Islamisme

Terjemahan “What is ‘Islamism’?“, tulisan Clive Kessler yang diterbitkan oleh New Mandala pada 1 Disember 2015. Diterjemahkan oleh Zikri Rahman.

Apa itu “Islamisme”, dan mengapa ianya adalah sebuah idea atau terma yang boleh digunakan?

Ada sesetengah warga tidak berkongsi pendapat sebegitu.

“Islamisme” hari ini sebagai satu terma banyak sekali dibincangkan.

Seringkali, seseorang akan berhadapan dengan situasi di mana dirinya akan ditegur oleh beberapa Muslim, jika tidakpun oleh “political apologists” yang lain, kerana menggunakan terma ini.

Mereka akan menegur kelompok yang cuba mencari dan mendefinisikan terma ini, seperti mana yang mereka sendiri sedang usahakan melalui projek “men-ideologikan” Islam; menukar Islam dari sebuah kepercayaan tradisional dan peradaban berdasarkan anutan, yang berkembang menuju moderniti, serta seringkali menjadi tuntutan politik yang sempit.

Menulis artikelnya di The Australian (“Paris attacks: Muslims and non-Muslims must openly denounce Islamism”), Maajid Nawaz benar bilamana beliau mengatakan bahawa :

Islam adalah sebuah agama, dan seperti agama lain, ianya cukup rencam. Namun begitu, Islamisme adalah kemahuan untuk memaksa masyarakat untuk menerima Islam tanpa mengira cirinya. Hatta, Islamisme adalah teokrasi Muslim. Sepertimana “Jihad” adalah sebuah idea Islamik tradisional tentang perjuangan, “Jihadisme” adalah daya menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menyebarkan “Islamisme”.

Ia adalah satu kenyataan daripada realiti politik semasa. Walaubagaimanapun, pendefinisian ini gagal untuk memahami proses pensejarahan “Islamisme” di mana kita perlu menganalisis “akarnya” dalam konteks yang lebih mendalam melalui sejarah Islam itu sendiri.

Islamisme adalah terma ringkas untuk merujuk kepada “Islam politikal” moden serta kontemporari.

Cabarannya adalah untuk melihat dengan jelas proses ideologisasi serta bentuk Islam politikal yang cucuk dalam lunas keagamaannya, yang merangkumi sejarah sosial dan kebudayaan Islam sejak dari detik turunnya wahyu sehinggalah pembentukannya dari awal.

Apa yang difahami oleh kita sebagai “Islam politikal” tidak wujud secara sendirian dan mudah, dengan adanya penambahan adjektif (semata-mata) untuk memperkatakan tentang ciri-ciri Islam yang diwarisinya – sesetengah berpendapat “yang membentuknya” – iaitu dimensi politikalnya.

Ianya wujud dan hasil dari sejarahnya, secara khususnya dari proses keagamaan dan yang lebih luas, proses ketamadunan Islam itu sendiri. Pergulatan Islam dalam sejarah dunia adalah sebab dan akibat, serta reaksi kepada kepesatan ajarannya di seluruh dunia.

Ini sejarahnya apa yang dipanggil sebagai “Islam fasa ketiga”.

Sumber gambar: Muslim-academy
Sumber gambar: Muslim-academy

Fasa pertama: Detik Kerasulan dan Tauhid

Fasa pertama perkembangan agama lahir dari detik tertentu, iaitu detik pembentukan kepercayaan serta penganutnya.

Ianya (Islam) hadir dari detik yang dialami buat kali pertama dalam sebuah “tradisi keimanan” oleh Ibrahim S.A.W yang kemudiannya diberi pengalaman yang baru (bagi para Muslim) melalui Muhammad S.A.W, walaupun ada beberapa Rasul dan Nabi yang hidup di antara sela waktu antara dua tempoh tersebut.

Detik pembentukan itu berlaku apabila seseorang individu mencapai detik kerasulan terkesima dengan kesedaran dan keinsafan yang mendalam – dari segi intelektual, keberadaan diri serta keimanannya – tentang keesaan Tuhan. Kesedarannya itu bukanlah dari kesedaran yang cetek tetapi sebuah tekad keimanan yang mendasar.

Ianya satu realiti sebuah Tauhid yang benar-benar menggulat perasaan.

