Keliru dengan PRU?

Penulis rasa penulis bukanlah seorang yang bodoh. Mungkin tidak pandai, tetapi tidaklah bodoh. Namun apabila penulis membaca retorik-retorik politik sempena PRU ini, penulis menjadi keliru.

Retorik politk pertama mengatakan bahawa:

“Kalau parti A berkuasa, Malaysia akan menjadi negara Kristian, hak Melayu akan terhapus, negara akan menjadi republik dan bergabung dengan Singapura.”

Retorik politk kedua pula mengatakan bahawa:

“Kalau parti A berkuasa, Malaysia akan menjadi negara Islam dan mengamalkan hudud, perniagaan akan merudum dan tidak ada hiburan”.

Penulis membuat kira-kira sendiri. Menggunakan logik kedua-dua pengataan politik yang telah sampai pada penulis. Dan kesimpulan penulis adalah sekiranya parti A tersebut memerintah, kita bakal melihat sebuah republik Kristian yang sama rata, miskin, membosankan dan melaksanakan hudud.

Penulis semakin keliru, kerana negera seperti itu langsung tidak munasabah. Kenapa tidak munasabah?

Pertama, penulis tahu bahawa Malaysia ini negara berperlembagaan. Maknanya, Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang negara. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istmewa Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan institusi raja-raja semua terpelihara dan termaktub di dalam perlembagaan.

Kedua, penulis tahu bahawa untuk meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan, memerlukan sokongan 2/3 ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bukan boleh main tukar ikut suka hati seperti menukar telefon bimbit atau gambar profil Facebook.

Ketiga, penulis juga tahu bahawa perkara-perkara seperti kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan institutsi raja-raja bukan sahaja memerlukan sokongan 2/3 ahli Parlimen, tetapi juga perkenan Majlis Raja-raja. Penulis yakin bahawa Majlis Raja-raja tidak akan memperkenankan penghapusan institusi itu sendiri atau menukar kedudukan orang Melayu.

Keempat, penulis tahu bahawa mustahil ahli Parlimen beragama Kristian akan mencapai bilangan 2/3 Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Lagipun, sekiranya terdapat agenda untuk ‘Kristianisasi’, tidak pula dinyatakan negara Kristian mazhab apa. Katolik? Anglikan? Ortodoks Yunani? Lutheran? Mazhab-mazhab ini berbeza dan tidak menerima kepercayaan yang lain. Samalah seperti Muslim Sunnah wal-Jamah tidak menerima Muslim Syiah.

Kelima, penulis tahu bahawa untuk bergabung dengan Singapura juga memerlukan pindaan undang-undang kedua-dua negara. Lebih penting lagi, penulis teramatlah yakin bahawa Singapura langsung tidak ingin bergabung dengan Malaysia. Mereka gembira dengan Universal Studios, Orchard Road dan Marina Bay Sands mereka.

Keenam, penulis tahu bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan di dalam sebuah negara Islam (Islamic state) iaitu sebuah negara yang meletakkan al-Quran sebagai undang-undang tertinggi negara, walhal Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi.

Ketujuh, penulis tahu bahawa untuk meletakkan al-Quran sebagai otoriti tertinggi negara, Perlembagaan perlu dipinda. Penulis juga tahu bahawa sekiranya kesemua calon Islam menang sekalipun, tidak cukup untuk mendapat sokongan 2/3 Dewan Rakyat untuk meminda.

Kelapan, berhibur merupakan suatu amalan kebebasan yang termaktub di dalam Perlembagaan itu sendiri. Kebebasan ini tidak boleh disekat dengan sewenang-wenangnya (sila lihat anologi tukar telefon bimbit dan gambar profil Facebook di atas).

Ingin juga penulis membaca bagaimana fakta-fakta di atas boleh dijawab oleh mereka yang beriya-iya mencanang retorik pertama dan retorik kedua. Tetapi malangnya, apa yang ada cuma dakwaan kosong, atau dalam bahasa undang-undang ‘bare assertion’. Dan dalam undang-undang, bare assertion tidak punya nilai.

Pening kepala penulis memikirkannya. Terlintas juga di kepala penulis, mungkinkah penulis ditipu dengan retorik politik ini?

Mungkinkah, retorik politik pertama tidak boleh dicampurkan dengan retorik politik kedua?

Mungkinkah retorik politik pertama ditujukan kepada satu komuniti etnik dan agama, manakala retorik politik kedua ditujukan kepada komuniti etnik dan agama yang lain?

Memang Malaysia adalah negara yang warganya berbilang bangsa. Memang, sudah sekian lama kita hidup bersama dengan harmoni. Tetapi di sebaliknya kilauan majmuk yang kita banggakan ini, masih terdapat garis-garis prejudis dan buruk sangka di antara kita. Mungkin tidak begitu ketara, tetapi garis-garis itu wujud. Seperti benang yang menjadi tegang jika ditarik hujung dan pangkalnya, samalah juga hubungan di antara kaum di negara ini.

Mungkinkah matlamat retorik-retorik ini hanyalah untuk menakut-nakutkan pengundi, tanpa apa-apa landasan fakta, undang-undang dan realiti? Menegangkan benang-benang hubungan antara kaum?

Sebab itu jika kedua-dua retorik dicampur dan diaduk, ianya tidak masuk akal?

Kalau dulu, mesej boleh disesuaikan mengikut penerima. Yang Melayu ditakutkan dengan republik dan kehilangan ‘hak’. Yang bukan Melayu ditakutkan dengan potong tangan, merejam dengan batu dan Taliban. Digaulkan pula dengan momok 13 Mei, lengkaplah resipi politik Malaysia untuk sekian lama.

Tetapi ini zaman media sosial, bukan? Zaman Google, Wikipedia, Facebook, Twitter dan Instagram. Zaman matlumat dirakyatkan. Tetapi penerima kini akan kemudian menyebarkan matlumat tersebut kepada yang tidak sepatutnya menerima.

Inilah kelemahan mesej politik yang tidak konsisten. Pendebungan bersilang matlumat akan menumpulkan keberkesanan retorik seperti ini. Jadi mesej itu akan menjadi tidak masuk akal, seperti retorik pertama dan retorik kedua di awal rencana ini.

Bukankah lebih baik kempen itu tertumpu kepada mesej yang positif? Bukankah lebih baik sekiranya kempen itu tidak bergantung kepada rasa takut, prejudis dan was-was pengundi? Mengapa perlu menegangkan benang-benang antara kaum? Bukankah mesej positif lebih konsisten dan meyakinkan di zaman matlumat di hujung jari ini?

Itulah, penulis keliru dengan apa penulis baca sepanjang kempen PRU ini. Ataupun mungkin penulis yang bodoh, dan sepatutnya menerima sahaja apa yang disajikan kepada penulis?