Keperluan dialog dan debat dalam agama

Memaksa dalam beragama adalah perkara yang ganjil. Seseorang yang memeluk Islam kerana terpaksa, ia tidak dikira sebagai muslim, sepertimana seseorang muslim yang dipaksa menjadi muslim, ia tidak akan muslim. Jika dilihat muslim pun, ia akan dikira sebagai munafiq.

Hakikat bahawa tidak dipaksa dalam memeluk Islam ini tersebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT dari ayat 256 dari surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa; “ tiada paksaan dalam agama, telah nyata kebenaran berbanding kesesatan”.

Dalam beberapa kupasan tafsir, dinyatakan ayat ini diturunkan di Madinah, iaitu selepas hijrah Nabi Muhammad SAW. Ada sebilangan ulama tafsir lain, seperti Ibn Asyur menyatakan bahawa ayat ini diturunkan selepas dari kejadian Fath Makkah atau pembukaan Kota Mekah.

Asas dakwaan ulama tafsir bahawa ayat ini diturunkan di Madinah lebih diterima berbanding dalam kejadian Fath Makkah. Ini kerana, merujuk kepada beberapa riwayat tentang sebab turun ayat ini.

Antaranya adalah menceritakan bahawa menjadi kebiasaan masyarakat arab Madinah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW bahawa mereka akan mengyahudikan anak-anak mereka apabila dilahirkan atas asas menyempurnakan nazar. Nazar mereka begitu adalah ekoran kebiasaan anak-anak mereka akan mati sejurus dari kelahiran. Untuk mengelak dari berlaku kematian sebegitu, mereka bernazar untuk mengyahudikan anak-anak mereka.

Apabila Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, mereka telah memeluk islam sehingga mereka dikenali sebagai kalangan Ansar. Masalah yang menimpa mereka adalah, apabila anak-anak mereka yang telah diyahudikan dulu tidak memeluk Islam. Makanya mereka memberitahu kepada Nabi Muhammad SAW keadaan itu dan bercadang hendak memaksa anak mereka agar memeluk islam. Cadangan mereka itu dijawab Allah SWT dengan turunnya ayat 256 dari surah al-Baqarah ini.

Penurunan ayat ini selepas Fath Makkah atau selepas Hijrah Baginda SAW di Madinah adalah seakan-akan ayat ini seperti hendak mempamerkan kepada masyarakat mekah bahawa tindakan mereka memaksa orang islam memeluk agama mereka sebagai tindakan yang tidak demokratik, tindakan yang tidak bertamadun sama sekali. Sewajarnya dalam beragama, ia bermula dari kefahaman terhadap kebenaran dan perkara yang tidak benar.

Mutu

Ada sebilangan mendakwa bahawa ayat ini diturunkan untuk non Muslim yang memeluk Islam sahaja. Dengan maksud, ayat ini tidak terkena langsung kepada orang muslim sedia ada atas alasan tidak dibenarkan murtad.

Dakwaan ini tidak tepat dengan beberapa alasan. Antaranya adalah, ayat ini tidak tertumpu kepada kebebasan meninggalkan Islam atau murtad.

Ini kerana, larangan murtad itu sememangnya berlaku dalam ayat-ayat yang lain, seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 217 dan surah al-Maidah, ayat 54. Alasan kedua pula, ayat ini menceritakan kualiti dalam menanggapi iman dengan mengetahui kebenaran berbanding kesesatan. Seseorang yang tidak tahu kebenaran berbanding kesesatan, ia tidak dikatakan sebagai orang yang punyai kualiti iman.

Persoalannya, bagaimana mahu menyuburkan kualiti iman?

Malaysia adalah sebuah negara yang punyai masyarakat berbilang bangsa dan agama, tetapi dialog antara agama ini agak mundur berbanding negara-negara barat dan yang berjiran, iaitu Indonesia. Persoalan ini timbul ekoran termaktub dalam perlembagaan bahawa larangan bagi agama lain untuk disebarkan.

Dengan larangan itu, mengadakan dialog juga dilarang mengikut tafsiran golongan tertentu dengan alasan dialog itu sendiri seperti memberi ruang kepada non muslim menyebarkan agama mereka.

Fikrah sebegini sewajarnya dikaji balik. Sewajarnya larangan dialog ini tidak berlaku. Lebih wajar, dialog antara agama ini berlaku dengan hebat agar kualiti iman itu terhasil dalam masyarakat Malaysia.

Melihat kepada kekangan larangan dialog, menghasilkan kefahaman Islam bagi umat Islam malaysia tidak hebat, disamping pendakwah-pendakwah di Malaysia gagal pamerkan kualiti hujjah dalam menyampaikan agama.

Seperti yang kita sedia maklum, di kalangan rakyat malaysia boleh dikatakan beribu-ribu orang graduan agama selesai dari pengajian Islam, tetapi dengan lahirnya ribuan graduan agamaia, tahap kualiti penghujahan agama masih dalam tahap yang tidak mengkagumkan. Ini semua berpuncakan cabaran dan saingan penghujahan agama tidak disuburkan.

Dialog

Jika diteropong jauh ke zaman Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengambil sikap larangan berdialog. Malahan, dialog antara agama ini berlaku sehinggakan melibatkan diri Nabi Muhammad SAW sendiri.

Baginda SAW sendiri pernah terlibat dialog dengan satu kalangan nasrani dari najran yang berhujjah tentang Nabi Isa yang melihat bahawa baginda sebagai Tuhan. Dialog itu berlaku hebat sehinggakan perkara ini diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dari surah ali-Imran, ayat 59.

Bukan sekadar dialog, malahan al-Quran juga ada menceritakan kisah perdebatan antara Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Ibrahim dengan pemerintah ketika itu. Walaupun kelihatan perdebatan itu melibat seseorang Nabi dengan pemerintah, tetapi kandungan perdebatan mereka berkisarkan agama dan kepercayaan.

Ini membuktikan kepada kita bahawa dakwaan tidak boleh berdialog antara agama adalah satu perkara yang meleset dengan ajaran al-Quran dan pengamalan Nabi Muhammad SAW.

Dari kupasan ini, dinyatakan beberapa perkara penting. Antara adalah yang pertama, dialog antara agama adalah perkara yang cukup sesuai dengan roh Islam seperti ajaran al-Quran dan al-Hadis. Kedua, kualiti sesuatu kepercayaan tidak akan terhasil dengan semata-mata larangan undang-undang agar tidak tukar agama, tetapi kualiti beragama itu terhasil dengan pengetahuan jitu terhadap kebenaran berbanding kesesatan.

Wallahu ‘Alam.