Kesedarannya itu bukanlah dari kesedaran yang cetek tetapi sebuah tekad keimanan yang mendasar. Ianya satu realiti, sebuah Tauhid yang benar-benar menggulat perasaan.

Fasa pertama evolusi keagamaan ini lahir dari detik kewahyuan dan berpusat di sekitar kesan dan pengalaman kerasulannya, dengan impaknya bertitik-tolak dari daya-upaya manusia itu sendiri : kepada seorang Rasul serta mereka yang akan menyanjung pimpinan dan tauladannya untuk dijadikan panduan hidup.

Dalam fasa yang pertama, agama, dalam hal ini agama Islam, memang berpusat dan berlegar di sekitar konsep Tauhid, sebuah pengalaman kesedaran yang cukup mempesonakan.

Dari detik ini, evolusi keagamaan seterusnya bergerak menuju ke fasa yang kedua.

Fasa yang pertama secara umumnya bertahan seumur hidup pendiri agamanya yang utama itu sendiri.

Tanpa mengira antara Nabi Musa yang berada di gunung mahupun Nabi Muhammad yang berada di dalam gua, hanya merekalah yang mendapat mukjizat sebuah Tauhid yang kemudiannya disampaikan kepada semua tentang wahyu yang diterima.

Masalah muncul saatnya Rasulullah mangkat. Memang ada yang menggantikan tempatnya dalam mengurus fungsi dan urusan duniawinya tetapi yang pasti, pengalamannya tidak lagi sama apatah lagi autoritatif.

Pengalaman mereka yang menggantikan kepimpinannya mungkin boleh didapati dari pengalaman hidup Rasulullah, namun ia hanyalah secebis dari kewahyuan yang sangat peribadi.

Selepas kemangkatan Rasulullah, masyarakat (Islam) ketika itu berhadapan masalah kerana wujudnya lohong dari segi autoriti hukum dan kerohanian.

Ini adalah kerana terdapat pemisahan aspek kerohanian yang asal dengan masyarakat yang ketika itu masih tercari-cari sumber kerohanian yang autoritatif.

Persoalan muncul dan masyarakat mulai menyoal diri mereka sendiri, “Apa yang akan dilakukan oleh Nabi jika diri Baginda masih hidup?”

Perbezaan pendapat mulai terbit, sekaligus mewujudkan sengketa. Lain-lain mazhab dan cara fikir wujud sekaligus menggunakan ruang yang ada untuk mengusulkan pendapat – dengan niat yang ikhlas – tentang apa yang dimaksudkan oleh Rasul berdasarkan kehidupan rohaninya serta kerasulannya.

Dengan itu, sejarah tentang masyarakat yang memilih Tauhid memasuki fasa yang kedua.

Sumber gambar: Islamic Online University
Sumber gambar: Islamic Online University

Fasa kedua: Sunnah, Hadis, dan memori kolektif selepas Rasul

Di sinilah fasanya di mana para intelektual serta getir emosi para penganut agama Islam sebahagiannya berubah kepada persoalan yang utama dan penting, iaitu pergulatan tentang ke-Tauhid-an kepada persoalan tentang ketiadaan Rasul mereka dan memori kolektif mereka bersamanya.

Perkara ini berlaku bukan kerana hendak mempersoalkan komitmen mereka dalam soal Tauhid dan kepercayaan kepada Tuhan, sebaliknya ia adalah satu kesaksian bagaimana masyarakat Islam ketika itu, dengan daya manusia yang terhad serta hubungan sejarahnya, dapat mengetahui tentang kebesaran Tuhan melalui mukjizat para Nabi dan Rasul.

Agama yang suci, sebagai sebuah komuniti yang percaya serta memahami dan menghidupkannya – seakan-akan berlegar di sekitar konsep “kerasulan”.

Adalah normal untuk para pelajar yang mengambil kursus sejarah keagamaan dan perbandingan agama untuk mengenal pasti wujudnya satu dinamik dan arus dalam perkembangan sesebuah agama yang turut sama berlaku di dalam agama Islam.

Beginilah caranya bagaimana Sunnah mula dikumpulkan serta ditaksirkan menjadi sebuah asas sumber yang sangat autoritatif dalam menentukan dan merangka undang-undang Islam selepas teks Al Quran itu sendiri.

Ianya turut bertitik-tolak bagaimana pensejarahan kenabian, atau dipanggil Sirah disusun dan menjadi penting.

