Islam lebih dihayati dalam negara sekular?

oleh Sheridan Mahavera. Diterbitkan semula daripada artikel asal di The Malaysian Mirror.

Konsep sekularisme biasanya ditentang oleh gerakan Islam Malaysia tetapi bagi seorang pakar perundangan Islam, agama hanya boleh benar-benar dihayati di dalam sebuah negara sekular.

Menurut Prof Abdullahi Ahmed An-Naim, keimanan sebenar kepada apa pun agama, termasuk Islam, hanya boleh dibentuk sekiranya seseorang itu hidup di bawah pemerintah yang bersikap neutral terhadap agama.

Iaitu sebuah pemerintah yang tidak menghalang aktiviti penganut apa-apa agama dengan syarat penganut itu tidak mencabuli hak agama lain, dan pemerintah juga tidak memihak kepada apa-apa agama.

Akan tetapi, hujah pensyarah undang-undang itu tidak bermakna agama dan politik itu tidak boleh bercampur.

Sebaliknya, penganut agama tidak boleh dihalang daripada terlibat di dalam politik seperti menyertai parti, membuang undi atau membentuk dasar, berdasarkan kepercayaan mereka, kata Abdullahi.

“Hujah saya adalah saya boleh menjadi seorang Muslim yang lebih baik di dalam negara sekular berbanding dengan sesebuah negara yang mendakwa ia negara Islam,” kata Abdullahi yang berasal daripada Sudan tetapi kini menetap di Amerika Syarikat.

“Saya percaya bahawa sikap neutral negara terhadap agama adalah kondusif kepada ketulenan penghayatan saya terhadap Islam,” beliau berkata di dalam sebuah kuliah di Sunway University baru-baru ini.

“Oleh itu tuntutan saya untuk sebuah negara sekular adalah pada asasnya, Islamik.”

Niat dan paksaan

Hujah Abdullahi nampaknya agak kontroversi, terutama di dalam suasana masyarakat Malaysia dicengkam rhetorik hukuman hudud, perlaksanaan undang-undang Syariah dan perselisihan antara penganut berbagai agama.

Malah gerakan Islam konservatif sering berkata bahawa “Islam adalah agama Persekutuan” bagi menjustifikasikan campurtangan penguatkuasa agama di dalam kehidupan orang Muslim dan juga bukan Muslim.

Perbalahan mengenai perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan adalah contoh terbaru di mana ini berlaku apabila pendokong hudud menjawab pengkritik kanun itu.

Abdullahi menyedari situasi di Malaysia, di mana penganut Islam diikat oleh dua sistem undang-undang, iaitu sivil dan syariah.

Pada dasarnya undang-undang Syariah Malaysia adalah untuk memastikan warganegara Muslim-nya tidak melakukan larangan di dalam Islam seperti meminum arak, berzina atau makan di tempat awam semasa bulan Ramadan.

Teori disebalik doktrin ini adalah pemerintah Malaysia dapat membentuk masyarakat Muslim yang syumul melalui undang-undang Syariah.

Abdullahi mempersoalkan tujuan sistem tersebut. Contohnya, adakah larangan terhadap makan di tempat awam semasa bulan Ramadan benar-benar menghasilkan masyarakat Muslim yang beriman?

“Sekiranya seorang itu berpuasa kerana dia takut kerana ditangkap (oleh penguatkuasa agama), adakah ini bermakna dia berpuasa kerana Allah, atau dia berpuasa kerana dia takut kepada pemerintah?”

“Apabila pemerintah cuba memaksa larangan atau perbuatan agama ke atas seseorang Muslim, ia telah mengambil alih peranaan niat di dalam diri Muslim itu.”

Niat yang benar-benar sukarela tanpa paksaan untuk beribadah atau melakukan sesuatu untuk agama merupakan salah sebuah prinsip asas di dalam Islam kata Abdullahi.

“Kalau kepercayaan kita di dalam agama adalah dipaksa, itu bukan kepercayaan yang tulen dan jujur.”

Beliau memetik ayat 256 daripada Surah al-Baqarah yang mengatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam agama kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan”.

“Jadinya sekiranya kita mahu ibadah seseorang Muslim itu ada nilai, dia mesti diberi hak untuk melakukannya tanpa paksaan.” – June 6, 2016