Kekalkan Kepelbagaian Politik Kita

Baru-baru ini, penulis sempat berbual dengan seorang bekas hakim Jerman, yang kini menjadi pensyarah universiti. Topik perbualan kami berkisar pada sejarah dan sosio-politik Jerman, khususnya tentang golongan minoriti etnik di negara tersebut.

Dianggarkan bahawa terdapat lebih kurang 81.8 juta penduduk Jerman. Daripada jumlah tersebut, 80.7 peratus adalah etnik Jerman. Kira-kira 10 peratus daripada warganegara Jerman bukan etnik Jerman dan angka ini kian meningkat. Minoriti etnik yang terbesar di Jerman adalah etnik Turki, yang terdiri daripada 4 peratus daripada jumlah penduduk Jerman, diikuti dengan etnik Polish yang terdiri daripada 2 peratus penduduk Jerman.

Kemasukan pendatang ke Jerman, terutama sekali dari Turki, sejak beberapa dekad yang lepas telah mengubah demografik negara Eropah tersebut. Generasi pertama pendatang (immigrant) tidak melihat diri mereka sebagai warga Jerman dan masih melihat diri mereka sebagai warga negara asal. Tetapi, generasi kedua dan ketiga yang berketurunan pendatang (nama rasmi dalam bahasa Inggeris, ‘Germans with immigrant background’) lebih bersepadu dengan masyarakat Jerman yang lain, berbanding dengan generasi sebelumnya. Mereka bertutur dalam bahasa Jerman, melihat diri mereka sebagai warga Jerman dan adalah produk institutusi pendidikan Jerman.

Ini membawa cabaran-cabaran baru kepada sebuah negara seperti Jerman, yang sebelum ini mempunyai homogeni budaya dan etnik.

Conthohnya, bagaimana masyarakat Jerman menerima penduduk-penduduk moniriti etnik ini? Juga berkenaan hak-hak minoriti etnik, apatah lagi apabila hak tersebut bertembung dengan kehendak majoriti. Apakah juga peranan Negara (State) dalam semua ini?

Situasi di Jerman selari dengan situasi di negara-negara Eropah barat yang lain. Dari Birmingham ke Marseille, dari Brussels ke Bern, negara-negara Eropoh barat sedang menangani multiculturalism dan cabaran-cabaran yang datang dengannya. Antaranya, bagaimana hendak melibatkan warga minoriti etnik di dalam proses politik negara?

Penglibatan golongan Germans with immigrant background di dalam politik semakin meningkat kebelakangan ini, terutama sekali di kalangan generasi kedua dan ketiga. Namun, bilangannya masih rendah. Contohnya, walaupun terdapat penduduk etnik Turki yang besar, penglibatan warga etnik Turki dalam proses politik masih rendah. Bilangan wakil rakyat etnik Turki di dalam Parlimen Persekutuan mereka (dikenali sebagai ‘Bundestag’) tidak berkadar atau proportionate dengan bilangan bilangan warga Jerman etnik Turki.

Bagi tujuan ini, parti-parti politik arus perdana sedang rancak menggalakkan penglibatan golongan etnik Turki di dalam politik Jerman. Matlamat mereka tentunya untuk meraih sokangan golongan minoriti di samping menunjukkan bahawa mereka lebih mewakili seganap pelosok masyarakat. Penglibatan politik Germans with immigrant background sedang rancak diperbincangkan, berlatarbelakangkan tema multi-culturalism yang sedang melanda Eropah barat pada masa ini.

Penulis membandingkan perkara ini dengan situasi di Malaysia. Di sini, multiculturalism sudah sebati dengan masyarakat. Bukan hanya pasca Merdeka, tetapi memang sejak dari dulu lagi rantau ini Asia Tenggara ini telah menjadi tumpuan manusia dari seluruh dunia. Masyarakat Asia Tenggara tidak asing dengan perbezaan etnik dan budaya.

Peratusan penduduk minoriti etnik di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara Eropah barat. Minoriti etnik kita juga sejak dahulu lagi sudah terlibat dengan proses politik negara. Masalah kurangnya penglibatan politik yang dihadapi oleh negara-negara Eropah barat tidak wujud di sini, sekurang-kurangnya bagi minoriti etnik yang besar. Lihat sahaja Dewan Rakyat yang baru dibubarkan – betapa ramai di kalangan 222 wakil yang dipilih rakyat berketurunan minoriti etnik? Dan pada masa yang sama, berapa ramai calon yang akan bertanding di dalam pilihanraya umum nanti berketurunan minoriti etnik?