Dari hal ini juga, beginilah pemikiran atau mazhab muncul dan turut berkembang termasuklah empat mazhab Sunni yang utama serta fahaman Shiah.

Ianya sebuah proses yang normal dan biasa dalam sesebuah evolusi agama.

Walaubagaimanapun, dalam soal Islam – terdapat sesuatu yang lebih terperinci khususnya tentang sejarah peradabannya serta kesan Islam terhadap dunia itu sendiri – yang turut mendorong kepada perkembangan agama Islam itu sendiri.

Dimensi yang dimaksudkan di sini didorong oleh persaingan peradaban yang berlaku di antara budaya “Kristianisasi”, yang dimaksudkan sebagai cara hidup yang diasaskan oleh agama Kristian dengan “dunia Islam” itu sendiri.

Beginilah ianya bermula dan berkekalan, sebuah persaingan yang melibat serta membentuk sejarah dunia – yang kesannya hampir kepada semua umat manusia dan tidak hanya kepada Kristian dan Muslim semata-mata. Benarlah, begitulah sepatutnya diertikan sebagai apa yang dipanggil “sejarah dunia”.

Persaingan bermula semenjak tentera Islam cuba untuk menyeberang ke Pyrenees untuk memasuki tanah besar Eropah tetapi dihalang oleh Charles Martel dengan bala tentera Kristian dalam sebuah pertempuran di Tours dan Poitiers pada tahun 723,

hinggalah kepada keseluruhan tempoh Perang Salib serta usaha Kristian untuk “merampas kembali Sepanyol” (ketika hampir berakhirnya tamadun Islam di Andalusia) pada tahun 1942 selain daripada penjajahan Napoleon ke atas Mesir pada tahun 1978 di mana masih ramai (Muslim) beranggapan ianya masih berlaku hingga ke hari ini.

Dalam hal ini, mungkin ada di antara kita yang merasakan terma “pertembungan peradaban” itu tidaklah enak didengar secara politiknya. Namun begitu, ianya satu kenyataan sejarah yang cocok dalam menggambarkan zaman silam kita ini.

Benar, sejarah dan fakta inilah yang memaksa kita memperakui apa yang terjadi. Ianya bukanlah sesuatu yang perlu kita sangkal berlaku, sebaliknya adalah untuk kita memastikan ianya tidak lagi berulang serta meninggalkan kesan dalam membentuk perbuatan kita sekarang dan di masa depan kelak.

Apa yang terjadi sebenarnya di sini?

Di bawah semua sengketa politik yang terjadi, di atasnya adalah satu pertelingkahan agama yang asas. Dunia Kristian ketika itu berpendapat bahawa Nabi Isa bukanlah hanya sekadar seorang Rasul, tetapi satu-satunya Rasul yang diturunkan.

Bagi Kristian, lebih-lebih lagi mereka yang berada di Barat ketika itu, mereka langsung tidak bersetuju dengan sebuah saranan doktrin yang abstrak berkenaan dengan kebenaran keagamaan serta penggantian para Rasul yang kemudiannya diserah sewenang-wenangnya kepada kuasa politik untuk membentuknya.

Sebaliknya dan sudahpun dijangka, pihak Kristian bertegas dengan tentangan politiknya dan tidak menerima Muhammad sebagai Rasul yang benar apatah lagi yang terakhir.

Justeru, seperti dalam mana-mana persengketaan politik dan pertelingkahan antara agama yang terdahulu, mereka menentang sesungguh-sungguhnya.

Hari ini, kita semuanya adalah pewaris kepada sejarah serta kebudayaannya – walaupun kita tidaklah memahami sepenuhnya – tentang polemik yang melibatkan Nabi Muhammad itu sendiri mahupun keengganan Eropah dalam memperakui kenabiannya. Di situlah, dari keengganan mengiktiraf Rasul, bermulanya “Eropah” dan “Barat”.

Sumber gambar: Wikipedia Commons
Sumber gambar: Wikipedia Commons

Di kedua-dua belah pihak yang berbeza sejarahnya pada hari ini, kita mewarisi sebuah keengganan penganutnya sendiri berbanding Nabi Isa itu sendiri, seorang penyelamat dan penebus dosa umat manusia, yang juga dinantikan oleh agama Judaisme yang akhirnya melengkapi ajarannya.

