Kesamarataan: Konsep Barat ke Anugerah Tuhan?

Equality

Betulkah Kesamarataan Itu Konsep Barat?

Setengah orang berpendapat kesamarataan adalah konsep Barat. Saya hairan mengapa ada orang masih berpendapat sedemikian.

Nyata sekali ketidaksamarataan masih wujud di negara barat, timur, utara, dan selatan. Bagaimana pula kesamarataan boleh dipaparkan sebagai konsep Barat dengan begitu pasti?

Perasaan syak wasangka, diskriminasi di tempat kerja, sekolah dan di kalangan keluarga, serta stigma, masih berlaku di negara Barat. Anehkan kalau kita masih kata kesamarataan adalah konsep Barat?

Pada hakikatnya, kesamarataan adalah konsep dan anugerah Tuhan.

Hujah yang seringkali digunakan untuk memujuk fahaman kesamarataan adalah darah kita: darah kita merah, dan kalau dipotong tangan, maka mengalirlah darah merah.

Bagi orang yang menolak konsep kesamarataan berasaskan hujah ini, mereka menolaknya kerana keyakinan mereka sebagai manusia yang khas, lebih pandai, lebih suci, dipilih Tuhan, dan sebagainya.

Darah merah yang membuktikan kita semua sama, dicipta sebagai manusia, namun malangnya bagi mereka ini, kesamaan kita tidak dapat diterima sebagai hujah untuk kesamarataan antara manusia.

Sebab manusia suka membeza-bezakan diri antara satu sama lain. Kesamaan ciri-ciri kita sebagai ciptaan Tuhan masih tidak dapat diterima sebagai bukti kesamarataan kita.

Pengikut satu agama lebih suci daripada yang lain, dan dianggap golongan terpilih. Pengikut agama lain dianggap kafir. Lebih-lebih lagi jikalau orang itu tidak menganut apa-apa agama.

Pengikut agama pun didiskriminasi antara satu sama lain—mereka yang lebih kaya daripada mereka yang miskin, yang tubuhnya lebih sempurna daripada yang kurang upaya, yang berpangkat daripada marhaen, dan seterusnya.

 

Religion Blood

Bukti Kesamarataan

Jadi apakah bukti yang menunjukkan kesamarataan adalah konsep Tuhan? Bagi saya, ia adalah titik permulaan dan pengakhiran hidup kita. Kita semua dilahirkan dan kita semua akan mati. Itu janji yang ditepati Tuhan.

Ini adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, tidak kiralah sama ada kamu seorang yang berkepercayaan Tuhan, ateis, berfikiran bebas, agnostik dan sebagainya.

Kelahiran kita menentukan titik permulaan kita. Kematian kita menentukan titik pengakhiran kita. Tidak kira anda orang kaya, miskin, homoseksual, Mak Nyah atau beragama. Dalam erti kata lain, tidak kiralah status anda.

Kelahiran dan kematian bukan ciri manusia sahaja, tetapi ciri semua kehidupan yang dicipta Tuhan. Malangnya di sinilah juga kita sebagai manusia pandai-pandai membezakan diri kita daripada kehidupan lain.

Kita ada otak dan kita membanggakan diri dengan pendirian kita bahawa pemikiran (dan tafsiran) kita adalah pemikiran Tuhan.

Mengapa kita masih tidak faham dan enggan betul-betul menerima konsep kesamarataan sebagai konsep Tuhan?

Mungkin ia bergantung kepada bahasa yang digunakan. Bahasa yang kita gunakan adalah bahasa yang penuh dengan percanggahan. Renungilah bahasa agama.

Semua adalah ciptaan Tuhan, maka semuanya suci.

Ironinya, sikap manusia seolah-olah kita punyai hak menentukan tahap kesucian ciptaan Tuhan. Seolah-olah kita menjadi Tuan Tuhan, kita pula yang menjadi hakim sama ada ciptaan itu elok ataupun tidak.

Setengah penganut agama mengamalkan agamanya secara literalis.

Ini bermakna mereka patuh kepada huruf dan perkataan dalam kitab suci sebagai kebenaran, dan terjemahan atau tafsiran tidak digalakkan walaupun kita mempunyai ilmu yang baru dan pengalaman yang meyakinkan.

Percanggahan fahaman yang timbul tidak ditangani.

Contohnya, penganut Katolik dikatakan tertakluk kepada dogma gereja, iaitu sistem rasmi prinsip mengenai iman, akhlak dan tingkah laku.

Namun kalau kata-kata, tradisi dan amalan yang diikuti bercanggah terus dengan ajaran Yesus, kita tetap diarahkan mengikut apa yang diturunkan oleh manusia daripada ajaran yang dipercayai diturunkan oleh Tuhan.

Saya hanya mengemukakan beberapa contoh, tapi saya yakin, ada di antara kamu yang sudah mula menyoal di kala institusi agama dan agamawan sendiri kelihatan seperti menyokong ketidakadilan.

Isu diskriminasi dan isu gila kuasa serta harta dapat disaksikan di serata dunia atas nama Tuhan. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih, tunggulah makalah saya yang bakal menyusul.

Tapi jangan lupa sekalipun, kesamarataan adalah konsep Tuhan. Ketidaksamarataan adalah amalan manusia.