Kebangkitan Kapitalisme Islamik di Malaysia

Gambar: Mthago WordPress
Gambar: Mthago WordPress

 

Kebangkitan Ekonomi Melayu

Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat.

Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan.

Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam.

Islamisasi

Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’.

Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam.

Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’.

Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu.

Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya  proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia.

Teori Modernisme & Kapitalisme Islam

Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster
Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster

Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh.

Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat.

Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat.

Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam.

Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran.

Benih-benihnya di Malaysia

Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak.

Proses urbanisasi dan modernisasi  orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial.

Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam.

ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda  sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia.

Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik?

Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan  masyarakat.

Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama.

Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim.

Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.

 

KL Skyline - Wikimedia
Gambar: Wikimedia.org

 

Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam 

Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia.

Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya.

Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik.

Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa.

Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia.

Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara.

Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia.

Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik.

unnamed