Kaum Yahudi ketika itu berharap dapat menebus balasan suci serta perlindungan saat mereka menolak kerasulan Nabi Isa, walaubagaimanapun, akibat dari penolakan itu, secara tidak langsung, Kristian yang akhirnya menjadi penganut agama Israel yang “benar”.

Manakala Islam pula muncul untuk menegaskan bahawa wahyu yang turun kepada Musa dan Isa bukanlah yang terakhir serta ianya tidak disempurnakan dengan lengkap. Muslim berpendapat bahawa agama samawi dengan ajaran monoteistik mencapai kesempurnaan melalui peristiwa kerasulan Nabi Muhammad.

Begitupun, pertelingkahan antara Kristian dan Islam tidaklah semudah pemahaman yang difahami secara doktrin oleh ahli teologi. Ianya berdasarkan persaingan antara regim politik dan peradaban yang bertembung sejak sekian lama dari bahagian selat Mediterranean yang berbeza.

Meletak ke tepi dahulu persoalan keagamaan, pertembungan terjadi akibat kepentingan politik dan keperluan kemandirian peradabannya, Eropah terpaksa melakukannya untuk terus wujud.

Untuk menerima apa yang dibawa oleh lawannya sekaligus bukan sahaja dalam memperakui Nabi Muhammad sebagai tokoh sejarah yang utama malahan sebagai ketua agama seperti yang dianuti oleh Muslim, di mana ianya bermaksud bahawa mereka akan menyerah terhadap agama (Islam) dan menyerah kepada “Tuhan” yang berbeza.

Lebih dari itu, ianya seakan-akan mendorong Islam dan peradabannya menjadi penting sekaligus terpaksa menerima budaya dan politiknya.

Tidak pernah wujud sebuah peradaban dan orde yang sanggup menyerah sebegitu mudah dalam kekuatan serta kemampuannya dalam mengekalkan identitinya sendiri.

Persoalan identiti ini sudahpun wujud semenjak Perang Salib lagi, hasilnya adalah sebuah polemik yang berpanjangan yang membentuk fikrah ramai pemikir Barat, untuk menentang Nabi Muhammad :

yang bermula sejak zaman moden melalui beberapa nama panggilan yang menghina seperti “Mahound” hinggalah kepada kritik yang ditulis oleh Thomas Carlyle. Ini juga termasuklah pada zaman kita sekarang, antaranya karya Salman Rushdie.

Kempen “polemik” memburukkan Nabi Muhammad turut mendapat respon yang hebat. Islam sebagai sebuah peradaban yang pesat membangun, langsung mempertahankan Nabi Muhammad tentang soal kebenaran peristiwa kerasulannya dari segi perwatakan serta reputasinya sebagai tauladan dalam sejarah dan keagamaan.

“Hati-hati (bercakap) tentang Nabi Muhammad!”, menjadi amaran untuk semua. Jangan dipersoal akan reputasinya.

Apa yang terjadi sekaligus merencatkan dunia Islam ketika itu kerana terpaksa mempertahankan dan memelihara maruah Nabi Muhammad yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan adu-domba serta penolakan yang bersifat jahat.

Namun begitu, tidak ada apa-apa yang berubah dengan ajaran Islam secara doktrinnya. Islam kekal Islam. Begitupun, untuk penganutnya yang setia dan komited, sebuah anjakan melibatkan sudut pandang fenomologi (falsafah tentang pengalaman dan keberadaan) mulai terjadi.

Islam masih sebuah kepercayaan Tauhid yang sempurna tetapi fokus fenomologikal mula beralih.

Dari sudut yang penting, fokus tentang pengalaman serta kepatuhan beragama sekaligus dibentuk dengan Nabi Muhammad menjadi rujukannya.

Wujudnya penentangan dari luar terhadap Islam secara objektif menjadi persoalan tentang kesetiaan terhadap Nabi Muhammad dengan mempertahankan serta mengambil berat akan reputasi sejarahnya.

Mempertahankan Islam sekarang, sepintas lalu bermaksud mempertahankan Nabi Muhammad dari apa-apa kritik terhadapnya.

Tidak wujud persoalan bahawa Nabi Muhammad tidak lagi terpelihara walaupun sudah mangkat dan jika ada sesuatu yang seperti itu, pastinya akan terus diketepikan. Namun begitu, berdepan dengan perubahan serta implikasi secara tidak langsung, ianya menimbulkan provokasi dan kontroversi sehingga meniup api kemarahan.

