Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang mempunyai masyarakat majmuk memerlukan toleransi rakyatnya untuk memahami adat, kaum serta agama antara satu sama lain.

 

unnamed