“Seksualiti”: Suatu pengenalan

Seksualiti Merdeka yang diharamkan pada tahun 2011 seringkali didakwa oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu usaha yang mempromosikan seks bebas.

Ia dianggap oleh sesetengah pihak kononya sebagai satu perancangan untuk memperalatkan isu hak asasi manusia untuk kepentingan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender atau kelompok trans) semata-mata sambil mengelirukan rakyat Malaysia.

Akan tetapi tuduhan tersebut silap dalam satu hal yang penting: seksualiti dan seks tidak membawa maksud yang sama.

Seksualiti bukan seks semata-mata

Seksualiti merangkumi dimensi yang luas. Ia tidak tertumpu kepada kelakuan seks invididu sahaja. Seksualiti berkait dengan segala aspek kemahuan dan luahan seks manusia.

Dengan kata lain, seksualiti adalah satu istilah yang luas maknanya. Penggunaanya haruslah merujuk kepada tujuan yang khusus.

Contohnya istilah seksualiti boleh digunakan untuk merujuk kepada dimensi-dimensi berikut:

  • gender (kategori atau identiti, status, peranan);
  • makna, pemahaman dan tafsiran kelakuan sesuatu jantina (kelelakian, kewanitaan, erotisme, tarikan seksual, keberanian, kehormatan, stigma;
  • identiti seksual (lesbian, gay, biseksual, panseksual, aseksual dan sebagainya)
  • tindakan seksual, posisi seksual dan pilihan kelakuan seksual,
  • perhubungan seksual (keintiman, concensus, komitmen);
  • hak seksual;
  • nafsu, fantasi dan niat.

Seks pula merangkumi aspek-aspek biologi dan cara pembiakan. Seks merujuk kepada fenomena fisiologi.

Ini selari dengan kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh World Health Organization (WHO) yang juga mempunyai takrifan “seksualiti” yang menjangkaui tindakan seks semata-mata.

Mengikut WHO, seksualiti adalah aspek utama manusia sepanjang hayat dan merangkumi gender, identiti gender dan peranan gender, orientasi seksual, erotisme, keseronokan, kemesraan dan pembiakan.

Seksualiti dialami dan dinyatakan dalam fikiran, fantasi, keinginan, kepercayaan, sikap, nilai, tingkah laku, amalan, peranan dan perhubungan.

Rangkakerja Ruth Dixon-Mueller dan Michael Tan menambah perspektif yang menarik dalam wacana ini: Ia mengambilkira bahawa seksualiti dan seks boleh berubah mengikut masa, dipengaruhi khususnya sejarah dan pengalaman seseorang individu atau masyarakat sesebuah negara.

Di dalam bukunya, Policing Sexuality: Sex, Society and the State (Mengawas Seksualiti: Seks, Masyarakat dan Negara), Julian Lee menunjukkan dari aspek antropologi bahawa Negara atau kerajaan pernah menggunakan kuasanya untuk mengawal seksualiti penduduk untuk kepentingan masing-masing yang biasanya berasaskan isu produktiviti (hasil cukai, sumber tenaga manusia, ketulinan bangsa dan agama, seperti yang kita alami sekarang di Malaysia dan mahu pula diundangkan di Negara Myanmar oleh sesetengah sami Buddha ekstremis untuk membela dan melindungi agama Buddha).

Kepentingan konteks

Apa yang penting di sini ialah istilah “seks” dan “seksualiti” tidak boleh difahami secara abstrak seolah-olah dalam suatu vakuum. Seperti istilah-istilah rumit yang lain, mereka harus diteliti dalam konteks yang khusus, terutamanya jika mereka menyentuh sentimen-sentimen sensitif atau yang jarang (kadang-kadang dilarang) dibahas masyarakat.

Dengan kata lain, penggunaan istilah “seks” dan “seksualiti” pada sesuatu masa itu dipengaruhi oleh nilai-nilai dan faktor-faktor sosial, politik, ekonomi dan budaya. Kesemua interaksi faktor-faktor tersebut juga dipengaruhi oleh kelaluan masa, iaitu sejarah dan pengalaman sesebuah konteks tersebut.

Ini juga, pada waktu yang sama, harus dipertimbangkan dengan faktor-faktor keunikan keadaan individu.

Apabila konteks di ambil kira, kita akan lihat bahawa “seks” dan “seksualiti” tiada luahan dan penzahiran sejagat atau universal. Seperti evolusi halus budaya dan masa, seks dan seksualiti juga tidak terpisah daripada perubahan zaman dan konteks serta keunikan individu.

Apabila kita jelas dengan objektif dan konteks ini, barulah kita boleh tahu bagaimana istilah “seks” dan “seksualiti” itu boleh digunakan dengan tepat, tanpa pengaruh sentimen politik.

Lebih penting lagi, sudut pandangan sensitif itu akan membuka ruang untuk melihat seks dan seksualiti dalam perspektif yang lebih rumit, walaupun benar.

Kerumitan harus diiktiraf

Contohnya golongan aseksual.

Seorang aseksual langsung tidak ada minat atau nafsu untuk mengadakan perhubungan seks dengan sesiapa pun, tetapi ada di antaranya mungkin ada tarikan romantis sahaja dengan orang lain, tidak kira orang itu lelaki, perempuan atau orang trans (golongan transgender).

Mungkin ada di antaranya akan sudi melakukan perhubungan seks kerana keinginan mereka untuk memastikan pasangan romantisnya bahagia. Jadi seorang yang aseksual tidak sama dengan orang yang memutus untuk menjauhi diri daripada perhubungan seks kerana kepercayaannya.

Malah, jelas tersirat di dalam golongan aseksual adalah satu kepelbagaian yang agak luas.

Bayangkan: sekiranya, golongan aseksual sudah ada kepelbagaian sebegini, apatah lagi golongan lesbian, gay, biseksual, heteroseksual, orang trans, dan seterusnya.

Saya pernah membuat kajian kualitatif tentang seksualiti wanita yang tertarik atau mencintai seks yang sama, dan kajian saya ada menunjukkan bahawa seksualiti itu agak cair, berubah-ubah dan bersifat temporal, iaitu, walaupun seseorang wanita itu heteroseksual, dia tidak akan berasa tarikan seksual kepada setiap orang lelaki pada setiap masa.

Sama juga untuk orang lelaki yang heteroseksual. Ada kemungkinan juga pada masa-masa tertentu tiada apa-apa tarikan seksual di antara dua individu yang berpasangan walaupun mereka sudah berkahwin.

Jangan pukul rata perkara yang penuh dimensi

Menelaah isu ini dari kaca mata yang kritis dan berhati-hati menunjukkan bahawa daya tarik seksual tidak semudah yang biasanya dibayangkan.

Contohnya, seorang yang identiti seksualnya lesbian tidak akan rasa tertarik kepada setiap orang wanita pada setiap masa. Tarikan seksualnya akan bergantung kepada faktor-faktor lain, bukan sahaja setakat orang itu juga seorang wanita.

Sama juga dengan seorang lelaki yang gay. Dia tidak semestinya tertarik kepada orang lelaki semata-mata dia seorang lelaki. Ada faktor-faktor lain yang akan memikat perhatiannya, mungkin di dalam cara tutur bahasanya, mungkin dia tertarik dengan pemikiran yang sama tentang imperialisme Negara Amerika, dan banyak lagi faktor-faktor lain.

 

 

 

 

unnamed