“Polemik tentang Nabi Muhammad” sekaligus menjadi titik penting sekaligus sumber berlakunya antagonisme.

Ianya menjadi kunci dalam memberi sebab berlakunya perpecahan dalam sejarah kita berabad lamanya. Dunia sudahpun mengalami pertembungan antara Kristian dan Muslim yang cukup lama dengan fokus tentang isu penerimaan dan penolakan Nabi Muhammad tentang kesahihan kerasulannya.

Kristianisasi, ketika itu masih kuat di Eropah dan kemudiannya di Barat – soalnya, apa itu Eropah dan apa yang kini dipanggil “Barat” itu? Apakah ianya pasca-Kristian yang menjalankan Kristianisasi? – terus menolak Nabi Muhammad dan pembuktian dari penganut agama Islam dengan begitu keras.

Jelas, untuk Eropah yang menganut agama Kristian adalah untuk menerima atau menolak. Namun untuk dunia Islam, cabarannya adalah bagaimana untuk berhadapan dengan penolakan penganut Kristian.

Sebagai responnya, Muslim dan dunia Islamnya, bergabung tenaga mempertahankan Nabi Muhammad, kebenaran wahyunya serta reputasinya sebagai manusia dalam sejarah.

Di kedua-dua bahagian antara Kristian dan Muslim, semuanya adalah berkenaan dengan Muhammad. Isu inilah yang akhirnya mengubah doktrin.

Di sinilah terbahaginya dua peradaban yang matang dan membangun sehinggalah era moden berlaku. Ketika ini, isu dan dimensi tentang persaingan peradaban mereka mula berubah.

Ketika pertengahan abad yang ke-20, sebuah era mula mengorak langkah. Selepas dua perang dunia, lokasi “Barat” sudah mulai beralih.

Kuasa “Barat” menjadi tidak keruan dan mungkin semakin lemah. Manakala Islam, serta “dunianya” juga berubah dengan evolusi warganya selepas perang. Riak-riak pertembungan mula berkocak kembali.

Kini, proses dekolonisasi serta pengunduran kuasa Barat sedang terjadi sekaligus membuka ruang kepada Islam kontemporari untuk memasuki fasa persaingan peradaban yang baru dengan Kristianisasi dan pengganti pasca-Kristian iaitu “Barat”.

Inilah detik di mana peneguhan baru Islam wujud. Inilah fajar politikal Islam yang hadir dengan kesedaran sejarah di mana dunia keseluruhannya akan lambat-laun menerimanya. Semenjak perkara ini terjadi, itulah apa yang kita sedang lakukan atau mungkin, sebenarnya tidak lakukan.

Pada saat genting di mana berlakunya perubahan pensejarahan global mahupun peradaban setelah pasca-perang, dunia Islam mengambil langkah penting untuk bergerak di luar kerangka fasa kedua.

Sekaligus menandakan bermulanya “fasa Islam ketiga”.

Sumber gambar: NYT
Sumber gambar: NYT

Fasa ketiga: Kebangkitan Islam politikal

Inilah pentasnya di mana Muslim menuntut apa yang sekian lama dinafikan iaitu mereka kini mahu mendesak dan mengembalikan maruah mereka dalam pentas sejarah dunia hari ini.

Fasa inilah di mana Islam itu sendiri, sebagai idea dan entiti atau fakta sejarah, menjadi fokus utama tentang kesetiaan emosi dan ikatan keagamaan ramai Muslim.

Peralihan sedang berlaku tentang keberadaan sejarah para Muslim.

Perubahan yang mendasar berlaku di mana ianya bukan lagi soal mempertahankan kepercayaan dan kerasulan, sebaliknya kepada penyampaian “Islam” itu sendiri sebagai sesuatu yang lengkap, sebagai satu cara hidup: satu bentuk keberadaan dalam sejarah yang diikuti oleh seluruh masyarakat yang menganut serta beriman dengan agama Islam.

Ini menandakan bermula “fasa Islam ketiga”. Dalam pada ini, mereka turut menghalakan daya mereka, dari soal moraliti hinggalah kepada ketenteraan (seringkali lebih berjaya dari apa yang pernah berlaku sebelumnya!), untuk menangkap kemampuan mencatat dan menghidupkan “skrip” peradaban sejarah mereka sendir.

