Kalimah Allah: Satu sudut pandang Kristian Sarawak

Balik-balik isu kalimah ‘Allah’ digembar-gemburkan. Hari ini sudah dilaporkan bahawa dua ribu naskhah Herald di rampas di lapangan terbang Kota Kinabalu. Ini nyata melanggar janji-janji bahawa kononya hak-hak rakyat Kristian di Borneo tidak akan diganggu.

Penjelasan konteks

Sememangnya dalam kemelut isu ini terdapat banyak salah faham mengenai keadaan demografik dan budaya masyarakat Kristian Malaysia, terumatanya di Borneo.

Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit penjelasan:

Umum diketahui, dianggarkan lebih 40 etnik di Sarawak dan 32 etnik di Sabah yang terdiri dalam pelbagai kelompok bangsa, ras dan kaum. Jika ditanya mengenai demografi penduduk agama Kristian di Kepulauan Borneo, jumlah Bumiputera Kristian di Malaysia Timur adalah 1,448,967 orang daripada jumlah keseluruhan Bumiputera Kristian Malaysia yang terdiri daripada 1,549,193 orang.

Berdasarkan daripada stastistik tersebut, dapat dinyatakan disini kepelbagaian Bumiputera Kristian berbilang kaum dan etnik juga dipengaruhi dengan kawasan geografik dan kepelbagaian mazhab serta aliran agama Kristian itu sendiri yang turut mempunyai latar belakang sejarah yang pelbagai.

Seperti yang diketahui, antara mazhab Kristian yang utama di Malaysia termasuk Roman Katolik, Anglikan, Evangelikal, Baptis, Brethren, gereja berkarisma bebas, Lutheran, Methodis, Presbyterian dan gereja-gereja yang tak ber-denominasi. Tetapi, jika kita perhatikan pada tahap yang lebih lokal di Borneo, demografiknya begitu rumit. Tiada masyarakat Kristian yang “monolitik” yang senang difaham secara pukul rata.

Contohnya di Sarawak, penganut Kristian berbeza mengikut kaum serta mazhabnya. Sebagai contoh umum, kaum Bidayuh kebanyakkannya menganut fahaman Roman Katolik dan Anglikan. Kaum orang Ulu (Kayan, Kelabit, Lun Bawang) majoritinya menganut fahaman Evangelikal.

Kaum Iban menganuti pelbagai mazhab/aliran Kristian. Kaum Melanau di Sarawak dilihat majoritinya Islam juga mempunyai penganut Kristian aliran Katolik.

Begitu juga di Sabah, penganut Kristian dibezakan melalui etnik dan daerah. Contohnya kaum Kadazan-Dusun majoritinya adalah Roman Katolik, kaum Murut pula lebih ke arah evangelikal.

Medium bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan Kristian di Sabah dan Sarawak memang pelbagai: secara umumnya ia termasuk Bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda etnik / suku masing-masing dan juga Bahasa Malaysia.

Akan tetapi, Bahasa Malaysia tetap digunakan lebih kerap kerana ianya bertindak sebagai medium yang menyatu padukan pelbagai etnik, kaum dan mazhab Kristian di Borneo apabila berkumpul dalam satu upacara keagamaan.

Membumikan teologi

Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian tidak mempunyai kata nama khas yang khusus untuk merujuk kepada nama tuhan bagi menerangkan konsep Trinitas (Trinity) sebagaimana Yahudi mahupun Islam.

Justeru, kaedah pembumian agama untuk keadaan tempatan (atau dalam istilah Bahasa Inggeris contextualization ataupun indigenization) digunakan untuk menterjemah istilah ‘Elohim’ dan ‘Adonai’ daripada bahasa Ibrani (Yahudi) dalam Perjanjian Lama, dan istilah ‘Kurios’ dan ‘Theos’ daripada bahasa Yunani dalam Perjanjian Baru yang ada pada Alkitab (Bible) mengikut bahasa ibunda dan bahasa setempat.

Pembumian digunakan dalam kajian terjemahan Alkitab berhubung dengan tetapan yang berkaitan dengan budaya masyarakat setempat bagi memahami penggunaan perkataan yang dipinjam daripada Perjanjian Lama bahasa Ibrani dan Perjanjian Baru bahasa Yunani yang merupakan bahasa asal Alkitab.

Keputusan yang tidak adil

Dari sini kita boleh lihat bahawa larangan untuk penggunaan kalimah Allah di konteks Malaysia timur jelas meminggirkan.

Umat Kristian sudah menggunakan kalimah tersebut sekian lama sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Bahkan dalam bahasa Iban, pencipta juga digelar ‘Allah Taala’ sebelum kedatangan agama Kristian.

Secara mudahnya kita hanya harus merjuk kepada pernyataan berikut dalam 20/18 Perjanjian Malaysia 1963:

Perkara 1: Agama

“Tiada bantahan terhadap Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia tetapi Borneo Utara/Sarawak sepatutnya tidak mempunyai agama rasmi. Segala bidang kuasa Malaya yang berkaitan dengan Islam tidak patut dikuatkuasakan di Borneo Utara/Sarawak.”

Dalam ini, kita juga patut sedar bahawa penganut Kristian Bumiputera di Semenajung Malaysia juga terdiri daripada penduduk asal Orang Asli dan penduduk asal Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke sana turut menggunakan bahasa ibunda sebagai medium. Adakah adil larangan ini ke atas akhbar Katolik Herald sekiranya petikan Alkitab, upacara sembahyang dan doa itu dipetik dalam bahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia?

Keliru?

Dakwaaan penggunaan kalimah ‘Allah’ tersebut akan mengelirukan umat Islam adalah tidak benar kerana akhbar tersebut tidak dijual dan diedarkan di luar lingkungan gereja.

Pihak gereja juga ingin bersifat defensif bagi memastikan terjemahan Alkitab dan bahasa pertuturan upacara keagamaan dalam Bahasa Malaysia terpelihara daripada perubahan. Akhir, gereja juga ingin memelihara kebebasan nurani penganut Kristian Orang Asli, Sabah dan Sarawak agar bebas menggunakan bahasa ibunda dan bahasa Malaysia dalam kehidupan keagamaan mereka.

Dialog untuk pemahaman dan penyelesaian

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam dan Melayu, JAKIM, majlis agama Islam negeri-negeri, mufti-mufti, ahli politik dan kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak rasional dalam mengendalikan isu ini agar ianya tidak menjadi satu barah berlanjutan yang akan merosakkan perpaduan antara kaum dan agama.

Penjelasan, pengajaran dan dialog adalah jalan terbaik memahami persamaan dan perbezaan antara agama.

Akhir kalam, ayuhlah rakyat Malaysia tinggalkan pemikiran jumud dan dangkal mengenai isu ini. Sama-samalah menghayati pegangan agama masing-masing dan hormatilah pegangan agama lain selaras dengan prinsip kebebasan beragama. Sehubungan dengan itu, kita dapat membaiki perpaduan dan kestabilan negara Malaysia ini sebaik mungkin.