Kebebasan beragama melalui kacamata seorang Jedi

Apa khabar semua? Saya adalah seorang Jedi yang datang dari sebuah bimasakti yang nun jauh di sana. Oleh sebab suatu kemalangan yang tidak dapat dielakkan, kapal angkasa saya telah terhempas di Rembau.

Saya berada di Malaysia, menunggu kapal lain datang untuk menyelematkan saya. Tetapi oleh kerana pangkalan Jedi yang terdekat adalah beberapa tahun cahaya jauhnya, saya terpaksa menunggu beberapa minggu di Malaysia ini.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah membuat kajian melalui komputer di dalam kapal angkasa saya tentang negara ini. Saya ingin tahu demografik negara ini, keadaan ekonomi, sosial dan politik negara ini serta undang-undang di dalam negara ini.

Apabila saya buat carian di internet (sudah tentu menggunakan Google), saya dapati bahawa berita-berita antarabangsa tentang negara ini semuanya berkenaan dengan toleransi agama yang tampak kian berkurangan di negara ini. Oleh sebab itu, saya menjadi sedikit khuatir kerana saya adalah seorang Jedi.

Sebenarnya, Jedi bukanlah sebuah agama. Ianya adalah sebuah ‘organisasi rohani’ dengan peraturan dan resam yang patut dipatuhi.

Kami terikat dengan kod etika, moraliti, prinsip dan keadilan. Tetapi untuk memudahkan semua pihak (dan menjadikan rencana ini relevan), saya ajak anda semua untuk melihat Jedi itu sebagai suatu ‘agama’ seperti agama-agama kovensional yang lain.

Menurut kajian saya, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di dalam negara Malaysia ini. Ini bermakna, tidak boleh ada apa-apa undang-undang yang di kedudukan yang lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini juga bermaksud apa-apa undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan, setakat mana percanggahan tersebut, adalah tidak sah.

Untuk memudahkan saya, saya lihat Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘buku panduan’, atau manual bagi negara ini, sama seperti manual yang perlu dibaca bagi memandu sebuah kapal angkasa.

Perlembagaan mewujudkan badan-badan Perlembagaan, seperti Parlimen, Mahkamah dan Kerajaan, memberi kuasa kepada badan-badan ini dan juga menggariskan had terhadap kuasa-kuasa yang diberikan tersebut.

Perlembagaan juga menjamin kebebasan asasi mereka yang berada di negara ini. Contohnya hak untuk berhimpun, hak untuk bersuara dan hak untuk mengundi. Perlembagaan juga menjamin kebebasan beragama bagi semua.

Saya mendapati bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia. Ini melegakan saya.

Kebebasan beragama juga termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan yang menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. ‘Saya adalah seorang Jedi’ – ini anutan saya. Saya juga bebas mengamalkan kod-kod dan peraturan-peraturan Jedi sebagai amalan agama saya.

Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama ini tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun, melainkan ianya berlawanan dengan apa-apa undang-undang am berhubung dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moraliti.

Maknanya, walaupun peraturan Jedi mengharuskan saya membawa lightsaber (pedang lazer) saya ke mana-mana, tetapi oleh kerana terdapat undang-undang yang menyekat penggunaan senjata di negara ini, maka saya tidak boleh menggunakan Perkara 11 sebagai justifikasi untuk membawa lightsaber saya di khalyak ramai.

Tidak mengapa. Saya rasa seteru tradisi Jedi, The Sith, tidak ada di Malaysia. Walaupun saya ada nampak seorang yang mirip Jabba The Hutt di televisyen tempoh hari, sedang melaungkan tentang hak Melayu. Kebetulan, agaknya.

Berbalik kepada kebebasan beragama. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa saya mempunyai hak untuk mengembangkan agama saya. Jadi, sekiranya saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai orde kami saya boleh.

Menurut kajian saya, walaupun saya punya hak untuk mengembangkan agama saya, Perlembagaan membenarkan undang-undang negeri (atau undang-undang Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan) untuk mengawal dan menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam. Di negeri Selangor contohnya, adalah menjadi kesalahan sekiranya saya bercerita tentang perkara-perkara berkenaan anutan dan amalan Jedi kepada seseorang yang beragama Islam.

Yang penting bukan agama apa yang disebarkan, tetapi siapa yang menjadi ‘penerima’. Sebab itulah di Selangor juga, ianya menjadi kesalahan sekiranya seseorang Muslim itu berdakwah kepada Muslim yang lain sekiranya dia tidak mempunyai tauliah.

Tidak mengapalah. Sebenarnya Jedi memang harus dipupuk dari usia yang amat muda, jika sudah terlalu tua khuatir akan menimbulkan perkara yang tidak diingini. Lihat sahaja apabila Qui Gon Jinn mengambil seorang budak yang terlalu tua bernama Anakin untuk dijadikan Jedi.

Sekurang-kurangnya saya kini yakin bahawa hak saya sebagai seorang Jedi dilindungi oleh Perlembagaan. Jadi, jika hak saya untuk menganut dan mengamalkan agama saya dicabuli, saya boleh menegakkan hak saya di Mahkamah.

Tetapi saya belum sempat membuat kajian samada Mahkamah di Malaysia telah selama ini menjalankan tanggungjawab mereka untuk menegakkan hak-hak dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Samalah seperti tanggungjawab kami sebagai Jedi untuk berkhidmat dan melindungi seantaro bimasakti daripada anasir-anasir jahat yang mengancam kedamaian.

Ah, tak mustahil meraka tidak jalankan tanggungjawab mereka. Apa guna Perlembagaan, jika Mahkamah tidak meluhurkannya, kan?

*Nota untuk JAIS, JAKIM dan semua yang sama waktu dengannya, penulis bukanlah seorang Jedi.