“Skrip” yang dicipta ini pastinya bukan – semenjak Napoleon sampai di Mesir pada 1978 serta tempoh masa di mana dominasi imperial dan kolonial – yang dipaksakan ke atas mereka untuk menerimanya dengan penuh penghinaan.

Sebaliknya, umat Islam itu sendiri mula menjadi subjek dan pengarang sejarah mereka sendiri dan tidak lagi menjadi “objek” sejarah peradaban lain – dengan identiti, tatanan moral serta kerangka politik mereka sendiri yang amat asing – di mana sebagai umat Islam, mereka sudah sekian lama dinafikan serta dipaksa mengorbankan kedaulatan, kemerdekaan sehinggalah kepada autonomi kolektif mereka sendiri.

Dengan tuntutan serta kemahuan dalam merampas semula autonomi sejarah mereka, dengan desakan yang teguh tanpa syarat dalam hak seorang Muslim moden yang bebas, begitulah bagaimana “Islam politikal” wujud dalam pelbagai bentuk, termasuklah Islamisme militan terzahir.

Kita tidak perlu menyusahkan diri untuk mengingati semua detik dalam sebuah perjalanan sejarah dalam penjelahan mencari makna apatah lagi menguliti satu persatu karya-karya pemikir agung Islam yang menjadi pemangkin kepada transformasi pensejarahan Islam dari segi keagamaan, politik serta sejarah keberadaannya.

Itu semua sudah diketahui dan seringkali diulang-ulang.

Apa yang terhasil dari sebuah pembangunan sejarah ini sekaligus membuahkan hasil bukan lagi dalam bentuk sebuah pergerakan, sebaliknya sebuah realiti sejarah yang kompleks, rencam dan luas serta terdiri dari pelbagai bahagian yang ada diantaranya sangat bercanggah malahan bersifat berlawanan antara satu sama lain.

Begitulah situasinya hari ini dan dari situ – bersangkutan dari kesedaran sejarah Islam yang seringkali membuka riak persoalan hasil dari sejarah yang cukup panjang – wujudlah dunia Islam yang ada pada hari ini yang dibangunkan secara politik sekaligus memasuki era “fasa Islam ketiga”.

Ini bermaksud merangkumi semua bentuk dan rencam Islam politikal, dari aktivis hinggalah kepada sarjana yang berada di satu paksi, dalam sebuah dimensi yang signifikan: dari demokratik atau liberal kepada yang authoritarian dan konservatif yang turut berada dalam paksi yang penting dalam dimensi yang berlainan.

Islam politikal terus bertranformasi dari dalam dan akan mengambil semua jalan politik yang berlainan. Semua ini adalah sebahagian dari satu fenomena bertitik-tolak dari kecenderungan keagamaan yang serupa.

Namun begitu – kerana pergerakan dan kecenderungannya adalah percubaan untuk membetulkan keadaan, dan ada sesetengah di antara mereka yang mahu membalas apa yang telah berlaku dan mencapai maksud politik kerana ianya dibentuk oleh dasar dan tuntutan yang reaktif, bersifat mengekalkan dan pembalasan hukuman – bentuk yang terzahir biasanya dikuasai oleh golongan aktivis dan konservatif dalam sebuah paksi yang berlainan ini.

Di Asia Tenggara dan sekitarnya, ia menunjukkan komplikasi dan cabaran yang besar bagi mereka yang berharap untuk menemukan Islam dalam kerangka “Islam politikal” yang lebih lunak, demokratik, liberal serta inklusif.

Namun begitu, terdapat satu kenyataan yang tidak dapat disangkal.

Sewaktu menyampaikan maksud dan tujuan “Islam sebagai sebuah pembinaan sejarah dan cara hidup”, yang menjadi keutamaan; apabila untuk kebanyakan Muslim mempunyai pendapat tentang identiti dan tindakan di mana sikap dan pegangan mereka dikembangkan dengan doktrin sejarah serta ideologisasinya.

Berikutan itu, kita boleh berbicara tentang Islam politikal itu sendiri.

Untuk membicarakan dan meletakkan persoalan begini, bukanlah dalam kerangka “Orientalisme” ataupun “essentialism” di mana kita hanyut dalam stereotaip yang lapuk dan tidak lagi terpakai.

