Islam yang mana satu?

Politik adalah ‘temptations of power’. Pengalaman Islam di dalam politik adalah pertembungan Islam dengan kekuasaan.

Islam-politik atau sering disebut “Political Islam” menekankan kepentingan hukum syariah dan kewujudan negara agama (Islamic state). Ia menembus masuk ke dalam ruang awam dan membicarakan tentang kepentingan semua warganegara.

Kuasa politik Islam merupakan sebahagian daripada orde politik yang signifikan di dalam dunia harini.

Kemunculan ekstremisme pemikiran selalu dikaitkan dengan ‘politik Islam’. Ini menyebabkan ramai penganalisis berpendapat bahawa Islam merupakan faktor yang penting di dalam perkembangan dunia politik masakini.

Namun, saya memilih untuk berbeza pendirian. Matlamat semua agama adalah untuk menciptakan kebaikan buat umat manusia. Dan Islam tidak terkecuali. Kekuatan Islam bukan terletak pada sandaran ideologi. Sebaliknya Islam menekankan nilai-nilai spiritualiti.

Politik sebagai agama?

Pengalaman ‘politik sebagai agama’ atau ‘agama sebagai politik’ adalah percubaan untuk menerapkan pemahaman agama sebagai kuasa. Begitu juga apa yang kita sebut sebagai ‘political Islam’. Ia adalah wajah ‘Islam sebagai kuasa’.

Islam adalah agama yang berdiri dengan kekuatan ‘masyarakat nilai’ (value-based society). Islam hanya akan berjaya apabila ia difahami sebagai agama yang menzahirkan kerohanian dan ketenangan jiwa.

Pengkaji Michael Hart yang memilih Nabi Muhammad sebagai tokoh dunia yang paling berpengaruh meletakkan asas pemikiran Muhammad pada tiga nilai; politik, agama dan spiritualiti.

Kajian ini dikatakan sebagai kajian personaliti tokoh yang paling komprehensif.

Soalnya bukan Nabi Muhammad yang paling berpengaruh atau tidak. Tetapi, ia tentang pencapaian seorang manusia bernama Muhammad yang mengangkat darjat kemanusiaan di tahap yang sangat tinggi dalam sejarah manusia.

Tampaknya, sebahagian daripada kita yang mengaku “umat Muhammad” inilah yang sedang merendahkan darjat seorang manusia pada harini. Kerana perbezaan, kita membunuh dan mencederakan.

Pencapaian Muhammad adalah intipati untuk diri kita sendiri.

Pernahkah kita terfikir apakah “Islam” masakini adalah “Islam” yang diajarkan oleh Muhammad atau “Islam” yang direka-reka untuk kepentingan individu?

Soalnya berbalik kepada kita untuk memilih versi yang mana satu ; samada Islam yang mengajarkan rahmat dan kasih sayang atau Islam yang mengajar kita untuk membenci dan menyakiti.

Islam dan Islamisme 

Islam berbeza dengan Islamisme. Islam adalah cara hidup. Manakala Islamisme pula ideologi politik yang mengikat Islam dan kekuasaan melalui jalan politik. Muslim tidak semestinya berfahaman Islamis. Mereka mungkin sekular, demokrat atau nasionalis!

Seorang Muslim mungkin sahaja seorang demokrat, liberal, konservatif mahupun progresif. Tetapi, seorang Islamis itu semestinya seorang Muslim.

Nah, apa yang membezakan Islam dan Islamisme?

Di dalam buku Islam and Islamism, Bassam Tibi  menegaskan bahawa perbezaan Islam dan Islamisme terletak pada penzahiran budaya, nilai hidup dan warisan.

Seorang yang taat dengan ajaran Islam belum tentu seorang Islamis. Islamisme adalah gerakan khusus yang bersifat politikal.

Islam pula tidak semestinya politikal. Islam boleh berperanan sebagai alat kebudayaan dan keruhanian. Istilah yang selalu digunakan ialah ‘Islam Sufi.’

Islam mempunyai keunikan menerusi amalan ibadah dan ritual keagamaan. Seorang muslim mungkin sahaja apolitikal. Tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan ajaran agama.

Islamis pula adalah mereka yang berfikiran bahawa hukum/syariat Islam harus ditegakkan melalui jalan politik.

Yang membezakan Islam dan Islamisme adalah Islam sebagai ‘spiritualiti’ manakala Islamisme adalah Islam sebagai ideologi.

Islamis pula mungkin sahaja fundamentalis dan konservatif. Moderat mahupun progresif. Pro kebebasan atau anti-kebebasan. Ia terpulang kepada cara bagaimana golongan Islamis menempatkan fahaman mereka di dalam pergelutan politik dan kekuasaan.

Kita tidak boleh melambakkan pemikiran bahawa Islam dan Islamisme itu dengan kesimpulan bahawa ia anti demokrasi dan pro-keganasan.

Pada masa yang sama, kita tidak pula meletakkan klaim bahawa Islam itu liberal atau demokratik. Islam itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza menurut mazhab dan jemaah.

Pemahaman terhadap Islam itu juga bergantung dengan cara fikir masing-masing. ‘Islam’ yang baik pada kita, belum tentu baik untuk orang lain. ‘Islam’ yang benar bagi orang lain juga belum tentu benar di mata kita.

Tetapi yang pasti, Islam mengajarkan umatnya untuk menggunakan akal. Akal yang mengajar kita untuk menjadi baik atau buruk. Maka, “Islam” dan “Akal” merupakan kesinambungan umat Islam supaya maju dan rasional.

Islam politik vs Islam spiritual 

Kita harus faham bahawa ‘Islam sebagai cara hidup’ barangkali berbeza dengan ‘Islam sebagai ideologi politik’.

Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sifatnya, pemikirannya dan gaya hidupnya berbeza-beza. Kita tidak boleh menganggap Islam dan Islamisme itu sama dan muktamad. Noktah.

Bagi saya ; jika kita percaya bahawa Islam itu adalah ‘rahmatan fil alamin'(rahmat buat sekelian alam) — kita harus setuju bahawa perbezaan dan pluraliti itu adalah rahmat buat Islam. Jarang sekali kita mengakui hakikat bahawa perbedaan adalah peluang untuk kita saling belajar dan mengenali satu sama lain.

Islam adalah agama yang membuka ruang terhadap pentafsiran dan penalaran terhadap wacana. Barangkali ‘perbezaan’ di dalam sejarah Islam adalah sesuatu perkara yang biasa. Islam juga agama bermazhab – dicorakkan mengikut budaya dan amalan setempat.

Islam meraikan perbedaan berfikir dan budaya. Namun, akhirnya terpulang kepada kita (diri sendiri) untuk mencorakkan versi “Islam” yang bagaimana dan macam mana!

unnamed