Penulis percaya bahawa situasi positif ini lahir akibat kesanggupan kita untuk mengundi calon dan menerima wakil rakyat yang bukan sebangsa dengan kita. Memang, politik perkauman masih berleluasa dan masih menjadi sebahagian daripada naratif politik kita, tetapi penulis percaya bahawa secara amnya etnik dan agama calon yang dipertandingkan tidak menentukan undi pengundi. Mungkin sekadar salah satu faktor, tetapi bukanlah faktor penentu. Kerana itu, seorang calon etnik India masih boleh mengalahkan calon etnik Cina, walaupun bilangan pengundi India di kawasan Parlimen tersebut kurang daripada bilangan pengundi Cina dan Melayu, contohnya. Warganegara etnik Melayu, sebagai etnik terbesar, telah lama menerima calon-calon etnik minoriti.

Pilihanraya umum ke-12 melihat parti-parti politik yang dahulunya dilihat sebagai ekstrem, samada sebagai cauvinis bangsa atau fundamentalis agama, diundi oleh pengundi-pengundi yang biasanya tidak akan mengundi mereka. Pengundi Melayu contohnya telah mengundi calon-calon DAP, kononnya parti cauvinis Cina, manakala pengundi-pengundi Cina dan India pula mengundi calon-calon PAS, parti fundamentalis Islam. Pola pengundian pilihanraya umum ke-12 mencadangkan bahawa etnik dan agama calon semakin tidak menjadi faktor langsung, apatah lagi faktor penentu.

Namun akhir-akhir ini, terdapat gerakan yang berusaha menjadikan etnik dan agama calon sebagai faktor penentu undi pengundi, terutama sekali di kalangan pengundi-pengundi Melayu-Muslim. Gerakan yang dikenali sebagai ‘Arus Baru’ contohnya menyatakan bahawa:

Walaupun mereka baik, bijak dan mahukan keadilan, kedamaian, ketenteraman tetapi mereka menyekutukan Allah. Ianya sebesar-besar kesalahan di sisi Allah. Sedangkan sejahat-jahat apapun seorang Muslim, mereka masih mengaku beriman dan percaya kepada Allah,  malah keampunan Allah tetap dijanjikan buat mereka. Sudah terang lagi bersuluh, sokongan kita terhadap golongan bukan Islam ini sangat tidak wajar.

(‘Hukum membuang undi orang bukan Islam, http://arusbaru.my/2013/02/23/hukum-membuang-undi-orang-bukan-islam/)

Menurut seruan Arus Baru ini, agama calon sewajarnya menjadi faktor penentu ketika membuang undi. Arus Baru mahu pengundi Melayu-Muslim mengundi seseorang calon Muslim sekiranya dia berhadapan dengan seseorang calon bukan Muslim. Apa yang membimbangkan penulis adalah seruan ini ada mendapat sambutan di kalangan pengundi Melayu-Muslim.

Proses membuang undi adalah proses memilih calon yang terbaik mewakili sesuatu kasawan Parlimen atau DUN. Kita mengundi kerana kita mahu calon atau parti yang terbaik untuk mewakili kita dalam sistem perundangan negera. Tetapi, proses ini akan gagal sekiranya pengundi tidak memilih apa yang mereka fikir adalah calon terbaik, tetapi memilih mengikut agama atau etnik calon tersebut. Atas ukuran apa seseorang calon itu ‘terbaik’, sekiranya dia menerima rasuah, menyokong kezaliman, tidak hormat demokrasi, tidak dukung Perlembagaan dan hak-hak rakyat dan langsung tidak mengendahkan nasib pemilih-pemilihnya tetapi dipilih atas agama dan etniknya? Adakah agama dan etnik calon tersebut relevan dalam dia menjalankan tenggungjawabnya terhadap pemilih-pemilihnya?

Kita wajar berbangga bahawa politik kita tidak didominasi oleh sesuatu etnik sahaja, apatah lagi etnik yang terbesar di dalam negara. Politik kita berwarna-warni, mencerminkan masyarakat kita. Kepelbagaian politik yang sihat ini harus dikekalkan. Walaupun politik perkauman masih wujud, walaupun masih terdapat parti-parti berteraskan kaum dan agama, penulis percaya bahawa pilihanraya umum ke-12 telah meletakkan kita di atas landasan yang betul, ke arah landskap politik di mana etnik dan agama tidak lagi menjadi faktor.

Seruan ala Arus Baru adalah antithesis kepada matlamat ini. Penulis bimbang ia akan memburukkan lagi politik perkauman dan agama yang sudahpun wujud. Ketegangan di antara etnik-etnik yang pelbagai, yang juga sudahpun wujud, mungkin akan menjadi lebih teruk. Negara-bangsa yang lebih baik yang ingin kita bina mungkin tidak akan menjadi realiti.

Penulis berharap kita akan mengekalkan kepelbagaian politik yang sihat yang kita dukung selama ini. Pilihanraya umum ke-13 ini bakal menjadi penentu. Adakah kita akan mengambil langkah ke hadapan, atau kita berundur? Penentuannya di tangan kita.