Mengapa tidak?

Ini adalah bagaimana aktivis dan sarjana Islam sendiri berpendapat di mana mereka sendiri mempunyai dialek intelektual yang unik. Beginilah caranya mereka menerangkan tentang asal dan ciri-ciri gerakan dan organisasi mereka dalam detik bersejarah mereka.

Untuk memahami apa itu “fasa Islam ketiga” adalah untuk mengetahui tentang ciri-ciri dalamannya. Kita perlu fokus bukan kepada peristiwa yang dihasilkan dalam realiti sejarah tetapi kepada perubahan dalaman dan anjakan yang berlaku dalam keberadaan Muslim yang dipersembahkan.

Kebangkitan Islam telah melahirkan sikap tentang bentuk keberadaan pensejarahan Islamik dengan diikuti oleh sentimen keagamaan serta kesedaran politik.

Ianya telah menggagaskan – jika boleh disebut secara metaforanya – kiblat baru yang perlu difahami bukan dalam bentuknya yang tradisional yang berfungsi sebagai penanda arah solat tetapi sebagai cara fikir dan pandangan politik.

Begitulah bagaimana kunci untuk memahami dunia Islam pada hari ini iaitu melalui keunikan dan kerencaman “Islam politikal” yang wujud dengan orientasi keberadaan yang berbeza hasil dari anjakan (pemikirannya).

“Fasa Islam pertama”, atau Islam dalam bentuk asal sejarahnya serta pemkembangannya sendiri turut mempunyai keunikan dalam bentuk keberadaan keagamaan dengan sebuah titik fokus dan orientasi “fenomenologi” yang tersendiri.

Ianya berpusat dari kesedaran yang primitif (alamiah) serta tekad yang menguasai sepenuhnya berdasarkan pengalaman Nabi Muhammad dalam menerima wahyu, tentang keesaan Tuhan serta ciptaanNya termasuklah perihal umat manusia di bawah kesucianNya.

Berlakunya Perang Salib serta polemik tentang kerasulan Nabi Muhammad yang berpanjangan, sekaligus memaksa “Islam fasa kedua” untuk dimaknai dengan pandangan luar dipacu oleh keperluan dan kewajipan untuk mengangkat Islam dengan mempertahankan maruah dan kerasulannya Nabi Muhammad.

Manakala dalam “Islam fasa ketiga”, anjakan turut berlaku di mana Muslim mula untuk mengenal pasti semula Islam dan tujuannya juga diperbaharui.

Ianya berlaku sekarang – di mana keberadaan sejarah dan bukannya doktrin sejarah – dikenal pasti sebagai “Islam itu sendiri” menjadi entiti sejarah yang kompleks dan berkembang menjadi cara hidup merangkumi keseluruhan umat yang terdahulu dan sekarang, selaras dengan tuntutan yang dibayangkan oleh ahli teori Islam.

Dalam pada itu, hala tuju Islam dalam “fasa ketiga” ini menjadi fokus utama berkembangnya pensejarahan Muslim jika tidakpun melalui ikatan moral. Islam dalam hal ini secara metaforanya menjadi sebuah kiblat “fenomenologi” untuk sebuah proses kesedaran.

Wujudnya fokus serta orientasi yang melibatkan “fenomenologi” ini mengakibatkan berlakunya anjakan secara berperingkat dan halus dalam mewujudkan kesedaran tentang sejarah keagamaan.

Satu “kaedah penggiliran” yang kompleks dari keberadaan ini bertitik-tolak tentang keimanan kepada Allah, yang berlegar sekitar pengakuan kepada Nabi Muhammad terhadap kebenaran dan kesempurnaan ajarannya yang dipacu oleh detik bersejarah di mana Islam menjadi “cara hidup”; sebagai satu cara untuk memberdayakan ummah.

Untuk memahami perkara ini dan implikasinya adalah untuk mula memahami bagaimana dan apa itu “Islam politikal” atau “Islamisme” yang dimaksudkan serta dimaknai pada zaman kita yang cukup bersejarah ini.

Dan jika kita tidak berkeupayaan untuk memahaminya (sejarahnya), ianya adalah sukar sekali untuk memahami (Islam). Mungkin anda rasa sedang memahaminya namun begitu, anda sebenarnya jauh sekali dari mengerti..